Pernyataan bahawa berpegang teguh kepada
ajaran Islam telah menyekat kebebasan adalah penyataan salah yang lahir kerana
ketidakfahaman terhadap tabiat ajaran Islam yang telah membebaskan manusia
daripada perhambaan sesama makhluk kepada hanya menyembah Allah SWT. Islam
telah membebaskan manusia daripada memperhambakan diri terhadap runtunan hawa
nafsu kepada mengatur hawa nafsu sesuai dengan peranan sebenarnya. Islam
membebaskan manusia daripada persepsi kehidupan hanya terhad kepada dunia
kepada meyakini kehidupan manusia juga melangkau hari akhirat. Mengajak dan
membebaskan manusia bertuhankan selain Allah SWT dengan fahaman tiada satu pun
agama yang benar-benar betul serta menafsirkan Islam sebagai secara literal
sebenarnya telah mengajak mereka kembali kepada perhambaan.
Mempromosi kebebasan untuk murtad
daripada agama Islam bukanlah seruan kepada pembebasan, bahkan menyalahi konsep
kebebasan dalam Islam. Mempromosi seks bebas, mewajarkan maksiat dan
kemungkaran, membebaskan manusia daripada ikatan agama adalah perbuatan
merelakan diri dibelenggu hawa nafsu. Sedangkan manusia diberi kehormatan untuk
mengendalikan hawa nafsu, bukannya nafsu bertindak sebagai tuan kepadanya.
Maka, apa juga cara termasuk ucapan mahupun tulisan mengajak orang Islam di
negara ini murtad atau melakukan maksiat secara terang-terangan hendaklah
disekat. Islam tidak menentang kebebasan bersuara atau meluahkan perasaan.
Islam mendukung konsep kebebasan sebagai hak dan prinsip politik yang mesti
dihormati, namun kebebasan tidak boleh disalahgunakan sehingga mendatangkan
kemudaratan kepada orang lain.
Kita hanya boleh menerima prinsip
kebebasan tidak melampaui batas dan tidak boleh sesekali meraikan kebebasan
yang melampaui batas kerana kebebasan seperti itu akan menimbulkan masalah
besar kepada masyarakat. Sebarang gesaan supaya umat Islam diberi kebebasan
untuk murtad, mengamalkan perkahwinan beza agama, penyuburan ideologi
liberalisme mesti dikawal dan diambil tindakan tegas supaya tindakan yang
melampau itu terkawal serta tidak merosakkan lebih ramai orang. Hal ini
bertepatan prinsip sadd al-zara’i’ dalam hukum Islam bertujuan menutup
pintu-pintu yang boleh membawa kerosakan besar kepada masyarakat. Menjadi
tanggungjawab pemerintah menjaga agama rakyatnya daripada dirosakkan dengan
alasan kebebasan yang palsu.
Al-Juwaini apabila berbicara soal
pemerintahan Islam menggambarkan tanggungjawabnya adalah lebih luas daripada
sekadar menjaga perut dan kehendak rakyat. Beliau menggambarkan pemerintah
bertanggungjawab memelihara agama rakyat iaitu syariat Islam. Oleh itu, boleh
kita katakan tindakan kerajaan mengharamkan buku Breaking the Silence: Voices
of Moderation – Islam in a Constitutional Democracy dihasilkan oleh kelompok
liberal G25 adalah menepati semangat menjaga agama rakyat. Buku itu secara
jelas bertentangan dengan perkara yang disepakati dalam syarak seperti soal
khalwat, kahwin campur agama, kebebasan untuk murtad dan pelbagai perkara lagi.
Menjemput pemikir aliran liberal perlu dipandang serius oleh kerajaan kerana ia
boleh menjadikan pemikiran umat Islam bercelaru.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan