Mendepani realiti baru dunia yang pantas berubah dan berkembang, perkahwinan di usia yang muda bukanlah satu fenomena yang luar biasa, bahkan seharusnya menjadi kelaziman kepada generasi Y pada masa kini. Hakikatnya, perkahwinan adalah satu fitrah kejadian semulajadi manusia. Perkahwinan juga merupakan satu sunnah Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW. Persoalannya bagaimanakah kita mampu melaksanakan sunnah ini di saat kita masih lagi remaja dan sedang belajar?? Persoalan demi persoalan yang timbul di benak pemikiran kita. Lantas, kita merasakan topik ini cukup relevan dan hangat untuk dikongsikan bersama berdasarkan kondisi kita sekarang.
Setiap hari dan detik kita dihidangkan dengan berita yang melibatkan generasi muda yang muflis dan tercabut dari akar tradisi ketimuran dan juga ketingggian akhlak Islamiyyah yang diwarisi zaman berzaman.Kini, segalanya telah dibenamkan oleh budaya hedonistik yang tidak berfaedah. Mereka telah dibelenggu dengan rantai-rantai kejahilan dan kegelapan.Justeru itu, perkahwinan di usia muda tersangatlah signifikan bagi mereka yang ingin melayarkan bahtera perasaan cinta mereka ke pelabuhan yang halal, iaitu alam berumahtangga. Ini kerana mukmin atau mukminah yang sejati tidak suka memandang dan juga tidak suka dipandang kerana apa yang lebih utama adalah memohon petunjuk dariNya terlebih dahulu sebelum membuat keputusan selaras dengan kehendak hati dan kewarasan akal.
Sebagaimana yang kita ketahui, Iman kita ini laksana air di lautan, kadang pasang kadang surut. Ketika pasang, dengan mudah kita meniti jalan Allah. Ketika sedang surut, kita jauh dari jalan Allah.Justeru itu, perkahwinan dalam kalangan generasi muda bukan sahaja mampu membendung gejala-gejala negatif bahkan melahirkan masyarakat yang sakinah di mana tidak akan wujud lagi kes-kes jenayah seksual seperti pembuangan bayi, rogol, culik dan sebagainya. Hal ini disebabkan oleh perkahwinan yang halal akan menghasilkan ketenangan dan ketenteraman. Kesimpulannya, berkahwin di usia muda bukanlah membawa kepada satu masalah yang besar bagi golongan remaja yang masih lagi belajar dan belum bekerja. Berkahwin merupakan fitrah manusia dan sememangnya fitrah itu tidak akan terjadi sekiranya berlawanan dengan kehendak manusia. Sesungguhnya Allah itu maha mengetahui tentang hal-hal hambaNya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan