Ahad, 12 November 2017

KERANA CINTA DAN SUKA

Memang ramai peminat bola sepak di negara ini. Sebab itu, tiket perlawanan akhir Piala Malaysia antara Kedah dan Johor, macam pisang goreng panas. Ringkas cerita, disebabkan cintakan bola sepak, 10,000 tiket di Alor Setar, Kedah, licin dalam tempoh 45 minit. Malah, ada yang sanggup tidur berdekatan kaunter tiket. Ada juga yang menunggu di stadium sejak pukul 11 malam walaupun tiket hanya mula dijual pada 9 pagi esoknya. Semuanya bagi memastikan tidak ketinggalan mendapat tiket menyaksikan perlawanan antara skuad Lang Merah dan Harimau Selatan. Dikatakan 400 bas telah mengangkut penyokong Kedah ke Stadium Shah Alam, Selangor. Begitulah apabila manusia dirasuk cinta, lautan api akan direnangi dan pelbagai halangan pasti dilalui. Tidak sabar rasanya menunggu esok, masa terasa bagaikan merangkak bergerak.


Islam tidak melarang umatnya bersukan. Cuma alangkah baiknya, semangat dan ‘kegilaan’ peminat terhadap bola sepak itu turut diterjemahkan dalam pelaksanaan ibadat terutama dalam bab solat. Setakat ini belum pernah kita melihat orang ramai atau jemaah berkumpul sebagai mana peminat yang menyerbu kaunter tiket di stadium di Alor Setar dan Larkin, yang lalu. Tidak pernah berlaku dalam sejarah mana-mana masjid di Malaysia, makmum siap sedia membanjiri pekarangan masjid menunggu solat Jumaat sejak malam Khamis lagi. Belum pernah juga para jemaah berbaris menunggu untuk solat subuh Jumaat dua tiga jam sebelum masuk waktu walaupun di sesetengah negeri yang cuti mingguannya jatuh pada Jumaat. 



Hal yang demikian disebabkan kita masih gagal mencintai Allah dan Rasul-Nya melebihi diri sendiri. Walhal orang beriman itu sangat cintakan Allah dan Nabi SAW. Sentiasa meletakkan perintah dan kepentingan agama mengatasi segala-galanya. Ini dijelaskan dalam firman Allah SWT yang bermaksud:

Katakanlah: “Jika bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara, isteri-isteri, kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khuatiri kerugiannya, dan tempat tinggal yang kamu sukai, adalah lebih kamu cintai daripada Allah dan Rasul Nya dan daripada berjihad di jalan-Nya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusan-Nya.” Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik.

(At-Taubah: 24)

Alangkah molek jika semangat berkobar-kobar para pencinta bola sepak itu dijelmakan dalam setiap perlakuan ibadat kepada Allah. Pastinya, terpancar keindahan Islam apabila masjid-masjid yang gah dibina dipenuhi setiap inci ruangnya dengan orang yang solat berjemaah lima waktu sehari semalam. Malangnya, hal sebegini tidak berlaku. Masjid hanya penuh untuk solat Jumaat, solat sunat hari raya dan solat tarawih (itupun hanya 10 malam pertama). Pada waktu-waktu lain, hanya dua tiga saf masjid yang dipenuhi jemaah. Bakinya kosong. Walhal kita maklum antara ciri tujuh golongan yang mendapat naungan Allah di akhirat kelak adalah orang yang hatinya selalu terikat kepada masjid. (hadis riwayat Bukhari).

Orang begini tidak akan melepaskan setiap peluang untuk memakmurkan masjid dengan ibadah dan amal-amal soleh secara istiqamah, terutama solat fardu berjemaah. Hatinya akan ‘resah dan gelisah’ apabila jauh dari masjid. Dia juga akan sedih sekiranya tidak boleh ke masjid pada waktu-waktu solat berjemaah dan ketika majlis ilmu diadakan. Justeru, mari kita perbaiki diri dengan meletakkan ke­utamaan mencintai Allah dan rasul-Nya mengatasi yang lain. Dengan demikian, barulah kita dapat merasakan kelazatan beribadat. Sebabnya, ganjaran pahala beribadat itu tidak dapat dilihat dengan mata kasar

Tiada ulasan:

Catat Ulasan