Jumaat, 9 Disember 2016

KEKELIRUAN DALAM BERAGAMA

Islam adalah agama yang diredhai Allah dari dahulu hingga kini dan selamanya. Setiap kali amanah yang diberikan kepada umat terdahulu dikhianati, maka ianya bertukar nama lalu Allah gantikan mereka. Allah pindahkan amanah itu kepada umat yang baharu. Begitulah seterusnya sehingga Rasulullah SAW juga berwasiat untuk menjaga amanah itu kepada umat baginda selepas baginda tiada. Apa yang ditegakkan baginda itu juga akan berakhir apabila semuanya dirosakkan semula oleh manusia.
Itulah zaman di mana...
"Islam akan hanya tinggal nama, alQuran hanya tinggal tulisannya sahaja, Masjid indah tapi tiada petunjuk yang mengalir, ulamaknya tergolong dari kalangan manusia hina yang duduk di bawah kolong langit (di bawah kuasa pemerintah), dari mereka timbul fitnah dan kepada mereka fitnah itu dikembalikan."
Hari ini semua itu sudah berlaku. Islam kita hanya berdasarkan IC, serta bin dan binti. Bukan sahaja seluruh isi alquran tidak difahami, malah yang dibaca dalam solat juga tidak diketahui maknanya. Lalu 'bercakap-cakaplah' kita kepada Tuhan kita seperti burung kakak tua yang tidak tahu apa apa.


Sedar tak sedar, banyak sudah kalimah suci yang kita ubah. Sedangkan telah Allah tegaskan pengubahan mana mana dari kalimah suci itu amat ditegah. Contoh paling nyata dalam doa IFTITAH yang mesti dibaca oleh setiap dari kita setiap kali solat (QS: AL-AN'AM 162-163).
Ramai yang berbangga dengan masjid yang besar dan indah. Namun tidak nyata usaha dakwah di masjid yang besar. Ilmu tidak berterusan mengalir di situ ibarat sungai di taman syurga. Jemaah juga kurang berminat untuk berjemaah di dalamnya. Pemerintah (umarak) yang baik ialah yang berusaha mendekati ulamak untuk mengutip nasihat mereka. Ulamak yang buruk pula ialah yang terhegeh hegeh mendekati umarak.
Apa yang berlaku kini adalah sebaliknya. Ulamak yang seharusnya tidak partisan sudah menjadi bahan lawak. Dalil dan fatwa dicari-cari dan dibacakan apabila ia 'menyokong' partinya setidak-tidaknya kepada pengikut setia (followernya). Ulamak itu kata jamak, iaitu sekumpulan orang alim yang berada dalam satu majlis syuro untuk memutuskan sesuatu. Apa yang difahami kini lain jadinya. Setiap penceramah digelar ulamak. Padahal ia hanya sekadar individu 'berilmu' yang perlu disucikan ilmunya melalui satu majlis syuro bersama alimin yang lain.
Apabila setiap individu itu digelar ulamak, maka sewenang wenang lah ia mengeluarkan fatwa yang berbeza-beza. Di situlah bermulanya fitnah di mana umat mula berpecah belah.
Allah suruh ikut tabia'at (langkah-langkah) Nabi yang berpedomankan wahyu, tetapi kila kini pula banyak mengikut tabiat syaitan yang bertuankan nafsu. Kita kini berbuat dan bercakap ikut suka kita sahaja. Alasannya ini adalah hak asasi manusia dalam dunia yang bebas. Apabila ada yang menegur atau menyingkap khilaf itu, maka sepantas kilat akan ada yang melenting..."jangan jadi judgemental, jangan menghakimi, jangan buka aib dan sebagainya."
Akhirnya kejahilan semakin berleluasa. Yang jahil bertambah degil, yang salah semakin parah, yang rosak semakin punah.
QS: 2. Al Baqarah 208. Hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam KESELURUHAN, dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu.
Syaitan itu dikatakan berasal dari kelompok malaikat yang patuh. Hanya kerana SATU sahaja perintah Allah yang dilanggar, iaitu agar patuh kepada Adam, maka segala amal baiknya terhapus dan kekal dia sebagai penderhaka kepada Tuhannya. Bagaimana dengan kita pula? berapa banyak perlanggaran yang sudah kita lakukan? Allah suruh kita ikut Islam seluruhnya, namun syaitan hasut agar kita ikut sebahagian sahaja. Syaitan memang telah berazam untuk meracuni orang yang beriman. Jika tidak mampu menghasut terhadap perkara besar, maka ia akan usahakan melalui perkara kecil. Hari ini daripada perlanggaran perkara kecil sehingga perkara besar semuanya sudah diborong oleh kita.

Sabtu, 26 November 2016

MENYUSURI SIRAH NABI

Sejarah bukan topik yang ramai orang suka. Ramai yang cuba mengelak dari ambil tahu tentang sejarah. Malah antara masalah ibubapa moden zaman sekarang, mereka sendiri 'zero' dalam mengetahui sirah dan sejarah nabi. Berapa ramai yang boleh cerita pada anak-anak tentang Nabi Muhammad dari A-Z? Kalau tahu pun hanya yang wajib tahu dalam sukatan sekolah. Nak cerita semua dalam buku teks pun belum tentu boleh. Sebab belajar dulu sebab nak jawab exam! Kenapa jadi macam tu? Antara puncanya ialah kerana kita memisahkan sejarah itu daripada mengaitkan dengan diri kita. Sejarah hanya sejarah! Sedangkan itulah SUNNAH yang sebenar, akan berulang berlaku pada zaman kita. Kita hanya mengulangi apa yang Rasulullah lalui. Begitulah sunnah terjadi pada nabi-nabi terdahulu hingga kepada kita. Sunnah bukan sekadar ritual, tetapi satu peristiwa aktual yang berlaku berdasarkan pimpinan wahyu.
Kita jangan kata bangsa Arab zaman nabi itu sahaja yang jahiliyyah. Zaman sekarang pun manusia masih jahil dan terlalu banyak hukum jahiliyyah berlaku di zaman moden! Tujuan kita mengkaji riwayat hidup Rasulullah saw dan menganalisanya bukanlah semata-mata untuk melihat kejadian-kejadian dan episod-episod yang bersejarah ataupun memaparkan cerita-cerita yang indah sahaja. Pentingnya setiap yang mengaku Muslim dapat memahami, menganggap dan menggambarkan bahawa hakikat zahir dan batin Islam semuanya teradun di dalam seluruh kehidupan Rasulullah itu sendiri, dari hari pertama baginda lahir sehingga baginda wafat. 


Gambaran dan anggapan ini akan timbul dan wujud setelah seseorang Muslim itu dapat memahami dengan benar segala hikmah dan keistimewaan prinsip-prinsip dan dasar-dasar Islam satu persatu terlebih dahulu. Kita kena kenal dasar-dasar Islam kemudian memadankannya dengan menyesuaikan dengan sunnah dan segala tindakan nabi sepanjang pembangunan agama yang dibawa oleh Nabi Muhammad. Memahami peribadi Nabi Muhammad saw menerusi penghidupan dan suasana hidup Baginda sendiri. Supaya kita dapat meniru dan mengikut suatu contoh yang unggul dalam segenap lapangan hidup, dari itu juga dapat dijadikan sebagai panduan dalam urusan melibatkan dasar agama.
"Sesungguhnya pada (diri) Rasulullah itu menjadi contoh yang paling baik untuk (menjadi ikutan) kamu". (Al-Ahzab 33 :21)
Segala kupasan tentang kehidupan Muhammad SAW boleh membantu kita memahami dan melaksana isi kandungan Al-Quran lantaran banyaknya ayat-ayat Al-Quran yang dihurai dan ditafsirkan oleh kejadian dan peristiwa-peristiwa melalui sejarah hidup Nabi Muhammad. Sejarah Nabi Muhammad saw menghidangkan kepada kita sejambak contoh utama untuk kita mencipta generasi yang waras, peribadinya yang dipercayai orang di kalangan keluarga dan sahabat, seorang manusia yang menyeru umat manusia ke jalan Allah.
Seorang pejuang yang mengorbankan sepenuh usaha dan tenaga demi menyampaikan seruan Allah, seorang ketua negara yang mendayung bahtera pemerintahan dengan cekap dan pintar seorang suami yang halus pergaulannya, seorang bapa yang teliti dan bijak menyempurnakan kewajipan terhadap anak dan isteri. Seorang ketua turus agung peperangan yang cergas, penuh dengan tektik strategi persediaannya dan seorang Muslim yang waras lagi bijak membahagikan dedikasinya kepada Allah, keluarga dan para sahabat handai. Sesungguhnya mempelajari sejarah hidup Nabi Muhammad saw ialah memahami semua sudut kemanusiaan.
Ajarlah anak-anak kita mengenali sosok tubuh bernama Muhammad itu. Itu sahaja contoh dan uswah terbaik dari seluruh nabi-nabi yang diutus Allah. Bodohlah kita kalau sebagai ibubapa, penjaga dan waris jika kita masih membanggakan idola lain sebagai role model anak-anak kita. Malulah sebagai seorang Islam, yang mengaku beriman dan bersyahadah atas nama baginda setiap hari. tapi tak kenal siapa Muhammad saw, nak cerita tentang sejarahnya pun tak tahu. Rasalah terhina kerana syafaat untuk kita masuk ke syurga hanya mampu kita dapat dari baginda setelah diakui sebagai umat MUHAMMAD.

Sabtu, 5 November 2016

KITA ADALAH APA YANG KITA BACA

Jika disusun buku-buku novel idaman malaya sahaja, terlalu banyak yang nak disenaraikan. Berjilid-jilid ditulis sampai ada yang dah jadi trilogi dan beranak-pinak novelnya. Ratusan ribu buku yang telah ditulis, berjilid bersiri dan bermuka surat tebal itu sanggup dihadap oleh anak dara kita. Tak lepas juga si anak teruna pun ada yang hantu novel juga. Semua menjadi demam, jadi ketagih tak kurang yang beremosi membaca sambil berlinangan air mata. Kerana terlalu khusyuk menjiwai jalan cerita. Ada juga yang sampai buat whatsapp group semata-mata nak memahami cerita yang berbelit-belit. Ada cerita penuh rahsia, kod breaking dan misteri dikupas satu persatu supaya pakat faham apa yang nak disampaikan si penulis.
Ada pula yang sanggup tinggal makan minum dan skip tidur malam kerana nak habiskan novel yang baru dibeli, baru publish sebab nak jadi orang yang pertama tahu dan boleh komen dalam group. Semangat inilah yang menjadikan anak-anak terlebih kreatif dalam hidup. Panjang akal dengan imaginasi dan emosi jiwa, berangan dan hidup dalam khayalan. Nah, keluar pula cerita pukul 7 malam. Satu-satu cerita 2 muka surat jadi 1 episod. 1 buku dah jadi 50 episod. Setiap episod jadi bahan bualan, sembang harian, gosip dan ikutan. Dari anak, ibu dan makcik di kampung pun terlepas solat Maghrib awal waktu kerana nak khatamkan cerita di tv. Satu berhala dalam rumah yang berjaya memesongkan KIBLAT kita dari Allah kepada perkara yang lagho!


Dari kertas yang makan umur anak-anak kita 3-4 jam sehari dah membawa sampai ke kaca tv jadi 50 jam. Itu baru satu novel, kalau ada 20? 50? 1000 novel? Berapa jam dah terlebur hanya untuk angan-angan kosong dari kisah yang langsung tak membangunkan agama? Diri dan keluarga? Hidup dengan ilustrasi manusia yang mahu lari dari realiti dunia. Al-quran yang hanya 114 surah, itu pun belum habis kita khatam. Kalau arabnya sudah, kefahamannya bagaimana? Al-quran yang WAJIB kita tahu, hafaz (pelihara) dan laksana (amal) segala perintah dan peraturan hidup kita lagilah kita kena kerja keras buat apa yang disuruh dan istiqomah setiap masa.
Malangnya bagi kita dan anak-anak generasi kita, bila emak bapak yang beriya menyuruh anak membaca bahan yang tidak membina jiwa beragama tetapi dilaburkan duit dan masa untuk urusan yang leka. Mari kita kira dan hitung dari usia 7 tahun (sekolah rendah) sampailah dewasa 25 tahun (keluar universiti) berapa banyak buku, silibus, novel, buku teks yang sudah dikhatam, dibaca dan diulangbaca diulangkaji? Benar, asas membaca bermula dari buku. Tetapi jangan dilupa apa yang wajib kita utamakan. Kita perlu dahulukan. Kenal huruf, nama, makna dan maksud untuk kita mampu memahami setiap ayat dan topik dalam sebuah buku.
Selama 18 tahun kita hidup dari darjah 1 sampai graduasi, mari kita muhasabah sepanjang usia itu sudahkan kita berjaya khatamkan al-quran dengan memahaminya untuk mencipta diri kita menurut kehendak Allah? Laksanakan segala titah perintah mendaulatkan al-quran sebagai perlembagaan hidup! Jika belum. Bila kita nak mula mendekati al-quran dan berusaha untuk memahaminya? Dalam sibuk menonton cerita di tv? Sibuk beratur beli tiket wayang? Sibuk jiwang menjadi lelaki romantik dan perempuan yang dicipta dengan angan-angan palsu. Novel kita boleh habis khatam? Kenapa susahnya kita nak baca al-quran dan hidup mencari jalan memahami maksudnya?
Kita lebih tahu kisah tentang ADAM DAN HAWA di dalam novel dari kisah sebenar nabi adam di dalam al-quran. Dari surah al-Fatihah hingga ke surah An-Nas, semua itu adalah formula untuk mencipta kita menjadi insan yang bebas dari sistem manusia. Membaca al-quran tetapi tidak faham maka akhlak yang hidup dalam jiwa kita bukan dengan roh agama. Jauh dari kemahuan ingin membuktikan diri menjadi manusia sebagaimana mahunya Allah. Tetapi kita menjadi manusia yang dicipta dengan imaginasi manusia yang mencipta dunia 'bukan realiti'. Tidak mengikut fitrah manusia biasa dan menjadikan angan-angan sebagai fantasi untuk keluar dari dunia sebenar.
Mencipta watak-watak novel dalam diri, bukan watak berakhlak al-quran. Jiwa kita mampu menangis kerana terlalu khusyuk menjiwai sebuah novel tapi malangnya bila membaca al-quran kita menjadi orang yang paling kedekut air mata, sombong untuk menjiwai ayat-ayat Allah dan tak ada langsung roh menghidupkan agama-Nya. Siapa kita? Kita hanyalah watak novel yang hidup dengan tulisan dan ayat-ayat manusia, bukan dengan wahyu dan kalam Allah.

Rabu, 2 November 2016

HILANGNYA KESATUAN AGAMA AKIBAT PERTELINGKAHAN SESAMA KITA

Antara misi Nabi diutuskan untuk setiap umat adalah untuk memperbaiki akhlak manusia yang hidup dengan mentaliti jahiliyah. Kerana manusia sudah hilang pedoman hidup, sudah tidak tahu nak ikut cara hidup siapa. Haq dan batil sudah bercampur aduk sebati dengan jiwa manusia. Halal dan haram bukan lagi timbangan, asal menguntung diri dan menyedapkan perut. Ke barat salah, ke timur pun salah. Dari manusia yang bertamadun manusia sedikit semi sedikit hilang maruahnya, hukum manusia dibuang lalu dipakai hukum rimba. Yang tadi manusia dah bertukar jadi haiwan. Sifat binatang itu yang bersarang menjadikan manusia sanggup buat apa saja untuk hidup. Pakaian kita semua sudah berceloreng dengan warna-warna jahiliyah. Dari lengkap berbaju dan berkain sampailah tanpa seurat benang pun melekat di badan.
Apa sahaja yang sedang berlaku hari ini sama ada melibatkan isu negara, politik, ekonomi, bangsa dan agama ianya ada jelas satu rumusan akhir zaman yang memang dah banyak kali Allah sebutkan di dalam kitabNya serta melalui pesanan demi peringatan daripada RasulNya. Itulah sunnah, satu kitaran hidup manusia yang ada masa dia di puncak kekuasaan. Ada masanya dah sampai kepada fasa berakhirnya kuasa di tangan yang haq mahupun batil. Baik atau buruk, benar atau salah yang akan mengambil alih sesuatu tampuk kerajaan mahupun kuasa, kita dapat lihat bagaimana kejahilan manusia semakin meruncing. Yang memerintah bukan lagi ahli untuk menguruskan amanah tetapi merekalah diberikan kuasa.


Pusingan zaman ini dapat dilihat dengan jelas melalui pandangan nabi terhadap masa depan ummatnya. Itulah tanda-tanda yang telah baginda 'iqra' dengan membaca kondisi akhir zaman.
Di antaranya adalah hadits yang diriwayatkan Imam Ahmad dari Abu Hurairah r.a, Rasulullah saw bersabda:
Sesungguhnya akan datang pada manusia tahun-tahun yang penuh dengan tipuan, seorang pembohong dibenarkan dan seorang yang jujur dianggap berbohong, seorang pengkhianat dipercaya dan seseorang yang dipercaya dianggap khianat, dan saat itu Ruwaibidhah akan berbicara.” Ditanyakan kepada beliau, “Siapakah Ruwaibidhah itu?” Beliau menjawab, “Ia adalah orang bodoh yang berbicara tentang urusan orang ramai (umat). (Riwayat Imam Ahmad)
Akan tetapi akan aku kabarkan kepadamu tanda-tandanya yaitu jika orang yang telanjang tanpa alas kaki menjadi pemimpin manusia, maka itulah di antara tanda-tandanya. (Sahih Muslim)
Di antara tanda-tanda Kiamat adalah orang-orang bodoh menguasai dunia, maka manusia yang paling baik ketika itu adalah seorang mukmin di antara dua orang mulia. (At-Thabrani)
Dijelaskan dalam sebuah hadits shahih,
“Jika suatu urusan diserahkan kepada yang bukan ahlinya, maka tunggulah Kiamat".
Bila manusia sudah 'ramadh' (panas) dengan pelbagai BAHANG penyakit dunia, ketika itu mereka akan kembali mencari PENCIPTA mereka.
Agama hanya akan bangkit dari jiwa yang mencari kebenaran lalu ditegakkan kembali untuk membesarkan Allah. Ketika itulah pakaian agama yang sebenar dipakai kembali untuk membersihkan jiwa manusia. Islam bangkit bukan kerana kepentingan diri, untuk individu mahupun kumpulan tertentu. Tetapi untuk merahmatkan sekalian alam menjadi pelindung bagi yang lemah dan tertindas untuk kembali membangunkan tamadun manusia. Politikus pula lebih sibukkan pangkat dan kuasa. Jauh sekali mereka sibukkan diri untuk turun fikir nak selamatkan pemuda-pemudi harapan bangsa. Kalau yang terlebih cerdik, budak-budak inilah yang dipergunakan untuk penuhkan perhimpunan mereka. Anak-anak inilah yang jadi mangsa keadaan, pergi tak tahu punca. Yang penting ada upah dan boleh buat duit belanja.
Terlalu banyak tanda-tanda kita sudah pun menuju kepada penghujung zaman. Cuma manusia memerlukan akal untuk melihat dunia ini dengan lebih jelas melalui kitab Allah dan sunnah yang sebenar. Semoga kita tidak menjadi si jahil agama dengan melawan Allah secara terang dan berdepan, lalu menjadi si Abu Jahal yang mencabar kitaballah dan sunnah rasul.
Dan perumpamaan-perumpamaan ini Kami buatkan untuk manusia, dan tiada memahaminya kecuali orang-orang yang BERILMU. Al ‘Ankabut 43
Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia diantara kamu disisi Allah ialah orang yang PALING TAQWA diantara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal. AlHujuraat 13
Wahai anak Adam, sesungguhnya Kami telah menurunkan pakaian untuk menutupi auratmu dan PAKAIAN indah sebagai perhiasan. Sedangkan PAKAIAN TAQWA itulah yang lebih baik. Yang demikian itu adalah sebahagian dari tanda-tanda kekuasaan Allah, mudah-mudahan mereka selalu ingat. Al A'raf 26
Hai orang yang berkemul (berselimut), bangunlah, lalu berilah peringatan! dan Robbmu agungkanlah. dan PAKAIANMU bersihkanlah, dan perbuatan dosa tinggalkanlah. AlMudatsir 1-5
Setiap orang adalah pemimpin dan akan diminta bertanggungjawab atas kepemimpinannya. Seorang ketua negara akan diminta bertanggungjawab perihal rakyat yang dipimpinnya. Seorang suami akan ditanya perihal keluarga yang dipimpinnya. Seorang isteri yang memelihara rumah tangga suaminya akan ditanya perihal tanggungjawab dan tugasnya. Seorang pembantu rumah yang bertugas memelihara barang milik majikannya juga akan ditanya dari hal yang dipimpinnya. Dan kamu sekalian pemimpin dan akan ditanya (diminta bertanggungjawab) dari hal yang dipimpinnya. (HR. Bukhari, Muslim). 

Semoga Al Quran dan As Sunnah senantiasa menjadi petunjuk dalam kehidupan seharian kita. Ingatlah, kepada Nya lah kita datang, dan kepada Nya jualah kita akan kembali.

Selasa, 1 November 2016

ROH ISLAM YANG WAJIB DIBANGKITKAN

Bagaimana silih bergantinya siang dan malam, begitu jugalah sunnah jatuh bangunnya Islam. Beberapa ketika selepas 'pembangun' nya meninggal dunia, apa yang ditegakkan akan jatuh semula. Itulah juga yang dipesankan oleh baginda Nabi SAW sendiri. Lama sudah ura-ura serangan ke atas Mekah/Kaabah yang menjadi kiblat ummah ingin dilakukan oleh musuh agama. Kini semua hasrat itu sudah jadi nyata. Tahniah kepada tentera Saudi yang berjaya memintasnya. Itu jugalah janji Yang Maha Kuasa terhadap keselamatan RUMAH-NYA. Itulah ungkapan Abdul Muttalib penguasa kaabah sewaktu menuntut untanya.
Ingat lagi peristiwa serangan Kaabah oleh Tentera Bergajah? Ingat lagikah pesan Nabi SAW tentang tanda akhir zaman? Itulah dia fenomena serangan terhadap kaabah. Semuanya kerana persaingan mengejar kuasa dan harta. Apabila Kaabah sudah tergamak diserang, maka itu pertanda kedaulatan dan rohnya sudah mula kehilangan bisa. Pastinya ia dilakukan oleh 'pengguna' Rumah Tua itu sendiri. Itulah mereka yang seharusnya sangat menghormati dan mendaulatkan rumah itu. Ia bukannya dilakukan oleh orang 'bukan Islam' seperti yang kita sangka. Cuma keIslaman pengkhianat itu hanya pada nama sahaja, bahkan mereka jadi boneka musuh-musuh agama.


Peristiwa 13 Mei tercetus apabila seorang budak Melayu dibunuh kerana dia Melayu bukan kerana dia Islam. Dalam sejarah Melayu, tiada lagi orang Melayu dibunuh kerana Islam. Semuanya dibunuh sebab Melayu. Dalam satu hadis yang berbentuk futuristik, Rasulullah SAW berpesan,
"Bersegeralah kamu melakukan amalan soleh kerana akan datang kepada umatku di suatu masa, satu fitnah yang begitu besar yang datangnya seperti satu kepingan hitam di malam gelap gelita yang tidak nampak".
Sahabat bertanya, "Apakah fitnah besar itu ya Rasullullah?". "Fitnah itu adalah kamu akan lihat umatku di hari itu, di waktu itu, pada masa itu, pagi harinya Islam, petangnya kafir. Petang Islam, paginya kafir balik."
Sahabat bertanya lagi... "Mengapa begitu ya Rasullullah?" Rasullullah SAW menjawab, "Sebab dia jual agamanya dengan nilai dunia".
Itulah fitnah murtad (keluar agama) yang 'tidak nyata di mata' namun sedang melata di kalangan umat kita. Agama hanya sekadar ikut-ikutan dan ditunggang untuk mendapat laba dunia semata-mata. Ilmu kosong di dada, lalu keyakinan dan akidah terhadap agama langsung tiada. Imam Ghazali pernah berkata, "Akan datang fitnah murtad ini dalam keadaan seperti semut hitam di atas batu hitam di malam gelap." Henry Ford pernah menulis berkaitan strategi Yahudi menawan dunia di dalam bukunya. Semenjak kalah dalam perang salib terakhir, King ke 6 juga telah berwasiat. Ia ditulis dengan tinta emas di London yang bunyinya,
"Kepada semua pemimpim-pemimpin Kristian, kita hari ini telah melakukan kesilapan besar. Kita berperang dengan tentera Islam dengan pedang, bukan berperang dengan akidah yang ada pada mereka. Sebab tu Islam menang. Walaupun 30 ribu tentera mereka dengan 300 ribu tentera kita, mereka tetap menang sebab mereka berperang untuk mati. Kita perang untuk hidup. Oleh itu, hendaklah kita tukar strategi. Lancarkan perang ideologi, fahaman dan budaya ke atas mereka."
Wasiatnya berjaya dilaksanakan setelah King itu mati. 1492, kerajaan Islam Andalusia yang paling agung pada masa itu tumbang di tangan Kristian. 1511 kerajaan Islam Melaka tumbang, kemudian tumbang kerajaan Islam Pattani. Tidak lama selepas tu, tumbang kerajaan Islam Kedah. diikuti tumbangnya kerajaan Islam Mindanao. Lepas itu kerajaan Islam Acheh. Dan begitulah tumbangnya kerajaan Islam satu demi satu.. Pemansuhan Sistem Khalifah Islamiyah di Turki pada 1924 hanya sebagai 'pengesahannya' sahaja. Itulah pertanda Islam hilang total halatuju, kuasa dan 'sengatnya'.


Gerakan Kristian berjaya berdasarkan konsep 3G (GOSPEL, GOLD, GLORY). Pertama kitab/doktrin mereka, kedua membolot kekayaan kita, ketiga misi kemenangan terhadap agama.
Alfonso De Albuqueque bukan datang ke Tanah Melayu bawa tukang masak sebab mahukan rempah kari kita. Dia bukan makan kari, dia datang bawa mubaligh Kristian Francis Xavier untuk sebarkan ajaran Kristian. Mereka guna gerakan halus 'garam dan ragi' dengan membawa semua mubaligh Kristian datang ke Asia. Garam sebagai perasa, Ragi untuk penapaian. Apabila ubi kayu dicampur ragi, esoknya masih lagi berbentuk ubi, tetapi sebenarnya ia sudah jadi tapai.
Maksudnya, sejak dahulu lagi dikekalkan orang Melayu dengan identiti Islam namun hakikatnya kehidupan kita bukan cara Islam lagi. Akhirnya ia jadi agama nenek moyang yang kita jadikan ikut-ikutan. Cara inilah yang Rasulullah SAW kata macam kepingan hitam di malam gelita. Inilah yang Imam Ghazali kata macam semut hitam atas batu hitam di malam gelita tu. Yang pertama dituba ialah sistem pendidikan, kemudian dituba sistem politik dan budaya. Sistem ekonomi dan politik dirangka sedemikan rupa untuk memudahkan ‘kerja’ mereka. Umat dipancing dengan pangkat dan harta yang mereka bawa. Akhirnya mereka dapat bolot balik kesemuanya.
Pendekatan seperti ini tidak memerlukan seorang Muslim Melayu meninggalkan system kemasyarakatan yang dituntut oleh agamanya. Sebaliknya orang tersebut digalakkan terus tinggal dalam masyarakatnya untuk terus mengelirukan mereka. Justeru itu, ragi tetap wujud dalam keutuhannya. Dalam kegelapan itu mereka akan berfungsi bagaikan sebuah lampu yang diletakkan dalam gelap. Penyebaran agama akan terserlah dalam sifat kerohanian, bukannya bersifat organisasi. Dapat dirasakan kesegarannya, namun ia bukan bersifat kalam. Ia dinamik dan etikal, bukan bersifat formalistik dan ritual.


Pendekatan begini akan memperlihatkan kebaikan mereka. Justeru ia memberi laluan agar dapat dimasukkan ajaran bagaikan sebutir ragi yang bertindak dengan proses penapaiannya ke atas masyarakat Islam seluruhnya. Dalam kehidupan umat yang semakin terhimpit, musuh agama datang membawa pendekatan kebajikan. Hari ini siapa tidak kenal Kelab Rotary yang cuci buah pinggang, Kelab Lion, Bulan Sabit Merah, Saint John's Ambulans, siapa tidak kenal Palang Merah. Mereka masuk dengan cara menghidupkan sekularisme yang mengasingkan agama daripada kehidupan dunia. Itulah kita hari ini yang sudah mengasingkan Islam daripada kehidupan dunia. Kemudian mereka propagandakan budaya yang berunsur hiburan dan maksiat.
Sewaktu Kaabah diserang dahululah dilahirkan seorang Nabi sebagai Utusan dan Pesuruh Allah (Rasulullah). Itu pertanda bahawa agama yang ditegakkan oleh orang terdahulu telah roboh total, hilang 'sengat' dan semangatnya. Umat dan Negara Islam telah kehilangan hala tuju. Semuanya mengalami kebingungan (dhol) yang panjang kerana terlalu mementingkan dunia dan tidak bersatu lagi mempertahankan agama. Inilah berita besar (An-Naba') yang harus kita semua zikirkan semula. Fahami sedalam-dalamnya hakikat kiamat dan akhirat, hakikat jatuh berakhir dan bangun semulanya syiar agama.
Memang sudah sampai masanya. Islam harus QIAM (dibangkitkan) semula kerana kegemilangan dan keutuhannya telah berakhir. Hari ini kita semua harus dikumpulkan dan dinilai semula semua keberkesanan atau khilaf dari fahaman dan amalan lama tinggalan nenek mpoyang kita yang sudah dirosakkan oleh mereka. Kita harus ambil tindakan segera untuk menyelamatkan akidah anak cucu kita, samada dengan tangan, dengan mulut, atau paling lemah sekali dengan hati-hati kita.

Ahad, 2 Oktober 2016

HIJRAH MINDA KE ARAH TERBUKA

Konsep dan pandangan Islam berkaitan hijrah sebenarnya mampu untuk memberi kesan dan pengaruh yang amat besar dan mendalam dalam membangun dan memajukan kehidupan seseorang muslim dan masyarakat Islam secara keseluruhannya. Ini kerana, pengertian hijrah itu sendiri yang sinonim dengan konsep berpindah, bergerak dan membangun, serta natijahnya ialah untuk mendorong mereka lebih maju kehadapan dalam segenap ruang dan aspek kehidupan mereka, meliputi aspek pemikiran dan keilmuan, pandangan dan gaya hidup, perbuatan dan tingkahlaku, serta sikap dan akhlak. Inilah juga yang telah dicontohkan oleh Baginda Rasulullah s.a.w dalam peristiwa hijrah Baginda sejak 1437 tahun yang lalu.
Ibrah dari penghijrahan Rasul s.a.w dari kota Makkah ke kota Madinah, bukan hanya diiringi dengan penghijrahan fizikal, tetapi juga diikuti oleh penghijrahan, perubahan dan kemajuan dalam pemikiran dan pandangan serta gaya hidup kaum muhajirin, yang telah membawa banyak kebaikan yang turut dinikmati oleh kaum ansar. Malah ia memberi kesan yang lebih bermakna iaitu mendapat keredhaan Allah dan kemenangan kepada mereka dan kaum muslimin secara keseluruhannya. Allah berfirman dalam surah al Baqarah ayat 218 yang bermaksud, ‘sesungguhnya orang-orang yang beriman, orang-orang yang berhijrah dan berjihad di jalan Allah, mereka itu mengharapkan rahmat Allah, dan Allah Maha Pengampun dan Maha Penyayang’.


Ayat ini mengajarkan kepada kaum muslimin bahawa keampunan dan rahmat Allah itu datang seiring dengan hijrah, atau perpindahan dan perubahan, yang boleh berlaku dalam pelbagai bentuk dan konsepnya, serta itulah jihad dan perjuangan mereka bagi mencapai kemenangan dan kemajuan dunia dan akhirat. Semangat hijrah yang difahami di sini ialah melakukan perubahan untuk memperbaiki perjalanan hidup sendiri di alam fana ini, supaya menjadi lebih baik dari yang sebelumnya, demi untuk mencapai kemenangan di dunia dan akhirat. Semua matlamat ini tidak akan terhasil tanpa ada usaha untuk berubah dan memperbaiki keadaan. Malah, bagi seseorang muslim itu, wajar memahami bahawa keredhaan Allah akan hanya diperolehi daripada hasil usaha sendiri, yang dilakukan dengan sepenuh keikhlasan di hati, dan bukannya diperolehi secara otomatik tanpa sebarang usaha.
Ibrah daripada hijrah Rasul s.a.w. yang paling relevan yang perlu diterokai oleh seluruh umat Islam kini ialah berkaitan dengan keperluan untuk membentuk dan memperbaiki pola dan tatacara berfikir, iaitu mengubah pola pemikiran yang primitif dan negatif kepada yang lebih positif dan inovatif, serta lebih beradab dan bertamadun. Pola pemikiran yang positif dan inovatif juga merupakan satu daripada tuntutan dan ajaran Islam. Ia amat penting kerana pengaruh pemikiran amat besar dalam kehidupan manusia. Malah, pemikiran atau memahami cara manusia berfikir dan menggalakkan aktiviti berfikir dalam kehidupan sebenarnya mempunyai hubung kait yang amat rapat dalam menentukan kemajuan dan ketamadunan kehidupan manusia dan mempunyai kesan rantaian dalam aspek sosial, sejarah, teknologi, kewangan dan ekonomi, politik, sains, pendidikan, matematik dan lain-lain.
Tokoh Pemodenan Sosiologi Islam, Ibn Khaldun, telah membuktikan perkara ini bahawa jatuh atau bangun, maju atau mundur sesebuah masyarakat dan ketamadunan itu sebenarnya dipacu oleh ketinggian nilai murni pemikiran yang dilihat dalam konteks moral dan akhlak yang berlaku di peringkat pemimpin dan masyarakat. Ini adalah hasil pengamatan kritis dan analitikal pemikiran Ibn Khaldun sendiri, yang turut diiktiraf oleh tokoh sarjana dan golongan ilmuan moden dari Barat. Oleh yang demikian, masyarakat Islam pada hari ini, baik pemimpin mahupun rakyatnya, perlu menyedari bahawa konsep dan fahaman hijrah yang dituntut itu perlu berlaku dalam aspek pemikiran yang ditunjangi oleh nilai murni dalam moral dan akhlak masing-masing bagi mengelakkan keruntuhan sesebuah bangsa dan tamadun akibat dari kerakusan dan kebejatan akhlak. Akar umbi yang menunjangi kekuatan akhlak bagi memperbaiki dan mengukuhkan tamadun itu pula perlu berdasarkan kepada elemen agama dan iman sebagaimana menurut kerangka Imam Sayyid Qutb, dan perkara ini merupakan prinsip asas kepada matlamat hijrah dan perubahan yang ingin dicapai oleh seseorang individu muslim.
Pemikiran Ibn Khaldun merupakan satu contoh kepada kita semua bagaimana pola dan cara berfikir yang sistematik dan teliti dalam menilai dan menganalisa sesuatu perkara mampu membentuk dan mengubah corak pemerintahan dan tamadun sesuatu masyarakat dan bangsa. Natijahnya, ia telah mampu menjadi satu teori kemasyarakatan yang diterima dan diiktiraf seluruh dunia dalam usaha merangka polisi dan dasar strategik negara dan masyarakat ke arah corak pemerintahan yang lebih baik. Pemikiran beliau juga adalah gambaran yang menunjukkan apakah sebenarnya konsep dan cara pemikiran yang lebih sistematik dan tersusun. Ini adalah juga bersesuaian dengan apa yang masyarakat moden fahami sekarang sebagai pemikiran saintifik.
Pemikiran saintifik adalah satu bentuk pendekatan dan kaedah dalam berfikir yang lebih sistematik dan teratur dari segi operasinya, serta menepati spesifikasi atau kaedah yang saintifik yang telah ditetapkan. Operasi pemikiran saintifik adalah diasaskan oleh tahap pemikiran kognitif aras tinggi yang meliputi keupayaan untuk meneliti, mentafsir, meramal, menilai, merumus dan merancang bagi menghasilkan keputusan baru yang lebih baik dalam sesuatu aktiviti atau isu dalam kehidupan. Dari segi perkembangan individu manusia, tahap perkembangan ini mula terbentuk secara berperingkat, sejak fasa awal pertumbuhan kanak-kanak, dalam sekitar usia 2 tahun, dan keupayaan tersebut mencapai tahap matang pada peringkat awal remaja, iaitu sekitar 12 atau 15 tahun. Namun, keupayaan pemikiran untuk beroperasi dengan pendekatan ini boleh diperkukuhkan sejak awal usia kanak-kanak lagi, tetapi dengan cara yang lebih kreatif dan inovatif. Sememangnya kreativiti dan inovasi amat berkait rapat dengan pemikiran saintifik kerana proses dan operasi pemikiran tersebut akhirnya berjaya untuk mencetuskan beberapa idea, produk, sistem atau perkhidmatan yang baru, yang lebih mendatangkan banyak manfaat dan kebaikan dalam kehidupan manusia sejagat.
Operasi berfikir dan bertindak secara saintifik dan sistematik ini adalah juga merupakan amalan dan sunnah Rasul s.a.w. kerana dalam banyak situasi, Rasulullah s.a.w telah memberikan contoh bagaimana operasi pemikiran seperti ini telah mampu mengubah dunia dan tamadun sesebuah bangsa manusia. Contohnya, sebuah hadis Nabi Muhammad s.a.w berkaitan dengan keupayaan manusia dalam pemikiran dan penguasaan teknologi yang telah terbukti dan wujud pada akhir zaman ini, yang bermaksud, "Demi Allah, kiamat tidak akan berlaku sehingga binatang buas bercakap kepada manusia, hujung cemeti dan tali kasut seseorang bercakap kepadanya serta paha seseorang memberitahu kepadanya perbuatan yang dilakukan oleh keluarganya di belakangnya."(Riwayat Tarmuzi).
Hadis ini sebenarnya menggambarkan suasana kehebatan teknologi pada akhir zaman yang membenarkan apa yang telah dinyatakan Nabi Muhammad s.a.w dan telah pun kita semua alami, di mana di antara kita sekarang ini ramai yang bercakap dengan telefon yang diperbuat daripada plastik dan besi serta berinteraksi secara virtual di alam maya. Walaupun pada hakikatnya segala tutur kata dan perbuatan Baginda s.a.w. adalah wahyu yang dikurniakan oleh Allat s.w.t., namun cara dan kaedah berfikir secara sedemikian rupa sememangnya bukanlah sesuatu yang asing bagi umat Islam. Malahan, kemajuan teknologi maklumat atau ICT juga sebenarnya adalah terhasil daripada pemikiran sains. Penguasaan ke atas teknologi ini juga telah mempengaruhi dan membentuk corak pemikiran dan kehidupan umat manusia. Sesiapa yang menguasai teknologi ICT, sebenarnya ia telah menguasai dunia. Kita mengharapkan umat Islam adalah peneraju bidang ini dan bidang-bidang sains lain, yang hanya akan terlaksana apabila menguasai pemikiran saintifik dalam kehidupan, sebagaimana yang disarankan dalam al Quran dan Hadis. Ia adalah contoh jelas kepada inovasi dan kreativiti yang terhasil dari menguasai pola pemikiran saintifik yang diajarkan Rasul s.a.w. Steve Jobs pernah menyatakan  bahawa ‘Innovation distinguishes between a leader and a follower’, kita masih menunggu masa di mana umat Islam adalah peneraju dan pemimpin dalam perkara ini, bukan sekadar pemerhati dan pengikut semata-mata, dengan menguasai pemikiran sains. Selamat menyambut Awal Muharram (Ma’al Hijrah 1438). 

Sabtu, 3 September 2016

RIWAYAT HIDUP MANUSIA

Perjalanan hidup manusia terlalu panjang. Bermula dari alam roh menuju ke alam rahim, dilahirkan ke alam dunia, masuk ke alam kubur dan bangkit semula di alam akhirat. Lima fasa telah ditakdirkan untuk kita lalui. Orang yang beriman percaya bahawa sebenarnya roh sentiasa hidup melalui setiap fasa kehidupan ini. Berbanggalah dengan roh anda yang beriman, bukan kerana jasad yang cantik rupawan dengan perhiasan yang dipamerkan di tubuh badan atau harta kekayaan yang disorokkan. Sepatutnya akal yang tajam itu digunakan untuk berfikir jauh ke hadapan. Semuanya yang kita miliki kini akan musnah kerana dunia umpama tempat mengeringkan peluh di muka, lalu kita akan kembali berjalan ke destinasi seterusnya.
Mengamati sejarah hidup manusia, kita seolah-olah membelek setiap halaman diari kehidupan. Pelbagai kejadian dan peristiwa yang dialami mendewasakan diri, walaupun kadang-kadang sebahagian manusia bertambah muda dan bersikap keanak-anakan menghadapi cabaran hidup ini. Berwaspadalah dengan usia tua yang mungkin menambahkan kerasnya hati, degilnya perangai dan sukar mengawal emosi. Apakah sebenarnya yang tersirat dari sabda baginda SAW yang bermaksud: “Allah SWT tidak menerima keuzuran seseorang yang dilanjutkan usianya sehingga sampai berumur enam puluh tahun.” Hadis riwayat al-Bukhari.


Ini bukan bermakna manusia boleh sesuka hati melakukan dosa hingga berhenti pada usia enam puluh tahun. Tetapi sebenarnya ia mengingatkan kita bahawa jika tak berubah juga perangai sampai mencecah usia enam puluh tahun, tanda-tanda kebinasaan telah nampak. Kerana manusia itu mengalami beberapa fasa untuk sampai pada usia matang. Kalau lahir pramatang pun merbahaya, apatah lagi terlebih bulan. Kalau tak bertaubat juga sementara usia semakin meningkat, alamat tak jumpa jalan Tuhan sebab mata dah rabun.
Kalau kita imbas kenangan manis semasa mula-mula berkahwin, proses penyesuaian diri dengan pasangan terasa susah tetapi kita jalani juga bahtera rumahtangga itu. Semakin lama semakin kukuh menerjang badai. Pahit manis menjadi pengajaran. Kita bertambah dewasa dan matang dalam berfikir, bertindak dan merasa. Kita telah sampai pada satu titik kesempurnaan peribadi ketika mahu berkongsi segalanya dengan pasangan. Setiap hari saling melengkapi dan saling menyelamatkan supaya tak tenggelam dihentam gelombang.
Begitu juga dengan perkara iman dalam diri yang sentiasa harus diselamatkan seiring dengan bertambahnya usia. Seharusnya dengan bertambah usia maka bertambahlah imannya, berubah sedikit perangainya kepada kebaikan, mulia akhlaknya, lembut hatinya, terkawal emosinya dan tenang jiwanya. Bukan sebaliknya, biarlah tubuh badan saja yang uzur tetapi iman tetap segar, masih nampak lagi yang hak dan yang batil, tidak nyanyuk dan lupa mana yang Allah reda dan mana yang dimurkai-Nya.
Apabila anak sudah meningkat dewasa, tentunya kita mahu lebih matang daripada mereka dan lebih baik lagi iman dan amalnya. Setiap hari semakin penuh diari hidup kita dengan catatan amalan soleh. Hakikatnya, dosa dan pahala berlumba-lumba memenuhi setiap muka surat catatan diari kehidupan kita sepanjang masa, tanpa henti. Ada yang rugi, ada pula yang untung dalam perniagaan akhiratnya. Yang rugi hanyalah mereka yang tidak tahu bersyukur dengan nikmat dipanjangkan umur.
Sabda baginda SAW yang bermaksud: “Bersegeralah kamu melakukan amal kebaikan sebelum menemui tujuh perkara yang kamu tidak nantikan datangnya iaitu kefakiran yang melalaikan, kekayaan yang menyebabkan kamu zalim, sakit yang merosakkan badan, tua yang menggagapkan percakapan, mati yang melenyapkan segala sesuatu, atau tibanya dajjal atau datangnya kiamat yang lebih dahsyat dan lebih pahit dugaannya.” (Hadis riwayat Imam al-Tirmizi)
Begitulah diari hidup manusia. Jika habis segala cerita dituliskan, maka sampai pula masanya pulang kepada Allah SWT. Tetapi harus diingat, di akhirat semuanya akan dibalas, dihitung dan ditimbang sehalus-halusnya. Cerita tentang hidup manusia bukan menjadi rahsia lagi di sana. Semuanya akan terungkap di Mahkamah Allah Rabbul Jalil.