Lumrah
sebagai seorang manusia yang penuh dengan kelemahan dan kekhilafan, ada perkara
yang kita benci dan ada perkara yang kita sayang. Malah, manusia yang
diciptakan dengan sebaik-baik ciptaan ini mengandungi beribu perasaan dalam
diri sendiri. Satu roh menanggung dan menyimpan beribu perasaan yang menjadi
fitrah bagi kita semua. Bezanya manusia dengan makhluk yang lain adalah
anugerah akal yang tidak ternilai harganya. Ini berdasarkan firman Allah SWT
dalam surah al Tin ayat 4 yang bermaksud :
"Sesungguhnya
benar Kami ciptakan manusia dengan bentuk yang sebaik-baiknya".
Dengan
sebaik-baik bentuk penciptaan ini, manusia mampu menzahirkan rasa kasih sayang,
benci, marah dan sebagainya dengan lebih sempurna. Jika kita sedang berkasih
sayang, apa sahaja yang buruk dan negatif mampu merubah menjadi cantik dan
positif. Sebaliknya, jika kita membenci sesuatu perkara, apa sahaja yang baik
dan positif mampu merubah menjadi buruk dan tidak elok. Demikianlah manusia
dengan berbagai-bagai warna warni perasaan.
Sifat
marah, sayang, benci dan lain-lainnya bukanlah suatu kelemahan bagi seseorang
manusia. Sebaliknya suatu kehormatan untuk kita mengekspresikan rasa dan
pandangan kita terhadap sesuatu perkara. Islam tidak pernah melarang fitrah
kita yang dicipta dengan sikap kasih, sayang, benci, marah dan lain-lain.
Bahkan, Islam telah mengajar kita untuk bersikap benci, sayang dan marah hanya
kerana Allah SWT. Kita membenci sesuatu perkara kerana Allah dan kita kasih dan
sayang sesuatu perkara juga kerana Allah.
Dalam
sebuah hadis riwayat Bukhari dan Muslim, sabda Nabi SAW yang bermaksud :
"Ada
tiga perkara sesiapa sahaja yang memilikinya nescaya ia akan merasakan manisnya
iman, (1) Allah dan Rasul Nya menjadi yang paling ia cintai daripada keduanya,
(2) Mencintai seseorang kerana Allah semata, (3) Benci kembali kepada kekufuran
sebagaimana dia benci dilemparkan ke dalam api".
Dalam
sebuah hadis yang lain, diriwayatkan oleh Imam Ahmad, sabda baginda Nabi SAW
yang bermaksud :
"Sesungguhnya
ikatan keimanan yang paling kuat adalah engkau mencintai kerana Allah dan
engkau membenci juga kerana Allah".
Berdasarkan
dua hadis tersebut, dapat kita fahami bahawa Islam tidak melarang kita daripada
menzahirkan rasa sayang dan benci kerana ianya adalah fitrah dan lumrah bagi
setiap diri manusia. Cumanya, Islam menuntut agar kita meletakkan kasih sayang
dan benci kita adalah kerana Allah SWT. Kita mesti meletakkan dalam diri kita
untuk berkasih sayang kerana Allah dan membenci juga kerana Allah.
Dalam
maksud yang lain, kita kasih terhadap seseorang adalah kerana kebaikan yang ada
pada dirinya, bukan kerana keistimewaan pangkat atau kedudukkan yang
dimilikinya. Begitu juga sebaliknya, kita benci terhadap seseorang adalah
kerana kita benci maksiat yang dilakukannya dan bukan kerana dirinya sendiri.
Perkara inilah yang perlu dititikberatkan dalam kehidupan kita seharian.
Keadaan
situasi hari ini, telah mengambarkan kepada kita bagaimana ramai yang
memutuskan silaturrahim antara adik beradik, sesama kawan, jiran dan sahabat
handal hanya kerana dipandu oleh emosi membenci yang sungguh melampau. Ada yang
tidak bertegur sapa hingga berkurun keturunan, ada yang hingga membawa kepada
pembunuhan. Malah, di zaman serba canggih ini, ada yang membenci hingga
mengambil sikap "block" di saluran whatsapp, facebook dan lain-lain.
Ini semua telah mengheret manusia ke lembah penghinaan dan mengundang kemurkaan
Nya.
Begitu
juga sebahagian kita yang cinta dan kasih kepada seseorang, hingga membuatkan
mata hati kita buta kepada kebenaran. Menjelma lah benih ketaksuban dan fanatik
terhadap seseorang yang akhirnya membawa kepada perpecahan dan perbalahan. Ada
yang mengasihani isteri dan anak-anak, hingga sanggup melakukan apa sahaja
mengikut kemahuan si isteri dan anak sedangkan kehendak Allah memerintahkan
supaya menjaga aurat isteri dan anaknya tidak diendahkan. Malah, ada yang
sanggup menghabiskan beribu ringgit untuk orang yang tersayang hingga
mengundang kepada pembaziran.
Sikap
melampau dalam membenci dan melebih dalam berkasih sayang ini telah
mengingatkan kita akan sebuah hadis sahih dalam kitab al Adabul Mufrad, riwayat
Imam Bukhari, pesanan Umar al Khattab apabila beliau berkata kepada seseorang
tentang rasa cinta dan benci yang maksudnya :
"Hai
Aslam , jangan jadikan cintamu sebagai beban dan jangan sampai bencimu membuat
binasa". Aku bertanya :
"Bagaimana hal itu boleh terjadi ?". Beliau mengatakan :
"Jika engkau mencintai janganlah berlebihan seperti seorang anak kecil
mencintai sesuatu. Dan jika engkau membenci, janganlah berlebihan hingga engkau
suka mencelakai sahabatmu dan membinasakannya".
Demikian
lah Islam yang telah mengajar umatnya agar sentiasa melakukan sesuatu adalah
kerana Allah, yakni bermaksud mencintai dan membenci sesuatu perkara adalah
diatas dasar agama, kerana Allah, dan bukan sebaliknya didasari oleh sifat
egois, taksub dan emosi yang melampau. Adakah kita lupa, pada zaman Nabi SAW,
terdapat seorang lelaki yang bernama Abdullah dihadapkan dihadapan Nabi untuk
disebat kerana meminum arak. Kisah ini diceritakan dalam sebuah hadis sahih
riwayat Imam Bukhari, daripada Umar al Khattab, beliau berkata :
"Sesungguhnya
terdapat seorang lelaki pada zaman Nabi SAW yang bernama Abdullah. Dia digelar
sebagai himar dan menyebabkan Rasulullah SAW ketawa. Nabi pernah menyebatnya
disebabkan dia peminum arak. Maka suatu hari dia dihadapkan ke hadapan Nabi
lalu baginda memerintahkan supaya dia disebat. Seorang laki pun berkata
"Ya Allah laknatlah dia". Berulang kali dia melakukan hal yang sama.
Maka Nabi SAW bersabda : "Janganlah kalian melaknatnya. Demi Allah tidak
aku ketahui melainkan dia ini mencintai Allah dan Rasul Nya".
Demikian
lah agama melarang kita daripada bersikap melampau dan berlebihan dalam soal
membenci dan menyayangi akan sesuatu perkara. Marilah kita memupuk dalam diri
kita akan sikap kematangan dan waras dalam mencintai dan membenci sesuatu.
Alangkah baiknya dunia ini jika kita faham dan selami perbatasan dalam benci
dan sayang ini. Inilah juga sebahagian rahmat Allah terhadap sikap benci dan
sayang. Semoga Allah merahmati kita semua.