Selasa, 24 November 2015

KESABARAN MENGHADAPI DUGAAN

Kembali membuka tirai kehidupan yang sebenarnya. Berusaha memperjelas pandangan yang masih kabur dalam kehidupan. Mencuba memahami hari demi hari yang telah terlewati. Menggali misteri- misteri yang masih terpendam, serta mengeluarkannya dalam bentuk serpihan- serpihan ilmu agar mudah di fahami.“Kesabaran yang Sebenarnya.?” Banyak saudara-saudara kita yang tidak merasakan kebahagiaan dalam menjalani hidup ini kerana kurangnya rasa syukur dan sabar. Padahal, suatu kebahagiaan dibangunkan dengan dua landasan, iaitu syukur dan sabar. Sabar bukanlah diam tanpa kata. Sabar bukanlah diam menunggu berlalunya sesuatu. Dan sabar bukanlah sikap pasrah dalam menghadapi sesuatu..


Namun “Kesabaran yang Sebenarnya” adalah sifat istiqamah, disertai keimanan dan ketaqwaan saat menjalani rangkaian cubaan dalam mahligai kehidupan, baik itu kesedihan mahupun kebahagiaan. Banyak orang yang belum memahami erti sebuah ‘Kesabaran yang Sebenarnya’, sehingga mereka mengatakan: “Kesabaran itu ada batasnya”. Padahal sabar itu tanpa batas. Kesabaran akan terus bertambah seiring dengan kualiti keimanan dan ketaqwaan kita kepada Allah swt. Hal ini pernah ditunjukkan oleh Nabi Muhammad saw. Disaat beliau berjuang menyebarkan agama islam dengan kelembutan hatinya, banyak orang- orang kafir yang memusuhinya. Nabi Muhammad diancam, dicaci, diludahi, bahkan dilempar dengan kotoran sekalipun. Namun beliau tetap tersenyum dan tidak menaruh dendam sedikitpun, sehingga ia mendapatkan gelar ‘Ulul Azmi’, kerana mempunyai tingkat kesabaran dan ketabahan yang luar biasa.


Bagaimana dengan keadaan kita sekarang..? Saat segelintir cubaan menerpa, kita langsung mengeluh dan putus asa. Padahal, tahukah kita.? Bahwa cubaan yang kita hadapi ini belum ada apanya, kerana sesungguhnya cubaan dan ujian terberat dialami oleh para Nabi dan Rasul. Masihkah kita mengatakan bahwa ‘Kesabaran itu ada batasnya.? Waktu masih panjang, dan jalan yang harus ditempuh masih jauh. Jadi masih ada waktu untuk bermuhasbah diri, dan mencari serta melakukan apa yang terbaik di dunia ini, ‘hidup ini tidak hanya sekali’. Maka janganlah kita menyesal di kemudian hari. Hidup jika tidak ada dugaan dan cabaran bukan sebuah kehidupan namanya. Bukan berapa banyak masalah yang kita timpa tetapi yang harus dipersoalkan dalam diri kita ialah bagaimanakah kita tangani dugaan dan cabaran ini. Adakah dengan kekuatan iman kepada Allah atau dengan emosi yang marah.

Selasa, 17 November 2015

KALIMAH ALLAH KALIMAH SUCI

Dalam Islam, kalimah Allah itu adalah terlalu suci. Kalimah Allah bukanlah lambang atau simbol seperti agama-agama lain yang boleh dicipta mengikut imaginasi dan kreativiti manusia sesuka hati. Nama Allah itu sendiri merujuk kepada zat dan sifat kepada yang maha pencipta alam semesta. Dalam ketuhanan Islam, Allah sendiri telah memperkenalkan sifat-sifat kesempurnaanNya. Orang Islam dengan mudah memahami sifa-sifat tuhanNya sungguhpun baru sehari memeluk Islam. Dalam surah yang sangat pendek Allah telah mengisytiharkan sifatNya adalah tunggal, tempat pergantungan, tidak beranak dan tidak diperanakkan, dan tidak ada sekutu bagiNya (al-Ikhlas). Selain kalimah yang kudus itu, terdapat nama-nama Allah yang terkandung di dalam Asma al-Husna yang menerangkan sifat keagunganNya. Di alam nusantara untuk mengenali keagungan sifat dan keesaan Allah melalui pengajian sifat dua puluh ini, walaupun sebenarnya sifat keagunganNya tidak terbatas. Malahan kesemua penganut agama tauhid akan menyebut dan menulis perkataan Allah secara selaras tanpa mengira puak, bangsa dan budaya. Untuk mengekal sebutan dan tulisan dengan tepat lazimnya perkataan Allah akan dikekalkan di dalam perkataan Arab.


Sekiranya perkataan tersebut diterjemahkan ke dalam bahasa lain, kalimah akan ditulis beriringan dalam bahasa Arab. Malah Allah sendiri telah memberi jaminan bahawa al-Quran akan terpelihara dari sebarang pencemaran dan pengubahsuaian yang kekal di dalam bahasa Arab. Oleh sebab itulah kalimah Allah kekal disebut dan ditulis dalam bahasa Arab oleh kesemua bangsa manusia sehingga ke hari ini. Ini menunjukkan bahawa dari segi lafaz dan sebutan serta sifat Allah adalah jelas di kalangan umat Islam kerana ia merupakan pokok akidah tauhid. Ia sangat mudah difahami dan terlalu rapat kepada penganutnya. Kukuh dan jelasnya kepercayaan dalam Islam mampu berdiri sendiri tanpa perlu melihat dan meniru. Jauh sekali untuk meminjam apaapa perkataan dan konsep dari agama-agama lain. Oleh itu ramai yang terkeliru dan rasa tercabar apabila ada pihak gereja yang ingin menggunakan nama Allah dalam Bible mereka. Percubaan menggunakan nama Allah di dalam Bible di Malaysia menggambarkan kecelaruan tentang keyakinan penganut Kristian sendiri di dalam sistem kepercayaan mereka. Kepercayaan Kristian berteras konsep triniti, iaitu tuhan bapa, tuhan anak (Jesus) dan roh kudus atau tiga dalam satu.



Kebanyakan pengkaji-pengkaji sejarah perkembangan agama menyatakan bahawa fahaman ini pada dasarnya tidak ada dalam Kristian tetapi dibawa masuk dari falsafah Plato. Konsep yang sama juga terdapat di dalam agama Hindu yang menyembah tuhan Brahma, Vishnu dan Shiva. Jadi, usaha meminjamkan mana-mana unsur luar dari agama Kristian bukan perkara baru dalam sejarah perkembangannya untuk mempastikan kelangsungannya terus di terima. Sekiranya penganut Kristian melihat penggunaan umum dalam kitab Bible mereka di Barat dalam versi bahasa Inggeris, perkataan tuhan dan kekuasaanya itu merujuk kepada perkataan God dan Lord. Mereka rata-ratanya tidak menggunakan perkataan Allah. Sekiranya mereka ingin menterjemahkan perkataan tersebut ke dalam bahasa Arab, mereka sepatutnya memilih perkataan lain, bukannya Allah yang merupakan nama khas. Bible Perjanjian Lama merakam nama tuhan mereka seperti Yahweh, El, Elohim atau Eloah.


Kenapa salah satu daripada nama-nama tersebut tidak dipilih? Hujah yang masih digunakan hari ini ialah penggunaan dalam kalangan Bangsa Arab Kristian dengan perkataan Allah di dalam kitab mereka. Alasan penggunaan nama Allah dalam Bible di Malaysia disebabkan Arab Kristian menggunakannya adalah tidak tepat. Kalimah Allah digunakan di kalangan Bangsa Arab Kristian di Mesir, Syria, Jordan dan Emeriah Arab Bersatu lebih merujuk nama Allah yang maha esa yang mereka warisi sebelum Islam lagi. Tradisi Arab bukan sahaja mampu mengekalkan nama tuhannya, malah kekuatan mereka mengingati susur galur keturunan mereka sampai ke akar umbi. Sudah pasti kalimah yang digunakan tersebut bukannya God atau Lord yang di gunakan oleh masyarakat barat sepertimana yang diwarisi oleh orang Arab. Orang Arab yang masih kental memegang tradisi Nasrani dan Yahudi ini dipanggil Ahli Kitab di dalam Islam. Berdasarkan analogi ini, keturunan China, India dan rumpun bangsa di Sabah dan Sarawak yang menganut Kristian tidak ada kaitan langsung dengan rumpun bangsa Arab. Mereka bukan Ahli Kitab sungguhpun menganut Kristian.



Mereka tiada hubungan atau kesinambungan dengan keturunan datuk nenek yang asal memeluk Nasrani seperti yang disyaratkan oleh Imam Syafii. Keturunan mereka dapat dijejaki dan dikenalpasti seperti dalam tradisi keluarga Arab. Malah di Nusantara juga satu usaha menterjemahkan perkataan tuhan kepada Allah telah lama dimulakan di Indonesia sebenarnya berasaskan tulisan Jawi. Tulisan jawi adalah medium rasmi rumpun Melayu yang mempunyai beberapa pecahan keturunan. Tulisan jawi ini pula pada keseluruhannya berasaskan Bahasa Arab dan banyak perkataan Arab dipindahkan terus ke dalam bahasa Melayu. Contohnya, Bible yang dinamakan Alkitab telah diterjemah dan dicetak dalam bahasa Indonesia telah menggunakan nama Allah. Ini bermakna misi gerakan menyebarkan kefahaman agama Kristian dalam kalangan orang Melayu atau bangsa yang menuturkan bahasa Melayu seperti Bugis, Jawa, Mendailing, Minangkabau dan lainnya telah lama dijalankan dan dibuat secara terancang.



Ini adalah kerana bangsa lain tidak akan membacanya kecuali rumpun bangsa Melayu. Orang China dan India tidak mungkin berhasrat membaca Bible versi Melayu! Penyebaran Bible dalam bahasa Indonesia dan kebebasan beragama mengikut acuan mereka menyebabkan keracunan berfikir. Maka tidak mustahillah di Indonesia terdapat dalam satu keluarga mempunyai agama berlainan; Islam, Kristian, Hindu dan Budha. Indonesia menjadi lebih liberal kerana negara mereka berkonsepkan Pancasila sebagai ideologi negara. Ini berbeza dengan Malaysia dan Brunei menjadikan Islam sebagai agama persekutuan dan negara. Yang menjadi persoalan sekarang ini ialah, mengapa perkataan Allah hendak digunakan di dalam Bible? Apakah tepat terjemahan tersebut mengikut ajaran Kristian yang diamalkan hari ini? Sudah pastilah tidak. Apabila mereka menggunakan nama Allah secara langsung membatalkan pengertian triniti kerana sifat keesaan Allah secara mutlak menolak perkongsian sifat ketuhanan dan kuasa jika dilihat mengikut perspektif Islam. 


Isnin, 2 November 2015

BILAL BIN RABAH : SIMBOL KEADILAN SOSIAL

Bilal Bin Rabah ra adalah salah satu nama yang paling terkenal dalam sejarah Islam. Seorang budak Negro dari Habsyah (Ethiopia), Bilal merupakan bukti nyata dari penghormatan Islam terhadap kesetaraan sosial, anti rasisme dan keadilan sosial. Lahir pada 680 Masehi di Mekkah, bersama orang tuanya - Rabah dan Hamamah - Bilal juga menjadi budak dari Umayyah bin Khalaf, seorang musuh Islam. Ketika Umayyah mendengar bahwa Bilal masuk Islam, ia menyiksanya dan memaksanya untuk melepaskan keimanan barunya. Tetapi dengan penuh kecintaan kepada Nabi Muhammad saw dan Islam, Bilal tetap teguh dalam keimanannya. Meskipun ia disiksa dengan kejam ia terus mengatakan "Ahad, Ahad." (Allah itu satu, Allah itu satu)

Ketika Nabi Muhammad saw mengetahui tentang penganiayaan yang dialami Bilal, ia mengutus Abu Bakar ra, yang menebusnya dari sang penindas dan membebaskannya dari perbudakan. Kebebasan ini adalah hadiah pertama Islam kepada Bilal. Khalifah Kedua Umar Bin Khattab menghormati Bilal dengan menyebutnya sebagai Sayyidina (pemimpin kami). Bilal menjadi salah seorang sahabat yang paling dipercaya dan setia kepada Nabi Muhammad saw. Beliau termasuk orang yang pertama masuk Islam. Bilal ikut hijrah bersama Nabi Muhammad saw ke Madinah dan ikut dalam pertempuran-pertempuran besar termasuk perang Badar, Uhud, Khandaq dll. Saat Perang Badar, ia berhashil membunuh musuh Islam dan orang yang telah memperbudak dan menindasnya - Umayyah.

Nabi Muhammad saw adalah orang pertama yang menyatakan kesetaraan diantara manusia dalam sejarah dunia 1400 tahun yang lalu. Nabi memilih Bilal menjadi salah satu sahabat yang mulia. Munculnya Bilal sebagai seorang yang menonjol dalam sejarah Islam adalah bukti pentingnya pluralisme dan kesetaraan sosial dalam Islam. Saat Abdullah bin Ziyad menceritakan bahwa ia telah bermimpi diajari metode dan kalimat Azan, Nabi Muhammad saw menyukainya dan menunjuk Bilal sebagai orang pertama yang mengumandangkan azan di Madinah dengan bacaan tersebut. Ketika Umar ra mendengar azan, ia bergegas mendatangi Nabi Muhammad saw dan mengatakan kepada beliau bahwa ia juga bermimpi azan dengan bacaan yang sama. Dengan demikian azan dikumandangkan pertama kali oleh Bilal. Nabi saw menunjuknya sebagai Muazzin Rasul.



Kerana Bilal merupakan orang Afrika pertama yang memeluk Islam, umat Islam Afrika masih merasa bangga dengan kehormatan yang diberikan kepada orang Afrika tersebut. Kehormatan besar lainnya bagi Bilal adalah setelah pmbukaan Kota Mekkah pada 8 Hijriah. Ketika kota Mekkah menyerah dan semua orang baik Muslim dan non Muslim berkumpul di suatu halaman, Nabi saw meminta Bilal untuk menaiki atap Ka'bah dan mengumandangkan azan dari atasnya. Ini adalah azan pertama yang dikumandangkan di Mekkah al-Mukarromah. Setelah Nabi Muhammad saw wafat, Bilal merasa sukar untuk menghabiskan waktu di Madinah tanpa Nabi tercinta (saw). Dia meminta kepada Khalifah Abu Bakar untuk membiarkannya pergi ke Syiria untuk berjihad. Dan disana ia menghabiskan sisa waktu hidupnya. Ia mengumandangkan azan hanya dua kali setelah itu. Yang pertama adalah ketika Khalifah Umar bin Khattab datang ke Syiria dan kedua kalinya ketika ia mengunjungi makam Nabi Muhammad saw di Madinah. Setelah mendengar suara azannya orang-orang menangis, kerana mengingat masa-masa kehidupan Nabi Muhammad saw.


Bilal meninggalkan Madinah untuk pergi ke Syiria dan tinggal disana. Ketika Khalifah Umar mengunjungi Baitul Maqdis, ia meminta Bilal untuk mengumandangkan azan. Dan ketika ia mengumandangkan Azan, para sahabat menangis tersedu-sedu teringat masa lalu. Diriwayatkan bahwa Khalifah Umar menangis yang mana ia belum pernah menangis seperti itu sebelumnya. Ketika Bilal berada di Syiria, ia melihat dalam mimpi Nabi Muhammad saw berkata kepadanya "Wahai Bilal, mengapa engkau tidak mengunjungiku". Ia kemudian langsung bergegas ke Madinah dan menyampaikan shalawat dan salam di makam Nabi saw sambil menangis dan menempelkan wajahnya ke makam Rasul.

Ketika ia melihat Hassan dan Husain, cucu Nabi saw, ia langsung merangkul mereka. Atas permintaan mereka, Bilal mengumandangkan azan dengan suara gemetar dan berlinangan air mata. Mendengar Azannya Bilal, orang-orang berdatangan ke Masjid Nabawi. Ini adalah azan terakhirnya di Madinah. Bilal menghabiskan hari-hari terakhirnya di Syiria. Beliau wafat pada 18 Hijriah pada usia 64 tahun dan dimakamkan Damaskus. Ia melayani Nabi saw selama 25 tahun. Islam telah mengangkat darjatnya pada tingkat seperti yang Umar bin Khattab memanggilnya sebagai Sayyidina (pemimpin kami). Begitulah Islam mengiktiraf manusia pada persamaan sosial. Yang membezakan kita hanyalah taqwa. 




Isnin, 26 Oktober 2015

HENTIKAN BALAH BANYAKKAN MUZAKARAH

Semakin banyak kenyataan terbuka dari ahli agama yang berpaksikan politik seperti ini. Sewenang-wenang mengatakan pihak lain syirik, sesat, kafir, bodoh dan sebagainya. Berpeluh masyarakat nak menilai mana betul mana salah. Akhirnya masing-masing sekadar memihak kepada ustaz mana atau parti mana yang mereka sokong. Bukan mengikut fakta fiqh atau dalil yang berasas. Orang Islam tidak habis-habis sibuk bergaduh tentang perkara ranting atau ritual. Sibuk mempertikai bab ritual siapa yang lebih bagus. Dengan budaya keterlaluan menyokong dan menyembah susuk peribadi tokoh yang menjadi idola, maka para penyokong semakin bersemangat untuk saling bermusuhan. 

Fraksi fahaman agama ini sudah sampai ke tahap sanggup bukan sahaja memaki secara berdepan, malah sanggup berbunuhan. Musuh Islam pula sibuk mengkaji strategi dari alQuran dan terus 'attack' soal aktual untuk memusnahkannya melalui gerak saraf dari dalam. Sampaikan hari ini seluruh umat Islam masih tidak perasan akan kepentingan dan strategi pokok itu lalu mengabaikan aktual Islam itu sendiri. Lebih malang lagi apabila kita tidak perasan pun yang kita ini hanya satu watak yang 'extra cikai' dalam plot drama yang diarahkan oleh musuh-musuh Islam yang sentiasa bekerja keras menghancurkan Islam. Masing-masing saling membangga diri, merasa lebih Islam dari yang lain disebabkan ilmu ritual mereka lebih hebat berbanding yang lain. 



Masalah akan selesai dengan muzakarah dan pertemuan yang baik. Cubalah manfaatkan segala kuasa pendengaran untuk capai solusi yang baik. Jika harus membenci, jangan membenci dengan ketara, sisipkan ia sedikit sabar itu. Benci itu berpada pada, bukan untuk dirinya. Menghukum mereka bagai kita pula yang tak berdosa. Itu bukan kuasa hamba. Tangisilah diri apabila kita kurang kuasa untuk memaafkan mereka. Hanya terlampau asyik pada marah akan buat kita terus leka. Ego akan melenyap bila benci ditutup perlahan-lahan. Pendam rasamu, rendam katamu. Dunia teori sudah tamat bila masalah terjumpa di hadapan. Kesabaran perlu diiringi dengan kebijaksanaan. 

Hidup bukan mudah meng'kafir'kan dan me'nerakakan' orang. Satu perbuatan melampau bila ambil tugas sebagai tuhan! Beralah pada yang boleh. Bertegas pada yang tuntas. Akhlak muslim bukan seharian hidupnya menyumpah seranah. Oh dakwah. Akhlak dan doa di mana pula? Terdapat perbezaan yang ketara antara tahu dan sedar. Tahu dari akal dan sedar dari hati. Misal yang mudah - kebanyakan manusia tahu dia hamba Allah, tetapi tak sedar dia hamba Allah. Tahu tidak memadai, kena ada kesedaran baru menjadi. Hidupkan Islam dengan amali bukan sekadar teori.

Ahad, 18 Oktober 2015

PEDOMAN BUAT ISTERI SOLEHAH

Perkahwinan itu adalah satu perkongsian, segala yang haram antara lelaki dan wanita menjadi halal dengannya. Antaranya adalah persetubuhan yang menjadi salah satu penzahiran kemuncak rasa kasih sayang dan rindu suami terhadap isteri dan begitu juga sebaliknya. Kerana itu dalam bahasa inggeris, kerjabuat itu dipanggil 'make love'. Suami yang beriman sentiasa memikirkan beban tanggungjawab dalam memikul amanah kepimpinan hidup keluarganya. 9 bahagian waktu digembeling dengan akal buat menyediakan ilmu, mencari nafkah, keselamatan, perlindungan dan pelbagai tanggungjawab terhadap keluarga. Hanya 1 bahagian sahaja berbaki untuk melayani nafsunya, terutama apabila sudah lanjut usianya.

Kemuncak rasa kasih dan rindu seorang suami yang menyebabkan ia ingin bersama dengan isteri tercinta itu boleh datang 'tidak semena-mena'. Suami beriman tidak akan melampias nafsunya kepada wanita lain atau secara mungkar. Sesungguhnya keinginan itu adalah satu bentuk penghargaan dan merupakan 'hadiah besar' yang didambakan oleh para isteri juga. Oleh itu, amatlah tidak wajar ia dibiarkan membazir begitu sahaja. Isteri yang menolak ajakan suami adalah munafik, menipu diri sendiri sebenarnya. Munafik itu adalah bahan bakar, atau kerak api neraka. Kerana itu, isteri harus sensitif dengan keinginan suami itu dan sentiasa mempersiapkan diri untuk ‘memikat’ selera sang suami biar apapun rupa dan usianya. Gunakanlah anugerah 1 akal pada wanita untuk mengatur 9 nafsu yang ada padanya bagi memikat dan sentiasa menyediakan diri untuk suaminya. 




Usaha itu akan menampakkan keredhaan isteri terhadap suami dan tanda keinginannya untuk bersama suaminya. Senyuman redha dari wajah isteri adalah keindahan yang sebenarnya. Keredhaan itu juga yang akan membuatkan wajah isteri jadi indah berseri dan ceria menawan, biarpun usia sudah tua, biarpun tubuh sudah kerepot. Itulah sebahagian dari rahsia ciri isteri solehah, perhiasan terindah bagi seorang suami dari awal perkahwinan membawa ke jannah. Ramai artis dan ratu cantik yang ayu jelita bercerai tidak berapa ketika selepas bernikah. Padahal umur masih muda dan wajah masih bergetah. Buruknya wajah mereka ialah kerana tidak mendapat redha suami, apabila sentiasa dalam keadaan marah berkerut dan memberontak. Ini kerana tiada manusia yang kelihatan cantik dan indah ketika 'marah'.

Rasulullah s.a.w bersabda :
“Seorang wanita itu dinikahi kerana salah satu daripada sifat-sifat utamanya; kejelitaannya, hartanya, akhlaknya dan agamanya. Hendaklah kamu memilih wanita yang memiliki agama dan akhlak, kamu akan beruntung kelak. (Hadis Riwayat Ahmad).

Syurga isteri adalah di bawah tapak kaki suami, syurga anak pula di bawah tapak kaki ibunya. Tapak kaki itu merujuk kepada 'langkah' suami dan ibu yang beriman. Langkah itu yang perlu diikuti untuk menggiring isteri dan anak ke syurga. Biar apapun alasannya HARAM seorang isteri berkata 'AH' dan bermasam muka dengan suaminya. Demikian juga seorang anak terhadap ibubapanya.

Rabu, 7 Oktober 2015

HIJRAH MENUJU ALAF BARU

Awal Muharram sekali lagi menyingkap tirai dan mengimbau perjuangan agung Rasulullah s.a.w. menghadapi kebejatan jahiliah dan kemelut permasalahan yang tidak berkesudahan. Ia sekaligus membuka satu lembaran baru dalam sejarah kemerdekaan sejati bagi umat Islam daripada belenggu jahiliah dalam pelbagai aspek kehidupan. Ini juga bermakna bahawa strategi dakwah yang teliti, penuh hikmah dan berhati-hati serta berasaskan perancangan yang rapi yang diterajui sendiri oleh Rasulullah s.a.w. pada ketika itu, telah berjaya memastikan Islam terus berkembang ke seluruh pelosok dunia sehingga hari Kiamat. Sesungguhnya persiapan rapi yang disempurnakan sebelum melancarkan slogan hijrah agung itu merupakan tindakan perdana yang penuh berwawasan, efisien dan berpandangan jauh. 

Setelah 1437 tahun lamanya peristiwa hijrah hakiki berlalu, kini umat islam hidup di dalam pelbagai cubaan dan dugaan yang amat mencabar. Lebih-lebih lagi di saat dunia sedang menghadapi ledakan kemajuan yang tidak berhenti-henti. Paling mencabar, dakwah Islamiah hari ini memasuki era siber serta memerlukan kepakaran di dalam bidang sains komputer dan multimedia yang tinggi. Dunia tanpa sempadan, konsep langit terbuka, kerajaan elektronik, perdagangan elektronik, munculnya penyakit-penyakit yang kronik, budaya-budaya Barat yang semakin banyak didedahkan kepada masyarakat dunia, penerokaan pelbagai jenis disiplin ilmu dan sebagainya, merupakan sebahagian daripada cabaran yang mesti disahut oleh umat Islam hari ini. Umat Islam yang mengambil sikap tunggu dan lihat akan tertinggal jauh di belakang. 



Akhirnya mereka akan menjadi pengkagum kehebatan yang dicapai oleh orang lain. Dalam masa yang sama jika umat Islam ingin turut sama mengejar kehebatan tersebut, maka mereka perlulah mempersiapkan ilmu pengetahuan yang tinggi dan mestilah sanggup mengorbankan masa, tenaga dan belanja yang banyak demi kemajuan hidup mereka sendiri. Namun begitu, persoalannya berapa keratkah di kalangan kita yang sanggup berusaha bermati-matian untuk tujuan tersebut? Sebaliknya masih ramai lagi yang hanya duduk menghabiskan masa tanpa berusaha menuntut ilmu pada tahap yang sewajarnya. Jika direnung betapa hebatnya persiapan Rasulullah s.a.w. dan para sahabat r.a. bersedia sebelum menjayakan hijrah dari Mekah ke Madinah suatu masa dahulu, maka sudah tentu kita akan menitiskan air mata mengenangkan hebatnya pengorbanan yang telah dilakukan. 

Kita bersyukur kerana hasil titik peluh, darah dan air mata merekalah, maka kita berpeluang untuk menikmati nikmat iman dan Islam pada hari ini. Barangkali tidak pernah terdetik di lubuk hati para sahabat r.a. ketika itu bahawa seruan dakwah yang mereka usahakan di celah-celah kezaliman kuffar Quraisy di tengah padang pasir dahulu kala, kini menjadi bahan perbincangan hebat antara ulama’ dengan penduduk dunia melalui internet. Bersama kecanggihan ini juga ayat-ayat al-Quran yang mereka hafaz di dalam dada dan menjadi amalan hidup dahulu, kini banyak yang hanya menjadi hiasan di dinding rumah-rumah umat Islam. Masjid yang menjadi tempat penyebaran ilmu dan bersyura dahulu, kini hanya menjadi bahan kebanggaan dan kemegahan binaan dan ukiran indah tetapi sepi daripada jemaah yang keluar masuk untuk beribadat dan beri’tikaf di dalamnya. 



Sesungguhnya persiapan utama yang disediakan oleh Rasulullah s.a.w. bersama para sahabat r.a. sebelum bermulanya misi hijrah ialah memberi kekuatan rohani dan jasmani. Perkara asas yang ditekankan oleh baginda ialah persoalan akidah. Sesungguhnya peristiwa hijrah yang dicatatkan sebagai proses terpenting dalam pembentukan sesebuah negara Islam pertama di Madinah, tidak dicapai dengan cakap-cakap mulut sahaja. Ia bukan hanya slogan retorik semata-mata. Ia juga bukan hasil daripada pemerasan kuasa ke atas kaum yang lemah, penipuan, taktik kotor, menindas sesuatu kumpulan atau kekerasan yang tidak berhati perut. Malah ia sebenarnya bertitik tolak berkat daripada kesabaran yang tinggi, keikhlasan yang lahir dari hati yang murni dan pengorbanan para pencinta keadilan yang terdiri daripada para sahabat r.a. 

Umat Islam hari ini wajib mempersiapkan diri untuk melakukan hijrah menuju ke alaf baru. Dunia tidak akan menunggu sesuatu umat untuk sama-sama mencapai kecemerlangan. Kita juga perlu sedar bahawa kita tidak disuruh duduk menunggu sehingga dijemput kematian lalu kita keluar daripada alam ini tanpa melakukan apa-apa perubahan. Sebaliknya kita disuruh dan diwajibkan berusaha sedaya upaya mencapai kejayaan di dunia sehingga ajal tiba. Cuma satu, kita dilarang daripada mengejar dunia sampai melupakan akhirat. 




Khamis, 1 Oktober 2015

DUNIA REMAJA HARI INI

Dunia remaja memang dunia yang sukar difahami. Dibandingkan dengan tahap perkembangan lain, remaja memiliki karektor yang unik dan sensitif. Tentunya dalam batasan usia antara 10-24 tahun, remaja mengalami proses peralihan dari kanak-kanak menuju alam dewasa. Perubahan hormon yang terjadi  memberikan pengaruh yang besar terhadap perubahan fizikal, emosi serta sosial yang sedikit sebanyak dipengaruhi oleh persekitarannya. Salah satu karektor remaja yang selalu menjadi masalah adalah proses pencarian identiti diri. Remaja sentiasa dituntut oleh masyarakat untuk dapat menjelaskan siapakah diri mereka, apakah peranan dan makna dirinya pada masyarakat. Sedangkan dalam masa yang sama mereka memiliki keinginan untuk berbeza daripada orang lain, sehingga akibat daripada itu mereka berusaha menampilkan diri mereka agar menarik perhatian masyarakat. Kebingungan yang dialami oleh remaja dalam menentukan siapakah diri mereka inilah sebenarnya merupakan punca terjadinya penyimpangan dalam kehidupan remaja.


Sebenarnya terdapat banyak ciri yang mengidentitikan seseorang atau sekelompok remaja itu sebagai ‘gila-gila remaja’. Segolongan daripada mereka berseluar ketat, hidung dan telinga bertindik (termasuk lelaki), tato penuh dilengan, model rambut yang mohawk serta bergaya ala punk. Manakala sebahagian lain pula bergaya hip-hop, free style bahkan retro dengan potongan rambut pendek seperti lelaki. Mereka ini mahu supaya masyarakat melihat mereka sebagai remaja padahal hal itu belum tentu sesuai dengan jati diri mereka. Kesilapan dalam menentukan langkah memberi kesan yang pelbagai pada diri remaja hingga ada yang rela mengorbankan tubuhnya untuk diracuni oleh berbagai jenis dadah termasuk pil estacy dan sebagainya. Awalnya hanya sedikit-sedikit tetapi akhirnya terlebih dos. Namun itulah kata mereka bahawa “gaya hidup seperti itu adalah gaya hidup remaja masa kini. Jangan sampai ketinggalan zaman!” 




Dengan itu potongan baju dan ‘style’ rambut disesuaikan dengan mode terkini, bahkan gaya hidup selebriti ditiru. Free sex mewarnai kehidupan mereka, check in hotel, chalet atau mana-mana tempat yang dirasakan selesa melakukan projek. Demikianlah kenyataannya kehidupan anak-anak remaja zaman sekarang. Semuanya adalah refleksi kehidupan remaja yang mengaku mempunyai kehidupan moden. "It's my life". Realiti yang jelas pada hari ini, isu golongan remaja ternyata telah mendapat perhatian serius daripada masyarakat dunia dan secara keseluruhannya kita semua sudah maklum akan kecelaruan hidup mereka yang sebenarnya mahukan kebebasan. Tetapi kebebasan yang mereka pertontonkan kepada masyarakat bukanlah dalam ertikata kebebasan yang positif dan memberi manfaat untuk semua atau pun diri mereka sendiri malah kebebasan itu merosakkan maruah diri, bangsa, agama dan negara. Mereka sebenarnya terpenjara oleh hawa nafsu yang dikawal ketat oleh warder-warder penjara berupa syaitan yang sentiasa menjadi pujaan mereka. 


Maka bagaimana dengan kesudahan remaja kita sekarang ini? Jika diperhatikan, hakikatnya remaja yang ada di sekitar kita, keadaannya masih jauh dari apa yang diharapkan. Hanya sebilangan kecil yang boleh diletakkan harapan sedangkan sebahagian besarnya pula amat membimbangkan. Kedapatannya mereka gagal berfikiran rasional sehingga terjebak dan ketagih dengan pelbagai trend yang langsung tidak bermanfaat. Para remaja kita lemas dengan kesenangan hidup dan tidak begitu gemar menghadapi cabaran. Hanya dengan sedikit cubaan hidup yang melanda, mereka terus hilang pedoman, jiwa rasa tertekan lantas terus memberontak. Tidak sedikit daripada para remaja seperti ini hilang arah, terus lari dari rumah, membunuh diri dan sebagainya. Mereka tidak biasa menghadapi situasi gawat seperti peperangan dan lain-lain. Oleh sebab itu kehidupan mereka sentiasa inginkan keseronokan dan dilimpahi kemewahan. Tiada apa yang boleh menghalang mereka daripada mengikut arus peredaran dunia semasa terutama sekali yang datang dari benua barat kerana itulah yang dianggap paling sensasi dan bergaya. 





Memang tidak dinafikan bahawa golongan remaja juga sebenarnya berhak memilih cara hidup mereka sendiri terutama dalam mencari erti kebebasan. Namun dalam hal ini, setiap kegiatan remaja mestilah diawasi biar sesuai dengan situasi dan keadaan masyarakat setempat yang mempunyai adat dan budaya. Kesimpulannya para remaja sekarang telah lupa siapakah diri mereka? Mereka lupa bahawa mereka orang Islam! Mereka lupa bahawa mereka ada agama! Mereka lupa bahawa mereka adalah generasi pelapis pemimpin akan datang. Jika mereka rosak maka rosaklah generasi seterusnya. Remaja kita lupa bersyukur! Akibat lupa dan alpa inilah mereka memilih gaya hidup bebas seperti orang tidak beragama padahal setiap agama itu mengarahkan penganutnya ke arah kebaikan. Cubalah kita fikirkan adakah kita harus membiarkan rakan-rakan remaja kita seperti ini terus hanyut begitu sahaja. Atau dengan perkataan lain kita biarkan apa jua pilihan mereka dan apa pun yang dilakukan oleh mereka, kerana baik buruknya akan mereka tanggung sendiri. Sebenarnya dalam keadaan ini kita juga menanggung dosa sekalipun kita tidak terlibat melakukannya.