Allah Azza Wa Jalla melalui wahyu Al-Quran
menekankan satu nilai yang besar dalam kehidupan kita iaitu setiap sesuatu
perbuatan mesti dibuat dalam masa dan tempohnya. Kewajiban solat fardhu 5 kali
sehari ditentukan masa-masa yang terperinci bagi setiap solat tersebut. Bila
berlalunya masa yang diperuntukan maka solat yang dilaksanakan setelah habis
waktunya dikira qadha dengan syarat dan sebab yang munasabah daripada segi
syarak. Jika seseorang sengaja meninggalkan solat dia perlu segera bertaubat
dan kembali kepada saf bersama orang-orang di masjid. Al-Quran juga
‘memperdengarkan’ kepada kita jeritan penyesalan dan teriakan nestapa orang
yang telah meninggal dunia kerana tidak melakukan kebaikan di dunia; ada
sebahagiannya bila ditanya kenapa kamu berada dalam neraka Saqar? Kerana kami
dulu tak solat.
Kisah Firaun yang mengisytiharkan
taubatnya ketika tenggelam dalam Laut Merah juga ditolak oleh Allah SWT kerana
masanya telah tamat. Kisah golongan yang menangguhkan sedekah yang meminta
untuk dihidupkan semula dari kubur. Antara dialog mereka yang Allah SWT
kongsikan kepada kita dalam ayat 100 surah Al-Mu’minun; “Moga aku dapat buat
kebaikan yang dulu aku tinggalkan (tak sempat buat sebelum mati)”. Tambahan,
masa di akhir zaman menjadi cepat kerana barakahnya hilang. Masa berlalu pantas
tapi kosong tak diisi dengan pahala. Seorang ayah akan menyesal bila melihat
anaknya yang mula meniti usia remaja tapi masih cuai dan culas dalam solat
fardhu. Dia terlepas masa ketika anak itu berusia 7 tahun untuk menekankan
solat dan dia juga terlepas usia 10 tahun untuk memberi amaran keras jika
anaknya tak solat. Masa itu tidak akan kembali. Apatah lagi jika anaknya masih
merangkak dalam membaca Al-Quran.
Seorang anak yang terlalu sibuk dengan
kerjayanya hingga mengabaikan khidmat bakti kepada ibu bapanya yang masih hidup
juga akan menyesal pada hari dia menerima panggilan berita kematian mereka. Dia
terlepas melakukan kebaikan yang disamakan pahalanya dengan jihad di jalan
Allah. Dia akan menyesal akan panggilan telefon yang tak dibuat kepada mereka
berdua. Dia akan menyesal akan cuti hujung minggu yang tak dimanfaatkan untuk
menziarahi mereka. Dia akan menyesal kerana terlalu berkira untuk mengambil
cuti daripada majikan untuk pulang ke kampung meluangkan masa bersama mereka.
Dia akan menyesal atas setiap permintaan ibubapanya yang tak dipenuhi. Meskipun
dia menangis air mata darah kerana menyesal, tapi masa itu tidak akan berulang.
Sekali-kali tidak!
Ini yang kita hilang sekarang iaitu
keberkatan. Kita ada waktu tapi Allah Azza Wa Jalla tidak berikan hidayah untuk
kita lakukan kebaikan dalamnya. Kita diberikan keluasan rezeki tetapi tiada
sedekah dan derma. Kita diberikan anugerah anak dan cahayamata tetapi kita tidak
berikan kepada mereka didikan Islam yang sempurna. Kita dinaikkan pangkat dan
jawatante tapi makin sibuk hingga tiada kesempatan untuk beribadah maupun
berkhidmat kepada ibubapa dan masyarakat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan