Umumnya
ketahui, perkataan merdeka membawa makna sebuah kebebasan. Dalam konteks tanah
air, kita bebas daripada dijajah atau ditakluki oleh mana-mana kuasa luar. Kita
tidak perlu lagi bergantung pada kuasa luar bagi mengurus dan mentadbir negara
sendiri. Kita bebas daripada cengkaman kezaliman Jepun, British dan lain-lain.
Untuk itu, kita akan melaungkan kalimah merdeka sebagai tanda kita bebas daripada
mereka. Demikianlah merdeka yang disambut oleh kita saban tahun.
Kemerdekaan
yang sebenar adalah apabila manusia itu sendiri dapat membebaskan diri dari
menjadi hamba sesama makhluk kepada menjadi hamba kepada Tuhan empunya seluruh
isi bumi dan langit. Hakikat yang perlu kita sedar bahawa yang dinamakan dunia
ini tidak ada kebebasan mutlak bagi kita semua. Kita akan terikat dengan
peraturan dan garis panduan kehidupan melalui petunjuk agama yang lurus
iaitulah al Quran dan as Sunnah.
Hidup
sebagai seorang manusia yang merdeka, membebaskan diri dari cengkaman manusia,
tidak lagi memperhambakan diri kepada manusia, berani berkata benar meskipun
tahu akan ada harga perjuangan yang perlu dibayar, tidak gentar akan apa yang
pihak musuh perkatakan selagi hal itu tidak dimurkai oleh Tuhan sekalian
makhluk, demikianlah orang yang jiwanya benar-benar merdeka. Jika sekadar tahu
mengiyakan sahaja tanpa berani bersuara, hanya bijak untuk mengikuti semberono
tanpa berfikir, maka selama itulah kita diperhambakan oleh mereka yang
mengambil kesempatan diatas dunia.
Jiwa
merdeka adalah pada manusia yang bertuhankan Allah Azza Wa Jalla. Datanglah
pelbagai ajaran untuk menolak dan menafikan kewujudan Tuhan, namun hakikatnya
manusia harus akur akan sunatullah ini (ketetapan Allah) bahawa manusia secara
fitrahnya cenderung kepada hidup bertuhan. Sejarah telah merakamkan keadaan
yang telah berlaku kepada penganut dan pendokong ajaran blok komunis, yang
akhirnya mereka sendiri telah mempertuhankan guru mereka Lenin dan Karl Mark.
Allah SWT berfirman dalam surah al-Jathiyyah ayat 23 yang bermaksud :
"Maka
tidakkah kamu lihat orang yang menjadikan hawa nafsunya tuhan (yang
dipatuhinya), dan dia pula disesatkan oleh Allah kerana diketahui (bahawa ia
tetap kufur ingkar), dan ditutupi pendengarannya dan hatinya, serta diadakan
lapisan penutup atas penglihatannya ? Maka siapakah lagi yang dapat memberi
hidayah petunjuk kepadanya sesudah Allah (menjadikan dia berkeadaan demikian) ?
Oleh itu mengapa kamu (wahai orang-orang yang ingkar) tidak insaf ?"
Dalam
catatan lembaran sejarah Islam, tidak pernah tercatat perkataan "menjajah"
apabila tentera-tentera Islam memasuki mana-mana wilayah. Sebaliknya,
disebutkan sebagai al-Fath (pembukaan) seperti Fath al-Makkah yang
membawa maksud pembukaan kota Makkah. Oleh yang demikian, kita dapat melihat
beberapa pembukaan-pembukaan kota wilayah adalah bukan bertujuan untuk
menjajah, sebaliknya adalah untuk membuka wilayah bagi membebaskan para umat
manusia dari dibelenggu perhambaan sesama manusia kepada perhambaan diri kepada
yang selayaknya iaitulah Allah SWT.
Dalam
kitab al-Kamil fi al-Tarikh, lihatlah ungkapan bermakna yang diungkapkan
oleh seorang manusia biasa namun menggegarkan kuasa dunia Parsi. Dialah Rib'i
bin Amir, seorang arab badwi yang tidaklah berpelajaran tinggi, namun dibentuk
dan dididik oleh Rasulullah SAW. Beliau yang diutuskan oleh Amirul Mukminin,
Umar al-Khattab untuk bertemu dan berhadapan dengan Rustam, pemimpin terulung
kerajaan Parsi ketika itu. Rustam dengan penuh keangkuhan, bertanyakan apa
tujuan Rib'i datang ke Parsi. Dengan lagak sombong, Rostam mengatakan apakah
kamu sedar yang kamu sedang berhadapan dengan kuasa besar dunia Parsi ?
Rib'i
bin Amir yang datang dengan pakaian yang lusuh, berlilitkan kain di kepala, dan
berdepan dengan panglima besar Parsi, Rustam yang dijulang dengan kemewahan,
beliau membalas persoalan Rustam tersebut dengan berkata :
"Allah
yang membangkitkan kami agar kami mengeluarkan sesiapa yang dikehendaki Nya,
dari pengabdian sesama hamba menuju pengabdian kepada Allah, dari kekejaman
agama-agama kepada keadilan Islam, dari dunia yang sempit kepada keluasan dunia
dan akhirat"
Sungguh
ungkapan ini walau pun ringkas namun telah membawa makna yang begitu besar
dalam kehidupan manusia yang beragama. Ungkapan seringkas ini tidak mungkin
dapat diucapkan oleh seorang yang tidak berjiwa merdeka. Seberani dan sejelas
ungkapan ini tidak akan mudah dituturkan andai hati ini masih berpaut dan
tunduk pada segala isi dan kehendak dunia. Bayangkan, ungkapan ini diungkapkan
oleh satu orang arab kampung, tidak berpelajaran, apatah lagi untuk mempunyai
sebarang kedudukan tinggi disisi manusia. Orang biasa namun kata-katanya luar
biasa.
Oleh
itu, acara menyambut kemerdekaan saban tahun adalah baik bagi menyedarkan kita
untuk menghargai nikmat keamanan dan kesejahteraan hidup. Namun pada masa sama,
ada hal yang lebih besar dan penting dari itu adalah soal bagaimana
penghayataan sebenar makna kebebasan dalam diri kita semua. Jiwa yang merdeka
tidak dapat dibentuk dengan sekadar melaungkan kalimah keramat merdeka sebanyak
beberapa kali. Membentuk jiwa yang merdeka tidak semudah kita menyanyi
lagu-lagu patriotik semata-mata. Perjuangan ini bagi membebaskan diri kita dari
terbelenggu perhambaan diri kepada dunia adalah perjuangan kita sehingga kita
mati.
Kemuliaan
jiwa yang merdeka adalah kerana agamanya Islam yang suci dan bersih dari
sebarang kesyirikan. Hidup dengan kemuliaan bukan kerana kita bangsa tertentu,
tetapi kerana agama Islam itu sendiri. Kerana datangnya Islam yang adil, umat
manusia diselamatkan dari kezaliman manusia yang rakus berkuasa. Kerana
datangnya Islam yang suci, mengeluarkan para wanita dari menjadi hamba seks
semata-mata kepada menjadi manusia yang terhormat. Demikian juga kerana
datangnya Islam yang luhur, menghapuskan ketaksuban kepuakan dan kesombongan
diri.
Benarlah
kata Amirul Mukminin, Umar al Khattab yang dirakamkan dalam kitab al-Mustadrak,
ketika beliau membuka Masjid al-Aqsa. Kata Umar al Khattab :
"Kita
dahulunya adalah kaum hina, Allah yang telah memuliakan kita dengan Islam,
andainya kita mencari kemuliaan selain dari apa yang telah Allah muliakan kita
dengannya maka kita akan dihina oleh Allah"
Demikianlah
kebebasan sebenar bagi orang yang beriman. Kebebasan sebenar bukanlah bermakna
dengan sesuka hati kita boleh lakukan apa sahaja. Tetapi kebebasan ini
bermaksud melepaskan diri dari segala macam belenggu dunia dan mengikat diri
kita sebagai yang dicipta kepada yang mencipta yakni Allah SWT. Marilah kembali
kita memperbetulkan diri sebagai umat yang merdeka dari sebarang perkara syirik
dan khurafat. Bebaskan diri dari dibelenggu sifat jumud dan taksub. Keluarlah
dari kepompong kejahilan dan carilah cahaya keilmuan. Semoga Allah mengampuni
kita semua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan