Ibadah puasa merupakan suatu tuntutan terpenting yang menjadi syiar
bagi seorang yang beragama Islam. Ini kerana syariat berpuasa merupakan salah
satu rukun terpenting dalam Islam yang juga disebutkan sebagai rukun Islam.
Malah, melalui lisan baginda Nabi Muhammad SAW, terdapat 5 perkara yang
merupakan binaan asas sebagai seorang Islam dan antaranya ialah ibadah puasa.
Hakikatnya, ibadah puasa bukanlah suatu perkara baharu dalam siri kehidupan
manusia. Bahkan, ianya telah dilakukan oleh umat yang terdahulu. Sepertimana
yang telah dijelaskan oleh Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 183 yang
bermaksud :
“Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa
sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa.”
Bulan Ramadan adalah bulan yang disyariatkan kepada orang Islam
untuk berpuasa selama sebulan. Perkataan "Ramadan" ialah dari
bahasa Arab. Ungkapan perkataan Ramadan ini berasal dari kata akar Ramada (رمض). Dari sudut bahasa, Ramadan membawa
maksud panas yang sangat terik. Menurut Imam al-Qurtubi dalam kitab tafsirnya, Tafsir
al-Qurtubi, beliau menyatakan bahawa perkataan Ramadan diambil dari
perkataan ramada iaitu semakin panas orang yang berpuasa itu iaitu hangat organ
perutnya kerana terlalu haus. Demikian penjelasan Imam al-Qurtubi dalam
membahaskan maksud Ramadan. Pada bulan ini, Allah SWT memerintahkan para hamba
Nya untuk berpuasa dengan cara menahan diri daripada makan dan minum serta
menahan diri daripada melakukan perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa
seperti bersetubuh suami isteri di waktu siang hari.
Kedatangan bulan Ramadan ibarat memasuki alam tarbiah secara
langsung dari Allah SWT. Padanya dibuka segala pintu-pintu kebaikan dan ditutup
pintu-pintu kejahatan. Selain itu, pada bulan Ramadan juga dijanjikan oleh
Allah SWT untuk membebaskan para hamba Nya daripada api neraka dan perkara
tersebut berlaku pada setiap malam di bulan Ramadan. Hal ini sepertimana yang
terdapat dalam sebuah hadith riwayat Ibnu Majah, daripada Abu Hurairah RA, Nabi
SAW bersabda yang bermaksud :
“Apabila tiba malam pertama bulan Ramadan, syaitan-syaitan dan
jin-jin yang jahat dibelenggu, pintu-pintu neraka ditutup, tidak ada satupun pintunya
yang terbuka. Pintu-pintu syurga dibuka, tidak ada satupun pintunya yang
tertutup. Lalu seorang penyeru menyeru: “Wahai yang mengharapkan kebaikan,
bersegeralah (kepada ketaatan). Wahai yang mengharapkan keburukan, berhentilah
(daripada melakukan keburukan). Allah SWT akan membebaskan hambahamba-Nya
daripada api neraka dan perkara tersebut berlaku pada setiap malam (di bulan
Ramadan).”
Terdapat begitu banyak keistimewaan di bulan Ramdan. Namun begitu,
meskipun padanya terdapat pelbagai kebaikan dan ganjaran yang boleh direbut, di
sana terdapat golongan manusia yang sangat rugi walaupun dirinya berkesempatan
memasuki bulan Ramadan yang mulia ini. Antara golongan manusia yang rugi
tersebut ialah mereka yang berpuasa namun tidak bangun untuk bersahur. Bersahur
merupakan suatu ibadah yang menjadi tuntutan dalam kita menjalani ibadah puasa.
Walaupun ibadah sahur tidaklah menjadi wajib, namun padanya terdapat seribu
satu kebaikan dan ganjaran yang akan diperolehi. Antara kelebihan bagi mereka
yang bersahur, Allah dan para Malaikat akan mendoakan mereka. Selain itu,
ibadah sahur juga merupakan ibadah yang membezakan puasa orang Islam dengan
puasa orang lain. Ini seperti yang telah dinyatakan oleh baginda Nabi SAW dalam
sebuah hadith riwayat Muslim, sabda Nabi SAW yang bermaksud :
"Perbezaan antara puasa kita (umat Islam) dan puasa ahli kitab
terletak pada makan sahur"
Seterusnya, golongan yang rugi di bulan Ramadan juga adalah mereka
yang melakukan solat tarawih tidak bersama imam sehingga solat witir. Ini
kerana, terdapat ganjaran dan kelebihan bagi sesiapa yang mendirikan solat
tarawih bersama imam hingga ke akhirnya, yakni solat witir. Ini berdasarkan
sebuah hadith riwayat al-Tirmizi, daripada Abu Zar al-Ghifari RA, bahawa
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :
“Sesiapa yang berdiri (bersolat tarawih) bersama imam sehingga dia
(imam) beredar (selesai), dituliskan baginya ganjaran orang yang Qiyam
semalaman (seumpama bersolat sepanjang malam)”.
Berdasarkan maksud hadith ini, barangsiapa yang melakukan solat
tarawih secara berjemaah bersama imam, sehinggalah imam selesai solat witir,
maka baginya di sisi Allah, diberikan ganjaran pahala seperti orang yang
mendirikan solat sepanjang malam. Ini juga bermaksud, sesiapa yang solat
bersama imam hingga selesai, baginya pahala seperti solat malam qiammullail.
Betapa beruntungnya bagi mereka yang melazimi solat tarawih bersama imam hingga
selesai solat witir. Selain itu, golongan yang rugi di bulan Ramadan juga ialah
mereka yang melambat-lambatkan berbuka puasa. Perbuatan melambat-lambatkan
berbuka bukanlah tuntutan dalam suruhan agama. Sebaliknya, Islam memerintahkan
agar umatnya bersegera ketika mahu berbuka puasa. Berbanding dengan bersahur,
dianjurkan untuk melewatkan bersahur.
Dalam sebuah hadith riwayat al-Tirmizi, sabda Nabi SAW yang
bermaksud :
"Bagi orang yang berpuasa, dia akan memperolehi dua
kegembiraan. Pertama, kegembiraan ketika dia berbuka puasa dan kedua
kegembiraan ketika dia bertemu Tuhannya".
Dalam kitab Lathaif al-Ma'arif, para ulama mensyarahkan
makna kegembiraan ketika berbuka puasa ialah kerana tabiat dan fitrah manusia
cenderung kepada perkara syahwat daripada makan, minum, jima’ dan sebagainya.
Justeru, apabila ia dilarang pada sesuatu masa kemudian ia dibolehkan semula
selepas daripada itu, maka ia akan menimbulkan kegembiraan apabila dia boleh
kembali melakukannya. Demikian syarahan oleh para ulama. Selain itu, Islam
sangat menuntut untuk bersegera ketika berbuka puasa. Ini kerana ianya akan
berada dalam kebaikan selama mana kita bersegera ketika berbuka puasa. Hal ini
berdasarkan sebuah hadith Nabi SAW riwayat Bukhari dan Muslim, sabda baginda
Nabi yang bermaksud :
“Manusia akan sentiasa berada dalam kebaikan selama mana mereka
menyegerakan berbuka puasa.”
Oleh itu, rugilah bagi mereka yang melambat-lambatkan berbuka puasa
kerana pada bersegera berbuka puasa tersebut adanya kebaikan yang dijanjikan
oleh Allah SWT. Selain itu, tatkala waktu menunggu untuk berbuka puasa pula,
termasuk juga orang yang rugi di bulan Ramdan ialah mereka yang tidak berdoa
kepada Allah SWT. Ini kerana pada waktu dan ketika itu merupakan waktu yang
mustajab untuk kita berdoa. Hal ini merujuk kepada sebuah hadith riwayat Ibnu
Majah, daripada Abdullah bin 'Amr RA berkata bahawa Nabi SAW bersabda yang
bermaksud :
“Sesungguhnya bagi orang yang berpuasa itu ketika dia berbuka doa
yang tidak akan ditolak”.
Alangkah ruginya bagi mereka yang berpuasa diketika menunggu waktu
untuk berbuka namun diisi dengan perkara yang sia-sia sehingga tanpa sedar,
mereka telahpun terlepas waktu yang mustajab untuk berdoa. Akhir sekali,
termasuk golongan yang rugi di bulan Ramadan juga ialah mereka yang melebih-lebihkan
ibadah sunat atau lebih mengutamakan solat tarawih berbanding menjaga solat
fardhu. Ini bukanlah bermaksud tidak perlu melakukan solat tarawih. Pun begitu,
keutamaan yang lebih besar dan penting ialah dengan memelihara ibadah wajib
seperti solat fardhu. Oleh kerana itu, kita perlu sentiasa bijak dalam membuat
perancangan beribadah. Janganlah sehingga kita mengabaikan perkara yang lebih
wajib. Hal ini juga supaya kita tidak sekadar menjadi hamba kepada Ramadan
sahaja. Demikianlah beberapa golongan manusia yang rugi di bulan ramadan.
Semoga Allah merahmati kita semua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan