Perkembangan dunia hari ini semakin menuju kerosakkan diatas sebab
tangan-tangan manusia itu sendiri yang mencorakkannya. Yang kaya terus berharta
lipat kali ganda,yang miskin terus terhimpit dek asakan hidup yang sempit,yang
benar dikatakan salah dan yang salah diangkat sebagai sebuah kebenaran.
Terkadang para belia khususnya melayu hari ini terlalu asyik dengan dunia lara
mereka,yang dewasa terlalu leka dengan agenda politik masing-masing. Akhirnya
tidak kemana dan di bawa hanyut arus keduniaan.Susah untuk kita mencari sebuah
makna kebenaran kerana dunia hari ini dilingkari dengan garisan fitnah yang
menebal luas di pemikiran kita. Perbalahan,pertelingkahan dan permusuhan sesama
kita tidak akan pernah menguntungkan sesiapa malah merugikan masa depan kita semua.
Tidak sedarkah kita bahwa penyatuan ummat menjadi tonggak kekuatan umat islam
pada masa kini. Umat kian menderita dan kita terus leka dan alpa.
Ulang tahun kemerdekaan negara tinggal beberapa hari sahaja lagi.
Kelihatan suasanya agak hambar,sepi dan suram berbanding tahun-tahun terdahulu.
Rakyat hari ini lebih tertumpu kepada nilai matawang yang kian jatuh
merudum.Kestabilan politik hari ini sudah diancam dengan penuh fenomena
cabar-mencabar,fitnah menfitnah dan buruk memburukkan antara satu sama yang
lain. Rakyat yang rata-rata hari ini lebih bimbang,gusar,resah dan gelisah
dengan suasana ekonomi,politik dan sosial yang semakin hari semakin menuju
kemunduran. Kebejatan masalah demi masalah ini telah memperlihatkan kepada kita
bahwa negara sedang mengalamai suatu krisis yang kritikal dan memerlukan
rawatan yang segera bagi memulihkan kestabilan negara kita.
Mungkin bagi sesetengah orang, merdeka tahun ini tiada lagi membawa
erti yang sebenar kerana di kepung,di cengkam dan di bebani dengan kos sara
hidup yang semakin meningkat. Soal keselamatan negara juga semakin runcing jika
kita fikirkan. Jenayah semakin berleluasa dan jenayah sentiasa ada di mana
sahaja. Lebih membimbangkan kita ialah jenayah penculikan kanak-kanak dan orang
dewasa khususnya dikalangan wanita untuk dijadikan sebagai pelacur dan
sebagainya. Merdeka tahun ini agak suram dan sunyi dek kerana semua ini telah
berlaku. Satu persatu kejadian yang membimbangkan kita telah pun menjelma
mencengkam erti kebebasan kita bergerak walau secara zahirnya negara telah pun
lama bebas dari penjajah.
Ayuhlah semua,kembalilah bermuhasabah diri dan marilah sama-sama
kita mohon keampunan dari Allah, tuhan yang menguasai segalanya. Bukan masanya
lagi untuk kita saling salah menyalahi antara satu sama lain. Di saat ini dan
di ketika inilah kita haruslah bersatu padu ketepikan segala sentimen
politik,perkauman dan sebagainya bagi mewujudkan suasana gembira,harmoni dan
sejahtera kembali. Kita sudah banyak kali berbalah,bertelagah dan bergaduh
sesama sendiri maka dengan itu lihatlah apa natijah kita saling bergaduh
tersebut. Adakah negara bertambah maju ? Ada akal fikirlah,ada mata renunglah
dan ada telinga dengarlah dan lakukanlah tindakan yang sewajarnya yang boleh
mengembalikan keharmonian dan kesejahteraan negara bumi tercinta kita ini.
Semoga merdeka tahun ini dapat kita merasai kebebasan dari terus dibelenggu perbalahan,pertelingkahan
yang mengundang kehancuran pada kita.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan