Kehidupan di dunia adalah bersifat sementara. Ini bermakna setiap
yang kita miliki di dunia bakal pergi dan hilang meninggalkan kita. Ini juga
merangkumi usia yang semakin meningkat, raut wajah yang makin kedut sejajar
dengan waktu dan masa yang sentiasa berjalan tanpa boleh mengundur lagi
kebelakang. Oleh yang demikian, dunia bukanlah pentas untuk kita diami
selama-lamanya melainkan sampai detik dan ketikanya, kita semua bakal pulang
bertemu Allah SWT. Dunia dan kematian tidak boleh dipisahkan. Ke mana sahaja
kita berada, pastinya kita akan bertemu waktu tersebut untuk meninggalkan
segala isi dunia bagi menghadap Allah SWT.
Kematian bukanlah sesuatu yang bersifat memisahkan. Sebaliknya kita
hanya berpindah dari satu alam ke alam yang lain. Kematian juga bukanlah suatu
penamat episod kisah dan cerita kita. Ianya bakal bersambung di alam akhirat
pula. Di dalam Islam, sebaik-baik kematian adalah mereka yang mati syahid. Mati
syahid merupakan salah satu kemuliaan di dalam Islam. Ini kerana, mereka
disangka telah mati sedangkan mereka masih hidup dalam keadaan yang istimewa.
Ini sebagaimana penjelasan oleh Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 154 yang
bermaksud :
“Dan janganlah kamu mengatakan (bahawa) sesiapa yang terbunuh dalam
perjuangan membela agama Allah itu ialah orang-orang mati; bahkan mereka itu
orang-orang yang hidup (dengan keadaan hidup yang istimewa), tetapi kamu tidak
dapat menyedarinya.”
Dalam kitab Tafsir al-Muyassar, dinyatakan bahawa ayat ini
merupakan peringatan kepada orang beriman agar jangan mengatakan mereka yang
telah terbunuh di jalan Allah itu ialah orang-orang yang mati yakni tidak ada
apa-apa nilai. Bahkan mereka itu hidup dengan keadaan yang istimewa walau kita
tidak menyedarinya. Ayat ini menjadi bukti dan hujah bahwa adanya nikmat di
dalam kubur. Demikian ulasan terhadap ayat diatas. Ini boleh kita fahami bahawa
kematian syahid di kaca mata penduduk dunia barangkali dianggap mati yang
sia-sia padahal di sisi Allah, mereka diberikan pelbagai nikmat kesenangan
sejak bermula di alam kubur lagi.
Kematian syahid seringkali dikaitkan dengan golongan yang mati
berperang di jalan Allah. Sedangkan, kematian syahid dibahagikan kepada
beberapa bahagian. Ini sepertimana dalam sebuah hadith riwayat Ahmad, daripada
Jabir bin 'Atik bahwa yang bermaksud :
“Abdullah bin Thabit ketika meninggal dunia, anak perempuannya
berkata: ‘Demi Allah, aku sangat berharap engkau mati syahid. Adapun engkau
telah mempersiapkan peralatan engkau (bagi menyediakan peralatan perang dan
ekspedisi serta lain-lain).’ Lalu Rasulullah SAW bersabda: ‘Sesungguhnya Allah
telah menjadikan pahalanya setimpal dengan apa yang diniatkannya, dan menurut
kamu, siapakah orang yang dikira mati syahid itu?’ Mereka menjawab: ‘(Orang
yang mati syahid itu) ialah orang yang terbunuh di jalan Allah.’ Rasulullah SAW
bersabda: ‘Orang yang mati syahid yang selain terbunuh di jalan Allah ada tujuh
orang, iaitu orang yang mati kerana taun adalah syahid, orang yang mati
tenggelam (lemas) adalah syahid, orang yang mempunyai luka pada lambung lalu
mati adalah syahid, orang yang mati kerana penyakit perut adalah syahid, orang
yang mati dalam kebakaran adalah syahid, orang yang mati tertimpa runtuhan
adalah syahid dan seorang wanita yang meninggal dunia sedangkan dia dalam
keadaan mengandung adalah syahid.’”
Dalam hadith lain riwayat Bukhari dan Muslim, sabda Nabi SAW yang
bermaksud :
“Orang-orang yang mati syahid ialah lima; orang yang mati kerana
taun, mati kerana penyakit perut, mati lemas, mati ditimpa runtuhan dan syahid
di jalan Allah.”
Berdasarkan maksud hadith ini, mati syahid bukan sahaja kepada
mereka yang terbunuh di jalan Allah, bahkan mereka yang mati lemas, mati kerana
sakit dalam perut, mati dalam kebakaran, mati ditimpa runtuhan dan mati seorang
wanita yang dalam keadaan mengandung. Menurut Imam al-Nawawi dalam kitab al-Minhaj
fi Syarh Sahih Muslim, beliau menyatakan bahawa kesemua jenis kematian itu
dianggap sebagai mati syahid disebabkan kelebihan kurniaan Allah SWT kepada
mereka kerana dahsyatnya kesakitan dan kepedihan kematian tersebut yang ditanggung
oleh mereka. Demikian apa yang disebutkan oleh Imam al-Nawawi.
Selain itu, Imam Ibnu Hajar al-Asqalani dalam kitabnya, Fathul
Bari, menyatakan bahawa melalui hadith-hadith yang berkaitan mati syahid,
dapat dibahagikan mati syahid itu kepada dua bahagian. Pertama, syahid di
akhirat dan syahid di dunia. Syahid jenis pertama ini merujuk kepada sesiapa
yang gugur terbunuh di jalan Allah melawan orang-orang kafir (bagi menegakkan
agama-Nya) ikhlas kerana Allah serta dalam keadaan mara ke hadapan dan bukannya
berundur melarikan diri. Kedua, syahid di akhirat sahaja. Ini merujuk kepada
sesiapa yang diberikan pahala mati syahid namun tidak terpakai keatas mereka
hukum syahid tersebut di dunia. Ini juga bermaksud syahid jenis ini masih lagi
perlu dimandikan, disolatkan dan sebagainya. Pun begitu, Imam al-Nawawi
menambahkan satu bahagian lagi iaitulah syahid di dunia tetapi tidak di
akhirat. Ini merujuk kepada mereka yang mati dalam peperangan melawan orang
kafir namun terhalang keatas mereka untuk syahid di akhirat kerana beberapa
halangan seperti niat yang rosak dan lari dari medan perang.
Kematian syahid padanya terdapat beberapa kelebihan dan
keistimewaan yang dijanjikan oleh Allah dan Rasul-Nya. Antara kelebihannya
ialah mereka yang mati syahid akan peroleh ganjaran pahala yang besar. Ini
berdasarkan firman Allah SWT dalam surah al-Nisa' ayat 74 yang bermaksud :
“Dan barangsiapa berperang di jalan Allah, lalu gugur atau
memperoleh kemenangan maka akan kami berikan pahala yang besar kepadanya.”
Begitu juga dalam sebuah hadith riwayat Bukhari, dinyatakan
kelebihan bagi mereka yang mati syahid , Allah SWT akan menyediakan 100
tingkatan kedudukan. Sabda Nabi SAW yang bermaksud :
“Sesungguhnya di dalam Syurga nanti ada 100 tingkatan kedudukan
yang Allah sediakan buat pejuang di jalan Allah"
Demikian antara kelebihan dan keistimewaan yang dijanjikan oleh
Allah dan Rasul-Nya buat mereka yang mati syahid. Sesungguhnya adalah menjadi
cita-cita orang yang beriman mengharapkan agar terpilih untuk memperolehi mati
syahid. Mengharapkan diri untuk mati syahid bukanlah sesuatu yang salah atau
terlarang. Bahkan baginda Nabi SAW menggalakkan kepada sifat merindui mati
syahid. Ini sepertimana yang terdapat di dalam sebuah hadith riwayat Muslim,
sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :
“Barangsiapa yang berdoa supaya dikurniakan mati syahid dengan
penuh ikhlah, maka Allah akan meletakkannya dikedudukan orang-orang yang
syahid, sekalipun dia meninggal di atas katil (tanpa berjuang)".
Berdasarkan hadith tersebut, maka tidaklah menjadi satu kesalahan
atau larangan dalam Islam bagi orang yang beriman memohon doa agar direzekikan
untuk mati syahid. Bahkan sekalipun dirinya tidak berpeluang peroleh mati
syahid, namun kerana doanya itu, Allah pastinya akan meletakkan dirinya pada
kedudukan orang yang mati syahid. Demikian betapa tinggi dan mulianya bagi
mereka yang perolehi mati syahid dan berdoa untuk beroleh mati syahid. Mati
syahid pastinya sebuah kematian yang dicemburui oleh orang yang beriman. Kerana
padanya tidak ada istilah mati yang sia-sia. Oleh yang demikian, sentiasalah
kita berdoa agar Allah SWT memberikan kita peluang untuk perolehi nikmat mati
syahid. Kerana inilah cita-cita tertinggi bagi sesiapa yang beriman kepada
Allah SWT. Semoga Allah mengampuni kita semua.