Keputusan
Mahkamah Persekutuan berkenaan rayuan akhir berhubung kes penyelewengan dana RM
42 juta milik SRC International membabitkan Dato Seri Najib Razak telah
diputuskan oleh 5 panel hakim yang diketuai oleh Ketua Hakim Negara. Berita ini
bukanlah sesuatu yang mengembirakan secara mutlak, berita ini sangat memalukan
dan mencemarkan nama baik dan reputasi Malaysia sebagai sebuah negara Islam.
Sungguh pun, keputusan ini sedikit sebanyak memberikan kita semua pengajaran
dan hikmah yang bermakna. Bagi mereka yang mahu peduli, sudah tentu kes ini
menjadi suatu muhasabah diri juga pada diri sendiri untuk memastikan kita lebih
berwaspada dan berintegriti dalam kehidupan.
Keputusan
ini pertamanya sudah tentu menzahirkan ketelusan pihak kerajaan yang berprinsip
dan harus dipuji oleh kerana pendirian YAB Perdana Menteri sejak awal lagi
untuk tidak mahu campur tangan. Tindakan ini tidaklah semudah berbicara
menyusun kata di bibir semata. Memerlukan kepada keteguhan prinsip, berjuang
dengan diri sendiri supaya tidak tunduk dengan mana-mana desakan pihak luar untuk
mencampuri urusan badan kehakiman. Wajar dipuji dan dihargai. Sebaliknya,
Pakatan Harapan yang pernah memerintah selama 22 bulan seharusnya berasa malu
dan segan dengan ketelusan ini. Rekod PH selama 22 bulan menyaksikan banyak
kes-kes berprofil tinggi yang melibatkan kroni-kroni mereka digugurkan.
Kemana
pergi isu kes LTTE, kumpulan pengganas yang di dokong oleh sebahagian pemimpin
kanan DAP seperti Ramasamy. Bukan satu dua laporan polis bahkan ratusan laporan
dibuat terhadap beliau. Apa cerita tentang kes-kes yang melibatkan rasuah dan
penyelewengan projek terowong ? Mengapa tiada tindakan dibuat keatas peguam
tidak bermoral, Siti Kasim yang mengangkat isyarat lucah ? Bagaimana khabar kes
fitnah Tabung Haji tahun 2019 sehingga mengakibatkan segelintir rakyat panik
dan mengeluarkan duit simpanan dalam akuan Tabung Haji ? Semuanya ditinggalkan
dengan seribu satu persoalan. Sekurang-kurangnya, Dato Seri Najib tidak bacul
dan pengecut dengan mahkamah tanpa diminta untuk digugurkan kesnya.
Selain
itu, keputusan kes ini juga sedikit sebanyak memberikan tamparan hebat kepada
mereka yang gila kuasa dan takhta. Bagi mereka, selagi malaikat Izrail tidak
datang mencabut nyawa, barangkali selagi itulah perlumbaan mencari kuasa dan
takhta diteruskan. Ingatlah bahawa harta dan kemewahan juga termasuk seluruh
isi dunia ini hanyalah perhiasan yang menipu belaka. Allah mengingatkan kita
dalam surah al-Hadid ayat 20 yang bermaksud :
"Ketahuilah
bahawa sesungguhnya kehidupan dunia ini hanyalah permainan dan suatu yang melalaikan,
perhiasan dan bermegah-megah antara kamu serta berbangga-banggaan tentang
banyaknya harta dan anak, seperti hujan yang tanam-tanamannya menggagumkan para
petani ; kemudian tanaman itu menjadi kering dan kamu lihat warnanya kuning,
kemudian menjadi hancur..."
Demikianlah
sifat dunia yang sementara. Tidak ada yang kekal selamanya melainkan amal soleh
kita. Oleh itu, berpolitik haruslah ditekad untuk berbuat kebajikan, bukannya
rakus dan membolot kemewahan. Sesungguhnya, kita akan benar-benar apabila
berada di puncak dunia. Di ketika segalanya kita miliki, maka kita akan diuji
dengannya. Begitu juga sebaliknya, kita benar-benar akan diuji pula sewaktu
kita telah jatuh dipandang hina. Segala kekuasaan hanyalah milik Allah. Sehebat
mana pun kita memegang tampuk kuasa, Allah lebih tinggi dari segalanya. Firman
Allah SWT dalam surah ali Imran ayat 26 yang bermaksud :
"Katakanlah
(wahai Muhammad) : "Wahai Tuhan yang mempunyai kerajaan ! Engkaulah yang
memberikan kerajaan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang
mencabut kerajaan daripada sesiapa yang Engkau kehendaki, Engkaulah juga yang
memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah juga yang menghina
sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkau sahajalah adanya segala
kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu".
Lihatlah
betapa dunia ini berputar mengikut ketetapan Nya. Begitu juga kehidupan manusia
yang bagaikan roda berputar. Jika dahulu, dirinya disanjung. Dihormati dan
dipuji. Dikerumuni oleh rakan dan taulan. Namun dengan kekuasaan Nya jualah,
kini dirinya dihina dan dicaci. Kejatuhannya dirai dan disyukuri. Yang kawan
bertukar menjadi lawan. Yang setia berubah arah menjadi khianat. Demikian hati
manusia yang bersifat berbolak-balik tanpa berprinsip. Biarpun jasanya dahulu
diangkat dan dicanang seantero dunia, namun semuanya berubah dengan sebuah
keputusan mahkamah. Insaflah. Dunia ini tiada yang kita punya.
Keputusan
mahkamah ini juga memberi isyarat kepada kita semua bahawa negara ini
benar-benar mahu menjadi negara yang bersih dan bermaruah. Seperti mana kita
berperang dengan bahana najis dadah, begitulah juga kita harus berperang
habis-habisan dengan mereka yang melakukan jenayah rasuah dan penyelewengan.
Keputusan tegas ini akan menjadi penanda aras dan amaran keras kepada semua
pihak untuk jangan sesekali berani menunggang dan menyalahgunakan kausa. Ianya
satu amaran tegas berprinsip. Keluhuran undang-undang akan terus dipasak tanpa
memilih bulu. Siapa pun dia, jika didapati bersalah, selayaknya hukuman dikenakan.
Jangan jadi seperti "Musang Berjanggut", sesuka hati melanggar
peraturan yang beliau sendiri bikin.
Duduk
di penjara bukanlah seburuk-buruk tempat. Ada yang lebih buruk lagi tempat
kembalinya iaitu neraka jahannam. Banyak ruang dan peluang boleh diambil
apabila diri dipenjara. Boleh jadi dengan hukuman tersebut, menjadikan kita
mempunyai lebih masa untuk beribadah dan bergantung harap kepada Allah. Boleh
mengelakkan kita daripada lalai dan alpa. Barangkali ianya juga boleh menjadi
platform terbaik untuk berubah. Jangan pernah kita lupa, Buya Hamka pernah
dipenjara oleh Presiden Soekarno. Hikmahnya, sepanjang di penjara, beliau
berjaya menghasilkan kitab tafsirnya, Al-Azhar yang sehingga kini dijadikan
rujukan utama umat manusia.
Selain
itu, Syaikhul Islam Ibn Taimiyyah juga pernah dipenjara. Meskipun begitu,
ketika berada di dalam penjara, beliau tetap menulis dan mengajar di dalamnya.
Sama sekali tidak melemahkan semangat dan roh perjuangannya membawa kebenaran
dan menolak kebatilan. Sejarah mencatatkan ramai lagi para cendiakawan, tokoh
tersohor yang dipenjara seperti Imam as Syafie', Imam Abu Hanifah, Syed Qutb
dan lain-lain. Namun semuanya tidak sama sekali mematahkan semangat untuk terus
berkhidmat. Oleh itu, penjara bukanlah penamat kepada segalanya. Sangka baiklah
kepada Nya. Mudah-mudahan hukuman ini akan memuhasabah diri untuk menjadi lebih
baik.
Akhirnya,
pengajaran buat kita semua agar tidak mendahului kuasa Tuhan dalam menghukum
mana-mana manusia. Jangan pernah mengambil kuasa Tuhan menghukum mereka yang
bersalah seolah-olah tempat kembali mereka di neraka. Cukuplah sekadar
menzahirkan kebencian kepada perbuatan maksiat tersebut. Janglah melampaui
batas. Baginda Nabi SAW pernah melarang para sahabatnya daripada mencela dan
melaknat Nu'aiman bin Amr, seorang pemabuk yang sering menjadi penghibur hati
baginda Nabi. Nabi larang mencelanya kerana baginda tahu dihatinya ada perasaan
cinta dan kasih pada Allah dan Rasul. Semoga kita benar-benar mengambil
pengajaran dengan apa yang telah terjadi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan