Institusi
masjid merupakan sebuah badan terhormat yang menghimpunkan dua perkara dalam
diri manusia iaitulah rohani dan jasmani. Masjid yang dianggap oleh sebahagian
masyarakat sebagai tempat untuk menguatkan rohani semata-mata seharusnya diperbetulkan
tanggapan ini bagi memberikan kefahaman sebenar peranan dan fungsi institusi
masjid. Malangnya, tanggapan sebegini telah merasuki minda umat dan ditambah
pula dengan sikap sebahagian pentadbir masjid yang kurang aktif atau tidak
mesra pelanggan.
Lebih
menyedihkan, apabila terdapat segelintir pentadbir masjid yang kurang
pengetahuan agama, mendiskriminasikan golongan kanak-kanak dengan memberikan
layanan kurang mesra seperti memisahkan saf kanak-kanak dan dewasa, menghalau
keluar mereka yang bermain di kawasan masjid, menengking dan menjerkah,
menghalang kanak-kanak dari menunaikan solat dan seumpamanya. Situasi ini
menunjukkan betapa masjid kita menjadi keras dan kaku bagi anak-anak yang masih
mentah dan tidak tahu apa-apa.
Dalam
sebuah hadith riwayat Bukhari, kata Anas bin Malik yang bermaksud :
"Rasulullah
berdiri untuk solat. Aku bersaf dengan seorang budak yatim di belakang baginda.
Sementara wanita tua berada di belakang kami"
Hadith
ini menunjukkan bahawa baginda Nabi SAW sama sekali tidak membantah tindakan
seorang budak yatim bersolat dan berada di saf hadapan bersama golongan dewasa.
Ini menjelaskan kepada kita bahawasanya betapa gagalnya kita yang mentadbir
masjid memahami sunnah Nabi SAW dalam soal memakmurkan rumah Allah SWT. Kegagalan
ini sudah tentu menatijahkan kejumudan dan kejahilan kita dalam mengurus tadbir
institusi mulia ini.
Peranan
masjid tidak diterjemahkan dengan sebenar-benar peranannya. Kegagalan para
pentadbir masjid memahami dan menghayati fungsi dan peranan sebenar masjid ini
akan meruntuhkan institusi ini sekaligus menjadikan masjid sebuah tempat yang
kaku, dipandang sepi dan sunyi. Walhal, masjid bukanlah suatu tempat sekadar
beribadah khusus sahaja seperti solat lima waktu, bahkan masjid sebenarnya
berperanan besar menjadi sebuah madrasah atau sekolah bagi masyarakat
mempelajari dan memperolehi sesuatu yang boleh memberikan manfaat untuk
kehidupan di dunia dan juga di akhirat.
Kata
seorang tokoh Islam terkenal, Dr. 'Imad ad-Din Khalil dalam kitab Dirasah fi
as-Sirah, ketika beliau mengulas tentang peranan dan fungsi masjid yang
diasaskan oleh Rasulullah SAW, katanya :
"Masjid
bukannya tempat ibadat dan solat semata-mata, bahkan kedudukannya sama seperti
kedudukan Islam itu sendiri, mencakupi pelbagai sudut agama, politik dan
kemasyarakatan"
Demikian
juga kata Dr. Yusuf al-Qaradawi dalam penulisannya al-Ibadah fi al-Islam,
katanya :
"Masjid
Nabi itu ialah madrasah dakwah, demikian juga ia merupakan pejabat negara
Islam. Padanya Nabi memberikan kerja kepada yang menganggur, ilmu pada yang
jahil, pertolongan kepada yang fakir, memandu urusan kesihatan dan
kemasyarakatan, menyebarkan berita yang penting untuk umat, bertemu dengan para
diplomat asing, mengatur tentera di medan perang, juga menghantar pendakwah dan
perwakilan untuk perdamaian".
Jika
dibandingkan peranan masjid di zaman Nabi SAW amatlah luas dan bermanfaat untuk
umat manusia. Masjid tidak sekadar menjadi tempat berhimpun untuk beribadah,
bahkan menjadi sebuah pusat kemasyarakatan berkumpul dan berhimpun mendapat
manfaat untuk hal-hal keduniaan dan akhirat. Biarpun masjid pada zaman Nabi
tidak secanggih dan sehebat pada zaman ini, namun disebalik semua itu, Islam
telah dapat ditonjolkan melalui peranan dan fungsi masjid yang sebenar.
Amat
mendukacitakan kita semua, apabila segelintir dikalangan umat Islam hari ini
yang diberikan kepercayaan untuk mentadbir dan mengurus masjid dengan
memakmurkan rumah Allah SWT namun tidak bersungguh untuk mengembalikan peranan
masjid sebenar seperti yang telah wujud di zaman Nabi SAW. Sebahagiannya masih
ada yang bersifat "berkira-kira" untuk melaburkan wang derma masjid
bagi melaksanakan program pengimarahan. Ada juga yang bersifat pasif dan
negatif, memandang remeh program-program pengimarahan dan beranggapan sesuatu
yang membazir dan tidak membantu masjid.
Bagi
sebahagian mereka yang mentadbir masjid, apa yang lebih menguntungkan mereka
ini adalah apabila dapat mengumpulkan sejumlah wang derma yang banyak dan
dipertontonkan kepada warga jemaah masjid sambil mendabik dada dengan
menyatakan inilah kejayaan pentadbir masjid berjaya mengumpulkan sejumlah wang
yang tinggi. Walhal, adalah suatu yang amat malang sekali apabila wang yang di
dermakan oleh para jemaah dengan harapan dan niat agar dapat memakmurkan rumah
Allah tetapi sedihnya, sekadar menjadi tatapan di papan kenyataan tanpa
memberikan apa-apa manfaat kepada umat masyarakat.
Ada
pula sebahagian mereka yang bergelar "orang masjid" asyik
sibuk mengira dan menghitung siapa yang tidak hadir solat berjemaah di masjid
lantas dijadikan bahan sindiran, umpatan dan sebagainya. Sepatutnya, kita lebih
sibuk memikirkan bagaimana untuk menarik orang ramai datang ke masjid dan bukan
sebaliknya sibuk mengambil kerja Tuhan menghitung siapa hadir atau tidak hadir
solat di masjid. Sebagai pentadbir yang memegang amanah menguruskan hal ehwal
masjid, seharusnya secara aktif memikirkan pendekatan dan solusi yang terbaik bagi
mewujudkan masjid yang dekat dihati dan jiwa umat Islam.
Untuk
menjadi sebuah institusi masjid yang dihormati, terlebih dulu pihak pentadbir
harus berubah sikap dan cara fikir ke arah lebih terbuka dan mesra. Pada masa
sama, mereka yang bergelar sebagai pentadbir masjid perlulah lebih berani
melakukan perubahan dari zon selesa menuju ke fasa mengembalikan semula maruah
masjid dengan menterjemahkan kembali fungsi dan peranan masjid sebenar. Untuk
itu, warga pentadbir masjid seharusnya berminda terbuka, bersedia untuk
dikiritik dan sentiasa berlapang dada menerima cadangan dan saranan yang
membina meksipun ianya datang dari seorang anak kecil.
Semestinya
perjuangan ini bukanlah perjuangan berepisod sehari dua. Adakalanya kita akan
menangis dalam tawa dan menjerit tidak bernada. Namun, inilah dugaan tribulasi
yang akan dihadapi bagi benar-benar mengembalikan rasa keagungan sebuah
institusi bernama masjid. Ianya menuntut para pentadbir untuk terus
beristiqamah, memperbetulkan niat, meluruskan semula matlamat adalah untuk
mengembalikan peranan dan fungsi masjid sebenar. Semoga Allah memimpin umat ini
yang berjuang mengembalikan rasa keagungan Islam sebenar.