Sabtu, 30 April 2022

AIDILFITRI ; SYIAR KEMENANGAN YANG MENUNTUT KEGEMBIRAAN & KESYUKURAN

 

Hari raya merupakan hari yang sangat istimewa bagi kita semua. Tanpa mengira apa jua status dan kedudukan insan, hari perayaan adalah sesuatu yang menimbulkan rasa gembira dan bersyukur diatas segala nikmat yang dikecapi. Dalam Islam, terdapat 2 hari raya yang dikurniakan oleh Allah Azza Wa Jalla iaitu hari raya aidilfitri dan aidil adha. Hal ini sepertimana yang terdapat di dalam sebuah hadith riwayat Abu Daud, sabda Nabi SAW yang bermaksud :

"Sesungguhnya Allah telah menggantikan untuk kamu dua hari yang lebih baik dari dua hari (yang kamu sambut) itu iaitu ; hari raya adha dan hari raya fitri"

Hadith ini adalah rentetan daripada kisah perjalanan panjang Nabi SAW ke Madinah. Sejurus baginda Nabi tiba di Madinah, penduduk Madinah telah pun ada dua hari kebesaran. Mereka menyambutnya dengan mengadakan permainan. Lalu baginda bertanya akan dua hari kebesaran tersebut. Setelah itu, maka terungkaplah hadith ini bagi menyatakan Allah mengurniakan dua hari kebesaran umat Islam yang lebih baik dari dua hari yang disambut oleh penduduk Madinah tersebut.




Hari raya Aidilfitri yang saban tahun disambut oleh umat Islam merupakan hari kita membesarkan Allah SWT. Bahkan, hari raya ini juga membawa simbolik kesyukuran diatas kemenangan kita berpuasa sebulan, berlawan dengan nafsu dengan bersungguh-sungguh mengerjakan amal soleh. Firman Allah Azza Wa Jalla dalam surah al Baqarah ayat 185, Allah SWT berfirman yang bermaksud :

".... Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjuk Nya, dan supaya kamu bersyukur".

Namun begitu, suasana agak berbeza dengan cara sambutan hari raya di Malaysia. Seringkali hari raya aidilfitri dihidangkan dengan lagu-lagu yang sedih, iklan raya yang menyentuh hati dan sebagainya. Malah, seringkali kita mendengar laungan takbir raya di corong-corong radio dan televiseyn, juga di masjid dan surau, mendayu-dayu penuh kesyahduan dan kesedihan. Sebaliknya, laungan takbir di kebanyakan dunia Islam sangat bersemangat bagi menunjukkan rasa kegembiraan menyambut kemenangan 1 Syawal.

Hari raya aidilfitri bukanlah hari untuk kita menzahirkan kesedihan dan kepiluan, tetapi sebaliknya, hari raya adalah hari untuk kita menzahirkan rasa kegembiraan dan kesyukuran, juga menunjukkan semangat perpaduan umat Islam. Bagi menzahirkan kegembiraan syiar kemenangan 1 Syawal ini, baginda Nabi SAW telah memerintahkan para wanita haid untuk turut keluar ke masjid sambil melaungkan takbir membesarkan Allah. Ini sepertimana dalam sebuah hadith riwayat Bukhari, kata Ummu Atiyyah :

"Kami (kaum wanita) diperintahkan (oleh Rasulullah SAW) agar membawa keluar wanita haid pada hari raya fitri dan adha ; termasuk juga para gadis agar menyertai perhimpunan dan seruan kaum muslimin. Adapun mereka yang haid menjauhi tempat solat (tidak solat)".

Hadith ini hendak menunjukkan pada kita bahawasanya hari kemenangan umat Islam adalah suatu hari yang sangat mulia dan ianya mesti dizahirkan dengan kegembiraan dan kesyukuran. Diseru para wanita yang haid turut sertai perhimpunan umat Islam melaungkan takbir dan mendengar khutbah. Suasana ini secara tidak langsung menggambarkan pada kita peri pentingnya kita meraikan hari kebesaran ini.




Oleh yang demikian, bagi memberikan ruang untuk para wanita haid juga untuk turut sertai perhimpunan umat Islam di hari yang mulia ini, Nabi SAW telah bersolat hari raya di tempat lapang. Meskipun masjid Nabi merupakan tempat yang sangat mulia dan suci, namun Nabi SAW tidak solat di masjid. Hal ini adalah bagi melahirkan suasana gembira dan melambangkan kesatuan umat Islam termasuk wanita yang haid. Dalam sebuah hadith riwayat Bukhari dan Muslim, telah berkata Abu Sa'id al Khudri yang bermaksud :

"Rasulullah SAW itu pada hari raya Fitri dan Adha keluar ke musolla. Perkara pertama yang dilakukannya adalah solat".

Ketika membahaskan tentang hadith ini, Imam Ibnu Hajar al Asqalani dalam Fath al Bari telah berkata :

" Musolla itu tempatnya diketahui di Madinah, di mana antaranya dan masjid sejauh seribu hasta".

Begitu juga Imam al Nawawi dalam Syarh Sahih Muslim, ketika membahaskan tentang hadith ini berkata :

"Hadith ini menjadi dalil untuk mereka yang berpendapat disunatkan keluar bersolat hari raya di musolla. Ia lebih afdhal daripada ditunaikan di masjid. Inilah amalan orang ramai di pelbagai negara. Ada pun orang Makkah, mereka sejak dahulu bersolat di masjid (Masjid al Haram)".

Untuk menzahirkan kegembiraan di hari raya, Islam mengharuskan untuk kita berhibur berlandaskan syarak. Keharusan berhibur di hari raya bagi menzahirkan rasa gembira adalah berdasarkan sebuah hadith riwayat Bukhari dan Muslim daripada Ummul Mukminin Aishah RA, Abu Bakar telah memasuki rumah anaknya Aishah RA dan Nabi SAW berada di sisinya. Tatkala itu, terdapat dua orang gadis sedang menyanyi mengenai kebanggaan Ansar. Lalu Abu Bakar berkata : "Suara syaitan" sebanyak 2 kali. Maka Nabi SAW bersabda yang bermaksud :

"(Biarkan mereka) wahai Abu Bakar ! Setiap kaum ada hari raya dan sesungguhnya hari ini adalah hari raya kita"




Oleh itu, adalah tidak menjadi kesalahan untuk kita berhibur di hari raya kerana itulah kehendak yang dituntut pada hari raya. Selagi hiburan tersebut tidak bertentangan dengan syarak, maka hal itu dibolehkan. Sebaliknya, bertentangan dengan itu, bersedih di hari raya bukanlah tuntutan dalam agama. Para Sahabat Nabi SAW apabila bertemu pada hari raya, mereka saling mengucapkan ucapan tahniah dengan lafaz تقبل الله منا و منك (Taqabballah minna wa minka) yang bermaksud " Semoga Allah menerima amalan kami dan kamu ". Selain ucapan tersebut, apa sahaja ucapan lain yang membawa makna yang baik adalah tidak salah selagi mana ucapan tersebut tidak membawa maksud kesedihan.

Selain itu, Aidilfitri juga menjadi lambang kemenangan umat Islam setelah sebulan berpuasa. Ini tidak bermaksud kita sudah selesai atau tamat beribdah kepada Allah, sebaliknya kemenangan ini menjadi bukti bahwa sebenarnya kita semua mampu menjadi hamba Allah yang bertaqwa. Tidak mustahil untuk kita menjadikan bacaan al Quran sebagai rutin harian, juga tidak mustahil untuk kita melazimi solat berjemaah di masjid, kerana sebulan yang lalu kita semua telah membuktikan bahwa kita mampu sebenarnya.

Untuk itu, janganlah kita meraikan kemenangan ini dengan melakukan maksiat dan mungkar. Kita harus ambil peduli soal halal haram ketika bersalaman. Kita juga mesti mengelak daripada melakukan pembaziran. Peliharalah mulut dari bercakap hal keaiban, jagalah lidah dari memfitnah, kerana sebahagian hal demikian telah mengundang kemungkaran kepada Allah SWT. Marilah sama-sama kita menyambut hari raya Aidilfitri ini dengan makna dan tujuan sebenar. Raikan dengan penuh kegembiraan disulami dengan penuh kesyukuran. Semoga Allah mengampuni kita semua.

 

Selasa, 19 April 2022

HAK BUKAN MUSLIM YANG DIJAMIN OLEH ISLAM

 

Sinergi dunia barat sejak dahulu cuba menonjolkan sisi pandang wajah Islam yang buruk dan tidak bertamadun, tidak berupaya menafikan hakikat sebenar intipati dalam ajaran Islam. Biarpun pelbagai slogan dan strategi memburukkan imej Islam dilakukan, namun pada dasarnya tidak sedikit pun dapat mengubah ajaran sebenar Islam yang dibawa dengan makna kerahmatan untuk seluruh alam semesta. Meskipun usaha untuk memburukan Islam tidak pernah sunyi dan terhenti, Islam dalam makna sebenar telah menjamin hak mereka yang bukan Islam terus di pelihara dan dijaga.

Islam dengan membawa rahmat untuk sekalian alam, telah memerintahkan umatnya supaya memberikan perlindungan kepada mereka yang bukan Islam. Adalah menjadi tanggungjawab kepada pemimpin Islam memberi perlindungan kepada mereka yang bukan Islam dan menjamin keamanan mereka. Hal ini sepertimana yang telah difirmankan oleh Allah Azza Wa Jalla menerusi surah al Taubah ayat 6, Allah SWT berfirman yang bermaksud :

"Dan jika seseorang dari kaum musyrik meminta perlindungan kepadamu (untuk memahami Islam), maka berilah perlindungan kepadanya sehingga ia sempat mendengar keterangan-keterangan Allah SWT (tentang hakikat Islam itu), kemudian hantarlah dia kr mana-mana tempat yang ia beroleh aman. Perintah yang tersebut ialah kerana mereka itu kaum yang tidak mengetahui (hakikat Islam)".




Dalam menghakimi sesuatu perkara juga, Allah telah memerintahkan agar kita bersikap adil pada mereka yang bukan Islam ketika mahu menghakimi mereka. Firman Allah SWT dalam surah al Maidah ayat 8 yang bermaksud :

"Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah SWT, lagi menerangkan kebenaran ; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan".

Berdasarkan firman tersebut, Allah SWT dengan sifat Maha Pengasih dan Penyayang telah memerintahkan agar hamba Nya sentiasa bersikap adil dan telus dalam menghakimi sesuatu perkara tanpa mengira status agama dan kaum. Bahkan, Allah SWT dengan penuh ketegasan melarang umat Islam daripada tidak berlaku adil pada seseorang kerana kebencian pada mereka. Dalam makna yang lebih mudah difahami, Allah melarang kita bersikap tidak adil kerana sikap kebencian kita pada mereka. Kerana sikap kebencian tersebut mampu mendorong kita untuk bersikap tidak adil dan telus.

Bagi menjamin hak orang bukan Islam, Allah SWT juga melarang orang Islam untuk memaksa mereka memeluk agama Islam. Walau atas apa nama sekalipun, kita sangat dilarang untuk memaksa mereka yang bukan Islam memeluk agama Islam. Ini sepertimana firman Allah SWT dalam surah al Baqarah ayat 156, Allah SWT berfirman yang bermaksud :

"Tidak ada paksaan dalam agama (Islam), kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur). Oleh itu, sesiapa yang tidak percayakan Taghut, dan ia pula beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada simpulan (tali agama) yang teguh yang tidak akan putus. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui".




Sebagai orang Islam, kita juga dilarang sama sekali mencederakan orang bukan Islam atau membunuhnya. Ini juga termasuk menyakiti dan mendatangkan kebinasaan kepada mereka yang bukan Islam. Hal ini sepertimana yang dinyatakan dalam sebuah hadith riwayat Bukhari, daripada Abdullah bin Amru yang bermaksud :

"Barangsiapa yang membunuh mua'had tidak akan dapat mencium bau syurga, walaupun sesungguhnya syurga itu dapat dihidu dari jarak 40 tahun perjalanan".

Istilah "Mua'had" adalah merujuk kepada makna golongan orang bukan Islam yang berjanji untuk hidup secara aman dan tidak menentang Islam di negara Islam. Betapa besar dan hebatnya ancaman kepada orang Islam yang bersikap ganas dan melampau terhadap mereka sehingga mendatangkan kecederaan dan lebih teruk, membunuh mereka tanpa hak yang dibenarkan oleh Islam.

Dalam sistem hidup bernegara, hak orang bukan Islam di bawah negara umat Islam terus dijamin dan dipelihara sehingga suatu tahap, baginda Nabi SAW sendiri dengan penuh tegas dan berprinsip telah menyatakan bahawa baginda Nabi SAW sendiri akan menjadi pendakwa kepada orang Islam di hari kiamat akibat menipu, menindas dan menzalimi hak orang bukan Islam. Hal ini sepertimana dalam sebuah hadith Nabi SAW, baginda bersabda yang bermaksud :

"Ketahuilah barangsiapa yang menzalimi mua'ahad, mengurangi haknya, memerintahnya melakukan sesuatu diluar kemampuannya atau mengambil sesuatu tanpa kerelaannya maka aku akan menjadi pendakwanya di hari kiamat".




Demikianlah sikap dan pendirian tegas baginda Nabi SAW kepada orang Islam yang menindas dan menzalimi golongan bukan Islam yang tidak memerangi Islam dan hidup aman sentosa. Begitu juga dalam hal berbuat baik kepada jiran sekalipun jiran kita itu adalahereka yang bukan Islam. Berbuat baik dan bersikap kasih sayang sesama manusia adalah tuntutan Islam yang merentasi perbezaan agama dan kaum. Lebih-lebih lagi berbuat baik kepada jiran. Dalam sebuah hadith riwayat Bukhari dan Muslim, Nabi Muhammad SAW telah bersabda yang bermaksud :

"Jibril sentiasa berpesan kepadaku supaya memenuhi hak jiran sehingga aku menyangka bahawa jiran itu akan mewarisi (harta peninggalan) nya".

Hadith ini bersifat umum. Maka dengan itu, Islam sangar menuntut supaya kita berbuat baik kepada jiran tanpa mengira apa agama dan kaumnya. Oleh yang demikian, bagi orang bukan Islam tidak perlu bimbang dan takut jika berjiran dengan orang Islam kerana padanya ada hak berjiran yang perlu dilakukan oleh orang Islam. Berbuat baik kepada jiran termasuklah amalan ziarah-menziarahi, bertegur sapa dan mengambil peduli jiran.

Demikianlah beberapa hak orang bukan Islam yang dijamin oleh Islam. Setelah melihat akan semua hak ini, bagaimana lagi boleh kita katakan Islam agama ganas dan suka berperang ? Barangkali ada segelintir umat Islam yang suka bersikap bengis dan rasis kepada orang bukan Islam, namun hal yang demikianlah bukanlah intipati sebenar ajaran Islam. Apa yang benar adalah apa yang diajarkan oleh Islam. Maka apa yang kita lihat dan dengar tentang Islam, seharusnya disemak semula dengan intipati sebenar ajaran Islam. Semoga Allah mengampuni kita semua.

Khamis, 14 April 2022

BUDAYA BURUK BERMAIN MERCUN PADA KACAMATA ISLAM

 

Telah menjadi adat dan tradisi sejak zaman dahulu lagi, apabila menjelang ketibaan hari perayaan kaum dan agama di Malaysia, acapkali kita mendengar dentuman bunyi mercun sana-sini gegak gempita bagai berada di medan pertempuran. Biarpun zaman berubah selari dengan kemajuan dunia global, budaya bermain mercun sudah sebati sebagai hiburan di dalam jiwa sebahagian kecil masyarakat kita tanpa mengira usia dan kaum.

Islam adalah suatu agama yang tidak menyekat fitrah penganutnya untuk berhibur menzahirkan rasa gembira dan seronok dalam menyambut sesuatu perkara. Tambahan pula, umat Islam sememangnya disyariatkan untuk bergembira pada dua hari raya iaitu Aidil fitri dan Aidil adha. Pun begitu, Dr. Yusuf al Qaradhawi dalam kitabnya al Halal Wa al Haram Fi al Islam, telah menghuraikan dengan panjang lebar mengenai hiburan dalam Islam dengan menggariskan batasan syarak diatas maslahah (kebaikan) umum dan mengelak mafsadah (kerosakan) daripada berlaku.




Umum mengetahui bahawa mercun yang merupakan bahan letupan yang boleh mengundang kepada bahaya dan kebinasaan. Tanpa perlu kita lihat pun, mendengar bunyi nya sahaja pun boleh mengejutkan anak kecil yang sedang tidur. Apatah lagi bagi mereka yang bermain mercun, lebih-lebih lagi berisiko mengundang bahaya. Firman Allah Azza Wa Jalla dalam surah al Baqarah ayat 195 yang bermaksud :

"Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan"

Berdasarkan ayat tersebut, tidaklah sukar untuk kita memahami bahawa agama telah melarang kita daripada melakukan perbuatan yang boleh menjuruskan diri ke lembah bahaya dan kebinasaan. Termasuk dalam hal ini adalah dengan bermain mercun. Perbuatan bermain mercun adalah sangat bahaya bukan sahaja pada diri sendiri bahkan boleh mengundang bahaya kepada jiran tetangga dan komuniti masyarakat sekeliling. Lebih besar daripada itu, boleh menyebabkan kebakaran akibat kecuaian bermain mercun.

Dalam sebuah hadith riwayat Imam Ahmad dan Ibnu Majah, sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud :

"Tidak ada kemudaratan dan tidak boleh membuat kemudaratan"

Secara tidak langsung, budaya bermain mercun ini mengundang bahaya dan boleh memberikan mudarat kepada diri dan orang lain, dan hal itu ditegah dan dilarang oleh Islam. Kita barangkali tidak berasa "berdosa" bermain mercun membuat bising sana-sini, tetapi sedarkah kita bahawa junjungan besar Nabi kita Muhammad SAW sangat melarang umatnya membuat kemudaratan. Andai pun kita tidak takut dengan undang-undang negara namun patuhilah larangan ini yang disebutkan oleh insan yang paling agung dan yang kita semua muliakan.




Pada masa sama, dalam keadaan tidak sedar, budaya bermain mercun ini juga telah membawa kita kepada pembaziran wang dan masa. Tidak keterlaluan untuk kita katakan mereka yang membeli mercun merbahaya umpama membakar wang ringgit mereka sendiri. Ini kerana perbuatan bermain mercun tersebut tidaklah sedikit pun memberikan manfaat bahkan mengundang mudarat pula. Ingatlah kita akan firman Allah SWT dalam surah al Isra' ayat 27 yang bermaksud :

"Dan janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros yang melampau. Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara-saudara Syaitan"

Dalam Tafsir Ibn Kathir, Ibn Mas'ud RA dan juga Ibn Abbas RA telah berkata :

"Tabzir atau pembaziran adalah membelanjakan (infaq) sesuatu bukan pada jalan yang sebenar. Imam Qatadah pula berpandangan yang dinamakan pembaziran adalah mengeluarkan nafkah dalam bentuk maksiat kepada Allah, pada jalan yang salah dan pada jalan untuk berbuat kerosakan"

Kita juga perlu ingat akan sebuah hadith sahih riwayat Bukhari dan Muslim, baginda Nabi SAW telah bersabda yang bermaksud :

"Sesungguhnya Allah mengharamkan keatas kamu menderhaka ibubapa, membunuh anak perempuan, menegah daripada banyak karenah, benci bercakap yang bukan-bukan dan banyak soal serta membazir harta"

Berdasarkan pemahaman firman Allah dan hadith tersebut, Islam sangat melarang keras dan menegah dengan ketegasan pada umatnya supaya kita tidak melakukan pembaziran dalam kehidupan. Termasuk dalam hal ini adala membuat pembaziran dengan membelanjakan wang ringgit untuk membeli mercun, langsung tidak memberi faedah dan manfaat walaupun pada sekecil-kecil kebaikan. Kita juga boleh memahami bahawa budaya membazir bukanlah suatu kesalahan yang kecil dan remeh. Ini kerana, mereka yang melakukan perbuatan membazir itu diiktiraf oleh Allah SWT sebagai saudara syaitan. Seburuk-buruk dan sehina-hina teman adalah bersaudara dengan syaitan.




Akibat budaya bermain mercun juga akan menganggu gugat ketenteraman dan keharmonian hidup berjiran. Bunyian dentuman mercun gegak gempita ini kadang kala mengejutkan anak-anak kecil yang sedang enak tidur. Ada kalanya juga menganggu gugat kerehatan jiran ketika berada di rumah. Hal ini tidaklah baik dan berdosa diatas perbuatan tersebut. Dalam sebuah hadith riwayat Bukhari dan Muslim, baginda Nabi SAW bersabda yang bermaksud :

"Barangsiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata baik atau diam. Barangsiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia memuliakan jiran tetangganya. Barangsiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia memuliakan tetamunya".

Islam mewajibkan kita untuk memuliakan jiran tetangga dengan tidak menganggu dan melakukan perkara-perkara yang boleh menggugat ketenteraman dan keharmonian hidup berjiran. Seandainya kita berada dalam keadaan jiran mengganggu kita, sudah pasti kita tidak selesa dan suka dengan keadaan itu. Demikian juga kita perlu berwaspada dan menjaga tingkah laku kita agar tidak melakukan perkara yang sedemikian.

Sifat orang muslim itu, hendaklah tidak melakukan perkara yang boleh mengundang kemarahan dan kesakitan kepada saudara semuslimnya. Malah, perkataan "Islam" itu sendiri membawa makna sejahtera, aman dan damai. Maka logikkah kita membudayakan bermain mercun berbahaya sedangkan sifat orang Islam itu sendiri mesti bersifat selamat dan sejahtera. Selamatkah kita dengan perbuatan bermain mercun tersebut.

Dalam sebuah hadith riwayat Bukhari dan Muslim, baginda Nabi SAW bersabda yang bermaksud :

"Orang Islam itu adalah orang Islam yang lain selamat dari lidahnya dan tangannya".

Ibnu Battal RA dalam Syarah Sahih al Bukhari, ketika menghuraikan hadith ini menyatakan bahawa :

"Maksud dengan hadith ini adalah dorongan agar seorang Islam tidak menyakiti orang Islam yang lain dengan lisan, tangan dan seluruh bentuk yang membawa kepada menyakiti orang lain"

Demikianlah beberapa sudut pandang Islam berkenaan budaya buruk dan tidak bertamadun ini, bermain mercun membakar wang ringgit, menggangu kejiranan dan yang lebih teruk melakukan perbuatan membazir yang dianggap sebagai saudara syaitan. Seharusnya para ibubapa hendaklah mendidik anak-anak agar tidak bermain mercun berbahaya ini yang padanya tiada langsung kebaikan. Para pemimpin masyarakat juga seharusnya memainkan peranan penting bagi memastikan hak kejiranan rukun tetangga terjaga dan terpelihara. Semoga Allah ampuni kita semua.

Selasa, 12 April 2022

BADAR AL KUBRA : PEPERANGAN TERHEBAT & AHLINYA YANG TERHORMAT

 

Sejarah telah mencatatkan pada tanggal 17 Ramadan tahun kedua hijrah, tercetusnya sebuah peperangan pertama dalam Islam yang disebutkan sebagai Perang Badar al Kubra. Peperangan ini dinamakan sebagai Badar kerana tempat berlakunya perang tersebut di sebuah lembah bernama Badar. Kedudukan Badar agak strategik kerana terletak antara Makkah dan Madinah.

Dalam catatan sirah, seperti yang telah dinukilkan oleh Syeikh Safiyyurrahman al Mubarakfuri dalam kitabnya ar-Rahiq al-Makhtum, pada asalnya tentera Islam bukanlah mempunyai tujuan untuk mencetuskan peperangan. Sebaliknya, tujuan sebenar tentera Islam adalah untuk memintas rombongan pemimpin Makkah bersama Abu Sufyan dalam perjalanan pulang dari Syam. Tindakan ini dibuat bertujuan untuk melumpuhkan bekalan musuh yang berpangkalan di Makkah.




Namun dengan takdir Allah, tentera Islam telah berhadapan dengan tentera musuh yang datangnya dari Makkah dan jumlah mereka sangat besar dan melebihi jumlah tentera Islam. Bahkan, dalam catatan sejarah juga, Abu Jahal telah memaksa Bani Hashim untuk turut turun berperang menentang Nabi Muhammad SAW. Oleh kerana itu, tentera Islam bukan sahaja berdepan dengan musuh mereka bahkan turut mereka berdepan adalah dari ahli keluarga mereka di Makkah.

Peperangan ini telah menyaksikan jumlah tentera Islam lebih kecil berbanding jumlah tentera kaum musyrikin Quraisy. Disebutkan oleh Syeikh Safiyurrahman al Mubarakfuri, jumlah tentera Islam adalah seramai 300 dan beberapa belas orang sahabat yang terdiri daripada 82 atau 83 atau 86 orang-orang kaum Muhajirin, 61 orang-orang kaum Aus dan 170 orang-orang kaum Khazraj. Dengan kekuatan 2 ekor kuda milik Zubair al Awwam dan Miqdad al Aswad, juga 70 ekor unta yang ditunggangi secara bergilir-gilir bagi berdepan dengan pihak musuh.

Kekuatan tentera musyrikin Quraisy pula menyaksikan seramai 1300 orang askar pada peringkat permulaan. Dengan kekuatan sokongan sebanyak 100 ekor kuda dan 600 perisai digunakan dalam peperangan tersebut. Pasukan tentera ini diketuai oleh Abu Jahal bim Hisham. Peperangan ini juga menyaksikan penglibatan para malaikat membantu tentera Islam dan Iblis bagi memberi semangat kepada tentera kaum musyrikin Quraisy.

Meskipun jumlah tentera musuh lebih ramai berbanding tentera Islam, dengan bantuan dan pertolongan Nya, tentera Islam memperolehi kemenangan yang sangat hebat. Sebanyak 70 orang tentera musyrikin Quraisy terbunuh manakala 70 orang lagi telah ditawan. Baki yang lain telah melarikan diri dari medan peperangan. Pertempuran yang penuh dramatik yang berlaku pada bulan Ramadan ini membuktikan kepada kita bahawa pertolongan Allah itu benar dan sentiasa ada bersama orang-orang beriman.

Firman Allah SWT dalam surah Ali Imran ayat 123 yang bermaksud :

"Sesungguhnya Allah menolong kamu dalam Perang Badar, sedangkan pada masa itu kamu orang yang lemah. Kerana itu bertaqwalah kepada Allah, supaya kamu mensyukuri Nya"

Imam Ibn Katsir ketika menjelaskan ayat ini, beliau menyatakan bahawa :

"Ketika saat terjadi Perang Badar yang bertepatan pada hari Jumaat tanggal 17 Ramadan tahun 2 Hijrah. Pada hari itu juga disebutkan (yaumul furqan) iaitu yang bermaksud hari pembezaan antara hak dan batil. Pada hari itu Allah Azza Wa Jalla memuliakan Islam dan kaum muslimin serta menghancurkan kesyirikan dan pendokongnya, padahal jumlah kaum muslimin yang turut berperang ketika itu sangat sedikit"




Kemuliaan yang dikurniakan oleh Allah kepada ahli Badar juga dapat kita lihat menerusi sebuah hadith Nabi SAW riwayat Bukhari, daripada Rifa'ah, salah seorang sahabat Nabi yang turut sertai dalam peperangan Badar, beliau menyatakan bahawa Jibril AS mendatangi Nabi SAW dan bertanya :

"Bagaimana kalian memandang orang-orang yang ikut serta dalam perang Badar ?, Rasulullah SAW menjawab : "Mereka termasuk kaum muslimin yang terbaik. " Jibril AS mengatakan : "Begitu juga para malaikat yang sertai dalam Perang Badar"

Syeikh Safiyurrahman al-Mubarakfuri dalam kitabnya al-Rahiq al-Makhtum menyebut :

"Hatib bin Abi Balta’ah menulis perutusan kepada Quraisy untuk mengkhabarkan kepada mereka tentang perjalanan Rasulullah SAW. Diberikan perutusan itu kepada seorang wanita dan wanita itu menyelitkan perutusan tersebut dalam gulungan rambutnya. Dia pergi menuju kepada kaum Quraisy. Kemudian, telah sampai kepada Rasulullah SAW berita dari langit yang memberitahu tentang apa yang dilakukan oleh Hatib. Maka Rasulullah SAW lalu mengutus Ali RA dan Miqdad RA dengan berkata: “Pergilah kamu sehingga sampai di Raudhah Khakh. Di sana ada seorang wanita yang membawa sepucuk perutusan kepada Quraisy.”

Maka kedua-duanya pergi dengan memacu kuda dengan pantas sehingga bertemu dengan wanita tersebut di tempat itu. Kedua-duanya terus menghampiri wanita itu dan bertanya: “Apakah engkau membawa perutusan?” Wanita itu menjawab, “Aku tidak membawa perutusan.” Kemudian mereka berdua memeriksa haiwan tunggangan wanita tersebut dan tidak menemui apa-apa.

Lalu Ali berkata kepada wanita itu, “Aku bersumpah atas nama Allah SWT, Rasulullah SAW tidak pernah berdusta. Demi Allah SWT, engkau keluarkan perutusan itu atau kami akan menelanjangkan engkau.” Melihat kesungguhan yang dipamerkan oleh Ali, wanita itu menjawab: “Aku akan keluarkan. Aku akan keluarkan.” Wanita itu lalu menguraikan gulungan rambutnya dan mengeluarkan perutusan tersebut. Dia menyerahkan perutusan itu kepada Ali RA dan Miqdad RA.




Kedua-dua mereka lantas membawa perutusan tersebut kepada Rasulullah SAW. Setelah dibuka, didapati di dalamnya tertulis: “Daripada Hatib bin Abi Balta’ah kepada Quraisy.” Di dalamnya, Hatib memberitahu berkenaan pergerakan Rasulullah SAW. Maka Rasulullah SAW lalu memanggil Hatib dan bertanya: “Apakah ini Hatib?” Hatib menjawab: “Jangan hukum aku wahai Rasulullah. Demi Allah, sesungguhnya aku ini beriman kepada Allah SWT dan Rasul-Nya. Aku tidak murtad dan tidak pula menukar agamaku. Hanya aku seorang sahaja anak pertama yang membesar di tengah Quraisy. Sebenarnya aku bukanlah saudara mereka, tetapi mereka sudi melayanku sebagai keluarga, saudara dan anak mereka. Aku mempunyai saudara yang boleh melindungi mereka. Sedangkan orang-orang yang bersamamu adalah saudara mereka, yang sebetulnya boleh melindungi mereka. Disebabkan itulah aku ingin melakukan apa yang boleh aku lakukan untuk melindungi mereka.”

Umar bin al-Khattab RA lalu berkata: “Biarkan aku wahai Rasulullah. Aku akan pancung lehernya. Sesungguhnya dia telah mengkhianati Allah SWT dan Rasul-Nya. Dia seorang munafik.”

Rasulullah SAW menjawab:

“Sesungguhnya dia adalah termasuk orang yang ikut serta dalam perang Badar. Apakah engkau mengetahui, bahawa Allah SWT telah melihat (ke dalam hati) orang-orang yang ikut serta dalam Perang Badar, lalu Dia berfirman: “Lakukanlah apa yang kamu kehendaki, sungguh Aku telah mengampuni kalian.”

Kedua-dua mata Umar RA terus menitiskan air mata. Lantas dia berkata: “Allah SWT dan Rasul-Nya lebih mengetahui”

Demikianlah Allah SWT mengaburi setiap mata, sehingga berita persiapan dan keberangkatan tentera Islam untuk berperang tidak diketahui oleh Quraisy."

Mengamati kisah peperangan dan kemuliaan bagi mereka yang menyertainya, membuatkan kita lebih termotivasi dan terinspirasi dengan kisah peperangan agung ini. Oleh itu, dengan mengambil semangat perang Badar al Kubra ini, mudah-mudahan kita berjaya mengharungi tarbiah Ramadan ini dengan penuh ketaqwaan. Semoga Allah mengampuni kita semua.

Ahad, 10 April 2022

NUZUL AL QURAN : PERISTIWA BERSEJARAH DI BULAN RAMADAN

 

Salah satu kemuliaan yang ada pada bulan Ramadan adalah berlakunya peristiwa Nuzul al Quran yang membawa maksud penurunan al Quran. Hal ini sepertimana yang terkandung di dalam firman Allah SWT melalui surah al Baqarah ayat 186 yang bermaksud :

"(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan al Quran menjadi pentunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan di antara yang benar dan yang salah"

Perkataan Nuzul al Quran berasal dari bahasa arab yang terdiri daripada 2 perkataan, yaitu perkataan "Nuzul" (نزول) dan "al Quran" (القرأن). Perkataan "Nuzul" membawa maksud menetap di suatu tempat atau turun dari tempat yang tinggi manakala perkataan "al Quran" pula merujuk kepada maksud kitab yang diturunkan Allah secara berperingkat kepada Nabi SAW melalui malaikat Jibril, yang bersifat mukjizat di mana mendapat pahala jika dibacanya yang terangkum dari awal surah Fatihah hingga akhir surah al Nas.





Penurunan al Quran terbahagi kepada dua tahap utama. Tahap pertama, al Quran itu diturunkan dari Lauh Mahfuz ke langit dunia di Baitul Izzah. Tahap kedua, al Quran diturunkan dari Baitul Izzah kepada baginda Nabi SAW secara beransur-ansur dalam tempoh 23 tahun. Firman Allah SWT dalam surah al Buruj ayat 21 dan 22 yang bermaksud :

"(Sebenarnya apa yang Engkau sampaikan kepada mereka bukanlah syair atau sihir), bahkan ialah al Quran yang tertinggi kemuliaanya ; (lagi yang terpelihara dengan sebaik-baiknya) pada Luh Mahfuz"

Berdasarkan firman ini, kita fahami bahawa al Quran yang sebelum diturunkan itu sangat terpelihara kesucian dan keasliannya yang diberada di Luh Mahfuz, dibawah peliharaan Allah. Kemudian dari Luh Mahfuz, diturunkan ke langit dunia Baitul Izzah, yang kemudiannya diturunkan kepada baginda Nabi SAW secara berperingkat selama tempoh 23 tahun. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT dalam surah al Qadr ayat 1 yang bermaksud :

"Sesungguhnya Kami telah menurunkan (al Quran) ini pada malam Lailatul Qadar"

Para sarjana Islam berbeza pandangan dalam soal menentukan tarikh bilakah diturunkan al Quran. Pendapat yang sangat masyhur, adalah pada 17 Ramadan. Pendapat ini dipegang kuat oleh ulama sirah seperti Syaikh al Khudhari. Pendapat ini juga berdasarkan kepada satu riwayat daripada al Waqidi menerusi Abu Ja'far yang mengatakan bahawa (penurunan) wahyu kepada Nabi SAW bermula pada hari Isnin, 17 Ramadan (dan dikatakan pada 24 Ramadan). Riwayat ini seperti yang telah dinyatakan oleh al Hafiz Ibn Kathir dalam kitab al Bidayah wa al Nihayah yang bermaksud :

"Al Waqidi meriwayatkan dengan sanadnya daripada Abu Ja'far al Baqir bahawa dia berkata : Permulaan wahyu kepada Rasulullah SAW adalah pada hari Isnin 17 Ramadan, dan dikatakan juga pada 24 Ramadan"




Ada pula yang berpendapat penurunan al Quran diturunkan pada 7 Ramadan dan 18 Ramadan. Kedua-dua pendapat ini seperti yang telah dinukilkan oleh Syeikh Safiyyur Rahman al Mubarakfuri dalam kitab sirahnya ar Rahiq al Makhtum. Pada masa sama, Syeikh Safiyyur Rahman juga telah membuat pilihan dan tarjih yang berbeza dengan kedua-dua pendapat ini. Pada pandangan beliau, penurunan al Quran berlaku pada 21 Ramadan.

Selain daripada itu, ada juga yang berpendapat penurunan al Quran berlaku pada 24 Ramadan. Pendapat ini berdasarkan hadith Nabi SAW yang dinilai hasan oleh Syaikh al Albani, Nabi SAW bersabda yang bermaksud :

"Suhuf Nabi Ibrahim AS diturunkan pada malam pertama Ramadan, Taurat pula diturunkan pada 6 Ramadan, Injil diturunkan pada 13 Ramadan. Dan Allah menurunkan al Furqan (al Quran) pada 24 Ramadan"

Walau bagaimanapun, majoriti para ulama tafsir berpegang kepada riwayat Ibnu Abbas yang menyatakan bahawa al Quran diturunkan sekaligus ke Baitul Izzah di langit dunia pada malam Lailatul Qadar dan ianya diturunkan kepada baginda Nabi SAW secara beransur-ansur selama tempoh 23 tahun. Hal ini juga berdasarkan firman Allah SWT dalam surah al Isra' ayat 106 yang bermaksud :

"Dan al Quran itu Kami bahagi-bahagikan supaya Engkau membacakannya kepada manusia dengan lambat dan tenang ; dan Kami menurunkannya beransur-ansur"

Al Quran yang menjadi panduan hidup kita sebagai orang Islam ini telah wujud dengan sempurna di sisi Allah sebelum daripada wujudnya dunia ini lagi. Ianya terletak di Luh Mahfuz dan dibawa turun ke Baitul Izzah iaitu langit dunia. Barangkali timbul persoalan, bagaimana boleh wujudnya al Quran sedangkan peristiwa-peristiwa atau cerita-cerita yang termaktub di dalam al Quran belum berlaku lagi.

Bagi menjawab persoalan ini, kita haruslah tahu bahawa ilmu Allah itu tidak pernah terikat dengan masa dan zaman. Allah Azza Wa Jalla tidak terikat dan tidak terlibat dengan sistem masa. Allah lah yang menciptakan masa. Oleh kerana itu, tiada yang mustahil bagi Allah untuk menyempurnakan al Quran dengan menceritakan kisah peristiwa yang terdahulu, kini dan yang akan datang di dalam al Quran merentasi sistem masa yang Allah ciptakannya.

Demikian bagaimana peristiwa Nuzul al Quran menjadi sebuah episod bersejarah bagi umat Islam dan seharusnya kita pada hari ini bukan sekadar menghiasi al Quran di rumah-rumah, tidak sekadar meletakkan al Quran di bibir kemudian dilagukan dengan pelbagai irama, bukan juga sekadar kita menjadi ianya sebagai lambang dan simbolik semata-mata, malah kita hendaklah kembali kepada intipati ajarannya yang mengajak, mendidik dan menyeru umat manusia mentauhidkan Allah, melaksanakan segala suruhan Nya dan meninggalkan segala larangan Nya. Semoga episod bersejarah ini tidak sekadar disambut kosong. Mudah-mudahan Allah berkati kita semua.

Rabu, 6 April 2022

IBADAH SAHUR ; DISEBALIK KEBERKATAN & KEISTIMEWAANNYA

 

Bulan Ramadan merupakan bulan dimana seluruh umat Islam menjalani ibadah puasa. Seperti umat yang terdahulu, umat Islam diwajibkan berpuasa bermula daripada terbitnya fajar sehingga terbenamnya matahari. Pada namanya Ramadan itu, terkandung rahsia Allah SWT untuk para hamba Nya termasuklah bagi sesiapa yang melakukan ibadah sahur.

Ibadah sahur merujuk kepada makna perbuatan makan dan minum pada awal pagi sebelum waktu fajar dengan niat berpuasa. Dalam sebuah hadith riwayat Bukhari dan Muslim, daripada Anas Bin Malik RA, beliau berkata, Nabi SAW telah bersabda yang bermaksud :

"Bersahurlah kamu semua, sesungguhnya pada sahur itu terdapat keberkatan".

Menurut Imam al Azhari dalam kitab Tahdzib al Lughah, sahur membawa maksud apa yang disahurkan dengannya pada waktu sahur daripada makanan atau susu atau apa-apa jenis makanan yang dimakan pada ketika itu. Berdasarkan pentakrifan ini, dapatlah kita fahami bahawa sahur merupakan suatu ibadah yang dilaksanakan oleh mereka yang berniat untuk berpuasa. Adapun makan dan minum di awal pagi tanpa berniat untuk berpuasa, maka ianya tidak disebutkan sebagai sahur.




Ibadah sahur merupakan sunnah yang paling besar dan tidak pernah ditinggalkan oleh Nabi SAW dan para sahabat Baginda. Ini bermakna, sekiranya kita tidak bersahur, maka kita telah meninggalkan sunnah yang paling besar. Disebalik ibadah sahur ini, terdapat beberapa kelebihan dan keistimewaan yang dinyatakan oleh Allah dan Rasul Nya. Antaranya sepertimana yang disebutkan oleh baginda Nabi SAW dalam sebuah hadith riwayat Muslim, sabda Nabi SAW yang bermaksud :

"Perbezaan antara puasa kita (umat Islam) dan puasa ahli kitab terletak pada makan sahur"

Imam al Nawawi dalam kitab Syarh al Nawawi 'ala Sahih Muslim, berkata ketika menjelaskan hadth ini :

"Maknanya, perbezaan yang paling ketara antara puasa kita dan puasa mereka (ahli kitab) adalah bersahur, sesungguhnya mereka tidak bersahur dan kita disunatkan untuk bersahur"

Realitinya, setiap agama yang wujud di dunia ini memerintahkan penganutnya untuk berpuasa dengan mengikut cara suruhan agama masing-masing. Umumnya, ibadah puasa itu sendiri memberi makna menahan diri daripada lapar dan dahaga. Maka, bagi membezakan puasa umat Islam dengan puasa agama lain, adalah dengan kita melaksanakan ibadah sahur. Inilah fokus besar yang membezakan puasa orang Islam dan puasa agama-agama lain. Oleh itu, dengan bersahur, kita telah dapat memisahkan ibadah puasa kita dengan puasa agama lain.

Adalah menjadi kelebihan dan keistimewaan juga bagi mereka yang melakukan ibadah sahur ini adalah Allah dan para malaikat mendoakan orang-orang yang bersahur. Hal ini terdapat dalam sebuah hadith riwayat Imam Ahmad yang bermaksud :

"Sesungguhnya Allah dan malaikat Nya mendoakan buat mereka yang bagun sahur"

Ini menjelaskan kepada kita betapa besar dan hebatnya ibadah sahur itu sendiri. Meskipun kita tidak lalu untuk menjamah makanan, tetapi sekurang-kurangnya bangunlah untuk bersahur walau dengan sebiji tamar. Ini kerana kelebihannya sangat hebat, Allah dan para malaikat mendoakan bagi mereka yang bangun sahur. Dalam sebuah hadith riwayat Abu Daud, daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

"Sebaik-baik sahur orang mukmin adalah dengan buah tamar"

Dalam kitab Syarh Sunan Abi Dawud, oleh Syeikh Abd al Muhsin al 'Abbad, beliau menyatakan ketika menjelaskan hadith ini dengan menyebut : "Pada hadith ini menunjukkan pujian pada sesiapa yang bersahur dengan tamar, kerana pada tamar itu terdapat kekuatan yang tersendiri". Oleh yang demikian, bagi mereka yang mungkin tidak mempunyai selera untuk menjamah makanan, sekurang-kurangnya bersahurlah dengan sebiji tamar. Kerana padanya ada pujian dan kekuatan yang tersendiri.




Selain itu, pada ibadah sahur itu juga mempunyai keberkatan yang dijanjikan. Hal ini sepertimana kata Imam Ibn Hajar al Asqalani dalam kitab Fath al Bari, ketika beliau menjelaskan makna hadith tentang keberkatan bersahur, beliau menyatakan bahawa :

"Berkat pada sahur terhasil daripada sudut yang pelbagai, iaitu mengikut sunnah, serta berlawanan dengan ahli kitab, dan ianya menguatkan tenaga untuk melakukan ibadah puasa, serta menambakan semangat untuk berpuasa, menahan daripada perbuatan yang tidak baik disebabkan lapar, penyebab memberi sedekah kepada yang meminta, dan sebab kepada berzikir dan berdoa, waktu mustajab untuk berdoa, waktu niat untuk berpuasa bagi yang lupa berniat sebelum tidur"

Begitu juga pandangan Imam al Nawawi dalam kitab Syarh al Nawawi 'ala Sahih Muslim, ketika beliau menjelaskan tentang hadith keberkatan bersahur dengan menyatakan bahawa :

"Pada hadith ini menunjukkan galakan untuk bersahur. Para ulama telah bersepakat bahawa bersahur itu sunat dan digalakan, dan ianya bukanlah wajib, namun pada zahirnya, terdapat berkat dalam sahur itu kerana ianya menguatkan dan memberi semangat untuk berpuasa, menjadikannya sebab dan galakan untuk menambahkan puasa disebabkan keringanan beban bagi orang yang telah bersahur, dan ia adalah pandangan yang tepat yang muktamad pada maknanya".

Oleh yang demikian, dapat kita fahami bahawa keberkatan sahur itu terbahagi kepada dua. Keberkatan dari sudut syarak dan keberkatan dari sudut jasmani. Dari sudut syarak, kita memperoleh keberkatan dalam mengikut sunnah baginda Nabi SAW, diberikan ganjaran pahala, menjadi penyebab kita berdoa, bsrzikir dan sebagainya. Manakala keberkatan dari sudut jasmani pula, keberkatan bersahur menjadikan kita lebih bertenaga serta menguatkan semangat untuk terus menjalani ibadah puasa.




Selain itu, keistimewaan bersahur juga dapat memberikan kita tenaga menggantikan sarapan pagi. Dr. Mark Pereira dan beberapa orang pengkaji lagi dari Pusat Perubatan Harvard mendapati mereka yang tidak bersarapan pagi akan mempunyai risiko untuk mengidap penyakit jantung dan kencing manis. Manakala dalam kajian yang lain, Dr. Theresa Nicklas dari Kolej Perubatan Baylor menyatakan bahawa mereka yang meninggalkan sarapan pagi berisiko untuk menanggung dua kali ganda kekurangan zat besi dalam darah dan berpotensi mengalami penyakit anemia, iaitu kekurangan haemoglobin dalam darah.

Oleh yang demikian, dengan bersahur sebagai menggantikan sarapan pagi, ianya dapat menjadikan diri kita lebih sihat dan kuat serta terselamat daripada menjadi golongan yang berisiko mendapat penyakit. Kita juga dituntut untuk melewatkan sahur. Hal ini sepertimana dalam sebuah hadith riwayat Bukhari dan Muslim, daripada Zaid bin Tsabit berkata :

"Kami pernah makan sahur bersama Nabi SAW. Kemudian kami pun berdiri untuk menunaikan solat. Kemudian Anas bertanya pada Zaid ; "Berapa lama jarak antara azan dan subuh dan sahur kalian ?", Zaid menjawab : "Sekitar membaca 50 ayat".

Demikian disebalik keberkatan dan keistimewaan yang terdapat pada ibadah sahur. Meskipun ibadah sahur itu tidaklah wajib, namun padanya terkandung rahsia Allah bagi mereka yang bersahur. Setelah kita meneliti keistimewaa  bersahur, janganlah kita memandang remeh pada ibadah sahur dan rebutlah segala kelebihan, keistimewaan dan ganjaran yang telah dijanjikan oleh Allah SWT. Semoga kita semua diberkati oleh Nya.

Jumaat, 1 April 2022

MEMAKNAI MAKSUD IMAN SEBENAR

 

Islam akan terbina kukuh di dalam hati manusia apabila dirinya merasai nikmat keimanan. Tanpa hadirnya iman, ibadah lain seperti solat, berpuasa dan sebagainya seakan terkaku keras, dilaksana tanpa dirasainya. Oleh yang demikian, apabila kita berbicara soal keimanan, ianya sangat berkait rapat dengan akidah, yang juga merupakan tunjang dalam kehidupan seseorang muslim. Tanpa akidah yang sahih maka dirinya akan terdedah dengan kepesongan dan kesesatan dalam beragama.

Bagi memahamai makna iman sebenar, kita akan mendapati beberapa definisi iman yang dilontarkan dan dibahaskan oleh sebahagian golongan seperti kumpulan Murji'ah, Khawarij dan sebagainya. Kita akan mendapati definisi iman adalah berbeza-beza mengikut pandangan kumpulan masing-masing. Namun sebagai penyelesaian kepada perbezaan ini, kita di tuntut untuk bersikap sederhana (wasatiyyah) dalam memaknai iman dan inilah juga pegangan golongan Ahli sunnah wal jamaah.




Bagi golongan Murji'ah, iaitu sebuah kumpulan yang berpendapat bahawa pembuat dosa besar adalah masih sempurna iman mereka, berpandangan bahawa kedudukan iman itu bertempat di hati dan di lidah semata-mata. Maka bagi mereka, cukuplah bagi seseorang itu apabila mengaku beriman kepada Allah di dalam hati dan diungkap dengan lidah, maka dia sudah sempurna imannya dan tidak ada seorang pun yang boleh mempertikaikanya walaupun setelah mereka melakukan hal-hal yang boleh membatalkan iman. Ini bermakna, sekiranya seseorang itu meminum arak, berzina dan sebagainya, orang tersebut masih dikira beriman meski melakukan maksiat.

Sebaliknya, berlawanan dengan Murji'ah, golongan Khawarij pula, iaitu sebuah kumpulan yang mendakwa mereka yang melakukan dosa besar adalah kafir berpandangan bahawa iman itu terletak pada amal perbuatan seseorang. Ini bermakna apabila seseorang itu telah melakukan dosa besar maka orang tersebut telah terpesong dari landasan keimanan dan ianya menjadi kafir. Bagi golongan ini, si pelaku dosa besar terus menjadi kafir dan dihukum neraka selama-lamanya. Walaupun pada zahir dirinya kelihatan beriman, setelah melakukan dosa besar, maka gugurlah imannya dan menjadi kafir.

Jika dilihat daripada dua kerangka definisi ini, dapat kita simpulkan bahawa golongan Murji'ah adalah terlalu longgar dan bermudah dalam soal keimanan. Cukup dengan dizahirkan keimanannya melalui hati dan diungkap dengan lidah. Sebaliknya, golongan Khawarij pula diihat terlalu keras dan zalim dalam memberi maksud iman dengan mendakwa amal perbuatan penentu kepada segalanya. Kedua-dua pandangan golongan tersebut jika difahami akan mengundang masalah kepada masyarakat.




Berdasarkan definisi iman di sisi golongan Murji'ah, ianya akan merosakkan pemahaman dan pemikiran masyarakat. Akibat daripada pemahaman yang salah ini, akan menyebabkan masyarakat menyangka tidak berdosa sekiranya tidak solat, tidak berpuasa, minum arak dan lain-lain. Kerana bagi mereka cukup iman itu kedudukannya di hati dan dizahir dengan lidah. Seolah-olah perbuatan maksiat yang dilakukan tidak merosakan diri kerana imannya di hati dan terungkap di mulut.

Manakala berdasarkan definisi iman di sisi golongan Khawarij pula, hal ini turut akan mengundang kerosakan beragama. Ini kerana masyarakat akan menyangka bahawa amalan hati dan perakuan lidah tidak akan diambil kira selagimana orang itu melakukan dosa besar seperti berzina, berbohong, minum arak dan sebagainya. Pemahaman ini akan membentuk pemikiran masyarakat yang agresif, ekstremisme dan ganas. Sekaligus dengan mudah akan membudayakan kafir-mengkafir sesama umat Islam.

Oleh yang demikian, bagi memahami kerangka definisi iman yang sebenar, Imam Ahmad bin Hanbal dalam kitab al Aqidah Riwayah Abi Bakr al Khallal berkata :

"Iman itu ucapan dengan lisan, beramal dengan anggota badan dan iktikad dengan hati, ia bertambah dengan ketaatan dan berkurang dengan kemaksiatan, menjadi kuat dengan ilmu dan menjadi lemah dengan kejahilan, dengan hidayah Allah seseorang boleh mencapai iman, bahawa iman itu kata nama yang merangkumi perkara-perkara yang dinamakan banyak, yang terdiri daripada perbuatan dan perkataan".

Menambah kuat lagi definisi tersebut, dalam kitab Fathul Bari menerusi riwayat Al Hakim dalam Manaaqib As-Syafii', Imam al Syafi'i menyatakan bahawa :

"Iman itu perkataan dan amalan, dan ianya bertambah dan berkurang. Bertambah dengan ketaatan dan berkurang dengan maksiat".




Berdasarkan definisi tersebut, dapat kita simpulkan bahawa bagi Ahli Sunnah Wal Jamaah, amal perbuatan juga termasuk dalam hakikat sebuah keimanan yang tidak dapat dipisahkan. Malah, sesuatu amalan itu tidak sempurna melainkan dengan keimanan kepada Allah SWT. Perkara ini sepertimana firman Allah Azza Wa Jalla dalam surah al Baqarah ayat 177 yang bermaksud :

"Bukanlah perkara kebajikan itu hanya kamu menghadapkan muka ke arah timur dan barat, tetapi kebajikan itu ialah berimannya seseorang kepada Allah, dan hari akhirat, dan segala malaikat, dan segala kitab, dan sekalian nabi ; dan mendermanya seseorang akan hartanya sedang ia menyayanginya, kepada kaum kerabat, dan anak-anak yatim dan orang miskin dan orang yang terlantar dalam perjalanan, dan kepada orang yang meminta, dan untuk memerdekakan hamba-hamba abdi ; dan yang mengerjakan sembahyang serta mengeluarkan zakat ; dan perbuatan orang yang menyempurnakan janjinya apabila membuat perjanjian ; dan ketabahan orang yang sabar dalam masa kesempitan, dan dalam masa kesakitan, dan juga dalam masa bertempur dalam perjuangan perang Sabil. Orang yang demikian, mereka itulah orang yang benar (beriman dan mengerjakan kebajikan) ; dan mereka itulah juga orang yang bertakwa".

Berdasarkan ayat ini, Allah SWT mengiktiraf orang yang beriman adalah mereka yang mengakui akan keimanan mereka kepada Allah, para malaikat, para nabi, dan mereka yang melaksanakan perintah Allah seperti mendirikan solat, menunaikan zakat dan mendermakan sebahagian daripada hartanya yang disayangi. Ini bermakna, keimanan tidak cukup dengan mengungkap di lidah dan tertanam di dalam hati, bahkan ianya mesti disempurnakan dengan melakukan ketaatan pada Nya.

Demikian definisi iman sebenar berdasarkan Ahli Sunnah Wal Jamaah. Pendekatan sebegini lebih sederhana dan tidak melampau, berbanding dengan kumpulan Murji'ah dan Khawarij. Bagi mencapai makna iman yang sebenar, dalam kitab al-Iman wal Hayah, Dr. Yusuf al Qaradawi berkata walau bagaimana sekalipun perselisihan para ulama kalam dalam membahaskan berkaitan iman dengan amal perbuatan, sama ada perbuatan itu sebahagian daripada erti iman atau syaratnya atau hasil daripada hasilan iman, kesemua mereka bersepakat bahawa amal perbuatan adalah bahagian yang tidak terpisah daripada iman yang sempurna. Semoga Allah mengampuni kita semua.