Kehidupan dalam berumahtangga umpama kita melayari lautan yang luas
di dalam sebuah bahtera yang diketuai oleh seorang nakhoda. Dalam pelayaran
membelah lautan tersebut, kadang ombak memukul-mukul, ada ketikanya angin
menghembus deras dan ada waktunya ribut melepaskan amarahnya. Demikian juga
dalam suasana hidup berumahtangga. Tidak selalunya manis belaka. Kadang yang
pahit datang menyapa menguji kerukunan berkasih sayang dalam berumahtangga.
Pokok pentingnya ialah, sesebuah perkahwinan di dalam Islam adalah terbina
diatas tujuan mencapai ketenangan, kebahagiaan dan saling berkasih sayang.
Firman Allah SWT dalam surah al-Rum ayat 21 yang bermaksud :
"Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan
rahmat-Nya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri
dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya,
dan dijadikan-Nya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas
kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang
menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir"
Pun begitu, sekiranya sudah tiada lagi perasaan tersebut dan gagal
untuk meraihnya dalam berumahtangga, maka Islam telah memberikan jalan keluar
untuk membubarkan perkahwinan dengan cara yang baik. Ini sepertimana firman
Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 231 yang bermaksud :
"Dan apabila kamu menceraikan isteri-isteri (kamu) kemudian
mereka (hampir) habis tempoh idahnya maka bolehlah kamu pegang mereka (rujuk)
dengan cara yang baik atau lepaskan mereka dengan cara yang baik..."
Berdasarkan keterangan ayat ini, Allah SWT yang lebih mengetahui
dan memahami para hamba Nya telah memberikan peruntukkan khas untuk keluar
daripada kemelut permasalahan rumahtangga ini dengan proses penceraian melalui
melafazkan talak oleh para suami. Sesungguhnya Allah SWT dengan sifat Nya yang
Maha Mengetahui lagi Maha Adil, telah memberikan peruntukkan mutlak penceraian
ini kepada si suami. Ini bermaksud, kuasa dan hak untuk melafazkan cerai
tertakluk dibawah hak seorang suami. Hal ini bersesuaian dengan firman Allah
SWT yang telah memberikan kedudukan darjat para suami lebih tinggi berbanding
kedudukan seorang isteri. Lihatlah firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat
228 yang bermaksud :
"Dan isteri-isteri itu mempunyai hak yang sama seperti
kewajipan yang ditanggung oleh mereka (terhadap suami) dengan cara yang
sepatutnya (dan tidak dilarang oleh syarak); dalam pada itu orang-orang lelaki
(suami-suami itu) mempunyai satu darjat kelebihan atas orang-orang perempuan
(isterinya). Dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana".
Namun begitu, dengan sifat kasih sayang Allah jua, para isteri
diberikan ruang dan hak untuk menuntut penceraian dengan alasan yang munasabah
pada sisi syarak melalui proses fasakh dan khuluk. Perkataan "Fasakh"
adalah merujuk kepada maksud jalan keluar daripada pernikahan apabila terdapat
aib-aib yang telah ditentukan syarak dan dapat memberi kesan kepada tujuan
perkahwinan. Manakala perkataan "Khuluk" pula dari
sudut bahasa membawa maksud menacbut atau melepaskan. Dari sudut istilah pula,
khuluk merujuk kepada maksud perpisahan antara suami dan isteri dengan sesuatu
gantian yang diberikan oleh isteri kepada suami dengan lafaz talak khuluk.
Dalam bahasa mudah, ungkapan khuluk merujuk kepada makna tebus talak.
Dalam bab pembubaran perkahwinan, meskipun kuasa mutlak penceraian
adalah dibawah kuasa dan hak seorang suami, namun pada keadaan dan situasi yang
tertentu, para isteri yang merasai dirinya dianayai, dizalimi atau tidak lagi
merasai kebahagiaan dan ketenangan berumahtangga atau apa jua alasan yang
munasabah untuk berpisah pada pandangan syarak, para isteri diberikan ruang
untuk mengadu kepada hakim bagi melakukan proses tuntutan pembubaran perkahwinan
melalui fasakh atau khuluk. Proses fasakh hanya boleh dilakukan oleh pihak
berkuasa sahaja seperti hakim apabila tuntutan yang dikemukakan tersebut selari
dengan kehendak syarak. Sebagai contoh, seorang isteri boleh membuat tuntutan
fasakh disebabkan kerana tidak tahan dengan sikap ganas suami terhadapnya.
Keadaan ini telah menyebabkan jiwanya tidak terasa tenang dan dibimbangi akan
membawa ancaman yang lebih besar.
Demikian juga dalam keadaan lain yang sehingga boleh membawa kepada
ketidak ketenteraman dalam rumahtangga seperti si suami melakukan pengabaian
nafkah sama ada nafkah berbentuk zahir atau batin, atau si suami kehilangan
upaya untuk melakukan tugas sebagai seorang suami, maka pada keadaan tersebut
agama memberikan ruang kepada para isteri bagi melakukan tuntutan fasakh.
Lebih-lebih lagi apabila kemelut rumahtangga yang dihadapi oleh si isteri
tersebut akan melibatkan soal nyawa hidup dan mati dirinya, maka fasakah adalah
jalan keluarnya. Dalam hal ini, Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis yang telah
bersidang 28 - 29 Mac 2019, telah menyebutkan bahwa seorang isteri adalah
berhak menuntut talak disebabkan ancaman merokok. Ini menjelaskan kepada kita
bahwa agama Islam tidaklah turun dengan menindas mana-mana gender jantina.
Selain itu, khuluk juga antara peruntukkan yang diberikan oleh
Allah kepada para isteri untuk tuntutan talak. Khuluk seperti yang kita fahami,
ianya merupakan suatu pemberian tebus talak yang diberikan oleh isteri kepada
suaminya bagi tujuan berpisah. Keadaan ini kita dapat fahami lagi dengan kita
melihat dalam sebuah hadith riwayat Bukhari, daripada Ibnu Abbas RA, isteri
Thabit bin Qais menyatakan :
“Wahai Rasulullah, Thabit bin Qais, tidak aku mencela akhlak dan
agamanya. Akan tetapi aku tidak mahu menderhakainya." Jawab Rasulullah
SAW: "apakah kamu akan kembalikan kebun yang dia berikan kepadamu sebagai
mahar dahulu?" Jawabnya: "Ya." Sabda Rasul SAW kepada Thabit
(suaminya): "terimalah semula kebun mu itu, dan talakkan dia satu
talak."
Berdasarkan hadith ini, jelas kepada kita bahawa antara sebab yang
mengharuskan khuluk adalah apabila pasangan suami isteri atau salah seorang
daripadanya bimbang tidak dapat menegakkan batasan-batasan Allah SWT dalam
melaksanakan tanggungjawab yang berkaitan perkahwinan. Alasan ini juga
sepertimana yang telah dijelaskan oleh Allah SWT dalam al-Quran, menerusi surah
al-Baqarah ayat 229, firman Nya yang bermaksud :
"Dan tidaklah halal bagi kamu mengambil balik sesuatu dari apa
yang telah kamu berikan kepada mereka (isteri-isteri yang diceraikan itu)
kecuali jika keduanya (suami isteri takut tidak dapat menegakkan aturan-aturan
hukum Allah. Oleh itu kalau kamu khuatir bahawa kedua-duanya tidak dapat
menegakkan aturan-aturan hukum Allah, maka tidaklah mereka berdosa - mengenai bayaran
(tebus talak) yang diberikan oleh isteri untuk menebus dirinya (dan mengenai
pengambilan suami akan bayaran itu)..."
Demikianlah secara ringkas yang dapat kita fahami secara asasnya
berhubung ruang dan hak yang diberikan oleh Allah SWT kepada kaum isteri yang
merasai dirinya dizalimi, tidak diperlakukan dengan adil, terasa diancam dan
sebagainya. Agama Islam merupakan agama fitrah yang meraikan setiap naluri diri
manusia. Tidaklah Allah menurunkan sesuatu syariat atau titah perintah Nya
dengan tujuan menzalimi dan menindas para hamba Nya melainkan disana terdapat
seribu satu macam hikmah yang menuntut para manusia berfikir akan tentangnya.
Sudah semestinya, hidup berumahtangga adalah medan ujian bagi mengukur kekuatan
iman. Oleh itu, berpeganglah pada titah perintah Allah nescaya hidup akan
selamat dunia dan akhirat. Semoga Allah mengampuni kita semua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan