Sesungguhnya setiap penciptaan manusia yang bermula daripada Nabi
Adam AS sehingga umat manusia akhir zaman ini dijadikan hidup dengan
berpasang-pasangan. Meski ada yang beranggapan bahawa jodoh itu rahsia Allah,
namun jodoh juga diperolehi dengan usaha, doa dan tawakkal kita kepada Allah.
Ini bermakna, untuk hidup berpasangan memerlukan kepada usaha mencari,
mengenali selain berdoa dan berserah urusan tersebut kepada Allah SWT. Amat
dukacita sekali jika ada yang menolak, tidak mahu atau tidak bercita-cita
langsung untuk berkahwin kerana menggangap kahwin sesuatu yang menyusahkan. Ini
kerana perkahwinan merupakan suatu ibadah yang akan menyempurnakan sebahagian
agamanya.
Ini sebagaimana yang terdapat di dalam sebuah hadith riwayat
al-Baihaqi, baginda Nabi SAW bersabda yang bermaksud :
"Apabila seorang hamba itu berkahwin, maka sesungguhnya dia
telah berusaha menyempurnakan sebahagian agamanya, oleh itu hendaklah dia
bertaqwa kepada Allah pada sebahagian lagi yang berbaki".
Pernikahan adalah suatu komitmen dua jiwa bagi mencapai tujuan kebahagiaan,
ketenangan dan kasih sayang antara suami dan isteri. Membina rumahtangga
sememangnya bukanlah bertujuan untuk memperjudikan nasib hidup manusia. Oleh
kerana itu, agama Islam menuntut untuk kita membuat pilihan yang betul agar
kelak tidak merugikan masa hadapan. Dalam hal ini, baginda Nabi SAW
mengingatkan kita dalam membuat pilihan memilih pasangan hidup. Ini sepertimana
yang disebutkan oleh baginda Nabi di dalam sebuah hadith riwayat Bukhari dan
Muslim, sabda Nabi SAW yang bermaksud :
"Seorang wanita dinikahi kerana empat sebab: Kerana hartanya,
keturunannya, kecantikannya dan agamanya. Maka hendaklah kamu merebut yang
empunya agama, itulah pilihan terbaik."
Berdasarkan hadith ini, jelas kepada kita bahwa untuk mendirikan
perkahwinan, membuat pilihan yang tepat adalah sangat penting agar kelak kita
tidak hidup dalam penyesalan. Namun begitu, selain daripada membuat pilihan
tersebut, tidak kurang juga menjadi dilema dikalangan mereka yang mahu memilih
pasangan hidup, memandang terhadap status anak dara atau janda. Sebahagian
persepsi masyarakat melihat bahwa status janda atau anak dara ini memberikan
sedikit sebanyak tanggapan baik atau buruk. Sebenarnya di dalam Islam, status
janda bukanlah suatu kehinaan kepada kaum wanita. Jika dilihat kepada sirah
baginda Nabi SAW, hampir semuanya isteri-isteri baginda itu berstatus janda.
Oleh itu, memegang status sebagai seorang janda bukanlah suatu yang mengaibkan
bagi kaum wanita.
Dalam soal memilih antara anak dara atau janda, sekiranya seseorang
lelaki itu berhadapan dengan dua pilihan antara janda atau anak dara, yang
kedua-duanya juga adalah sama baik dan bagus dari pelbagai sudut, maka dalam
keadaan ini menjadi keutamaan bagi lelaki tersebut untuk memilih anak dara. Ini
sebagaimana yang disebutkan oleh baginda Nabi Muhammad SAW di dalam sebuah
hadith riwayat Ibn Majah, sabda baginda Nabi SAW yang bermaksud :
“Hendaklah kamu mengahwini anak dara. Ini kerana mereka lebih baik
perkataannya, lebih subur rahimnya dan lebih redha dengan yang sedikit”
Hadith ini secara jelas menyatakan bahawa menjadi keutamaan bagi
seorang lelaki jika diberikan pilihan antara anak dara atau janda, setelah
dinilai akan kedua-duanya sama baik, maka anak dara perlu menjadi pilihan
utama. Ini kerana mengahwini anak dara yang bermaksud tidak pernah atau belum
pernah bergaul dengan lelaki, kebiasaannya sifat ketegasan atau kasarnya mereka
ini kurang berbanding mereka yang berstatus janda. Selain itu, peluang untuk
mendapat zuriat lebih luas berbanding mereka yang berstatus janda disebabkan
faktor usia dan kudrat yang ada. Bagi mereka yang berstatus janda barangkali
mereka lebih terdedah dengan masalah kelahiran memandangkan beberapa faktor
lain seperti usia dan selainnya. Malah, dari sudut sifat redha dengan suami,
mereka yang anak dara lebih redha dengan suaminya termasuk dalam soal pemberian
nafkah dan kehebatan hubungan seks.
Berbanding dengan mereka yang berstatus janda, mereka tentunya
tidak dapat lari daripada merasai perbandingan dengan suami yang sebelumnya
termasuk dari sudut pemberian nafkah dan hubungan seks. Ini kerana mereka telah
mempunyai pengalaman hidup dengan pasangan yanh terdahulu. Secara tidak
langsung, sifat redha turut akan memberi kesan apabila wujudnya perasaan
membanding-banding antara pasangan kini dan yang terdahulu. Maka selari dengan
realiti hidup hari ini, memang tidak dapat dinafikan keutamaan untuk memilih
anak dara berbanding memilih mereka yang berstatus janda. Keutamaan memilih
anak dara juga secara langsung menjadikan faktor ini boleh menyumbang kepada
keadaan rumahtangga yang lebih harmoni dan bahagia. Pun begitu, keutamaan ini
bukanlah suatu kewajiban namun ianya terpulang kepada mereka yang menghadapi
situasi seperti ini.
Keutamaan memilih anak dara pula bukanlah bermaksud menafikan hak
mereka yang berstatus janda untuk bahagia dengan pasangan yang baharu. Dalam
beberapa keadaan tertentu, memilih janda adakalanya lebih baik berbanding
memilih anak dara. Ini apabila kita melihat kepada pengalaman mereka berstatus
janda yang mempunyai anak, usaha mereka dalam kesabaran dan ketabahan mendidik
anak-anak juga merupakan suatu bonus bagi mereka yang mengahwini janda. Apatah
lagi jika janda tersebut lebih berilmu, kuat agama maka tentu sekali janda
lebih mendapat tempat bagi membina sebuah rumahtangga yang bahagia. Berkaitan
hal ini, kisah Jabir yang telah mengahwini seorang janda telah mendapat
perhatian baginda Nabi Muhammad SAW. Ini seperti yang diceritakan dalam sebuah
hadith riwayat Bukhari dan Muslim yang bermaksud :
"Kata Jabir: Ayahku mati, meninggalkan tujuh atau sembilan
anak perempuan (periwayat kurang pasti). Aku mengahwini seorang wanita janda.
RasululLah S.A.W telah bertanya kepadaku: “Engkau telah kahwin wahai Jabir ?” .
Jawabku : Ya !. Baginda bertanya : “Anak dara atau janda?”. Jawabku : “Janda”.
Sabda baginda: “Mengapa tidak anak dara, engkau bermain dengannya, dia bermain
denganmu, engkau menjadikan dia ketawa dan dia menjadikanmu ketawa”. Aku kata
kepada baginda: “Sesungguhnya `Abd Allah telah mati dan meninggalkan anak
perempuan. Aku tidak suka aku mendatangkan kepada mereka orang yang seperti
mereka, maka aku pun kahwin dengan seorang wanita yang dapat mengatur dan
menguruskan mereka” Baginda bersabda : “Semoga Allah memberkatimu” atau baginda
menyebut sesuatu yang baik".
Kisah Jabir ini menunjukkan bahawa memilih janda atau anak dara
adalah menjadi pilihan berbentuk peribadi. Dalam keadaan ini, Jabir
berkehendakkan kepada wanita yang mempunyai pengalaman dalam menguruskan
rumahtangga. Adapun jika dilihat pada hadith yang sebelum ini, galakkan Nabi
SAW untuk memilih anak dara adalah bertujuan untuk mereka yang berhajat kepada
kemesraan dan kebahagiaan rumahtangga. Bukanlah bermakna mengahwini janda tidak
akan tercapai maksud mesra dan bahagia namun secara jujurnya, sesiapa pun tidak
boleh menafikan tentang kelebihan dan kekurangan berkahwin antara anak dara dan
janda. Kedua-duanya mempunyai kelebihan dan kekurangan yang tersendiri. Walau
apa pun yang kita pilih, Islam sangat membenci sikap memandang sinis atau
memperendahkan mana-mana status manusia baik anak dara mahupun janda.
Hadith-hadith yang telah dinukilkan ini memberikan gambaran umum sahaja tetapi
sebaliknya keputusan terletak pada diri kita. Semoga Allah merahmati kita
semua.