Kekayaan
harta dan kemewahan dunia adalah antara sebahagian nikmat Allah SWT yang
dikurniakan untuk hamba Nya. Kesenangan hidup dengan memiliki harta yang banyak
bukanlah sesuatu yang salah dan bercanggah dengan agama. Sejarah telah
merakamkan kisah bagaimana kekayaan yang dimiliki oleh Uthman bin Affan RA,
seorang tokoh korporat yang telah banyak menginfakkan hartanya ke jalan Allah
SWT. Kekayaan yang dimiliki beliau telah membuatkan dirinya membeli telaga air
yang asalnya kepunyaan seorang Yahudi, dan menjadikan telaga tersebut sebagai
wakaf umat Islam.
Kisah
ini adalah berdasarkan hadith Nabi SAW riwayat Muslim, sabda baginda Nabi SAW
yang bermaksud :
"Wahai
Sahabatku ! Sesiapa sahaja diantara kamu yang menyumbangkan hartanya untuk
dapat membebaskan telaga itu, lalu mendermakannya untuk umat, maka akan
mendapat syurga Allah"
Apabila
perkara tersebut diketahui oleh Uthman bin Affan, dengan segera beliau telah
bertindak membeli dan mewakafkan telaga tersebut untuk kegunaan umat Islam
sehingga ke hari ini. Berdasarkan kisah ini, jelas pada kita bahawa
sesungguhnya Islam bukanlah suatu agama yang memusuhi harta kekayaan. Malah,
Islam sangat menggalakkan umatnya untuk berusaha bekerja mencari rezeki dan
nafkah kehidupan. Hal ini sepertimana firman Allah SWT dalam surah al-Jumuah
ayat 10 yang bermaksud :
"Apabila
solat telah dilaksanakan, maka bertebaranlah kamu di bumi ; carilah kurnia
Allah dan ingatlah Allah banyak-banyak agar kamu beruntung"
Allah
SWT sebagai Tuhan yang menciptakan hamba Nya tentu sudah mengetahui akan
kecenderungan para hamba Nya yang suka akan harta kekayaan. Oleh kerana itu,
berdasarkan firman tersebut, Allah membenarkan para hamba Nya setelah selesai
solat jumaat untuk keluar menyambung kembali apa jua pekerjaan halal dan Allah
mengingatkan hamba Nya dalam usaha mencari rezeki yang halal, jangan pernah
kita melupakan akhirat. Ingatlah Allah kerana ingatan tersebut akan
menyelamatkan kita daripada tenggelam di dalam keasyikkan kekayaan dunia.
Harta
kekayaan bukanlah sesuatu yang dibenci atau dimusuhi oleh Allah, sebaliknya
yang diperangi adalah sikap melampau, tamak dan sebagainya. Sebenarnya harta
kekayaan merupakan asas dalam kehidupan manusia. Tanpa asas ini, kehidupan umat
akan menjadi mundur ke belakang, jatuh dalam kemiskinan, hidup melarat dan
kerja hanya menagih simpati manusia lain. Allah SWT telah mengiktiraf harta
sebagai suatu asas dalam pembangunan hidup umat manusia. Firman Allah Azza Wa
Jalla dalam surah al Nisa' ayat 5 yang bermaksud :
"Dan
janganlah kamu berikan (serahkan) kepada orang-orang yang belum sempurna
akalnya akan harta (mereka yang ada dalam jagaan) kamu, (harta) yang Allah
telah menjadikannya untuk kamu sebagai asas pembangunan kehidupan kamu, dan
berilah mereka belanja dan pakaian daripada pendapatan hartanya (yang kamu
niagakan), dan juga berkatalah kepada mereka dengan kata-kata yang baik".
Selain
itu, Islam juga mengajar umatnya untuk mencari harta sebagai usaha mencari
nafkah untuk keluarga. Berusaha mencari harta kekayaan dengan jalan yang baik
adalah lebih mulia dan bermakna daripada kerja meminta-minta menagih simpati
pada manusia lain. Walaupun dengan kerja sekadar memungut kayu api lalu dijual
untuk mendapat hasil, perkara itu lebih baik berbanding hidup merempat
meminta-minta semata-mata. Hal ini seperti yang telah diriwayatkan oleh
Bukhari, dalam sebuah hadith daripada Zubair bin Awwam, bahawa Nabi SAW
bersabda yang bermaksud :
"Sesungguhnya
seseorang dari kalangan kamu mengambil talinya lalu membawa seikat kayu bakar
diatas belakangnya, kemudia dia menjualnya sehingga dengannya Allah menjaga
wajahnya (kehormatannya), itu lebih baik baginya daripada ia meminta-minta
kepada orang lain, sama ada mereka memberinya atau tidak memberinya".
Tanggapan
bahawa Allah mencemuh kehidupan di dunia dengan Allah menyatakan bahawa dunia
ini suatu tempat penuh tipu daya, dunia sekadar tempat permainan senda gurau
dan sebagainya, bukanlah bermaksud Allah melarang hamba Nya untuk meraih
kekayaan dan kesenangan hidup di dunia. Namun sebaliknya Allah SWT menjelaskan
kepada kita batasan dan limitasi hidup dunia ini hanyalah sementara dan
bukanlah tempat kekal selamanya. Oleh itu, carilah harta kekayaan sesuai dengan
hakikat dunia yang tidak kekal ini. Berusaha lah menjadi kaya kerana dengan
kekayaan tersebut juga, kita akan dapat memberi manfaat semula kepada umat.
Imam
al-Ghazali berkata dalam kitabnya, Ihya' Ulumiddin yang bermaksud :
"Ini
adalah satu kesalahan yang berlaku bagi segelintir manusia yang menyangka
maksud daripada bersungguh-sungguh meninggalkan dunia adalah menyekat manusia
daripadanya (dunia) secara keseluruhan. Lantas mereka mengabaikan kehidupan
dunia. Sesungguhnya syahwat itu diciptakan untuk memberi manfaat kepada
kehidupan dan ia adalah perkara penting dalam tabiat manusia. Jika tiada
syahwat kelamin, maka akan pupuslah sistem kehidupan. Jika tiada perasaan marah
secara keseluruhan, maka manusia tidak akan mempertahankan hak dirinya walaupun
dia dianiaya oleh orang lain. Bukanlah satu tuntutan di dalam Islam untuk
menolak dunia secara keseluruhan".
Sedarlah
kita bahawa betapa besarnya nikmat kebaikan yang boleh dilakukan dengan harta
kekayaan yang kita miliki. Dengan kekayaan harta dan kesenangan hidup yang kita
nikmati ini, bukan sahaja untuk diri dan keluarga kita, nikmat ini juga boleh
memberikan kita ganjaran yang lebih besar seperti ibadah zakat, wakaf, amalan
bersedekah dan selainnya. Betapa mulianya jika kekayaan yang kita miliki ini
dengan cara dan usaha yang halal, dikongsikan pula dengan mereka yang
memerlukan. Pasti besar ganjarannya oleh Yang Maha Kaya. Apa yang pasti, Islam
sangat memerangi dan memusuhi harta kekayaan yang diraih melalui jalan yang
batil dan haram seperti rasuah, riba, judi dan seumpamanya.
Sekiranya
hendak dihitung banyaknya manfaat dan kelebihan andai kita menjadi orang kaya,
sudah tentu tidak terhitung nilainya di sisi Allah SWT. Kerana kekayaan harta
ini jika diusaha dengan keimanan pada Nya, sudah pasti akan dikembalikan diatas
jalan Nya jua. Kerana yang memiliki kekayaan itu hanyalah Allah. Kita sekadar
hamba Nya yang diberi pinjaman nikmat untuk menjadi kaya. Oleh itu, berusaha
mencari harta kekayaan bukanlah sesuatu yang dibenci atau dilarang oleh Islam.
Semoga Allah SWT memberkati dan merahmati kita semua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan