Jumaat, 3 November 2017

DADAH ANCAMAN SEJAGAT NEGARA

Gejala pengedaran dan penyalahgunaan dadah perlu diberi perhatian serius kerana ia merupakan masalah ummah sejagat samada di peringkat nasional mahupun global, sekalipun Kerajaan telah mengisytiharkan dadah sebagai musuh nombor satu negara sejak tahun 1983 lagi. Berdasarkan statistik yang telah direkodkan oleh Agensi AntiDadah Kebangsaan (AADK) bermula pada tahun 2010 hingga 2014, purata bagi keseluruhan kes penagih baru adalah 68,308 dan penagih tegar 32,630 kes. Ini menjadikan jumlah keseluruhan penagih adalah sebanyak 100,938 kes. Penagihan dadah merupakan fenomena sejagat yang kini dilihat sebagai ancaman kepada kesejahteraan individu, keluarga, masyarakat dan negara. Penagihan dadah merupakan penyakit psiko-bio-sosial yang boleh menyebabkan seseorang individu yang terlibat akan mengalami masalah pergantungan fizikal dan psikologi terhadap dadah.

Selain itu, gejala penagihan dan pengedaran dadah boleh mengundang pelbagai tingkah laku anti sosial, anti undang-undang Negara, anti agama dan menjadikan seseorang individu itu tidak bertanggungjawab. Dadah merupakan satu istilah khas yang merujuk kepada sejenis bahan yang mendatangkan kemudaratan kepada kesihatan dan kesejahteraan seseorang dari segi fizikal, mental dan emosi serta tingkah laku apabila disalahgunakan. Kesan penyalahgunaan dadah berbeza mengikut jenisnya. Ia merangkumi dadah jenis bukan sintetik seperti heroin, morfin, candu dan ganja boleh menyebabkan penggunanya merasa khayal dan mengalami sindrom penarikan (gian). Pengambilan dadah jenis ini melalui jarum suntikan boleh menyebabkan jangkitan penyakit bawaan darah seperti AIDS dan Hepatitis B.



Di samping itu, penagih juga akan mengalami kecelaruan mental dan menjejaskan fungsi kehidupan seharian seperti pembelajaran, pekerjaan, rumah tangga dan hubungan sosial. Manakala dadah jenis sintetik seperti syabu, pil ecstasy dan amphetamine adalah dadah jenis perangsang. Penyalahgunaan dadah jenis ini akan mengakibatkan kesan yang lebih buruk seperti gangguan mental, hilang kawalan diri, bertindak agresif dan tingkahlaku ganas akibat daripada emosi yang terjejas. firman Allah SWT di dalam surah al-Baqarah ayat 195 maksudNya :

 “Dan belanjakanlah (apa yang ada pada kamu) kerana (menegakkan) agama Allah, dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan (dengan bersikap bakhil); dan baikilah (dengan sebaik-baiknya segala usaha dan) perbuatan kamu; kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang yang berusaha memperbaiki amalannya.”.


Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia yang bersidang kali Ke-76 telah mengeluarkan fatwa pengharaman terhadap sebarang kegiatan dan penyalahgunaan segala jenis dadah adalah haram kerana ianya boleh membawa kemudaratan dan kerosakkan pada diri .Hukum penyalahgunaan dadah adalah HARAM di sisi agama Islam. Semua pihak perlu menggembleng tenaga dan bersatu padu dalam membanteras segala usaha pengedaran dadah di Negara kita. Penagihan dadah akan menyebabkan seseorang itu lupa diri dan mengabaikan tanggungjawab sebagai insan muslim. Didikan agama yang mantap adalah mekanisme terbaik untuk membentengi diri dari terjebak dengan najis dadah. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan