Pada era pascamerdeka ini, kes jenayah
dan penculikan kanak-kanak semakin menjadi-jadi sehingga menjadi topik hangat
dalam media massa. Kes adik Nurul Huda Abdul Ghani yang telah meninggal dunia
dalam usia 10 tahun. Budak yang malang itu telah menjadi mangsa rogol dan
dibunuh oleh binatang yang betopeng manusia. . Kes adik Sharlinie dan adik
Asmawi yang telah terakam dalam sejarah menggegarkan negara. Kes-kes tersebut
turut diperkatakan dari warung kopi hingga persidangan parlimen. Kes-kes
jenayah kanak-kanak telah menggusarkan ibu bapa yang mempunyai anak yang seusia
dengan kanak-kanak tersebut. Untuk mengelakkan lebih banyak kanak-kanak menjadi
mangsa kepada manusia yang yang kedangkalan kemanusiaan, pelbagai langkah yang
efisien patut dilaksanakan untuk melindungi anak kita supaya mereka dapat hidup
dalam dunia yang aman, harmoni dan bahagia.
Untuk menangani masalah ini daripada
terus menjalar, ibu bapa memainkan peranan yang signifikan untuk menyelamatkan
cahaya mata yang dianugerahkan oleh Tuhan. Dalam konteks ini, ibu bapa harus
sentiasa memastikan bahawa anak mereka tidak lari daripada perhatian mereka
ketika berada di tempat awam, terutamanya di pasar malam, pasar raya dan pusat
beli belah. Kebanyakan kes kehilangan anak adalah berada di lokasi yang penuh
dengan orang ramai, terutama ketika jualan murah diadakan kerana ibu bapa sibuk
membeli belah. Ibu bapa perlu mengajar anak mereka serba sedikit pendidikan
seks, iaitu bahagian aurat badan mereka yang tidak boleh disentuh oleh orang
lain. Ibu bapa perlu membimbing anak mereka supaya menolak ajakan atau pujukan
orang yang tidak dikenali walaupun terdapat gula-gula yang enak. Dalam masa
yang sama, ibu bapa bertanggungjawab untuk memastikan anak mereka tidak
berseorangan sama ada di rumah atau di luar rumah. Contohnya adik Nurin Jazlin
membeli sesuatu di pasar malam sehingga tidak pulang untuk selama-lamanya.
Tegasnya ibu bapa perlu memikul tanggungjawab untuk menjaga keselamatan anak
kecil mereka.
Selain itu, media massa perlu mendukung
kewajipan untuk mencelikkan masyarakat kita supaya peka terhadap isu ini. Media
massa terutamanya media elektronik mempunyai pengaruh yang kuat sekali terhadap
masyarakat kita. Dalam situasi ini, pihak televisyen dan akhbar perlu
menyiarkan rencana atau rancangan yang berkaitan supaya masyarakat kita,
khasnya pengusaha tabika dan ibu bapa mengambil tindakan yang drastik untuk
mengelakkan anak buah mereka daripada menjadi mangsa kepada manusia yang
berjiwa binatang buas. Siaran daripada media massa dapat segera memancing
perhatian dan kerjasama daripada masyrakat untuk menghulurkan bantuan
bersama-sama demi menyelamatkan budak yang hilang atau kena culik. Dalam masa
yang sama, media elektronik patut menyekat rancangan ganas yang dapat
mempengaruhi orang ramai sehingga menbangkitkan nafsu yang dikutuk oleh Tuhan.
Bahan lucah yang berkaitan dengan seksual kanak-kanak harus dilarang sama
sekali sama ada dalam cakare padat digital cetak rompak ataupun dalam internet.
Adegan keganasan akan terserap ke dalam jiwa yang kedangkalan keimanan.
Senarionya, unsur keganasan akan diterjemahkan terhadap kanak-kanak yang tidak
berdosa. Natijahnya, semua media perlu menghalang rancangan yang berunsur ganas
dan berusaha menginsafkan masyarakat kita untuk menyelamatkan kanak-kanak kita
daripada menjadi mangsa.
Sementelahan itu, penguatkuasaan
undang-undang merupakan alternatif yang ampuh untuk membanteras gejala
tersebut. Hal ini demikian kerana hukuman yang ketat berupaya memperingatkan
orang ramai supaya tidak menganiaya kanak-kanak kita. Mereka yang mencabuli,
memperkosa, menculik dan mendera kank-kanak perlu dijatuhi hukuman yang berat,
seperti hukuman penjara mandatory dan hukuman gantung sampai mati. Hukuman yang
maksimum dapat menyebabkan golongan yang sering mendampingi syaitan itu berasa
serik untuk melakukan kesalahan tersebut. Sehubungan dengan itu, pihak polis
juga perlu membuat siasat dengan cepat dan segera. Sindiket perdagangan manusia
harus dibendung dengan segera. Alangkah malangnya, terdapat kanak-kanak yang
diculik ke negeri Thai dan Indonesia telah dicacatkan untuk menjadi pengemis .
Oleh itu, pihak penguat kuasa perlu melaksanakan tugas mereka dengan komitmen
supaya nyawa anak yang comel tidak diragut oleh manusia yang tidak waras.
Natijahnya, anak merupakan kurniaan Tuhan
yang akan membawa kebahagiaan dan hiburan kepada keluarga. Anak juga akan mewarnai
masyarakat, nusa dan bangsa kita. Seisi masyarakat kita bertanggungjawab untuk
melindungi mereka supaya membesar dengan aman dan sentosa. Janganlah kes
jenayah kanak-kanak dan gangguan seksual menjadi fobia kepada ibu bapa tentang
keselamatan anak mereka. Jangan terhantuk baru tengadah. Semua pihak yang
terlibat tidak patut melepaskan batuk di atas tangga dan berusaha dengan gigih
untuk melindungi hak kanak-kanak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan