Ramadan
merupakan perkataan yang berasal dari bahasa Arab. Perkataan Ramadan diambil
daripada kata dasar رمض yang bermaksud panas yang sedang semakin hangat. Ketika
membahaskan makna ramadan ini, Imam al Qurtubi menerusi kitab tafsirnya
menyatakan bahawa kalimah Ramadan itu diambil dari perkataan (ramada iaitu)
yang membawa maksud kepanasan yang dilalui oleh orang yang berpuasa itu iaitu
ketika hangatnya organ perutnya kerana terlalu haus. Beliau juga menyatakan
bahawa dinamakan Ramadan kerana seakan ia membakar dosa melalui amal-amal
soleh.
Umum
mengetahui, pada bulan Ramadan, seluruh umat Islam disyariatkan untuk berpuasa
sepertimana yang telah diserukan kepada umat-umat yang terdahulu. Ini bermakna,
syariat ibadah puasa bukanlah sesuatu syariat yang baharu bahkan sebelum
daripada itu, telah disyariatkan kepada umat terdahulu. Dalam al Quran, Allah
SWT berfirman di dalam surah al Baqarah ayat 183 yang bermaksud :
"Wahai
orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan
atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa"
Terdapat
banyak keistimewaan dan tawaran pada bulan Ramadan yang disebut oleh Allah dan
rasul Nya melalui al Quran dan as Sunnah. Antaranya adalah bulan Ramadan
merupakan suatu bulan dimana diturunkan al Quran. Al Quran merupakan kalam
Allah SWT yang berupa wahyu Allah kepada rasul Nya dalam membawa intipati
ajaran Islam sebenar. Al Quran diturunkan bukan bertujuan sekadar untuk halwa
telinga semata-mata, bahkan ianya adalah petunjuk bagi orang yang beriman, yang
padanya juga menjadi pemisah yang benar dan salah.
Seperti
firman Nya di dalam surah al Baqarah ayat 185, Allah Azza Wa Jalla berfirman
yang bermaksud :
"Bulan
Ramadan adalah (bulan) yang di dalamnya diturunkan al Quran, sebagai petunjuk
bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan sebagai
pembeza (antara yang benar dengan yang salah)...."
Bulan
Ramadan juga menawarkan kepada kita peluang untuk menghapuskan dosa yang telah
lalu dengan syarat, kita berpuasa dengan penuh keimanan dan pengharapan kita
agar Allah memberikan ganjaran pahala diatas kesabaran kita berpuasa. Perkara
ini sepertimana dalam sebuah hadith riwayat Bukhari dan Muslim, Nabi Muhammad
SAW bersabda yang bermaksud :
"Barangsiapa
yang berpuasa Ramadan kerana iman dan mengharapkan pahala dari Allah SWT,
nescaya diampuni dosa-dosanya yang telah lalu"
Tawaran
sehebat ini hanya terdapat pada bulan Ramadan. Berpuasa kerana iman dan
mengharapkan pahala di sini bukanlah bermaksud sekadar menahan lapar dan dahaga
bahkan sebaliknya meningkatkan amal soleh, berterusan melakukan ketaatan dengan
keikhlasan dan juga sentiasa melawan diri meninggalkan perkara yang melalaikan
diri. Oleh yang demikian, berpuasa dengan penuh keimanan, menjanjikan
penghapusan dosa kita yang telah lalu.
Bulan
Ramadan juga merupakan medan latihan dan tarbiah kepada kita untuk belajar
meninggalkan perkara yang maksiat dan sia-sia. Tidak kurang dikalangan kita,
sebahagian daripada kita berazam dan bercita-cita ingin menjadikan bulan
Ramadan sebagai titik perubahan pada diri mereka sendiri. Termasuklah dalam hal
ini, berjuang dengan diri sendiri untuk meninggalkan hal yang tidak bermanfaat.
Dengan latihan dan tarbiah Ramadan ini, kita sudah pasti dengan izin Nya jua
dapat memperbaiki diri sendiri menjadi lebih baik. Dalam sebuah hadith riwayat
Bukhari, daripada Abu Hurairah RA, baginda Nabi SAW bersabda yang bermaksud :
"Sesiapa
yang tidak meninggalkan percakapan bohong dan berkelakuan keji lagi buruk
sedangkan dia berpuasa, baginya tidak ada kelebihan di sisi Allah selain
daripada lapar dan dahaga sahaja yang didapatinya".
Selain
itu, pada bulan Ramadan juga, Allah SWT akan membuka semua pintu-pintu syurga
dan menutup pintu-pintu neraka. Juga pada masa yang sama, syaitan dan iblis
dibelenggu. Perkara ini sepertimana yang terdapat dalam sebuah hadith riwayat
Bukhari dan Muslim, baginda Nabi SAW bersabda yang bermaksud :
"Apabila
sampai bulan Ramadan, pintu-pintu syurga semua dibuka, pintu-pintu neraka pula
di tutup dan diikat serta dibelenggu syaitan dan iblis".
Dengan
tawaran dan keistimewaan ini, maka sudah tentu ianya menjadi motivasi dan
pemangkin semangat untuk kita mengejar tawaran ganjaran pahala yang dijanjikan
oleh Allah SWT. Ianya bukan sesuatu "manifesto" kosong
semata-mata namun sebaliknya, pada bulan tersebut, pelbagai tawaran ganjaran
pahala bagi para hamba Nya yang benar-benar mendambakan syurga dan redha Nya.
Selain
itu, menjadi keistimewaan bulan Ramadan juga bagi orang yang benar-benar
berpuasa kerana Allah. Bagi orang yang berpuasa, Allah menjanjikan 2
kebahagiaan bagi mereka yang berpuasa. Hal ini sepertimana yang terkandung
dalam sebuah hadith riwayat Bukhari, sabda Nabi SAW yang bermaksud :
"Ada
dua kebahagiaan bagi orang yang berpuasa : pertama, ketika dia berbuka, dan
yang lainnya ketika dia bertemu Tuhannya, dan (bau) nafas (orang yang berpuasa)
lebih baik disisi Allah daripada aroma wanginya kasturi".
Pada
mereka yang berpuasa di bulan Ramadan juga, Allah Azza Wa Jalla dengan segala
kekuasaan dan keagungan Nya, menjanjikan sebuah syurga khas bagi mereka yang
berpuasa semata-mata. Syurga tersebut dikenali sebagai "Ar Rayyan".
Hal ini diceritakan oleh baginda Nabi SAW menerusi sebuah hadith riwayat
Muslim, sabda Nabi SAW yang bermaksud :
"Sesungguhnya
di dalam syurga terdapat satu pintu yang dinamakan pintu Ar Rayyan yang hanya
dimasuki oleh orang-orang yang berpuasa. Ditanya (oleh pintu tersebut) :
"Dimanakah orang-orang yang berpuasa ?" Maka mereka pun masuk dari
pintu tersebut. Setelah semua orang yang berpuasa memasukinya, pintu itu pun
ditutup dan tidak ada lagi yang masuk melaluinya".
Demikian
beberapa keistimewaan dan tawaran khas yang Allah janjikan pada bulan yang
penuh barakah ini. Sesungguhnya terdapat banyak lagi tawaran dan keistimewaan
bulan Ramadan. Namun, biarpun berapa banyak istimewa dan tawaran tersebut,
marilah bersama kita menjadikan Ramadan yang akan datang ini sebagai tetamu
yang dilayan dengan penuh ceria dan gembira. Kedatangannya disyukuri dan
pemergiannya ditangisi. Semoga Allah merahmati kita semua.