Gerakan pengislahan umat Islam telah
muncul bagi memurnikan semula fahaman umat Islam yang dilihat kian hari kian
menyimpang jauh. Gerakan islah ini juga muncul hasil tindak balas para sarjana
& cendiakawan Islam bangkit dan menentang pengaruh falsafah daripada meresap
masuk ke dalam ibadah orang Islam.
Pengaruh pemikiran falsafah yang ketika
itu mula berkembang luas di seluruh dunia telah bercampur aduk dengan pegangan
dan ajaran Islam. Maka bermula dari episod penyebaran luas falsafah ini, muncul
lah beberapa aliran-aliran dan amalan yang dicipta yang juga terkeluar dari
landasan ajaran Islam sebenar. Aliran dan amalan yang bercampur dengan pengaruh
falsafah ini bercanggah dan menyimpang jauh dari Al Quran & Sunnah.
Melihat kerancakan pengaruh falsafah ini,
maka sebahagian besar para sarjana Islam mula bergerak untuk mengislahkan
semula umat dari menyimpang jauh. Antara mereka ialah Syeikhul Islam Ibnu
Taimiyyah, Ibnu Qayyim al Jauzi, Syeikh Muhammad Abdul Wahab, Imam Abu Hassan
al Asha'ari, Imam Abu Mansur al Maturidi dan lain-lainnya.
Kesemua mereka ini meskipun berbeza
pandangan antara satu sama lain, tetapi mereka bersepakat akan kepentingan umat
Islam kembali ke ajaran Al Quran dan Sunnah. Pelbagai penulisan risalah,
artikel dan makalah dikarang dan dicetak, malah diterjemah dalam pelbagai
bahasa untuk mengajak seluruh umat Islam kembali kepada Al Quran dan Sunnah
seperti mana yang diamalkan oleh umat Islam di zaman baginda Nabi SAW, di zaman
para sahabat dan di zaman tabi'in.
Perlis antara negeri yang menerima kesan
langsung gerakan islah. Kesan dari gerakan ini telah menjadikan Perlis sebuah
negeri yang terbuka dalam menerima pakai dan meraikan semua pandangan mazhab.
Untuk itu, bagi memutuskan sesuatu isu khilaf, pemerintah bertanggungjawab
memberi kata putus berdasarkan pandangan ahli syura jawatankuasa fatwa.
Gerakan islah di negeri Perlis telah
dibawa oleh seorang tokoh ulama, Syeikh Hassan Bin Ahmad berasal dari Surabaya
Indonesia. Namun keberadaan beliau tidak lah lama. Akibat fitnah dan tohmahan
terhadapnya, maka beliau telah di usir keluar oleh Syed Alwi. Beliau dituduh
membawa ajaran baru dalam agama Islam. Namun pada tahun 1928, beliau datang
semula ke Perlis untuk menyebarkan sunnah.
Menurut Haji Abdullah Hussin, salah
seorang anak murid Syeikh Hassan Bin Ahmad, gurunya telah membuat pembaharuan
dan pengislahan dengan menentang segala perbuatan khurafat dan bida'ah dalam
agama Islam. Namun atas kegigihan tokoh ulama kita sewaktu itu, maka akhirnya
pengislahan telah berkembang pesat di bumi Perlis sehingga akhirnya, telah
terbentuk sebuah Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perlis yang mengkanunkan
perkataan Ahli Sunnah Wal Jamaah tanpa terikat dengan mana-mana mazhab
tertentu.
Sejarah pengislahan Perlis akan terus
mekar di hati dan rakyatnya. Sewajarnya bagi kita yang lahir dan hidup di
Perlis, wajib dan mesti memahami sejarah pengislahan ini agar tidam
terperangkap dengan provokasi labelan "kaum muda", "wahabi"
dan selainnya. Bagi mereka yang bukan berasal dari Perlis, adalah lebih baik memahami
dahulu sejarah Perlis sebelum menuduh yang bukan-bukan. Semoga Perlis terus
menjadi pusat pengislahan umat dari segala perkara khurafat, syirik, bid'ah dan
perkara yang memperbodohkan akal. Moga Allah merahmati kita semua.