Islam adalah agama yang serba lengkap dan menyeluruh dalam pelbagai lapangan hidup iaitu aspek aqidah , syariah dan akhlak . Baginda Rasulullah ( s.a.w. ) telah menerima daripada Allah taala satu risalah lengkap tersebut melalui wahyu al Qur’an al Karim yang merupakan sumber rujukan utama Islam .Kemudian , Rasulullah ( s.a.w. ) diperintahkan untuk menyampaikannya kepada seluruh umat manusia di samping mempraktikkan ajaran-ajaran Islam yang terkandung di dalam al Quran itu . Akhirnya , Islam diwarisi secara turun temurun dari satu generasi kepada satu generasi yang lain sebagaimana asalnya tanpa sebarang keraguan dan syak wasangka.
Islam juga adalah satu agama yang memiliki unsur kekuatannya yang tersendiri dengan keunikan aqidah , ibadat dan juga akhlaknya di samping bercirikan syumul kerana ianya bersifat terbuka kepada seluruh umat manusia . Ini bermakna bahawa Islam bukanlah satu agama yang khusus kepada orang Arab sahaja atau agama kepada satu-satu umat tertentu , bukan juga agama kepada kasta-kasta tertentu , sebaliknya Islam adalah agama kemanusiaan sejagat tanpa mengira kaum dan warna kulit pada sepanjang zaman.
Dengan erti kata lain , Islam telah menyeru sekalian manusia ke arah dasar persamaan dari segi kemanusiaan dan mereka semua sama-sama berganding bahu dan bertolak ansur dalam mendepani perjuangan hidup. Sebenarnya manusia adalah sama dari segi asal usul kejadiannya dan apa-apa perbezaan sesama manusia dari segi bangsanya , warna kulitnya dan sebagainya bukannya untuk menjuruskan ke arah pertelagahan dan permusuhan . Sebaliknya , ianya adalah sebagai satu jalan ke arah saling kenal mengenal , mencari keserasian dan tolong menolong antara satu sama lain .
Ada satu kaedah yang membezakan antara seseorang manusia dengan yang lain dari segi asal usul kejadiannya dan juga keistimewaan yang dikurniakan Allah iaitu istiqamah dalam hidupnya dan berusaha merebut keredhaan Allah ( s.w.t.). Inilah dia dasar Islam yang tidak mengenal perbezaan perkauman , asabiah kabilah , puak atau agama . Islam tidak mengiktiraf sebarang usaha penindasan terhadap saudaranya yang lain kerana semua manusia adalah sama taraf , yang berbeza cumalah iman yang bertapak dalam jiwa seseorang dan amal salih yang lahir melalui anggota tubuh badannya yang mana akhirnya akan mencipta kesejahteraan dan kebahagiaan di dunia dan akhirat
Tiada ulasan:
Catat Ulasan