Perkataan
"Dajjal" (دجال) berasal daripada bahasa arab. Dari sudut bahasa,
Dajjal membawa maksud menutupi sesuatu. Dalam catatan Kamus Lisan al-'Arab,
perkataan Dajjal disebutkan sebagai menutupi sesuatu adalah disebabkan beberapa
perkara. Antaranya ialah kerana ia adalah pembohong yang menutupi kebenaran
dengan kepalsuan. Keduanya, adalah kerana ia menutupi manusia dengan kekafiran.
Juga disebutkan Dajjal adalah kerana ia tersebar dan menutupi seluruh muka
bumi. Bagi mereka yang mempelajari ilmu bidang hadith, pasti akan menemui
perkataan "Dajjal". Ini kerana perawi yang berbohong dalam
periwayatan hadith juga disebutkan sebagai dajjal.
Melalui
maksud Dajjal dari sudut bahasa ini, dapat difahami bahawa dajjal adalah
bersifat dengan sifat al-Kazib (pendusta). Ini kerana sifatnya yang
pendusta tersebut akan menyembunyikan kebenaran dan menampilkan kebatilan yang
akhirnya memerangkap umat manusia yang tidak beriman kepada Allah SWT. Dengan
pendustaan tersebut juga, Dajjal akan melakukan segala tipudaya dengan
menampakkan kebatilan itu sebagai sesuatu yang indah dan cantik. Bukan sekadar
itu bahkan Dajjal juga akan membuat pelbagai usaha tipu daya yang lain bagi
memukau umat manusia yang lemah iman mereka.
Menurut
istilah pula, perkataan Dajjal boleh dikenali dengan beberapa sifat sepertimana
yang telah diberitahu oleh baginda Nabi Muhammad SAW melalui hadith-hadithnya.
Antara sifat dajjal itu adalah seorang manusia, berambut kerinting dan kusut
masai, sebelah matanya buta dan pada dahinya tertulis perkataan kafir (كفر).
Tanda-tanda sifatnya ini boleh kita lihat berdasarkan beberapa hadith yang
sahih. Antaranya, hadith riwayat Muslim, daripada Anas bin Malik beliau
berkata, sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :
"Dajjal
itu matanya terhapus (seolah-olah tidak bermata), tertulis diantara kedua
matanya kafir"
Juga
dalam sebuah hadith riwayat Bukhari, daripada Abdullah Ibn Umar beliau berkata,
sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :
"Ketika
aku sedang tidur, aku melihat diriku bertawaf di Ka'bah. Tiba-tiba (aku
melihat) seorang lelaki yang berkulit sawo matang, berambut lurus (berada)
diantara dua lelaki. Kepalanya (seperti) menitiskan air. Aku bertanya :
"Siapakah orang ini ?" Mereka menjawab : "(Isa) putera
Maryam." Kemudian aku menoleh dan (melihat) seorang lelaki berkulit merah,
bertubuh besar, berambut kerinting, cacat mata kanannya, seakan-akan matanya
seperti sebutir anggur yang menonjol keluar. Aku berkata : "Siapa ini
?". Mereka berkata : "Ini ialah Dajjal !" Orang yang paling
mirip dengannya ialah Ibnu Qathn".
Dalam
hadith yang lain riwayat Abu Daud, daripada 'Ubadah bin al-Samit RA, Rasulullah
SAW bersabda yang bermaksud :
"Sesungguhnya
aku telah menceritakan mengenai Dajjal kepada kamu hingga aku khuatir kamu
tidak lagi mampu memahaminya. Sesungguhnya Masih al-Dajjal itu seorang lelaki
yang pendek, berkaki bengkok, berambut kerinting, buta sebelah matanya, tidak
terlalu tersembul dan tidak pula terlalu tenggelam. Jika kamu merasa bingung,
ketahuilah sesungguhnya Tuhan kamu Tabaraka wa Ta"ala tidak buta
sebelah".
Demikian
beberapa hadith yang menceritakan sifat yang ada pada Dajjal. Ringkasnya,
Dajjal menurut istilah merujuk kepada sifatnya sebagai seorang lelaki, buta
sebelah mata, pada dahinya tertulis perkataan kafir dan sebagainya. Selain itu,
terdapat suatu peringatan dalam sebuah hadith riwayat Muslim, daripada Abu
Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :
"Akan
datang pada akhir zaman (kemunculan) Dajjal-Dajjal para pendusta. Mereka akan
datang kepada kalian dengan ucapan-ucapan yang tidak pernah kalian dengar.
Bahkan ayah-ayah kalian juga tidak pernah mendengarnya. Maka jauhilah mereka.
Mereka tidak akan menyesatkan kalian mahu pun mendatangkan fitnah kepada
kalian".
Ini
bermakna, pada akhir zaman, kita akan melihat bagaimana ramainya para pendusta
yang menjual nama agama, melakukan penyelewengan, mencari pengaruh dan
sebagainya. Kesannya, kita dapat melihat kemunculan ustaz ustazah jadian yang
tumbuh bagai cendawan, berbicara di luar pemahaman dan pengetahuannya. Kita
juga boleh lihat kisah karut-marut dalam agama mula dijaja dan dipercayai oleh
kebanyakkan orang. Hadis palsu bagaikan ratibnya. Apa yang nak diherankan selagi
ramai pengikut dan penyokong dibelakangnya.
Dajjal
akan muncul di sebelah timur Khurasan dari Perkampungan Yahudiyah di Kota
Asfahan. Hal ini sepertimana yang terdapat dalam sebuah hadith riwayat Muslim,
hadith Fatimah binti Qais, bahawa Rasulullah SAW bersabda :
"Ketahuilah
bahawa dia berada di laut Syam atau laut Yaman. Oh tidak, bahkan dia akan
datang dari arah timur. Apa itu dari arah timur ? Apa itu dari arah timur.. dan
baginda berisyarat dengan tangannya menunjuk ke arah timur".
Kemunculan
Dajjal menjadi perselisihan dikalangan para ulama. Ini kerana, para ulama
berbeza pandangan dalam menyusun tertib atau turutan tanda-tanda besar kiamat.
Menurut Syeikh al-Mubarakfuri dalam kitab Tuhfah al-Ahwazi, beliau
menyatakan bahawa :
"Ketahuilah
bahawa riwayat-riwayat ini (berkaitan tanda-tanda besar kiamat) telah menjadi
perselisihan pada susunan tanda-tanda yang sepuluh (tanda besar kiamat). Untuk
itu, telah berselisih para ahli ilmu dalam menentukan susunannya. Telah
dikatakan bahawasanya tanda besar kiamat yang pertama adalah asap, kemudian
keluarnya dajjal, kemudian turunnya Isa AS, kemudian keluarnya Ya'juj dan
Ma'juj, kemudian keluarnya al-Dabah, kemudian terbit matahari dari Barat kerana
orang kafir memasuki Islam pada zaman Nabi Isa sehingga dakwah ini menjadi
satu".
Walau
bagaimanapun, untuk berdepan dengan fitnah Dajjal ini, baginda Nabi SAW telah
berpesan dan mengajarkan kita beberapa hal yang harus kita lakukan sebagai
usaha berlindung dengan Allah daripada ancaman fitnah Dajjal yang besar ini. Antaranya
terdapat sebuah hadith riwayat Muslim, Rasulullah SAW mengajar kita membaca
selepas tahiyyat akhir :
"Apabila
kamu selesai daripada membaca tasyahhud akhir, maka berlindunglah dengan Allah
daripada empat perkara dengan berdoa : Ya Allah ! Sesungguhnya aku berlindung
dengan Mu daripada azab neraka jahannam, daripada azab kubur, fitnah kehidupan
dan kematian dan daripada kejahatan fitnah al-Masih al-Dajjal".
Baginda
Nabi SAW juga mengajar kita untuk menghafal 10 ayat awal daripada surah
al-Kahfi bagi menyelamatkan kita daripada ancaman fitnah Dajjal. Sebuah hadith
riwayat Muslim, daripada Abu Darda' RA, bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud
:
"Sesiapa
yang menghafal 10 ayat daripada awal surah al-Kahfi akan terselamat daripada
fitnah Dajjal".
Menurut
Imam al-Suyuthi dalam kitab al-Dibaj 'ala Muslim, katanya pada awal
surah tersebut menceritakan akan keajaiban-keajaiban dan tanda-tanda maka
sesiapa yang membaca serta memahami maknanya, tidak akan terkena fitnah Dajjal
dan begitu juga di akhirnya (akhir surah al-Kahfi. Oleh itu, sebagai orang yang
beriman, kita seharusnya sibukkan diri membuat persiapan diri memohon
perlindungan daripada Allah Azza Wa Jalla. Dalam masa sama, tidak perlulah kita
sibuk bermain teori konspirasi menghitung kedatangan Dajjal. Semoga Allah
melindungi kita semua daripada fitnah Dajjal.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan