Mutakhir
ini, kita dihidangkan dengan berita beberapa suara karyawan seni tanah air yang
menzahirkan rasa bimbang dan kecewa dengan golongan pemberi pengaruh atau
disebutkan sebagai influencer yang kian ramai tumbuh di pelbagai medium laman
media sosial khususnya di aplikasi tiktok. Ada yang melahirkan rasa
ketidakpuasan hati dengan sebahagian pemberi pengaruh yang menghasilkan dan
menyanyi lagu yang boleh merosakan industri seni tanah air.
Kebimbangan
ini juga tidak sekadar berputar pada industri dunia seni semata-mata. Malah
dalam urusan agama juga, kita berdepan dengan golongan yang kian tumbuh bagai
cendawan berlagak seperti para mufti, pak ustaz dan ustazah "segera",
suka memberi fatwa tersendiri tanpa bersandarkan pada ilmu. Perkara ini
bukanlah suatu perkara baharu. Namun, dengan kecanggihan dan kemajuan teknologi
pada hari ini, membantu lagi pertumbuhan golongan "ustaz segera"
ini yang lagak dan gayanya seolah-olah serba-serbi tahu melingkupkan
pengikutnya yang kurang tahu tentang agama.
Bukan
penampilan yang kita pertikaikan. Jauh lebih penting daripada itu adalah soal
intipati ucapan mereka dan jawapan fatwa ekspress mereka yang ditularkan yang
antara padanya terdapat hadith palsu, memetik kalam guru itu dan ini,
memberikan petua yang bukan-bukan dan ini semua adalah perosak kepada agama.
Malang lagi, apabila masyarakat di ajar untuk tidak bertanyakan "dalil",
secara tidak langsung, kita telah menanam sifat malas berfikir dan mengkaji
sesuatu perkara. Tidak hairanlah ada yang sanggup label-melabel bagi memberikan
gambaran buruk kepada mereka yang suka bertanyakan dalil sebagai sumber
rujukan.
Sebelum
daripada itu, ketika baginda Nabi SAW masih hidup, baginda Nabi pernah
menyatakan akan kewujudan golongan Ruwaibidhah. Perkara ini sepertimana yang
terdapat dalam sebuah hadith riwayat Ibnu Majah, Abu Hurairah RA meriwayatkan
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :
"Akan
datang kepada manusia tahun-tahun yang penuh dengan penipuan dan tipu daya,
kata-kata pendusta dibenarkan (dipercayai) dan didustakan percakapan orang yang
benar, diberi amanah kepada pengkhianat dan dikhianati orang-orang yang amanah.
Kemudian akan berkatalah golongan al-Ruwaibidhah. Baginda SAW ditanya :
Siapakah golongan al-Ruwaibidhah ? Maka baginda menjawab : Orang yang bodoh
lagi fasik berbicara (mengurus) berkaitan perkara umum yang besar"
Berkenaan
perkataan al-Ruwaibidhah, para ulama berbincang tentang maksud yang dikatakan
Ruwaibidhah. Imam Ahmad dalam kitab hadithnya Musnad Ahmad, beliau
menyatakan bahawa Ruwaibidhah itu adalah orang yang bodoh bercakap perkara
umum. Imam al-Syatibi pula dalam kitab al-'Itisham menyatakan bahawa
Ruwaibidhah adalah orang yang bodoh dan keji bercakap berkaitan perkara umum
sedangkan dia bukan ahli dalam perkara tersebut tetapi masih ingin bercakap.
Demikian pentakrifan al-Ruwaibidhah yang dijelaskan oleh para ulama.
Ringkasnya, golongan ini adalah mereka yang bodoh dan suka bercakap tanpa
mempunyai pengetahuan dan kefahaman yang jelas.
Perosak
agama boleh datang dengan pelbagai bentuk seperti al-Qussas (penglipur lara),
liberalis (kebebasan tanpa sempadan) dan radikal (jumud dan sempit). Kesemua
golongan ini dengan manhaj songsang masing-masing tidak dapat lari daripada
sikap berdusta atas naa agama. Menunggang agama dengan berdusta atas nama Nabi.
Dalam sebuah hadith riwayat Bukhari, sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :
"Barangsiapa
yang berdusta diatas namaku dengan sengaja maka siaplah tempatnya di dalam
neraka"
Berdusta
di atas nama Nabi SAW dengan menyebarkan hadith-hadith palsu dengan sengaja
adalah jenayah besar dan penyelewengan yang meruntuhkan intipati agama. Akibat
sebaran hadith palsu ini, bukan sahaja boleh mengundang murka Allah dan Nabi
SAW bahkan boleh merosakkan kepercayaan dan amalan orang Islam. Oleh itu, hidup
mesti berdiri diatas ilmu yang sahih.
Antara
perosak agama adalah seperti al-Qussas (penglipur lara). Golongan ini juga
merosakkan agama dengan menyampaikan cerita-cerita dongeng, tidak sahih, tiada
asasnya dalam agama dan seumpamanya. Lebih-lebih lagi apabila mereka dapat menyampaikan
cerita dan kisah yang boleh memukau para pendengar kuliah mereka sehingga ke
tahap khayal dan merosakkan akal. Bahkan sebahagian kisah yang disebarkan telah
menyalahi fakta sejarah sebenar. Daripada golongan ini, maka tidak pelik jika
timbul pelbagai dakwaan karut seperti Nabi Adam turun ke Gunung Jerai, menara
firaun 15 kilometer, pedang Nabi ditempa di Kedah dan sebagainya.
Selain
itu, terdapat juga sebahagian golongan yang menggelarkan diri mereka sebagai
liberalis dan mordernis, juga telah merosakkan agama dengan menimbulkan
pelbagai keraguan terhadap syariat Islam seperti syariat poligami, pembahagian
faraid, syariat bertudung menutup aurat dan sebagainya. Diatas nama hak
kebebasan bersuara dan hak asasi manusia, ideologi songsang meresap masuk ke
akal mereka sehingga berfikir mendahului intipati agama. Menggunakan akal
adalah sesuatu yang dituntut dalam beragama. Namun berfikir dengan mengabaikan
displin ilmu, sesuka hati menafsirkan ayat al Quran dan hadith, maka binasalah
intipati ajaran agama di tangan mereka ini.
Berlawanan
dengan golongan liberalis, adalah golongan radikal yang berpaksikan kepada
pemikiran jumud dan sempit dalam memahami agama. Disebabkan terlalu radikal,
penyelewengan diatas nama jihad fi sabillah berleluasa sehingga menghalalkan
darah yang haram dibunuh. Terpengaruh dengan pemahaman di luar konteks
berkenaan jihad, terlalu sempit memahaminya sehingga akhirnya menatijahkan
sikap radikal melampau hingga melebihi batasan syarak. Muncul lah pelbagai
gerakan gerila, seruan daulah khilafah dan sebagainya. Tidak berpijak di bumi
yang nyata. Kejumudan ini membuahkan kehancuran umat manusia untuk memahami
intipati ajaran sebenar.
Demikian
beberapa golongan dan kelompok yang harus kita hadapi pada waktu dan ketika
ini. Pembela kebenaran bukan sahaja berdepan dengan golongan seperti ini bahkan
bakal berdepan dengan bongkah ketaksuban yang melampau, sehingga ada yang
hingga tahap memaksumkan pandangan guru mereka. Kita juga sedang dan akan
berhadapan dengan barah kejahilan dan kemalasan berfikir, yang akibatnya akan
membuat masyarakat menelan apa sahaja yang dibicarakan oleh mereka yang
berperwatakan alim, bijak berkata-kata dan sebagainya. Semoga Allah menjauhi
kita semua daripada menjadi sebahagian dari golongan perosak agama ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan