Dunia
adalah tempat kediaman kita yang bersifat sementara sebelum kita dipanggil
pulang menghadap Allah SWT. Dunia yang bersifat sementara ini merupakan tempat
persinggahan umat manusia melakukan kebaikan di dunia dengan pengharapan
ganjaran di hari akhirat. Kita singgah di dunia dengan tujuan dan misi yang
jelas, iaitu untuk mengabdikan diri kita sebagai hamba Allah Azza Wa Jalla.
Kerana Dia lah Tuhan yang menciptakan kita. Maka selayaknyalah kita menyerah
diri dengan mematuhi segala suruhan Nya dan mentaati segala larangan Nya.
Dunia
sebagai pentas untuk berbuat baik. Sebahagian umat manusia melakukan kebaikan
di dunia kerana mahu dilihat sebagai orang soleh, dermawan, dipuji dan dipuja,
maka itulah yang akan dia dapati, beroleh ganjaran di sisi dunia semata-mata.
Ada pula sebahagian manusia yang ikhlas dalam kehidupan, berjuang menyerahkan
diri pada Islam, bercakap benar dan membawa kebenaran sekalipun ditolak,
dibenci dan dimusuhi oleh musuh Islam, sedikit pun tidak memberhentikan
langkahnya untuk berjuang ke jalan Allah, manusia sebegini sudah tentu
memperolehi ganjaran di dunia dan akhirat.
Allah
SWT berfirman dalam surah al-Syura ayat 20 yang bermaksud :
"Sesiapa
yang menghendaki (dengan amal usahanya) mendapat faedah di akhirat, Kami akan
memberinya mendapat tambahan pada faedah yang dikehendakinya ; dan sesiapa yang
menghendaki (dengan amal usahanya) kebaikan di dunia semata-mata, Kami beri
kepadanya dari kebaikan dunia itu (sekadar yang Kami tentukan), dan ia tidak
akan beroleh sesuatu bahagian pun di akhirat kelak"
Amat
malang dan rugilah seandainya kita berasa sudah banyak melakukan kebaikan namun
niat dan tujuan kita telah melencong hanya dahagakan pujian dan pengiktirafan
oleh para manusia semata-mata. Oleh yang demikian, dunia yang sedang kita diami
ini harus kita sedar bahawa ianya bersifat sementara dan penuh tipu daya.
Meskipun banyak kebaikan yang telah dilakukan, hal tersebut boleh menipu kita
apabila niat dan tujuan berubah arah hanya untuk meraih perhatian dan pujian di
dunia semata-mata.
Sesunggugnya
dunia ini penuh dengan tipu daya. Untuk mengaburi mata manusia, dunia ini
dihiasi dengan harta benda, anak isteri dan keturunan, perhiasan emas, dan
didorong pula oleh kehendak nafsu yang tidak pernah puas. Semua ini merupakan
mata rantai ujian buat para manusia bagi melihat bagaimana benar-benar kita
ikhlas dalam kehidupan. Kegelinciran kita dari niat ikhlas akan menyebabkan
kita tertipu dengan dunia sementara ini. Akhirnya, kita akan menjadi lebih
banyak berbangga dengan diri sendiri dan memperlekehkan orang lain yang tidak
setaraf dengan kita.
Allah
Azza Wa Jalla mengingatkan kita akan hal ini. Di dalam surah Ali Imran ayat 14,
firman Nya yang bermaksud :
"Dihiaskan
(dan dijadikan indah) kepada manusia : kesukaan kepada benda-benda yang
diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak ; harta benda yang
banyak bertimbun-timbun, dari emas dan perak ; kuda peliharaan yang bertanda
lagi terlatih ; dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman.
Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia. Dan (ingatlah), pada sisi Allah
ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu Syurga)".
Demikian
dunia yang diciptakan oleh Nya. Dibentangkan pemandangan yang luas, dihiasi
bukit-bukau, gunung-ganang, langit tertegak luas memayungi bumi, sungguh
keasyikan. Namun kita seharusnya berwaspada padanya dengan segala yang kita
miliki di dunia ini. Kurniaan anak dan isteri boleh mengundang fitnah kepada
kita seandainya kita tidak mendidik dengan baik. Harta yang banyak boleh
menarik hati kita menjadi seorang manusia yang bakhil dan kedekut. Kedudukan
dan pangkat, boleh membuatkan kita angkuh dan sombong. Semua ini boleh terjadi
kerana kita tertipu dengan keseronokkan dunia.
Firman
Allah Azza Wa Jalla dalam surah al-Hadid ayat 20 yang bermaksud :
"Ketahuilah
bahawa (yang dikatakan) kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah (bawaan hidup
yang berupa semata-mata) permainan dan hiburan (yang melalaikan) serta
perhiasan (yang mengurang), juga (bawaan hidup yang bertujuan) bermegah-megah
di antara kamu (dengan kelebihan, kekuatan, dan bangsa keturunan) serta
berlumba-lumba membanyakkan harta benda dan anak-pinak ; (semuanya itu terhad
waktunya) samalah seperti hujan yang (menumbuhkan tanaman yang menghijau subur)
menjadikan penanamnya suka dan tertarik hati kepada kesuburannya, kemudian
tanaman itu bergerak segar (ke suatu masa yang tertentu), selepas itu engkau
melihatnya berupa kuning ; akhirnya ia menjadi hancur bersepai ; dan (hendaklah
diketahui lagi, bahawa) di akhirat ada azab yang berat (disediakan bagi
golongan yang hanya mengutamakan kehidupan dunia itu), dan (ada pula) keampunan
besar serta keredaan dari Allah (disediakan bagi orang-orang yang mengutamakan
akhirat). Dan (ingatlah bahawa) kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah
kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya".
Berdasarkan
firman tersebut, pada dunia itu memiliki beberapa sifat antaranya dunia ini
dijadikan sebagai La'ibun (permainan), tempat untuk mendapatkan
keseronokkan. Dunia juga dijadikan dengan sifat Lahwun (sesuatu yang
melalaikan), keasyikan kita akan dunia telah melalaikan tujuan kita yang
sebenar sebagai hamba Allah. Selain itu juga, dunia ini diciptakan dengan sifat
Zinah (perhiasan) iaitu berhias dalam soal pakaian yang cantik, makanan
dan minuma yang sedap, kenderaan yang besar dan selesa dan seumpamanya. Dunia
juga dicipta dengan sifat berbangga-bangga dengan apa yang dimiliki. Walhal
semuanya tidak kekal dan akan hancur kelak.
Menurut
Imam Ibnu Katsir dalam kitab Tafsir al-Quran al-'Azim, firman Allah : "Kemudian
tanaman itu bergerak segar (ke suatu masa yang tertentu), selepas itu engkau
melihatnya berupa kuning ; akhirnya ia menjadi hancur bersepai)",
membawa maksud tanaman itu berubah menjadi kering setelah kita lihat sebelum
ini berwarna hijau. Dan selepas itu semuanya berubah menjadi kering dan hancur.
Begitulah
juga sifat dunia yang sementara ini. Manusia akan tertipu dengan usia yang
dimiliki, kecantikan yang ditatapi, tenaga kuat yang dikecapi, harta mewah yang
dinikmati, kedudukan dan pangkat yang dirasai, kerana semua itu akan
beransur-ansur pergi meninggalkan kita dan seterusnya kita semua juga akan
meninggalkan dunia ini. Usia muda akan berganjak ke fasa tua. Kulit yang halus
dan tegang akan beralih ke rupa orang tua berkedut. Harta yang banyak akan
habis diagih pada yang masih hidup. Demikian lah putaran kehidupan yang
sementara ini. Apa yang tinggal hanyalah bekalan keimanan dan ketaqwaan kita
kepada Nya. Oleh itu, janganlah kita terpedaya dengan apa yang kita miliki.
Sebaliknya, manfaatkan setiap anugerah Allah ini ke jalan mengabdikan diri pada
Nya. Semoga Allah mengampuni kita semua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan