Khamis, 27 Ogos 2015

SUDAH MERDEKAKAH KITA ?

Selamat menyambut hari kemerdekaan.Semoga pemberian nikmat ini akan berkekalan hendak-Nya. Negara kita telah 58 tahun merdeka namun bagaimana dengan kita sendiri? Sedar atau tidak masih banyak perkara yang kita masih belum merdeka atau lebih tepat sebenar-benar merdeka.Apakah ertinya kemerdekaan? Secara ringkas, kemerdekaan bermaksud kebebasan ataupun berdikari. Adakah kita benar-benar mencapai nikmat kemerdekaan yang sebenar? Kita masih belum merdeka dari segi minda. Majoriti dari kita masih belum merdeka dari segi minda. Kebanyakkan masyarakat kita masih belum percaya dengan kemampuan diri sendiri. Baik dari segi kerjaya atau keusahawan, kita boleh saksikan berapa kerat saja yang benar-benar berjaya, dan pastinya mereka yang berjaya bukan kerana nasib ‘baik’ menyebelahi mereka, namun kerana mereka yakin dengan kemampuan diri mereka sendiri!


Kita masih belum merdeka dari segi kehidupan. Cuba kita buat ’spot-check’ terhadap kehidupan seharian kita. Adakah kita sudah merdeka? Sebenarnya kita masih belum merdeka. Ramai masyarakat kita hari ini hidup di atas buah fikiran orang lain. Sebagai contoh, majoriti masyarakat kita berpendapat kejayaan sesuatu perniagaan diukur melalui jenis kereta yang dinaiki. Kononnya. Maka kita pun berusaha sekuat hati untuk membeli kereta besar walaupun perniagaan masih belum kemana kerana nak buktikan kepada ahli keluarga, rakan-rakan dan orang sekeliling bahawa kita telah berjaya. Sedarlah kita bahwa kita hidup di atas dasar pemikiran orang lain! Bebanan bulanan kamu yang perlu tanggung dan bukannya ahli keluarga, rakan-rakan dan orang sekeliling. Beli kereta besar setelah benar-benar kita mampu dan bukannya kerana nak buktikan bahawa kita berjaya kepada orang lain, barulah merdeka. Kadang-kadang kita sendiri masih belum merdeka di dalam membuat keputusan untuk kehidupan kita. 




Kita masih merdeka belum dari segi hati dan jiwa. Kehidupan di dunia adalah sementara dan kehidupan di sana adalah yang kekal abadi. Peringatan untuk diri saya sendiri juga yang masih berusaha untuk membebaskan hati dari dunia. Sentiasa panjatkan doa kepada Allah agar jangan kerana mengejar dunia maka kita lupa tanggungjawab kita sebagai hamba-Nya. Suka untuk saya memetik satu hadis nabi buat renungan kita bersama. Dari Anas R.A meriwayatkan sabda Rasulullah SAW :

“Barangsiapa yang perhatiannya hanya tertuju pada dunia, dan tujuan hidupnya hanya untuk mencari dunia, ia berpergian untuk keperluan dunia dan senantiasa memikirkan dunia maka Allah SWT akan membentangkan dihadapan matanya perasaan takut kepada kemisikinan dan kelaparan. Dan ia akan menghabiskan waktunya untuk memikirkan dan mengkhawatirkan dunia, sedangkan ia hanya akan mendapatkan sekadar yang telah ditakdirkan untuknya.

Barangsiapa yang menumpahkan perhatiannya pada akhirat dan sentiasa memikirkan akhirat, maka Allah SWT akan menyelamatkannya dari kegelisahan dan kebimbangan mengenai dunia. Allah SWT akan mengurniakan kepadanya rasa puas dan tidak berhajat kepada benda dunia. Allah SWT akan mempermudah segala urusannya, dan dunia akan datang sendiri dalam keadaan hina.” 




Ayuh, sama-sama kita panjatkan doa kepada Ilahi agar kita menjadi seorang Hamba yang benar-benar Merdeka duniawi dan ukhrawi kerana itulah yang kita inginkan, kebahagiaan di dunia untuk dijadikan bekalan untuk mendapat kebahagiaan hakiki di akhirat nanti. Sempena sambutan hari kebangsaan ini, marilah sama-sama kita bersatu hati teguhkan perpaduan dan eratkan ikatan ukhwah sesama kita. Seiringkan langkah menuju wawasan 2020 dan lengkapkanlah diri kita dengan kefahaman agama nescaya Allah senantiasa bersama hamba Nya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan