Masyarakat Islam yang cemerlang ialah
masyarakat yang mengamalkan cara dan amalan hidup selari dengan pengertian
akidah sebenar di mana segala urusannya akan tetap berlandaskan pengabdian diri
kepada Allah Azza Wa Jalla. sahaja walaupun dihambat arus pemodenan. Sebagaimana
yang telah digariskan oleh Allah dalam al-Quran yang bermaksud :
Katakanlah: Sesungguhnya
sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah Tuhan yang
memelihara dan mentadbirkan sekalian alam. Tiada sekutu
bagi-Nya, dan dengan yang demikian sahaja aku diperintahkan, dan aku (di antara
seluruh umatku) adalah orang Islam yang awal pertama (yang berserah diri kepada
Allah dan mematuhi perintah-Nya).
(Surah Al-Anaam:162-163)
Islam merupakan satu-satunya agama yang
berteraskan kepada akidah atau keyakinan yang luhur kepada Allah yang Maha Esa,
kepada malaikat, para rasul, kitab-kitab, adanya hari kiamat, dan kepercayaan
kepada qada dan qadar yang telah
ditentukan oleh Allah Azza Wa Jalla. Hasil dari keyakinan ini, telah membawa
kepada lahirnya kesedaran dan kesanggupan untuk menunaikan segala kewajipan yang
telah ditetapkan oleh Allah dan menjauhi segala larangan dan tegahan-Nya. Oleh
sebab itu, dalam era kehidupan yang penuh mencabar ini, amat wajar bagi kita
memastikan akidah kita, ahli keluarga serta masyarakat Islam secara
keseluruhannya tidak tergadai dalam apa jua keadaan sekalipun. Sebagai seorang
Muslim yang beriman, dalam apa jua keadaan ataupun sesibuk mana sekalipun, sama
ada sebagai pekerja atau pelajar, kita seharusnya tidak melupakan peranan dalam
mengukuhkan akidah dalam diri kita.
Sebagai ibu bapa pula, tanggungjawab
mendidik anak-anak kita mengenal Allah dan berusaha menanam akidah yang kukuh
selain dari menitikberatkan ilmu pendidikan yang lain bermula dari peringkat
awal lagi. Bahkan para ulama kita terdahulu telah meletakkan satu prinsip yang
jelas bagi kita yang bermaksud: Perkara pertama dalam mempelajari agama Islam, adalah dengan
mengenal Allah terlebih dahulu. Oleh hal yang demikian, kewajipan memantapkan
dan mengukuhkan akidah Islamiah merupakan tuntutan bagi keseluruhan umat Islam,
dengan mempelajari sifat-sifat Allah dan mengenal nama-nama Allah. Hanya dengan akidah yang kukuh dan mantap
sahaja, kita boleh menjadi umat Islam yang berjaya di dunia dan akhirat. Tiada
gunanya jika kita cemerlang dalam pendidikan atau mempunyai kerjaya yang hebat,
jika kita tidak mempunyai keimanan mendalam terhadap Allah sehingga kita
mengabaikan pula perintah atau melakukan perkara-perkara yang dilarang dan
dibenci oleh Allah.
Jika kita imbas kembali sejarah dakwah
Rasulullah di peringkat permulaan Islam sewaktu baginda di Mekah al-Mukarramah,
perkara asas yang dilakukan oleh baginda kepada para sahabatnya sebelum
diajarkan tentang syariat-syariat Islam yang lain ialah dengan mendidik para
sahabat berkenaan perkara-perkara yang bersangkutan dengan akidah dan keimanan.
Perkara ini berterusan sehinggalah akidah para sahabat mantap dan kukuh
sehingga selepas itu mereka mudah menerima apa sahaja yang telah ditetapkan
oleh Allah dan Rasul-Nya. Bahkan kerana akidah jugalah, para nabi dan rasul
sanggup menerima apa jua rintangan dan bebanan demi memperjuangkannya. Dari
Nabi Adam hinggalah kepada Nabi Muhammad. semuanya telah berusaha memelihara
akidah umat mereka agar tidak terpesong ke jalan sesat. Penghijrahan Rasulullah.
dari Mekah ke Madinah umpamanya bertujuan untuk membentuk umat Islam yang
berpegang kepada ajaran agama Islam.
Akidah yang mantap diibaratkan sebagai
simpulan iman yang ampuh, yang akan menyuntik semangat perjuangan, menyuburkan
daya saing dan memupuk perpaduan di kalangan umat Islam. Ini kerana, iman yang
tersimpul erat di dalam hati mendorong seseorang untuk berusaha, bekerja keras,
melakukan kebajikan, membina kemajuan, menunaikan tanggungjawab, sanggup berkorban
dan sebagainya. Di sini amat jelas menunjukkan bahawa usaha untuk memantapkan
kualiti ummah, perlulah terlebih dahulu diusahakan ke arah kemantapan keimanan
yang berlandaskan kepada akidah yang benar. Ini kerana, apabila akidahnya
mantap sudah pasti keimanan seseorang itu lebih kukuh dan terjamin. Manakala
tabiat tidak menitikberatkan akidah, akan menyebabkan manusia berada dalam
keadaan iman yang rapuh dan terdedah pula kepada kelekaan untuk tidak melakukan
segala perintah dan mengabaikan segala larangan Allah Azza Wa Jalla. Bahkan
yang paling dibimbangi oleh kita ialah kerapuhan iman dan kecetekan akidah umat
Islam boleh mendorong dan membawa kepada gejala murtad dan terjerumus dalam
ajaran sesat seperti yang banyak berlaku akhir-akhir ini.
Umat Islam sepatutnya berbangga dengan
status yang dianugerahkan oleh Allah sebagai khaira ummat atau umat terbaik dan cemerlang. Namun
demikian, status itu tidak akan bermakna dan tidak akan sekali-kali dapat
dicapai oleh umat Islam tanpa mengukuhkan akidah mereka. Ini kerana, akidah
merupakan nadi dan nyawa bagi umat Islam dan tidak ada tolak ansur dalam
perihal akidah. Sebagai umat Islam yang inginkan kesejahteraan hidup di dunia
dan keselamatan di akhirat, kita hendaklah menjadi masyarakat Islam yang
memelihara dan menegakkan akidah dan syariat Islam. Bagi memelihara dan
memperkukuhkan akidah pula ia hendaklah dibina atas dasar iman yang kukuh,
dibajai dengan ilmu dan amal serta dipelihara dari dicemari oleh sebarang
serangan anasir dan gejala penyelewengan dan kesesatan. Mudah-mudahan dengan
pengukuhan akidah dalam diri kita dan juga masyarakat secara umumnya, akan
dapat membantu kita mewujudkan masyarakat Islam yang bertakwa serta beramal
soleh. Seterusnya dengan kemantapan akidah ini akan menjadikan kita menjadi
masyarakat Islam yang cemerlang yang mampu hidup di dalam arus pemodenan ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan