Hubungan manusia dan kehidupan adalah
pertengahan. Kebendaan semata-mata berteraskan makan, minum, nafsu syahwat,
harta kekayaan, pangkat dan kedudukan. Kerohanian semata-mata menolak
keduniaan, tidak berkahwin, malas mencari rezeki dan sebagainya. Pertengahan
bukanlah melakukan suatu perkara secara tidak sempurna, tetapi melakukannya
dengan sempurna, cukup syarat, mematuhi peraturan dan prosedur yang tidak
melampau mahupun mengurangi sesuatu perkara. Dalam keadaan inilah, akidah Islam
mengutarakan mesej jalan pertengahan dan kesederhanaan, antaranya menegah sikap
melampau umat terdahulu dalam berakidah dinyatakan dalam Surah al-Nisa ayat
171, menolak dakwaan tidak wujudnya Tuhan dan anggapan kehidupan dunia ini
terjadi secara kebetulan seperti dalam Surah al-Jaathiyah ayat 24 dan menolak
adanya banyak tuhan, mensyirikkan Allah SWT dengan tuhan-tuhan yang lain. Allah
itu Esa yang selayaknya disembah seperti dalam Surah al-Ikhlas ayat 1-4.
Pendekatan wasatiyah mengimbangi
pandangan dalam mengambil sumber akidah, antaranya golongan salafi ekstrem
menolak perbahasan akal dalam menetapkan kebenaran akidah Islam, apatah lagi
perbahasan saintifik dalam kalangan umat Islam hari ini. Mereka terlampau rigid
menolak sebarang unsur yang dikatakan mencemar kesucian al-Quran dan sunah.
Golongan yang menyalahi mereka dianggap sebagai ahli bidaah dan menyeleweng
daripada akidah. Golongan liberal pula berpegang kepada kebebasan melampau
menggunakan akal walaupun bercanggah dan di luar kemampuan manusia manakala golongan
sufi mengambil sumber akidah menerusi pengalaman kerohanian seperti ilham,
kasyaf, mimpi dan yaqazah.
Pendekatan wasatiyah berada di jalan
pertengahan yang tidak menerima atau menolak secara membuta tuli, tetapi
memerlukan pemikiran yang boleh diterima menurut fitrah manusia. Pendekatan
wasatiyah berpegang teguh meletakkan al-Quran dan sunah sebagai rujukan utama
tetapi pada masa sama mengambil kira fungsi akal dan pancaindera sebagai
pendokong wahyu. Akal tidak boleh melebihi dan mengatasi kesucian wahyu. Akal
dibimbing berdasarkan prinsip ditetapkan oleh para ulama silam yang
berautoriti. Pendekatan wasatiyah tidak menolak amalan-amalan sufi dan tasawuf
dalam memperkukuh agama selagi ia sahih dan tidak bercanggah dengan al-Quran
dan sunah.
Dalam konteks di Malaysia, beberapa
perkara perlu diberi perhatian sebagai akhlak dalam kehidupan, antaranya ialah
meraikan pengajaran akidah yang mesra budaya kehidupan setempat dan bersesuaian
dengan latar belakang akidah pegangan umat Islam iaitu aliran Ahli Sunnah Wal
Jamaah (ASWJ). Pengajaran akidah juga perlu memberi fokus kepada perkara yang
jelas disepakati ulama dan mengelak persoalan perselisihan antara ulama. Kita
juga perlu bertegas dalam isu-isu yang menyalahi akidah, tidak mudah
mengafirkan, membidaah atau fasik pada persoalan khilaf sesama ulama ASWJ.
Kekuatan akidah menjadi sumber inspirasi
kehidupan Muslim dalam ibadah, munakahah, muamalah, jinayah dan siyasat
al-daulah. Pendekatan manhaj wasatiyah terbaik ialah tidak menolak secara
bulat-bulat, beriman dengan penuh keyakinan sebagaimana terkandung dalam
al-Quran dan sunah tanpa sebarang tokok tambah dan takwilan yang salah, di
samping bersikap terbuka memberikan peranan kepada akal dalam mengukuhkan agama
serta akidah seperti yang dinyatakan dalam nas. Pendekatan wasatiyah tidak
terlalu ketat (ifrat) dan tidak terlalu longgar (tafrit) serta mengutamakan apa
yang lebih utama.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan