Perjalanan
hidup manusia di muka bumi ini merangkumi dua bab terpenting, iaitulah pilihan
atau ketetapan. Jika kita lihat pada kehidupan ini, sebahagian besar hidup ini
berdiri diatas pilihan kita sendiri. Kita boleh memilih dengan siapa kita mahu
bersama, kita boleh memilih apa pekerjaan yang hendak kita lakukan, kita juga
boleh pilih untuk apa jua yang terbaik pada sangkaan kita. Namun sebahagian
besar yang lain pula merupakan ketentuan hidup yang ditentukan oleh Allah SWT.
Sebagai contoh, kita tidak diberi pilihan untuk memilih dilahirkan dari
keturunan orang kulit cerah. Kita juga tidak diberi pilihan untuk dilahirkan
sebagai bangsa apa dan agama kita. Semuanya itu tertakluk kepada ketentuan
Allah.
Begitu
juga pada awal kehidupan kita. Jika diberi pilihan, sesiapa pun tidak mahu
memilih untuk hidup dalam keadaan miskin dan susah. Pun begitu, kehidupan
miskin tidak semestinya kekal miskin selamanya. Dengan kudrat yang ada, dengan
izin Nya jua, kita boleh mengubah nasib hidup ini kearah hidup yang lebih
senang dan lebih baik. Hidup dalam status kemiskinan bukanlah sesuatu yang
mengaibkan. Islam datang melalui syariat Nya yang suci ini, telah memuliakan
orang fakir dan miskin dengan mensyariatkan peruntukkan zakat kepada golongan
tersebut. Ini sepertimana yang telah disebutkan di dalam al-Quran, surah at
Taubah ayat 60 yang bermaksud :
"Sesungguhnya
sedekah-sedekah (zakat) itu hanya untuk orang-orang fakir dan orang-orang
miskin dan amil-amil dan muallaf yang dijinakkan hati-hati mereka dan
hamba-hamba yang hendak memerdekakan dan orang-orang berhutang dan untuk
(dibelanjakan pada jalan Allah) dan orang-orang musafir (yang terputus bekalan)
dalam perjalanan".
Maka
hidup miskin tidak berharta bukanlah sesuatu yang memalukan. Islam memuliakan
golongan miskin menjamin hak pembelaan terhadap mereka yang kurang bernasib
baik ini. Meskipun begitu, hidup miskin tidak bermaksud hanya tunggu dan
meminta-minta sambil mengharapkan belas kasihan orang lain semata-mata. Hidup
miskin bukanlah bererti tidak perlu melakukan apa-apa atau tidak perlu berusaha
mencari rezeki kerana mengharapkan zakat dan sumbangan sana-sini. Perangai
seperti ini iaitu dengan mengharapkan bantuan dan pemberian orang lain adalah
sikap pemalas yang ditegah dan dilarang dalam Islam. Islam agama yang sangat
memerangi sikap pemalas ini. Hal ini boleh disingkap melalui sebuah hadith
riwayat Bukhari dan Muslim, sabda Nabi SAW yang bermaksud :
"Jika
seseorang kamu mengambil talinya, kemudian membawa satu ikatan kayu api diatas
belakangnya lalu menjualnya, dengan sebab itu Allah memelihara maruahnya, maka
itu lebih baik daripada meminta-minta kepada manusia, sama ada mereka
memberikannya atau tidak"
Selain
itu, sikap pemalas ini juga menjadi antara intipati doa baginda Nabi SAW agar
tidak dibelenggu hidup dengan kemalasan, kelemahan dan sebagainya. Kata Anas
bin Malik RA, dalam sebuah hadtih riwayat Bukhari dan Muslim yang bermaksud :
"Aku
mendengar Nabi SAW sering berdoa : "Ya Allah sesungguhnya daku berlindung
dengan Mu daripada kerisauan dan dukacita, daripada lemah dan malas, daripada
kebakhilan dan kebaculan, daripada bebanan hutang dan daripada ditewaskan oleh
orang"
Baginda
Nabi SAW sebagai insan yang terpaling mulia di sisi Allah dan para makhluk Nya
pun memohon perlindungan kepada Allah daripada bersikap bermalasan, apatah lagi
kita sebagai umatnya yang serba kekurangan ini. Sewajarnya kita perlu lebih
terbuka untuk berusaha mengubah nasib hidup ini dengan rajin bekerja dan
berusaha mencari rezeki yang halal. Tidak sekadar duduk bersahaja menunggu
bantuan tiba. Akibat daripada kemalasan berusaha ini juga, akan mengheret kita
menjadi seorang yang pengotor. Ini juga berpunca daripada sikap malas berusaha
membersihkan diri, halaman rumah dan kawasan sekitarnya. Bermalasan dalam hal kebersihan,
antara lain seperti malas mandi, tidak memotong kuku, tidak mengemas rumah,
ruang kediaman dan di luar halaman rumah, akan membawa seribu satu penyakit
kepada kita.
Islam
selain memerangi sikap pemalas, Islam juga menentang dan memerangi sikap pengotor.
Dalam al-Quran, menerusi surah al-Muddathir ayat 4, firman Allah SWT yang
bermaksud :
"Dan
pakaianmu, maka hendaklah engkau bersihkan"
Menurut
Imam al-Baidhawi dalam kitab tafsirnya, Tafsir Anwar al-Tanzil Wa Asrar
al-Ta'wil, beliau menyatakan bahawa bersih pakaian ialah bersih daripada
segala najis, kerana sesungguhnya membersihkan itu adalah (suatu) kewajipan
sebelum (melaksanakan ibadah) solat. Ini sekaligus membawa maksud seseorang
yang melakukan solat, berpuasa, menunaikan haji, membaca al-Quran dan
sebagainya masih belum dikatakan sempurna dan lengkap keimanannya jika masih
mengamalkan tabiat pengotor. Kesedaran untuk hidup dalam keadaan bersih dan
sihat merupakan suatu tuntutan dalam Islam. Malah kebersihan juga antara faktor
kesempurnaan iman. Ini sepertimana dalam sebuah hadith riwayat Muslim, sabda
Nabi SAW yang bermaksud :
"Membersihkan
itu (adalah) sebahagian daripada iman"
Hadith
ini menunjukkan penekanan oleh baginda Nabi SAW berkenaan kepentingan menjaga
kebersihan. Hidup di dalam kemiskinan tidak bermakna hidup mesti dalam
kekotoran. Barangkali kemiskinan hidup merupakan suatu ketetapan Allah tetapi
hidup dalam kekotoran adalah suatu pilihan diatas diri sendiri. Kita yang
memilih untuk hidup selesa dengan keadaan persekitaran yang tidak terurus,
jijik dan kotor. Faktor kemiskinan sama sekali tidak menyumbang kepada isu
kekotoran. Orang kaya atau miskin, bukanlah punca hidupnya sebagai seorang
pengotor. Yang menentukan hidup sebagai pengotor ini adalah diri kita sendiri
yang memilih untuk malas menjaga kebersihan. Untuk menyalahkan kemiskinan hidup
punca kita menjadi pengotor, betapa banyak di luar sana, mereka yang diuji
dengan kemiskinan, namun hidup mereka bersih dan teratur.
Hakikatnya,
kemiskinan hidup bukanlah sebuah alasan yang konkrit dalam kehidupan. Meskipun
hidup dalam kemiskinan, tetapi ruang dan peluang untuk mengubah nasib hidup
menjadi lebih baik sentiasa terbuka bagi mereka yang rajin dan mahu berusaha.
Dengan hidup tidak bermalasan, juga akan mendorong kita untuk menjadi manusia
yang bersih dan sihat. Hidup dalam kemiskinan tidaklah berdosa dan tidak pula
bermaksud terhina. Apa yang menentukan tentang soal dosa pahala ini bukanlah
kaya atau miskin. Sebaliknya, yang menjadi penentu akan dosa pahala tersebut
adalah tentang sikap kita sendiri. Oleh itu, pilih lah untuk bersikap rajin dan
jauhilah daripada tabiat pengotor. Semoga Allah melindungi kita semu daripada
sifat malas dan pengotor.