Agama
Islam merupakan agama yang menterjemahkan makna Islam itu sendiri. Perkataan
"Islam" yang berasal dari bahasa arab membawa makna selamat,
sejahtera dan aman. Ini bermakna, Islam adalah suatu ajaran yang membawa mesej
bertujuan untuk keselamatan, kesejahteraan dan keamanan. Hal ini sekaligus
membawa maksud sebarang kekerasan, penganiayaan dan penindasan bukanlah terbit
dan lahir daripada ajaran Islam sebenar.
Sebagaimana
makna Islam itu sendiri, Islam disebarkan melalui semangat dan roh
kesejahteraan, keselamatan dan keamanan itu sendiri. Adalah tidak benar tuduhan
liar yang dilemparkan oleh sebahagian orientalis yang mendakwa Islam tersebar
dengan kekerasan dan permusuhan. Tidak keterlaluan untuk kita katakan bahawa
setiap tuduhan liar dan tidak berasas ini hanyalah sebuah teori yang tidak
berpijak diatas fakta yang sebenar. Malah, lebih jelik lagi, segala tuduhan
auta ini lebih kepada sentimen sangkaan jahat semata-mata.
Sepertimana
dakwaan oleh Carl Brockelmann, seorang orientalis berbangsa Jerman, beliau yang
pakar dalam bidang Sejarah dan Sastera Arab mendakwa setiap orang Islam telah
mewajibkan dirinya mengisytiharkan permusuhan terhadap orang bukan Islam dimana
saka mereka jumpa, kerana memerangi bukan Islam menurut mereka adalah kewajipan
agama. Beliau juga turut mendakwa antara perkara yang pasti ialah Islam tidak
akan mencapai kejayaan melainkan jika ia mencetuskan peperangan.
Dalam
catatan buku Sejarah Perancis, H. Guoman, V. Luster, mereka mendakwa
sesungguhnya bangsa Arab ini telah menguatkuasakan agama mereka dengan
kekerasan. Mereka berkata kepada manusia : "Masuklah ke dalam Islam atau
kalian mati !" sedangkan para pengikut al Masih memenangi jiwa-jiwa
manusia dengan kebaikan dan ihsan mereka. Ini antara tuduhan liar yang
dilemparkan oleh orientalis kepada Islam. Tuduhan liar ini sudah pasti
mencerminkan ketidak jujuran mereka terhadap fakta yang sebenar.
Sesungguhnya,
setiap tuduhan liar dan tidak berasas ini telah memberikan hikmah yang besar
kepada Islam. Hal ini demikian kerana lemparan tuduhan orientalis tersebut
telah membangkitkan semangat kita untuk mengkaji dan meneliti setiap tuduhan
ini dan mencari jawapan disebaliknya. Kita yakin dan percaya, sesuatu yang
batil (tidak benar) tidak dapat bertahan dengan sesuatu yang hak (benar).
Kerana kebenaran tidak akan pernah terpadam dengan kebatilan.
Bagi
menjawab tuduhan ini, pertamanya kita harus memahami peperangan yang di
perintahkan oleh Allah kepada para hamba Nya. Firman Allah Azza Wa Jalla dalam
surah al Hajj ayat 39-40 yang bermaksud :
"Diizinkan
berperang bagi orang-orang (Islam) yang diperangi (oleh golongan penceroboh),
kerana sesungguhnya mereka telah dianiaya; dan sesungguhnya Allah amat Berkuasa
untuk menolong mereka (mencapai kemenangan). Iaitu mereka yang diusir dari
kampung halamannya dengan tidak berdasarkan sebarang alasan yang benar, (mereka
diusir) semata-mata kerana mereka berkata : Tuhan kami ialah Allah..."
Juga
firman Allah SWT menerusi surah al Baqarah ayat 190 yang bermaksud :
"Dan
perangilah kerana (menegakkan dan mempertahankan) agama Allah akan orang-orang
yang memerangi kamu, dan janganlah kamu menceroboh (dengan memulakan
peperangan) ; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang
menceroboh".
Berdasarkan
firman Allah ini, dapat kita fahami bahwa pensyariatan peperangan di dalam
tidak akan disyariatkan melainkan hanya untuk tujuan mempertahankan diri,
maruah dan harta benda. Juga peperangan disyariatkan oleh Allah di ketika hak
beragama dihalang. Jika kita semak dalam sejarah peperangan Badar al Kubra,
punca tercetusnya peperangan bukanlah diatas kehendak baginda Nabi SAW. Baginda
hanya mahu melancarkan perang ekonomi keatas kaum Quraisy sebagai ganti
terhadap harta umat Islam yang telah mereka rampas ketika mereka berada di
Mekah.
Begitu
juga apa yang berlaku ketika baginda Nabi SAW hendak memasuki Kota Mekah. Tujuan
Nabi memasuki Kota Mekah bukanlah untuk mencari gaduh dan berperang dengan kaum
Quraisy. Dalam Tarikh al Tabari, Imam at Tabari menyatakan :
"Sesungguhnya
Rasulullah SAW mahu memasuki Mekah tanpa membunuh nyawa dan menumpahkan darah.
Justeru ketika memasuki Mekah, baginda mengarahkan kepada semua ketua perang
agar tidak membunuh mana-mana nyawa melainkan jika mereka yang memulakan
serangan".
Malah
catatan sejarah juga menunjukkan Islam memasuki sesebuah negeri atau empayar
dengan menawarkan mesej kesejahteraan, keselamatan dan keamanan. Dalam Futuh al
Buldan yang dikarang oleh al Baladhuri, beliau merakamkan kata-kata penduduk
Homs kepada orang Islam yang bermaksud :
"Wahai
pemimpin Islam, kamu lebih kami sukai berbanding orang-orang Rom. Walaupun
mereka seagama dengan kami, namun kalian lebih jujur, lebih berlemah lembut,
lebih membela kami dan lebih bagus dalam menjaga kebajikan kami daripada
mereka. Mereka hanya suka menguasai diri kami dan rumah-rumah kami".
Dalam
Al Da'wah Ila al Islam, dicatatkan bahawa harta-harta milik gereja di Mesir
tidak pernah diganggu oleh Amru al Asr. Beliau tidak pernah mengambil atau
merampas harta-harta milik gereja. Justeru, tidak ada sebarang bukti dan saksi
yang menunjukkan perpindahan mereka dari agama lama kepada agama Islam
disebabkan oleh paksaan, kekerasan atau penindasan yang dilakukan oleh pemimpin
Islam. Bahkan kita boleh melihat kebanyakan orang-orang Koptik telah memeluk
Islam sebelum sempurna urusan penaklukan keatas Mesir.
Terdapat
banyak lagi fakta yang menunjukkan kedatangan Islam bukanlah dengan memaksa
orang mengimaninya dengan kekerasan, penindasan dan kezaliman sepertimana yang
telah didakwa oleh sebahagian para orientalis. Hanya mereka yang buta sejarah
dan fakta sahaja yang boleh bercakap sedemikian rupa. Pelbagai peristiwa dan
rentetan sejarah dunia yang telah menunjukkan Islam memasuki sesebuah negara
atau empayar dengan membawa mesej kesejahteraan dan menawarkan keamanan dan
kedamaian. Kerana itulah intipati dan ajaran Islam sebenar. Semoga Allah
merahmati dan memberkati kita semua.