Jumaat, 25 Disember 2020

UCAPAN SEMPENA PERAYAAN AGAMA ORANG BUKAN ISLAM

 

Hidup dalam masyarakat majmuk yang terdiri daripada berbilang agama dan budaya adalah satu keunikan kepada kita untuk saling mengenali antara satu sama yang lain.  Walau pun berbeza agama, Islam sama sekali melarang kita untuk melakukan kezaliman, penindasan mahupun apa jua perkara yang boleh menggugat hak mereka untuk beragama. Bahkan, Allah SWT memerintahkan kepada kita untuk melakukan kebaikan kepada mereka meskipun berlainan agama. . Firman Allah SWT dalam surah al-Mumtahah ayat 8-9 yang bermaksud :

“Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan memberikan sumbangan harta kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim”.

Juga Allah SWT mengajar kita supaya mengucapkan ucapan yang baik kepada mereka yang memberikan ucapan kebaikan kepada kita. Firman Allah SWT dalam surah al Nisa’ ayat 86 yang bermaksud :

 “Dan apabila kamu diberikan penghormatan dengan sesuatu ucapan hormat, maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya, atau balaslah dia (dengan cara yang sama). Sesungguhnya Allah sentiasa menghitung tiap-tiap sesuatu”.



Pada masa sama, dalam ruang keluasan Islam menganjurkan kita bertoleransi merentasi perbezaan agama, Islam juga turut melarang kita daripada melakukan sebarang  perbuatan yang boleh menjadikan kita kufur dalam apa jua bentuknya. Sama ada dalam bentuk ucapan, perbuatan atau gerakan hati yang boleh menyebabkan kita menjadi kufur. Firman Allah SWT dalam surah al Nahl ayat 106 yang bermaksud :

 

“Sesiapa yang kufur kepada Allah sesudah beriman (maka baginya kemurkaan Allah), kecuali orang yang dipaksa (melakukan kufur) sedang jantung hatinya tenang tenteram dengan iman; akan tetapi sesiapa yang terbuka dadanya menerima kufur maka atas mereka ditimpa kemurkaan dari Allah, dan mereka pula beroleh azab yang besar.”

Oleh itu, terdapat beberapa perbahasan dikalangan para sarjana Islam di dalam menetapkan hukum mengucapkan selamat bagi perayaan agama selain Islam dan hukum merayakannya. Berlaku perbezaan pandangan dikalangan para sarjana Islam. Bagi sebahagian sarjana Islam, mereka melihat terdapat unsur mengiktiraf kekufuran apabila kita mengucapkannya. Maka bagi mereka hukumnya haram memberi ucapan perayaan agama lain kerana dibimbangi ucapan tersebut membawa kepada mengiktiraf kekufuran.

Manakala sebahagian sarajana pula melihat pemberian ucapan tersebut tidaklah berunsur mengiktiraf kekufuran tetapi sebaliknya sekadar menunjukkan kebaikan kepada penganut agama lain yang secara terang tidaklah memusuhi Islam. Maka bagi mereka yang berpandangan sebegini menyatakan hukum harus memberi ucapan tersebut dengan di ikat syarat-syarat tertentu.

Sebahagian para sarjana yang mengharamkannya seperti Syaikhul Islam Ibn Taimiyyah, juga al-Hafiz Ibn Qayyim al-Jauziyyah dengan tegas mengharamkannya dengan mendatangkan hujah dan alasan yang tersendiri. Fokus utama mereka mengharamkannya adalah mereka melihat kepada perbuatan itu seolah-olah meredhai dan mengiktiraf kebenaran agama mereka. Sebaliknya, beberapa para sarjana kontemporari seperti Prof. Dr. Yusuf al Qaradawi menyatakan keharusan mengucapkannya beserta syarat tertentu. Demikian juga Prof. Dr. Abd al Sattar Fathullah Said, seorang pensyarah Tafsir dan Ulum Quran di Universiti Al Azhar. Beliau berpandangan mengucapkan tahniah dan selamat hari raya pada perayaan bukan Islam adalah harus selagi tidak bercanggah dengan hukum syarak.

 


 

Syeikh Dr. Mustafa Zarqa’ juga mengharuskan ucapan tersebut dan beliau menyifatkan perbuatan memberikan ucapan tersebut termasuk dalam bab kesopanan (mujamalah) dalam pergaulan. Namun sesiapa yang beranggapan perayaan agama bukan Islam adalah sama seperti perayaan umat Islam maka ianya haram kerana hal tersebut termasuk dalam hal akidah dan seolah-olah ingin menyamakan semua agama (pluralism). Antara hujah Syeikh Mustafa al Zarqa mengharuskan ucapan perayaan agama lain adalah berdasarkan hadis Nabi SAW yang bermaksud :

“Sesungguhnya telah lalu di hadapan Nabi s.a.w satu jenazah, lalu baginda bangun (untuk menghormati). Lalu diberitahu kepada baginda: “Itu jenazah seorang yahudi”. Baginda bersabda: “Tidakkah ia juga jiwa (insan)?”

(Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Dalam kitab Fatawa Mustafa al Zarqa, beliau berkata: “Bangun tersebut sebagai menggambarkan penghormatan dan kemuliaan, tiada kaitan dengan akidah jenazah tersebut” (Fatawa Mustafa al-Zarqa,). Maksudnya ialah beliau membandingkan mengucapkan selamat sempena perayaan agama lain kepada penganutnya, bukan bermaksud mengiktiraf akidah mereka sebaliknya sekadar menzahirkan kesopanan.

Oleh itu, melalui perbahasan ini, dapatlah difahami bahawa terdapat khilaf atau perbezaan pendapat berkenaan hukum mengucapkan tahniah sempena perayaan agama orang bukan Islam. Semuanya tergantung pada kita untuk melihat dan menilai sekaligus mempertimbangkan kewajaran kita menzahirkan ucapan. Sekiranya tidak ada kepentingan untuk menzahirkan ucapan bagi perayaan agama lain, maka lebih baik kita tidak memberikan ucapan. Sebaliknya jika kita mempunyai kedudukan atau kepentingan seperti seorang pemimpin, seorang majikan atau selainnya maka diharuskan memberi ucapan dengan syarat ucapan tersebut tidak membawa kepada makna kekufuran.

Khamis, 24 Disember 2020

TOLERANSI DALAM BERAGAMA : YANG TERSURAT & YANG TERSIRAT

 

Toleransi dalam beragama boleh kita bahagikan dalam beberapa keadaan. Tidak semua keadaan kita perlu bertoleransi lebih-lebih lagi apabila ianya menyentuh tentang soal akidah. Hidup dalam beragama, sudah tentu mempunyai batas limitasi yang memisahkan antara yang haq (kebenaran) dan yang bathil (kesesatan).

Toleransi dalam beragama tidak bermaksud kita membiarkan kesesatan bermaharajalela bahkan toleransi dalam beragama adalah suatu ruang untuk manusia hidup dengan kepercayaan masing-masing dan saling hormat dan berlapang dada dalam perkara yang kita berbeza.



Lutfhi Assyaukanie, seorang tokoh liberal pernah menyuarakan pandangan beliau menyeru umat Islam supaya berpegang pada prinsip teologi pluralisme. Beliau membawa contoh yang berlaku dalam masyarakat Madinah dibawah pimpinan baginda Nabi SAW yang sering dijadikan model negara Islam. Islam ketika itu dilihat sebagai sebuah agama yang insklusif dan sangat toleransi dengan penganut agama lain.

Menambah kuat lagi hujahnya, beliau menyatakan di dalam Al quran, Allah SWT berfirman dalam surah al Baqarah ayat 62 yang bermaksud :

" Sesungguhnya orang yang beriman, orang Yahudi, Nasrani, Shabiin (seperti ahli kitab). Barang siapa yang beriman antara mereka itu kepada Allah dan hari Kemudian serta beramal soleh, maka bagi mereka memperoleh ganjaran pahala di sisi Tuhan dan tiada ketakutan keatas mereka tiada mereka berdukacita "

Dalam menafsirkan ayat ini, para ulama menyebutkan perkataan "Yahudi", "Nasrani" dan "Shabiin" adalah merujuk kepada mereka yang benar-benar berpegang kepada ajaran nabi mereka yang diutuskan oleh Allah tanpa diseleweng dan mengingkari arahan para nabi mereka iaitu Nabi Musa dan Nabi Isa. Hal ini bermaksud golongan yahudi, nasrani dan shabiin yang benar-benar berpegang teguh dan kuat kepada agama Allah tanpa diseleweng, mereka inilah yang dimaksudkan akan menerima ganjaran pahala diatas sebab mereka taat pada perintah Nya.


 

Walau pun para sarjana Islam berbeza pandangan dalam menyatakan maksud "Shabiin", antaranya Syaikhul Islam Ibnu Taimiyyah menyatakan maksud "Shabiin" itu adalah merujuk kepada mereka yang berbagai aliran yang muncul dari ajaran Nabi Ibrahim AS. Meskipun begitu, kehendak maksud pada ayat ini adalah selagi mana mereka ini berpegang pada kebenaran agama asal mereka iaitu agama samawi (agama yang diturunkan oleh Allah), maka golongan ini akan diberikan ganjaran pahala sama seperti orang-orang beriman yang lain.

Ayat diatas tidaklah sama sekali menuntut serta mengiktiraf kita untuk berpegang pada prinsip semua agama itu sama (pluralisme). Walhal sebaliknya, ianya menjadi pemisah antara yang haq (benar) dan yang batil (sesat). Orang Yahudi, sekiranya mereka beriman pada Allah dengan sebenar-benarnya, maka mereka layak diberi ganjaran syurga. Demikian juga orang Nasrani, sekiranya mereka beriman pada Allah dengan sebenar-benar akidah, maka selayaknya mereka juga diberi ganjaran pahala.

Islam tidak akan pernah sama sekali bertoleransi dalam hal yang melibatkan prinsip akidah tauhid. Begitu pun, Islam tidak pernah memerintahkan umatnya untuk bermusuhan, berlaku zalim dan menindas mereka yang berbeza agama. Kita sangat menyanjung tinggi sabda baginda Nabi SAW dalam sebuah hadis sahih riwayat Bukhari & Muslim, sabda Nabi SAW yang bermaksud :

" Agama yang paling dicintai oleh Allah ialah "hanafiyyah al-samhah" yang bermaksud agama yang bertoleransi "

Meskipun begitu, bertoleransi tidak bermaksud sehingga menggadaikan maruah agama, meluuctkan prinsip akidah serta melanggar hak-hak Allah pada hamba Nya. Dalam banyak hal, kita semua boleh bertoleransi diatas nama kemanusiaan, perjuangan sosial namun apabila datang dalam soal tunjang yakni akidah, tiada lagi makna toleransi melainkan kita yakin bahawa Islam adalah satu-satunya agama yang terbaik di sisi Allah SWT. Sepertimana firman Nya dalam surah Ali Imran ayat 19 yang bermaksud :

 

"Sesungguhnya disisi Allah hanyalah Islam. Tidak ada berselisih bagi orang-orang yang diberikan al Kitab kecuali setelah datang pengetahuan pada mereka kerana kedengkian (yang ada) diantara mereka. Barangsiapa yang mengingkari terhadap ayat-ayat Allah maka sesungguhnya Allah sangat cepat hisab Nya"

Berhati-hatilah dalam mengangkat makna toleransi agar kita tidak memukul sama rata sehingga dalam keadaan tidak sedar, kita telah menjunjung prinsip teologi pluralisme yang telah menyimpang jauh dari agama Islam. Semoga kita semua dirahmati oleh Allah SWT.

Sabtu, 12 Disember 2020

BUDAYA TAKFIR : MEMAHAMI PERKATAAN KAFIR

 

Budaya takfir adalah merujuk kepada budaya menuduh orang lain sebagai kafir. Dimaksudkan dengan menuduh itu adalah menuduh orang Islam dengan tuduhan kafir. Adapun orang bukan Islam, golongan ini telah dikenali dengan perkataan kafir. Jadi, orang bukan Islam terkeluar daripada tuduhan kafir kerana zahirnya mereka telah dikenali sebagai kafir.

Perkataan kafir dari sudut bahasa bermakna menutup. Disebabkan itu, di dalam Al quran, tukang kebun disebutkan sebagai "kuffar" kerana pekerjaan tukang kebun itu menutup benih dengan menggunakan tanah. Allah SWT berfirman di dalam Al quran, surah al Hadid ayat 57 yang bermaksud :

" Samalah seperti hujan yang (menumbuhkan tanaman yang menghijau subur) menjadikan penanamnya suka dan tertarik hati kepada kesuburannya "



Dari satu sudut makna yang lain, kufur adalah lawan bagi iman. Maka dapat kita fahami bahawa iman difahami sebagai kepercayaan, sebaliknya kufur difahami dengan makna keingkaran dan kemungkaran. Berdasarkan dari pemahaman makna ini dapat disimpulkan bahawa makna kufur dalam Al quran membawa dua makna iaitu yang pertama, melakukan dosa (sama ada dosa besar atau dosa kecil) yang disebut juga sebagai kufur nikmat. Kedua, kufur membawa makna terkeluar daripada agama.

Beberapa contoh penggunaan kafir bagi merujuk kepada dua makna diatas. Dalam surah al Maidah ayat 73 yang bermaksud :

" Demi sesungguhnya telah kafirlah orang-orang yang berkata : "Bahawasanya Allah adalah salah satu daripada tiga tuhan." Padahal tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Tuhan yang Maha Esa..."

Dalam ayat ini, dengan jelas Allah SWT menggunakan perkataan "kafir" kepada golongan Kristian yang mendakwa Allah itu ketiga daripada Triniti. Kekafiran ini telah mengeluarkan mereka daripada agama Islam. Ada pun dalam firman Nya yang lain, dalam surah Ali Imran ayat 97 yang bermaksud :

 

" Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadah haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya. Dan sesiapa yang kufur, maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatu pun) daripada sekalian makhluk"

Ayat ini menjelaskan kepada bahwa orang yang tidak menunaikan ibadah haji walhal dirinya mampu mengerjakan ibadah haji, maka Allah menggunakan perkataan kufur. Sedangkan tidak menunaikan ibadah haji itu tidak lah sehingga jatuh hukum terkeluar Islam tetapi boleh dianggap berdosa.

Demikian juga di dalam hadis Nabi SAW, dalam riwayat Imam Abu Daud dan Ibn Majah, baginda Nabi SAW bersabda yang bermaksud :

" Perjanjian antara kita dan mereka adalah solat. Barangsiapa meninggalkan solat, sesungguhnya dia telah kufur"



Berdasarkan hadis ini, seseorang yang telah meninggalkan solat tidak dianggap terkeluar daripada Islam sekalipun perbuatan meninggalkan solat itu dikira sebagai berdosa. Maka perbuatan meninggalkan solat itu dikira sebagai berdosa, bukannya terkeluar daripada Islam.

Penggunaan perkataan kafir perlu dilihat dalam konteksnya yang berbeza. Ada ketikanya kafir itu dirujuk sebagai mereka yang bukan Islam dan ada ketikanya kafir itu merujuk pada makna kufur, iaitu berdosa tetapi tidak sehingga terkeluar daripada Islam. Walau apa pun, kita harus diingatkan agar tidak bermudah untuk mengkafirkan orang khususnya sesama muslim. Sejarah membuktikan banyak negara Islam telah hancur dan binasa kerana budaya takfir ini. Semoga Allah berikan kita hidayah serta taufik Nya.

Selasa, 8 Disember 2020

KERTAS BERNILAI KERANA HARGA, MANUSIA BERNILAI KERANA TAQWA

 

Kertas yang seringkali menjadi kegunaan harian kita, sama ada kita gunakan kertas tersebut untuk menulis, melukis ataupun untuk lain-lain tujuan kegunaannya, mampu bertukar wajah menjadi lebih bernilai apabila kertas tersebut dijadikan wang ringgit.

Dahulu, kertas yang mungkin sekadar menjadi bahan lapik dan alas semata-mata, atau juga sekadar bahan membaca yang kemudian nya dijual pada pembelinya, dari sehelai kertas yang tidak bermakna bagi kita boleh berubah menjadi sangat berharga hanya apabila adanya nilai yang disebut wang ringgit. Maka sekaligus mampu berubah menjadi kegilaan ramai orang dan semuanya pasti berkehendak akan kertas yang bernilai ini.



Begitu juga dengan kehidupan ini. Hidup sebagai manusia, akan menjadi lebih bernilai dan berharga hanya kerana kita beriman membesarkan serta mengagungkan Allah SWT melebihi segala-galanya. Tiada nilainya jika hidup beramal soleh tetapi tidak menyembah Allah Azza Wa Jalla. Tiada maknanya jika hidup berdakwah tetapi tidak membesarkan Allah sebaliknya membesarkan usaha dakwahnya pada manusia.

Demikian juga hidup ini, amal kebaikan yang kita lakukan, namun tanpa iman kepada Allah, segalanya hanya sia-sia sahaja. Sebagaimana firman Allah Azza Wa Jalla dalam surah An Nur ayat 39 yang bermaksud :

" Dan orang-orang kafir amal-amal mereka adalah laksana fatamorgana di tanah yang datar, yang disangka air oleh orang-orang yang dahaga, tetapi bila di datangi air itu, dia tidak mendapatinya sesuatu apapun. Dan di dapatinya (ketetapan) Allah disisinya, lalu Allah memberikan kepadanya perhitungan amal-amal dengan cukup dan Allah adalah sangat cepat perhitungan Nya "

Imam Ibnu Katsir ketika menjelaskan ayat ini, beliau menyebutkan bahawa orang kafir yang menyangka mereka berada dalam kebenaran amal dan iktikad padahal amal kebaikan mereka hanya lah sia-sia sahaja kerana tidak beriman tunduk patuh kepada Allah Azza Wa Jalla. Ini bermakna, manusia menjadi bernilai dan berharga apabila dirinya tunduk patuh dan berserah pada Allah dengan mentaati segala suruhan dan larangan Nya.



Setiap perintah suruhan dan larangan Nya adalah dilakukan untuk memohon keredhaan Nya semata-mata, bukannya sekadar mendambakan pujian atau penghargaan manusia. Oleh kerana itu, kedudukan nilai mulianya manusia itu terletak pada keimanan dan ketaqwaan nya kepada Allah. Tidak kepada pakaiannya, keterunannya. Tidak juga kepada pangkat, kedudukan dan pujian manusia. Allah SWT berfirman dalam surah al Hujurat ayat 13 yang bermaksud :

"....sesungguhnya orang yang paling mulia diantara kamu disisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa diantara kamu..."

Saidina Ali bin Abi Talib ketika ditanya oleh para sahabat apakah yang dimaksudkan dengan taqwa ? Maka beliau menjawab taqwa itu ialah takut kepada Allah, beramal dengan apa yang diturunkan oleh Allah yakni al Quran, redha dengan rezeki kurniaan Allah dan sentiasa mempersiapkan diri untuk menuju perjalanan yang panjang yakni kehidupan selepas dibangkitkan.

Kalau kertas nilainya pada harga wang ringgit, maka manusia nilainya pada keimanan dan ketaqwaan nya kepada Allah SWT. Tiada iman, maka tiadalah nilai amal kebaikan kita di dunia ini. Oleh itu, lakukanlah kebaikan dengan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah. Sebaliknya jauhilah diri daripada sikap suka beramal dengan penuh mendabik dada, kesombongan dan angkuh. Kerna kelak, tiada nilainya di sisi Allah SWT. Semoga Allah memberikan kita semua taufik dan hidayah Nya menuju jalan redha Nya.

Khamis, 26 November 2020

UCAPAN "REST IN PEACE" & KAITAN AKIDAH MUSLIM

 

Setiap kali kita menerima atau mendengar berita kematian seorang muslim, agama ajarkan kepada kita untuk mengucapkan ucapan takziah dengan melafazkan perkataan "انا الله و انا اليه رجعون". Juga kita di tuntut untuk mendoakan apa-apa sahaja kebaikan untuk si mati yang beriman kepada Allah. 

Ada pun apabila kita menerima atau mendengar perkhabaran berita kematian bagi orang yang bukan muslim, kita dilarang untuk sama sekali mendoakan kebaikan untuknya setelah dia mati. Apa jua ucapan mendoakan kebaikan kepada si mati yang bukan muslim, agama melarang kita untuk mengungkapkannya. Walau bagaimana pun, Islam membenarkan kita mengucapkan rasa kesedihan, menzahirkan rasa kehilangan yang tidaklah membawa kepada keredhaan kesyirikan mereka.

Kebenaran menzahirkan rasa takziah atas kesedihan dan kehilangan ini disebutkan oleh Imam An Nawawi dalam Kitab Raudhah al Talibin, beliau menyatakan bahawa dibenarkan untuk seorang muslim untuk mengucapkan takziah bagi orang bukan muslim (zimmi) dan begitu juga bagi orang muslim yang mempunyai kerabat yang bukan muslim. Namun kebenaran ini hanya tertakluk kepada ucapan takziah atas kesedihan semata-mata. Bukan untuk mendoakannya.

Dalam kontesk ucapan "Rest In Pecae" ini, ianya adalah suatu bentuk ucapan doa yang biasa diungkapkan oleh penganut agama Kristian terutamanya dalam mazhab Katolik sejak abad ke 18 lagi. Ucapan ini juga biasanya diukir di batu nisan tanah perkuburan orang Kristian. Kerana itu, Majlis Fatwa Kebangsaan memutuskan untuk tidak menggalakkan umat Islam untuk mengucapkan RIP kepada orang bukan muslim kerana ianya mempunyai unsur keagamaan bagi agama Kristian. Ditakuti terdapat unsur tasyabbuh (menyerupai) sesuatu ajaran atau amalan agama lain.

 

     



 

Harus kita fahami bahawa, Islam tidak melarang untuk kita menzahirkan rasa sedih dan kehilangan seseorang yang bukan muslim. Bahkan atas dasar kemanusiaan, baginda Nabi SAW berdiri untuk menghormati seorang jenazah beragama Yahudi. Dalam sebuah hadis riwayat Bukhari, Nabi SAW bersabda yang bermaksud :

" Jenazah melintasi berdekatan kami lalu Rasulullah SAW bangun dan kami juga bangun. " Kami berkata, " Ya Rasulullah itu jenazah Yahudi." Baginda bersabda : " Apabila kamu melihat jenazah maka bangunlah".

Namun, apa yang dilarangkan adalah mendoakan apa-apa kebaikan dengan apa-apa lafaz yang menjurus kepada kebaikan kerana atas nama agama, kita tidak sesekali meredhai kesyirikan yang telah mereka lakukan. Kita juga harus tahu bahawa dosa syirik adalah sebesar-besar dosa yang Allah tidak akan ampunkan jika tidak bertaubat. Firman Allah Azza Wa Jalla dalam surah an Nisa' ayat 48 yang bermaksud :

" Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik mempersekutukan Nya (dengan sesuatu apa jua) dan akan mengampunkan dosa yang lain dari itu bagi sesiapa yang dikehendaki Nya (menurut syariat Nya). Dan sesiapa yang mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), maka sesungguhnya ia telah melakukan dosa yang besar".

Demikian ancaman dan amaran Allah kepada para hamba Nya agar tidak melakukan kesyirikan. Sekiranya kita mahu mendoakan kebaikan kepada orang bukan muslim, ada baiknya kita doakan ketika mereka masih hidup. Doa agar diberikan hidayah dan sebagainya, doakanlah ketika mereka masih hidup. Ada pun mereka yang telah mati dalam keadaan mensyirikkan Allah, maka tiadalah kebaikan baginya kerana telah kekal mensyirikkan Allah. Semoga Allah merahmati dan mengampuni kita semua.

Isnin, 23 November 2020

ADA APA DENGAN LAUNGAN AZAN ?

 

Setiap hari 5 kali kita akan mendengar laungan azan berkumandang di corong-corong masjid dan surau. Bermula dari awal pagi di waktu subuh sehingga lah pada kegelapan malam yang pekat iaitu pada waktu isyak. Bagi muslim, laungan azan ini merupakan syiar bagi kita untuk menyahut seruan Nya mengabdikan diri kepada Tuhan.

Ada pun bagi mereka yang bukan muslim, seringkali tertanya-tanya apakah yang diungkapkan sehingga 5 kali sehari. Tidak kurang juga ada yang menyangka orang Islam akan berkaroke atau menyanyi 5 kali sehari. Dakwaan atas sangkaan ini merupakan suatu ruang bagi orang muslim memperbetulkan salah tanggapan ini.



Pertamanya, azan merupakan syiar di dalam Islam. Tujuannya adalah untuk menyeru, memanggil serta mengajak orang muslim untuk menunaikan solat dan menuju kejayaan. Syiar azan juga merupakan petanda bahawa telah masuk waktu untuk orang muslim menunaikan solat. Maka sebahagian besar orang muslim akan menyahut seruan, ajakan serta panggilan ini dengan segera bergerak ke masjid untuk menunaikan solat.

Dalam lafaz azan, terkandung ayat-ayat yang membesarkan serta mengagungkan Tuhan yakni Allah Azza Wa Jalla seperti lafaz "الله أكبر" (Allahuakhbar) yang membawa maksud Allah Maha Besar. Selain itu, azan juga mengandungi lafaz perkataan yang mengiktiraf Nabi Muhammad sebagai utusan Allah. Lafaz itu juga nerupakan akidah umat Islam. Disebutkan juga dua kalimah syahadah. Malah dalam seruan azan juga mengandungi seruan mengajak manusia menuju kejayaan dengan cara mentaati segala perintah Nya dan menjauhi segala larangan Nya.

Laungan azan yang berkumandang di mana sahaja kita dengar, dari arah utara mahupun arah selatan, sekalipun di timur ataupun di barat, azan berkumandang dengan tujuan untuk memanggil, mengajak dan menyeru manusia tunduk patuh dan sembah hanya pada Allah Azza Wa Jalla. Kerana itu kita akan kerap kali mendengar lafaz yang sama dilaungkan 5 kali setiap hari bagi menandakan masuknya waktu solat.

 


Walaupun begitu, apabila telah masuknya waktu solat dan azan berkumandang, umat Islam boleh di mana-mana sahaja untuk menunaikan solat. Tetapi adalah lebih baik tempatnya  di masjid dan surau. Namun begitu, orang Islam diberi pilihan untuk menunaikan solat di mana sahaja asalkan ianya tidak menzalimi atau menganggu hak awam yang lain, tempat tersebut mestilah bersih dan suci dan juga mestilah tempat tersebut adalah selamat dan aman.

Ada pun sebahagian masjid dan surau yang mengadakan bacaan al quran sebelum masuk waktu subuh dengan menggunakan pembesar suara, ianya bukanlah tuntutan dalam Islam. Malah Islam sangat melarang umatnya untuk menganggu atau menzalimi hak berjiran. Perkara ini harus kita perbetulkan. Ianya bukanlah syiar seperti laungan azan. Mudah-mudahan kita semua yang berbilang bangsa dan agama saling memahami dan menghormati antara satu sama lain. Semoga Allah merahmati kita semua.

Selasa, 17 November 2020

AGNOSTIK : KEGAGALAN MEMAHAMI FUNGSI BERAGAMA DALAM KEHIDUPAN

 

Agama atau apa-apa kepercayaan yang dipegang atau dianuti oleh mana-mana kumpulan manusia adalah merupakan suatu yang bersifat fitrah bagi manusia. Sudah tentu kita sebagai manusia yang lemah memerlukan tempat kebergantungan pada sesuatu kuasa yang dipercayai dan diyakininya. Oleh itu, bagi mereka yang tidak mempercayai kebenaran agama disebutkan sebagai agnoistik yang bermaksd ragu-ragu atau keliru dengan agama.

Agnostik merujuk kepada mereka yang menyokong fahaman agnoistisme. Agnostitisme merupakan sebuah fahaman yang mendakwa tidak ada kebenaran yang mutlak yang dapat dicapai oleh mana-mana agama. Bahkan manusia juga tidak akan dapat mencari kebenaran sesuatu beragama. Antara agenda mereka ialah menuntut hak berfikir, mengkritik dan menolak mana-mana ajaran agama yang dilihat seperti tidak sesuai dan tidak kena pada masyarakat moden hari ini.



Puncanya adalah kegagalan mereka untuk memahami fungsi beragama sebenar. Sesetengah masyarakat melihat agama akan berfungsi dalam keadaan tertentu. Misalnya urusan berkaitan kematian, urusan ibadah di masjid, urusan pernikahan dan sebagainya. Selain dari itu, menjadi hak eksklusif mereka untuk bertindak biarpun tidak kena dengan perintah agama. Perkembangan kelajuan internet, kecanggihan teknologi dan kemajuan pesat juga menyumbangkan kepada kewujudan fahaman ini.

Juga kita tidak menolak kemungkinan, kekecewaan mereka dengan sikap sebahagian agamawan yang menggunakan agama untuk kepentingan diri sendiri juga merupakan faktor wujud nya fahaman agnoistik ini. Walhal, apa yang dilakukan oleh sebahagian orang muslim tidaklah mencerminkan ajaran islam yang sebenar. Keganasan rumahtangga, pembunuhan diatas nama agama dan pelbagai lagi jenayah turut ditentang dan di tegah oleh Allah SWT.

Islam diturunkan adalah bertujuan menyelamatkan manusia bukan sahaja untuk akhirat kelak, bahkan untuk di dunia juga. Risalah Islam yang dibawa oleh baginda Nabi SAW adalah bertujuan untuk memberikan berita gembira pada mereka yang beriman dan membawa amaran pada mereka yang tidak beriman. Firman Allah SWT dalam surah al Baqarah ayat 119 yang bermaksud :

" Sesungguhnya Kami telah mengutuskan engkau (wahai Muhammad) dengan kebenaran (serta menjadi) pembawa berita gembira (kepada orang-orang yang beriman) dan pembawa amaran (kepada orang-orang yang ingkar)...."

Demikian Allah telah menghantar para Rasul dan Nabi Nya untuk berulang-ulang kali memberika khabar gembira bagi yang beriman dan memberi amaran atau ancaman bagi yang ingkar. Malah, perkataan ISLAM itu sendiri memberi makna selamat, sejahtera dan damai. Islam tidaklah datang untuk menghukum orang, membebankan manusia apatah lagi untuk menzalimi manusia. Islam datang dengan membawa cahaya kebenaran mengeluarkan manusia daripada perhambaan sesama manusia menuju perhambaan yang selayaknya kepada Allah.



Ada pun sebahagian mereka yang melihat Islam itu menyusahkan terutama dalam beberapa hal seperti urusan nikah cerai adalah melibatkan masalah sistem pengurusan pentadbiran dan bukannya disebabkan kongkongan hukum hakam di dalam Islam. Dalam sebuah hadis riwayat al Bukhari, baginda Nabi SAW bersabda yang bermaksud :

" Sesungguhnya agama itu mudah, janganlah seseorang daripada kamu menyukarkan (menyulitkan urusan agama itu) melainkan kamu akan tewas"

Kata Imam Ibnu Hajar al Asqalani hadith ini menunjukkan agama melarang kita melampau dalam sesuatu urusan sehingga menyusahkan orang lain dan juga agama melarang kita melakukan ketaatan kepada Allah secara sambil lewa. Bersikap melampau atau berlebihan dilarang, malah bersikap sambil lewa juga dilarang oleh Islam.

Begitulah kedatangan Islam bertujuan untuk memainkan fungsi perhambaan, menegakkan keadilan bermasyarakat, mengimbangi antara keperluan dan kehendak disamping meraikan fitrah manusia yang mahukan keseronokan yang tidak melampau. Islam datang untuk membimbing ke arah jalan yang lurus. Semoga Allah merahmati dan memberkati hidup kita semua.

Selasa, 10 November 2020

MEMATUHI SOP ADALAH SEBAHAGIAN DARI PERKARA IBADAH & TAAT KEPADA ALLAH

Islam adalah suatu cara hidup yang menyeluruh. Bermula dari kita bangun tidur di awal pagi sehingga kita kembali tidur di waktu malam. Bermula dari di tiupkan roh di alam rahim hingga kita dibangkitkan semula di negeri abadi akhirat kelak. Maka segala gerak geri dan amal perbuatan adalah mesti bertujuan taat patuh pada Nya.

Ibadah adalah suatu bentuk ketaatan kita kepada Allah Azza Wa Jalla. Taat dalam melakukan suruhan Nya dan taat dalam meninggalkan larangan Nya. Firman Allah dalam surah Ali Imran ayat 102 yang bermaksud :

" Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwa lah kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa kepada Nya, dan jangan lah sekali-kali kamu mati melainkan dalam beragama Islam "

Maksud taqwa lah kepada Allah membawa makna melakukan ketaatan kepada Nya dengan melakukan suruhan Nya dan menjauhi segala larangan Nya. Termasuk dalam suruhan Nya adalah mentaati pemerintah. Dalam banyak ayat Al Quran, seringkali di ulang ayat tentang taat kepada pemerintah. Maka dalam segala hal pentadbiran, apa yang telah di putuskan oleh pemerintah menjadi kewajipan kita untuk mentaatinya selagi mana arahan tersebut tidak melanggar syarak.



Dalam sebuah hadis riwayat Muslim, baginda Nabi SAW bersabda yang bermaksud :

" Hendaklah kamu dengar dan patuh (kepada pemerintah) walaupun belakang kamu di pukul dan harta kamu diambil "

Kata al Syahid Syeikh Dr. Said Ramadan al Buti, hikmah disebalik wasiat hadis ini adalah supaya tidak terbuka pintu fitnah yang tidak mampu di tutup oleh sesiapa pun selepas ini. Hadis ini juga menjelaskan kepada kita bahawa ketaatan pada pemerintah adalah kekal selama mana arahan tersebut tidak menyanggahi syarak.

Maka, pematuhan SOP yang telah diputuskan oleh para pemerintah dengan mengambil kira maslahah ummah dan hal itu tidak bercanggah dengan Al quran dan As Sunnah, wajib kita dengar dan kita taat. Usah lah timbulkan persoalan konspirasi itu ini, agenda yahudi dan sebagainya. Ini semua boleh membuka ruang fitnah dan memburukkan lagi keadaan.

Ibadah kepada Allah bukan sahaja dalam hal solat, puasa, zakat dan haji sahaja bahkan mentaati arahan atau undang-undang yang diputuskan oleh pemerintah yang sah juga merupakan satu ketaatan ibadah kita kepada Allah. Sebaliknya, jika kita melawan, ingkar dan tidak patuhi SOP, hal ini bermaksud kita sudah tidak mentaati arahan Allah untuk dengar dan taat pemerintah.



Firman Allah SWT dalam surah al Anbiya' ayat 7 yang bermaksud :

"...maka tanyakan lah olehmu pada orang-orang yang berilmu, jika kamu tidak mengetahui"

Berhentilah dari terus mencetuskan teori konspirasi itu ini. Bertanyalah dan rujuklah pada ahli nya sekiranya ada yang tidak berpuas hati. Keputusan solat dengan jarak 1 meter bukanlah semudah belajar ABC, namun percayalah, Allah sedang mendidik kita supaya tidak terlalai dan terleka dengan kehebatan yang kita ada kerana hakikatnya Allah jualah segala penguasa. Semoga Allah merahmati dan memberkati hidup kita.


Isnin, 9 November 2020

DAKWAH BERTUJUAN MENGAJAK DAN BUKAN UNTUK BERLAGAK

 

Dakwah membawa makna mengajak, memanggil, menjemput juga boleh dikatakan menyeru. Dakwah merupakan tanggungjawab setiap yang bergelar muslim, tidak kira apa pun latar belakangnya, dakwah satu tanggungjawab yang mesti digalas dan ianya bukan lah satu pilihan ya atau tidak. Setiap muslim menggalas tanggungjawab ini.  Firman Allah SWT dalam surah Ali Imran ayat 104 yang bermaksud :

"Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang baik dan mencegah dari yang mungkar, mereka lah orang-orang yang beruntung"

Tidak ada ajakan, jemputan dan seruan yang lebih mulia dan lebih tinggi melainkan mengajak dan menyeru manusia mentauhidkan Allah Azza Wa Jalla. Perkara ini disebutkan oleh Allah SWT dalam surah Al Fussilat ayat 33 yang bermaksud :

"Dan tidak ada yang lebih baik perkatannya daripada orang yang menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah, serta ia sendiri mengerjakan amal soleh, sambil berkata : "Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah)."

Dalam sebuah hadis riwayat Bukhari, baginda Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud :

"Demi Allah apabila ada seorang sahaja yang mendapat petunjuk melalui dirimu, maka itu adalah lebih baik bagimu daripada unta merah (sejenis unta yang paling baik)."



Demikian beberapa dalil hujah yang menunjukkan bahawa betapa tinggi dan besarnya kedudukan serta ganjaran bagi mereka yang berdakwah khususnya kepada golongan bukan muslim, mengajak manusia mentauhidkan Allah Azza Wa Jalla. Barangkali ada dikalangan muslim yang berusaha keras untuk menyampaikan dakwah kepada bukan muslim, tetapi pada sama jangan sesekali kita terlari daripada niat asal kita berdakwah.

Berkemampuan berdakwah adalah salah satu anugerah nikmat yang tidak ternilai bagi kita. Diatas sedikit kelebihan, kelapangan masa juga kekuatan diri sendiri, telah membuatkan seseorang itu mampu berdiri sebagai seorang pendakwah hebat. Apatah lagi berjaya mengislamkan orang bukan muslim, bertambah nikmat serta rahmat dari sisi Nya. Namun disebalik semua ini, jangan pula kita memakai pakaian sombong, berlagak, mudah merendahkan orang lain yang tidak mampu berdakwah seperti kita.

Ingat lah bahawa iblis yang juga dahulu penghuni syurga, dihalau keluar dan di laknat angkara sifat sombong, takabbur dan bangga diri. Semua sifat ini boleh kita simpulkan sebagai "berlagak". Adalah tidak adil untuk menghukum orang lain tidak bersemangat dakwah hanya kerana tidak mampu bergerak melakukan kerja seperti kita. Kerana setiap diri manusia itu telah dijadikan kelebihan dan kekurangan sebagai tanda hamba itu lemah.

Allah Azza Wa Jalla berfirman dalam surah An Nisa' ayat 2 yang bermaksud :

"Dan manusia diciptakan dalam keadaan lemah"

Kata Imam Ibn Qayyim dalam kitab karangannya, Thariqul Hijratain, yang paling tepat makna kelemahan di sini meliputi semua aspek secara umum. Kelemahannya lebih dari itu. Bukan sekadar lelaki tidak tahan dengan godaan wanita, bahkan manusia itu juga lemah dari segala sudut kehidupan. Ini bermakna, kelebihan dan kekurangan setiap manusia adalah bukti manusia itu lemah dan saling lengkap melengkapi antara satu sama lain.

Oleh itu, seharusnya kita meluruskan dan memperbetulkan niat berdakwah adalah untuk mengajak manusia kembali mentauhidkan Allah, dan bukannya untuk mendabik dada akan kejayaan kerja dakwah kita semata-mata. Ukuran iman, ketaqwaan serta keikhlasan yang paling tepat adalah daripada Allah. Manusia sekadar bersangka-sangka atas apa yang manusia nampak zahirnya. Hakikatnya Allah jualah yang lebih mengetahui. Semoga Allah merahmati dan meredhai kita semua.

Jumaat, 6 November 2020

PAHIT ITU BERMAKNA, MANIS ITU BERBAHAYA

 

Kalau kita diberi pilihan, antara yang manis atau yang pahit, kebanyakan dari kalangan kita sudah tentu akan cenderung untuk memilih yang manis. Kerana manis itu menyedapkan rasa, menyenangkan hati dan memikat jiwa. Sebaliknya, yang pahit itu memotong rasa, menyakitkan hati dan menimbulkan kecewa.

Andai hidup boleh diatur dengan kehendak kita, sudah tentu kita akan memilih perkara yang manis-manis sahaja. Tidak mahu yang pahit bahkan meminta tidak ada yang pahit berlaku. Ini semua kerana mata kita yang menghukum bahawa manis itu bahagia, pahit itu derita. Angkara mata yang menilai, hati boleh tertipu dengannya.

Rupa-rupanya, disebalik sifat pahit yang sukar di telan itu, terselit beribu macam falsafah, tersimpan beribu macam hikmah. Yang manis pula, terzahir seribu satu pendustaan dan tercipta seribu satu ancaman. Kalau dalam soal makanan, gula ibarat racun. Luarannya rasa manis tetapi dalamannya membawa racun. Pahit pula ibarat ubat, luarannya rasa kelat tetapi dalamannya menjadi pengubat.

Demikian kitaran hidup yang serba macam seribu satu cerita. Ada yang manis, ada yang pahit dan ada juga yang sudah hilang jiwa dan raganya. Kerana kecewa, pahit manis bukan lagi masalahnya. Tetapi perlu membina semula jiwa raganya agar dapat kembali merasai detik pahit manisnya hidup. Logik akal akan berkata, kenapa perlu yang pahit sedangkan yang manis lebih enak.

Tetapi falsafah hidup berbicara, yang pahit kadang lebih bermakna, lebih jujur, lebih realistik walau kelat rasanya. Berbanding yang manis, sangat berbahaya. Bicaranya manis, tetapi hati belum tentu mengiyakan. Senyumannya manis, tetapi jiwa belum tentu sempurna. Untuk mengenali erti hidup, kadang kala kita perlu belajar dari kejatuhan. Belajar untuk bangkit dan bukannya untuk mengungkit. Belajar untuk bangun dan bukan sekadar terpegun.

 

 


 

Benarlah kata orang dahulu, pahit itu ubat dan manis itu racun. Kepahitan akan mengajar kita erti pengorbanan perasaan, mengajar kita erti ketabahan diri dan mengukuhkan keyakinan jiwa. Jangan tertipu dengan kemanisan, kelak badan binasa dan hati kecewa. Jangan memandang hina pada yang pahit, kelak menjadi penawar luka dan pengubat jiwa. Semoga Allah menjauhi kita daripada helah tipu daya iblis dan syaitan dalam usaha kita mentaati perintah Nya

Khamis, 5 November 2020

JIKA ALLAH BERSIFAT DENGAN MAHA PENGASIH & PENYAYANG, MENGAPA ADANYA SYURGA & NERAKA ?

 

Persoalan ini seringkali ditanya oleh mereka yang bukan muslim. Malah kadang kala terdapat segelintir masyarakat orang muslim juga tertanya-tanya apakah relevan nya Allah ciptakan syurga dan neraka andai Allah itu bersifat dengan Maha Pengasih ? Sekiranya benar Allah itu Maha Pengasih, mengapa tidak mengampuni semua hamba Nya dengan sifat pengasih Nya dan memasukkan semua hamba Nya ke syurga.

Pertamanya, kehendak Allah itu tidak bergantung pada hasrat dan impian makhluk Nya. Dia berkehendak dengan menciptakan apa-apa sahaja meski pun tidak rasional di sisi makhluk Nya. Hatta, malaikat juga pernah mempersoalkan tujuan Allah menciptakan manusia dan menjadikan manusia sebagai khalifah di atas dunia ini. Firman Allah SWT dalam surah al Baqarah ayat 30 yang bermaksud :

" Dan ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat, "Aku hendak menjadikan khalifah di muka bumi". Mereka berkata, " Adakah Engkau hendak menjadikan orang yang merosakkan dan menumpahkan darah di sana sedangkan kami sentiasa bertasbih dan mensucikan Mu ?". Allah berfirman, "Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui".



Demikian dialog Allah bersama para malaikat Nya yang mempersoalkan tentang rasional menjadikan manusia sebagai khalifah walhal para malaikat mendakwa Allah lebih tahu bahawa manusia ini akan merosakkan dan bergaduh berperang sesama sendiri. Namun atas kehendak Nya, tidak ada yang lebih mengetahui melainkan hanya Dia lah sahaja.

Keduanya, tujuan penciptaan syurga dan neraka ini adalah ujian bagi para hamba Nya yang benar-benar mendambakan keredhaan Nya. Sekiranya tiada syurga dan neraka, nescaya manusia jahat juga akan di lihat sebagai baik kerana tiada apa yang perlu di bimbangkan sekiranya melakukan kezaliman. Boleh juga kita katakan bahwa penciptaan syurga dan neraka juga adalah suatu kayu ukur motivasi manusia untuk melakukan kebaikan dan amaran kepada manusia untuk menjauhi kezaliman.

Maka timbul lagi persoalan, apakah neraka diciptakan bertujuan menghukum hamba Nya semata-mata ? Jawapannya sudah tentu tidak. Allah Azza Wa Jalla tidak akan sesekali menghukum seseorang hamba Nya melainkan setelah datangnya peringatan dan ancaman padanya. Allah dengan sifat Nya yang Maha Pengasih, tidak akan menghukumkan seseorang melainkan setelah membawa utusan untuk membimbing umat.

Firman Allah Azza Wa Jalla dalam surah an Nahl ayat 36 yang bermaksud :

" Dan sesungguhnya Kami telah mengutuskan seorang Rasul untuk setiap umat (untuk menyeru), "Sembahlah Allah, dan jauhilah taghut", kemudian di antara mereka ada yang diberi petunjuk oleh Allah dan ada pula yang tetap dalam kesesatan....."



Setelah diutuskan Rasul, maka menjadi hak manusia memilih sama ada untuk menerima atau menolak dakwah dan seruan para Nabi dan Rasul. Oleh itu, setelah membuat pilihan, maka manusia itu sendiri akan bertanggungjawab dengan apa yang telah dipilihnya dahulu. Untuk itu, setimpal lah dengan apa yang diterima sama ada syurga atau neraka berdasarkan pilihan yang telah kita sendiri tentukan.

Penciptaan syurga dan neraka tidak lah menafikan sifat kasih sayang Allah pada para hamba Nya. Ianya ibarat ujian untuk melihat kesungguhan para hamba Nya melayakkan diri sebagai ahli syurga atau neraka. Begitu juga dengan sistem pendidikan hari ini. Mengapa perlu adanya ujian peperiksaan ? Adakah para guru tidak kasih pada anak muridnya ? Sudah tentu tidak. Ujian peperiksaan dijalankan adalah bertujuan menguji kemampuan para murid semata-mata.

Demikianlah mengapa adanya syurga dan neraka. Ianya sebuah ujian untuk melihat yang terbaik dalam kalangan hamba Nya. Meskipun Allah lebih mengetahui penghujung nasib hidup kita, namun atas kemahuan Nya juga, Allah boleh mengubah nasib kita dengan kekuasaan dan pengetahuan Nya. Semoga Allah berikan kita petunjuk serta taufik Nya.