Pernahkah
kita terfikir, realitinya pada hari ini, sebahagian golongan manusia yang
ingkar akan perintah Allah SWT lebih senang dan mewah hidupnya berbanding
mereka yang mentaati perintah Nya. Dalam erti kata lain, mereka yang melakukan
maksiat kadang kala lebih baik hidupnya, kaya-raya, ramai pengaruh dan
sebagainya berbanding mereka yang saban hari taat dan junjung perintah Nya,
namun hidup dibelenggu kesusahan, dicemuh dan dibenci. Logik akal akan
bertanya, mengapa keadaan itu boleh berlaku ? Apakah Allah lebih mengasihi
hamba Nya yang kufur berbanding yang beriman ?
Pertamanya,
kita harus akui bahawa setiap nikmat yang dikurniakan oleh Allah Azza Wa Jalla
bukan semestinya tanda Allah kasih dan sayang terhadap hamba Nya. Hal ini
kerana nikmat Allah itu, sebahagiannya adalah berbentuk istidraj. Perkataan
Istidraj menurut Mu'jam al-Lughah al-'Arabiyah dari sudut bahasa membawa
maksud naik dari satu tingkatan ke tingkatan selanjutnya. Dari sudut syarak
pula, istidraj bermaksud pemberian Allah terhadap hamba difahami sebagai
hukuman yang diberikan sedikit demi sedikit dan tidak diberikan langsung. Allah
Azza Wa Jalla membiarkan seseorang ditenggelami dengan nikmat berbentuk tipu
daya dunia.
Firman
Allah SWT dalan surah al-Qalam aya 44 yang bermaksud :
"Kami
akan menarik mereka sedikit demi sedikit (ke jurang kebinasaan), dari arah yang
mereka tidak mengetahuinya"
Menurut
al-Hasan dalam kitab al-Jami' li Ahkam al-Quran, beliau menyatakan
bahawa betapa ramai orang yang terkena fitnah dengan cara dipuji dan betapa
ramai orang yang terpedaya dengan cara ditutupi aibnya. Hal ini bermaksud, para
manusia pada zahirnya dilihat memiliki nikmat yang banyak, dipuji dan dipuja,
dilihat soleh dan baik perilakunya, namun semuanya itu tipu daya untuknya
merasa bangga diri, sombong dan angkuh dengan segala macam yang dimilikinya.
Dalam
kitab al-Tafsir al-Kabir, al-Razi menyatakan bahawa istidraj ialah
dengan meminta kurnia turun kepadanya satu darjat kepada darjat yang lain
sehingga mereka terpedaya. Tatkala mereka melakukan dosa, Allah SWT menambahkan
lagi nikmat sehingga melupakan mereka daripada istighfar. Berdasarkan kenyataan
ini, dapat kita fahami bahawa sebahagian nikmat yang Allah kurniakan kepada
hamba Nya yang kufur lagi ingkar terhadap Nya adalah bertujuan bagi menambahkan
lagi kemurkaa , dosa dan kesesatan pada diri hamba tersebut.
Selain
itu juga, Mulla Ali al-Qari dalam kitab Mirqat al-Mafatih Syarh Misykat
al-Masabih, menyatakan bahawa :
"Apabila
kamu melihat Allah SWT mengurniakan kepada seorang hamba dari kekayaan dunia,
sedangkan dia melakukan maksiat, maka asbab yang didapati melalui kurniaan
tersebut adalah sebagai istidraj dan tipu daya. Benarlah firman Allah :
"Kami akan menarik mereka sedikit demi sedikit (ke jurang kebinasaan),
dari arah yang mereka tidak mengetahuinya".
Sesungguhnya
setiap pemberian Allah yang dianggap oleh kita sebagai nikmat Nya, bukan
semestinya menjadi bukti dan petanda Allah kasih dan sayang terhadap hamba Nya.
Sebagai pengajaran bagi orang yang beriman, lihatlah kisah hamba Nya yang
tenggelam dalam istidraj, yang Allah rakamkan menerusi kalamNya seperti kisah
Firaun yang mendakwa dirinya sebagai Tuhan kerana tidak pernah sakit seumur
hidup. Lihatlah juga bagaimana kisah Qarun, yang padanya Allah kurniakan
limpahan harta kekayaan yang banyak, akhirnya tenggelam dengan keangkuhannya
pada Allah. Semuanya diberikan nikmat. Malangnya, nikmat tersebut diikuti
dengan kemurkaan Allah SWT.
Dalam
hal ini, baginda Nabi SAW telah mengingatkan kita akan perihal istidraj ini.
Sepertimana yang terdapat dalam sebuah hadith riwayat Ahmad, daripada Uqbah bin
Amir, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :
"Apabila
kamu melihat Allah SWT memberi kepada hamba daripada (perkara) dunia yang
diinginkannya, sedangkan dia terus melakukan maksiat kepada Nya, maka
(ketahuilah) bahawa perkara itu adalah istidraj dari Allah SWT".
Demikianlah
peringatan Nabi SAW kepada kita semua akan bahayanya istidraj, nikmat dalam
kemurkaan Allah. Maka tidak perlulah kita bersifat cemburu akan nikmat yang
dimiliki oleh mereka yang kufur dan ingkar perintah Allah. Kerana pemberian
tersebut tidak sedikitpun membawa manfaat bahkan sebaliknya mengundang
kemurkaan dan kebencian Allah Azza Wa Jalla. Nikmat yang dinikmati tersebut
bukan tanda kasih dan sayang Allah sebaliknya tanda Allah menjauhkan diri
mereka dari mendapat rahmat Allah SWT.
Istidraj,
bukan sahaja berlaku kepada mereka yang kufur, bahkan boleh terjadi juga kepada
mereka yang bergelar ilmuan dan golongan cerdik pandai. Hal ini boleh terjadi
apabila kita mula membangga diri dengan keilmuan yang dimiliki, bangga akan
pengikutnya yang ramai, sombong dan angkuh dengan kelebihan yang diberikan oleh
Nya. Semakin tinggi ilmunya, semakin besar diri mendabik dada, merendahkan
orang yang tidak setaraf dengannya. Ini juga dinamakan sebagai istidraj. Allah
berikan kelebihan padanya namun malangnya kelebihan tersebut menenggelamkan
dirinya ke lembah kebinasaan. Sebagai orang yang beriman, kita seharusnya lebih
berwaspada dengan kelebihan yang dimiliki.
Allah
SWT berfirman dalam surah al-An'am ayat 44 yang bermaksud :
"Ketika
mereka tidak mengambil pelajaran dari kemiskinan dan sakit yang Kami timpakan
kepada mereka, Kami uji mereka dengan rezeki yang banyak. Kami bukakan semua
pintu untuk memperoleh rezeki tersebut. Hingga pada saat mereka senang dan
tidak bersyukur dengan apa yang Kami berikan kepada mereka, datanglah azab
dengan tiba-tiba. Maka mereka lalu bingung, putus asa, dan tidak mendapatkan
jalan keselamatan".
Oleh
yang demikian, tidak hairanlah sekiranya ada golongan manusia yang kerjanya
melakukan maksiat saban hari, ingkar dan kufur akan perintah Allah, tetapi
diberikan pelbagai nikmat untuk menambahkan lagi kesesatan. Cukuplah dengan
nikmat yang walau nilainya kecil namun membawa rahmat dan kasih sayang Nya pada
diri kita. Tidak solat, tetapi kaya-raya bukanlah jaminan untuk selamat dunia dan
akhirat. Semoga Allah Azza Wa Jalla menjauhkan kita daripada istidraj ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan