Sesungguhnya manusia sebelum kedatangan Islam, ibarat mayat yang tidak bernyawa dan tiada mempunyai roh. Lalu Allah mengurniakan kepada kita kehidupan yang terbaik, aman dan tenteram. Menjadi umat teristimewa yang diutuskan kepada manusia, untuk menegah perkara yang mungkar dan menyeru kepada kebaikan. Justeru, sesiapa yang ingin meragut Agama dari umat ini ibarat ingin menanggalkan roh dari jasadnya agar ia terus mati tidak bernyawa. Tugas mengembalikan semula syahsiah Islamiyyah yang telah lenyap dari umat ini ialah dengan mengembalikan semula roh Islam agar ia kembali bersemadi ke dalam jasad umat ini.
Terdapat pelbagai macam doktrin dan idealogi yang semakin bercambah dari hari ke hari untuk menyesatkan umat ini sama ada dulu mahupun sekarang. Ini semua tidak mengejutkan kita kerana sememangnya musuh Islam itu banyak di setiap masa dan tempat. Jadi, kita perlu bersatu pada apa yang kita sepakati bersama dan bertolak ansur terhadap sebarang perselisihan antara umat Islam, di samping sentiasa berwaspada terhadap semua perancangan dan tipu daya musuh Islam.Doktrin dan idealogi sesat tersebut seperti, zionisme, komunisme, gerakan kristianisasi, orientalisme, penjajahan dan bermacam aliran serta gerakan lagi yang ingin menggoncang akidah umat Islam, untuk mencapai matlamat mereka menghapuskan Agama ini di muka bumi.
Dalam aneka macam kekalutan dan kebobrokan pemikiran ini, pelbagai salah faham terhadap agama Islam, terdapatnya manusia yang mengambil sejuzuk dari agama Islam dan meninggalkan sebahagian yang lain, memisahkan antara akidah dan syariah, para sufi yang terpesong dari pemikiran dan ajaran Islam yang sejahtera, dengan kehendak Allah muncul seorang tokoh agung yang mampu untuk merawat segala kepincangan ini dan membawa sinar menerangi kegelapan ini, iaitu Imam Hasan Al-Banna yang menyeru manusia agar kembali beriman kepada Allah dan kembali kepada manhaj Rasul dan para salaf umat ini. Semoga usaha Imam Hasan Al Banna ini masih tersemat di hati kita dan meneruskan seruannya ini dalam mencari redha Allah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan