Khamis, 25 Jun 2015

PENGHARAMAN SIS BUKAN TINDAKAN BIJAK

Secara jujur,kita tidak bersetuju dengan beberapa perkara yang dibangkitkan oleh Sister In Islam dan ada beberapa perkara yang kita rasa mereka melakukan kerja yang baik khususnya isu membela kezaliman keatas wanita.Antara isu yang menjadi pertikaian oleh SIS ialah isu poligami.SIS mendakwa poligami ini hanya satu bentuk penindasan dan kezaliaman ke atas kaum wanita. Malah SIS berpandangan berpoligami ini lebih membawa mudharat dan kehancuran rumahtangga. Secara prinsipnya,poligami itu tidak salah tetapi yang menjadi masalahnya pada hari ini ialah bagaimana kita melaksanakan dan menguruskan perihal berpoligami ini. Sekiranya kita mempersoalkan mengenai ketidakadilan dalam berpoligami,maka monogami juga terkadang mempunyai keganasan dalam rumahtangga. Maka sebetulnya ialah bukan poligami itu yang salah tetapi bagaimana kita melaksanakannya.Antara isu lain lagi ialah harta faraid yang menyatakan bahawa lelaki lebih banyak dapat bahagian daripada kaum wanita.Dari segi logik akalnya,lelaki semestinya mendapat lebih kerana lelaki lebih banyak tanggungan daripada wanita.


Menjadi tanggungjawab bagi para suami untuk membelanjakan hartanya sebagai nafkah pada keluarga.Tanggungjawab membelanjakan harta pada keluarga ini tidak dibebani pada kaum wanita.Jadi kerana itulah syariat menyatakan lelaki akan mendapat bahagiannya lebih banyak berbanding kaum wanita.Maka secara tuntasnya,tidak timbul langsung isu ketidakadilan dalam pembahagian harta faraid.Namun,kita juga tidak dapat menafikan pertubuhan SIS mempunyai usaha-usaha membela nasib wanita yang tidak bernasib baik.Antaranya ialah penderaan isteri yang tidak mendapat tempat dan perhatian oleh mahkamah syariah.Nasib golongan isteri yang seringkali dijadikan bahan untuk melepaskan geram,marah dan sebagainya tidak mendapat perhatian yang sewajarnya oleh pihak yang berkenaan.Berdasarkan pengalaman beberapa individu,golongan isteri yang ditindas,di zalimi dan di kasari ini bukannya tidak membuat aduan pada pihak yang berkenaan tetapi mereka ini seringkali diminta bersabar dan tabah menghadapinya.Nasihat-nasihat yang sebeginilah yang membuatkan para suami lebih bertindak ganas dan keterlaluan dalam rumahtangga. 




Inilah yang seringkali dibangkitkan oleh pertubuhan SIS dalam hendak membela nasib para isteri yang ditindas oleh suami.Dalam islam sekalipun,jika terang-terang para suami melakukan kekasaran pada isteri maka pisahkanlah mereka untuk mengelakkan kezaliman terus berleluasa.Keganasan dalam rumahtangga adalah bercanggah sama sekali dengan matlamat asal perkahwinan iaitu untuk mendapatkan ketenangan dan kebahagiaan. Pertubuhan SIS menimbulkan isu ini adalah sebagai tindak balas daripada kegagalan golongan agamawan menyelesaikan isu seperti ini.Sepatutnya bukan tugas SIS untuk membela golongan wanita kerana islam itu sendiri menjadi pelindung untuk kaum wanita.Usaha-usaha yang dilakukan oleh pertubuhan SIS ini secara tidak langsung akan membuka pintu hati kita khususnya golongan agamawan untuk melihat dan menilai semula sejauh mana tahap pengurusan mahkamah syariah pada hari ini.Kita tidak dapat nafikan pertubuhan SIS ada juga perkara yang positifnya. Apabila perkara-perkara seperti ini dibangkitkan oleh sebuah pertubuhan sekularisma, maka secara tidak langsung ia telah memberikan gambaran yang salah tentang islam itu sendiri.Sewajarnya golongan agamawan,para pemikir islam dan para alim ulama lebih layak membawa dan menyelesaikan isu-isu ini bukan dengan berbalah, bersengketa pada perkara yang khilaf.


Oleh itu,jika sekiranya kita ingin menghukum pertubuhan SIS ini sebagai sebuah pertubuhan haram,ini perlu dilihat dengan lebih teliti sebelum kita mengharamkannya. Jika kita hendak menghukum sesuatu pertubuhan dengan hukum haram,maka perlu bagi mereka hak untuk membela diri dahulu kerana ini adalah islam.Islam sendiri mendidik kita untuk memberikan hak yang seluasnya pada tertuduh untuk membela diri. Maka sekiranya mereka ini benar-benar didapati bersalah berdasarkan fakta yang jelas,bukan sekadar persepsi atau anggapan semata-mata,maka wajarlah untuk diharamkan.Tetapi sekiranya kita tidak membuka ruang perbincangan yang seluasnya pada mereka,lalu kita terus mengharamkannya tanpa soal selidik,maka perkara ini tidak betul dalam islam.Malah sekiranya golongan agamawan yang mengharamkannya tanpa mengajak kembali kepada islam yang sebenar,tanpa memberitahu tentang islam sejelasnya,maka secara tidak langsung,sedar ataupun tidak,kita telah melakukan satu kerugian besar.Rugi dalam membiarkan mereka terus sesat meredahi jalan kegelapan. Jadi sebelum beritndak mengharamkan sesuatu,berfikirlah sejenak dan renungkan kembali kesannya selepas itu.

Isnin, 22 Jun 2015

JAUHI BURUK SANGKA

Saudara saudari sekalian, salah satu sifat buruk yang perlu di jauhi dalam hidup seorang Muslim sejati adalah sifat suka berburuk sangka. Sifat buruk sangka ini datang daripada sikap suka berprasangka. Sikap prasangka ini terbahagi kepada dua iaitu prasangka baik dan prasangka buruk. Dalam al-Quran, surah al-Hujurat ayat 12, Allah menyebut tentang prasangka, yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa.”. Apabila melihat sesuatu perkara, manusia lebih cenderong menafsirnya daripada sudut negatif. Jadi, bagi mengelakkan berburuk sangka, kita perlu membuat usul periksa atau bertanya lanjut tentang sesuatu perkara sebelum membuat andaian. Allah mengingatkan kita dalam Quran, surat al-Hujurat, ayat 6 yang bermaksud: 'Wahai orang-orang yang beriman, apabila datang kepadamu orang fasik (orang yang tidak mengamalkan ajaran Islam) yang membawa sesuatu berita, maka siasat dengan teliti (benar atau tidak).'


Oleh itu, apabila kita fikir tentang orang lain, lihatlah daripada sudut pandangan yang positif dan baik. Contohnya apabila kita melihat rakan kita menolong cikgu mengangkat barang, fikirlah dari sudut yang positif. Iaitu, dia kasihan kepada cikgu itu atau dia seorang yang sememangnya rajin dan suka menolong orang lain. Jangan cepat berprasangka buruk atau melihat dari aspek negatif seperti berfikir rakan kita itu hendak mengampu cikgu atau sebagainya.Dengan cara itu,kita akan sentiasa dapat merapatkan silaturahim dengan kawan-kawan. Kita juga dapat melatih diri menjauhi sikap berprasangka buruk dan sekaligus dapat menjauhi fitnah. Ini kerana, prasangka buruk melahirkan sikap buruk yang lain iaitu fitnah dan mengumpat. 


Fitnah ialah berkata sesuatu yang tidak benar terhadap orang lain. Ia berpunca dari prasangka buruk. Dosa fitnah ini juga cukup besar dan amat dikutuk oleh ajaran Islam. Fitnah boleh memutuskan silaturahim, merosakan hubungan sosial dan sekaligus mengucar-kacirkan masyarakat dan negara kita. Manakala mengumpat pula berkata tentang orang lain berkaitan sesuatu yang tidak disukainya, walaupun perkara itu benar.Dalam al-Quran, surah al-Hujurat, ayat 12, Allah menegah sikap keji ini. Maksudnya: “...dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya.”


Allah mengibaratkan mengumpat ini sebagai memakan daging mayat yang busuk. Kita tentu sekali akan menjauhi dan berasa jijik terhadap perbuatan memakan mayat. Begitulah sepatutnya kita turut berasa jijik terhadap perbuatan mengumpat.Oleh itu, bagi mengelakkan diri daripada terjebak dengan fitnah dan mengumpat, jauilah sikap berburuk sangka. Bersihkan hati dan fikiran kita daripada segala sangkaan yang buruk. Orang yang gembira dan berjaya dalam hidup tidak akan bersangka buruk kepada orang lain. Dia sentiasa melihat dirinya dan apa yang ada disekelilingnya dengan fikiran yang positif dan baik sangka, walaupun dia mungkin tidak sehebat, semewah atau secantik orang lain.

DISEBALIK SURAH AL ASR

Kebanyakan kita sudah tentu pernah menghadiri pelbagai seminar, kursus, ceramah atau bengkel. Sesungguhnya suatu hal yang menarik yang dapat diperhatikan pada setiap program tersebut ialah apabila sesi itu dikendalikan sama ada oleh penganjur, pengerusi, ataupun penceramah yang muslim maka sepertinya suatu kewajipan bahawa mereka akan memulakan sesi itu dengan bacaan Ummul Kitab dan mengakhiri sesi tersebut dengan Surah Al-Asr. Secara umumnya, ramai yang tahu mengapa harus dimulakan dengan Ummul Kitab dan sekiranya ditanya, ramai yang akan menyatakan yang Al-Fatihah itu maksudnya buka, maka molek sekiranya sesuatu yang baik itu (majlis ilmu yang dihadiri) dimulakan dengan Al-Fatihah. Maka, sekiranya dilanjutkan soalan mengapa pula harus ditamatkan dengan Surah Al-Asr? Barangkali jawapan yang biasa didengari ialah surah itu mengingatkan kita terhadap kepentingan masa. Ada juga yang menyatakan yang kita perlu menyampaikan ilmu yang telah dipelajari dalam majlis itu.


Pernahkah kita terfikir untuk bertanya kepada penceramah tersebut, mengapa harus dibacakan Surah Al Asr? Tidakkah boleh ditutupkan majlis ilmu itu tadi dengan surah lazim yang lain? Meneliti maksud surah Al-Asr yang bermaksud : “Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran.” (Al-Asr : 1 – 3). Sekiranya diperhatikan, terjemahan surah di atas memberi penekanan terhadap beberapa perkara iaitu,Allah SWT bersumpah dengan masa, Allah SWT menyatakan sesungguhnya manusia itu berada dalam keadaan rugi. Sebagai perbandingan, Allah SWT meletakkan keadaan negatif (rugi) kepada manusia dengan bersumpahkan masa.Seterusnya Allah SWT memberi pengecualian rugi kepada golongan yang berikut,Orang yang beriman,Orang yang beramal soleh,Orang yang berpesan-pesan dan Orang yang sabar 




Dalam konteks ini, dapat kita perhatikan bahawa ciri-ciri orang yang tidak rugi yang disenaraikan di atas sebenarnya berada dalam satu tertib yang mana dengan hanya mengikuti tertib tersebut dapat mengelakkan sesorang daripada menjadi rugi. Dan yang menariknya, penekanan rugi di sini bukan hanya merujuk kepada tauhid terhadap Allah semata-mata malah mencakupi apa sahaja perlakuan manusia. Ini bermaksud, bagi mereka yang tidak beriman kepada Allah juga harus memahami proses ini berlaku bagi mengelakkan mereka termasuk dalam kategori rugi.

Tertib golongan yang terkecuali daripada kerugian,orang yang beriman.Iman atau bahasa mudahnya bermaksud percaya. Seseorang itu dikatakan beriman apabila dia mempercayai apa yang disampaikan kepadanya. Dalam konteks perilaku manusia, adalah lebih mudah bagi seseorang melakukan sesuatu yang dipercayainya, contohnya mempercayai bahawa memakan ubat yang dibekalkan oleh doktor adalah usaha dalam menyembuhkan penyakit. Dalam hal mempercayai sesuatu ini biasanya manusia lebih mudah jatuh percaya apabila melihat bukti dengan matanya sendiri. Sebagai contoh, adalah sukar mempercayai keberkesanan ubat kurus yang dijual oleh seseorang yang gemuk orangnya, kecuali orang itu menjadi kurus terlebih dahulu. Maka sekiranya kita membeli ubat itu semata-mata ingin menjaga hati si penjual yang berbadan gemuk tadi, bukankah satu kerugian kepada kita? 




Kemudian tertib yang kedua,orang yang beramal soleh. Amal atau melakukan sesuatu bermaksud kita melakukan sesuatu sama ada atas keinginan sendiri atau dorongan sesuatu. Dalam hal ini, adalah satu kerugian buat kita sekiranya kita percayakan kepada sesuatu yang mendatangkan kebaikan tetapi kita tidak melaksanakannya. Sebagai contoh, kita tahu bahawa solat adalah wajib dan sesiapa yang meninggalkannya akan berdosa. Tetapi di sebalik kepercayaan kita kepada perkara fardhu itu, kita tidak pun mengamalkannya. Begitu juga dengan pelbagai perkara lain yang kita pelajari dalam hidup seperti penggunaan tali pinggang keledar. Kita percaya bahawa penggunaannya mampu menyelamatkan nyawa. Tetapi, jika kita tidak menggunakannya walaupun kita percaya kesan penggunaannya, maka kita akan menjadi orang yang rugi terutamanya apabila kemalangan berlaku dan kita mendapat musibah kerana tidak mengenakan tali pinggang keledar.


Seterusnya yang ketiga ialah orang yang berpesan-pesan.Berpesan-pesan di sini boleh difahami dalam bentuk menyampaikan perkara yang dipercayai dan diamalkan seperti di atas. Ini bermaksud proses komunikasi dan penyebaran maklumat terhadap kebaikan ini perlu dilakukan. Sekiranya tidak, kita akan menjadi orang yang rugi. Memetik contoh terdahulu, pemakaian tali pinggang keledar. Sebagai orang yang mempercayai dan menggunakan tali pinggang keledar, adalah penting untuk kita sentiasa mengingatkan atau berpesan kepada mereka yang menaiki kereta kita untuk turut sama menggunakan tali pinggang. Adalah rugi sekiranya hanya kita yang menggunakannya kerana andainya kemalangan berlaku, hanya kita seorang yang terselamat. Begitu juga dengan aspek ibadah, seandainya kita rajin ke masjid tetapi tidak mengajak orang lain turut sama ke masjid, maka kita akan menjadi orang yang rugi kerana kita juga boleh mendapat pahala kerana menggalakkan orang ke masjid dan menyeru orang lain berbuat kebaikan. 





Dan yang terakhir ialah orang yang sabar.Dalam tertib ini, sabar berada di bahagian terakhir proses kerana hanya selepas kita beriman, beramal dan menyebarkan sesuatu, barulah kita bersabar. Mengapa keadaan ini berlaku? Hal ini demikian kerana manusia tidak mudah menerima perubahan. Perubahan menuntut pengorbanan masa, wang dan usaha yang kuat. Atas dasar ini, kita diminta bersabar atas usaha yang dilaksanakan untuk melihat hasilnya. Bayangkan senario ini; kita percaya bahawa solat berjemaah itu bagus, kita mengamalkannya dengan ke masjid dan kita menyebarkan dengan mengajak anak-anak kita ke masjid. Kita telah pun melengkapkan ketiga-tiga tertib di atas. Namun anak kita menolak dan tidak mahu mengikut kita ke masjid. Kita menjadi berang dan marah. Ini boleh mengakibatkan anak-anak menjadi takut, kecewa dan sebagainya yang mengakibatkan mereka semakin menjauhi kita dan menyukarkan kita mendidik mereka. Bukankah ini satu kerugian? Sebaliknya apabila anak-anak menolak, kita menasihati dengan lembut, menunjukkan teladan yang baik maka ini lebih dekat dengan hati mereka dan mampu mempengaruhi mereka.

BINALAH SEMULA ROHANI

Kita sering didedahkan dengan berita mengenai binaan atau bangunan yang retak dan runtuh kerana kelalaian manusia sendiri, seperti tidak mematuhi spesifikasi atau prosedur ditetapkan. Pastinya kesusahan akibat masalah itu amat dirasai hingga menjejaskan hampir keseluruhan minda dan perasaan mereka yang menanggungnya selagi tidak diselesaikan. Fenomena buruk tidak disukai sesiapa saja kerana ia boleh mengakibatkan pelbagai bencana malah kehilangan harta serta nyawa. Sesuatu yang perlu disedari ialah kebanyakan kerosakan di dunia ini berpunca daripada sikap buruk manusia sendiri. Allah SWT menegaskan melalui firman-Nya bermaksud: “Sudah timbul pelbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian daripada balasan perbuatan buruk yang mereka lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).” (Surah ar-Rum, ayat 41)


Berlainan dengan kerosakan fizikal yang mudah dilihat dan diperbaiki, kerosakan spiritual atau kerohanian tidak dapat dilihat dengan nyata menyebabkan ia kurang diberi perhatian.Contohnya, tanda rosak rohani seperti mengabaikan solat, puasa atau sering melakukan perkara ditegah syarak, kita kurang memberi perhatian untuk membaikinya.Apabila dibiarkan ia menjadi lebih bahaya, bukan saja boleh mengundang pelbagai keburukan kepada diri sendiri, bahkan masyarakat, negara dan ummah seluruhnya.Mutakhir ini, pelbagai isu berkaitan kerosakan rohani seperti masalah keruntuhan akhlak, gejala sosial dan pelbagai jenayah bagaikan api dalam sekam yang boleh mengancam kesejahteraan hidup individu serta masyarakat.Hidup dalam perspektif Islam seperti disimpulkan daripada mafhum ayat 77 surah al-Qasas ialah memenuhi keperluan dan tanggungjawab di dunia ini sebagai jambatan menuju kehidupan yang kekal abadi di akhirat. 




Justeru, peraturan hidup Islam perlu dipatuhi kerana berdasarkan firman Allah, jelas menunjukkan pelbagai kerosakan di dunia ini berpunca daripada manusia sendiri.Kepincangan dalam masyarakat yang terhasil melalui pelbagai bentuk jenayah dan perlakuan buruk manusia adalah manifestasi pengabaian terhadap peraturan agama dan perkara pokok dalam usaha memelihara agama daripada runtuh ialah ibadat solat.Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Sembahyang itu tiang agama, sesiapa yang meninggalkannya maka sesungguhnya ia meruntuhkan agama.”Hadis itu membuktikan pentingnya solat dalam hubungan manusia dengan kehidupan kerana solat menjadi pengemudi seseorang itu dalam segala tindak tanduknya.Ini kerana seseorang yang melaksanakan ibadat utama itu tentunya lahir daripada keimanan yang kental terhadap Allah SWT.


Allah SWT memberi jaminan bahawa ibadat solat dapat mencegah seseorang itu daripada melakukan perbuatan keji dan mungkar melalui firman-Nya, “... dan dirikanlah sembahyang (dengan tekun); sesungguhnya sembahyang itu mencegah daripada perbuatan yang keji dan mungkar.” (Surah al-'Ankabut, ayat 45). Jika diperhatikan dengan penuh keinsafan dan kesedaran, kita tentu gusar melihat pelbagai kemungkaran berlaku yang menandakan betapa ramai orang sedang membina keruntuhan. Jika diambil satu dosa iaitu dosa meninggalkan solat, agaknya berapa ramai yang sedang mengumpul dosa lantaran setiap waktu tidak menunaikan solat bak kata pepatah Melayu, ‘sedikit-sedikit lama-lama jadi bukit.’Yang pasti saban hari ada umat Islam sedang membina keruntuhan, lantaran mengumpul dosa dengan mengabaikan kewajipan agamanya.




Setiap individu Muslim sepatutnya sentiasa berusaha membina iman dan amalnya dengan melaksanakan perintah Allah SWT dan menjauhi segala larangan-Nya, bukan membina keruntuhan dengan meninggalkan perintah dan melaksanakan larangan-Nya.Umat Islam sewajarnya sentiasa menaruh bimbang akan kemungkinan terkena janji Allah SWT seperti diceritakan di dalam al-Quran mengenai kaum yang dikenakan azab dan bencana disebabkan mereka tidak beriman dan melakukan dosa.Sebaliknya umat Islam hendaklah mempunyai hati dan fikiran yang bersih sebagai cermin iman yang luhur untuk menikmati janji Allah dalam firman bermaksud: “Sekiranya penduduk negeri itu beriman serta bertakwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya dari langit dan bumi.” (Surah al-A'raf, ayat 96).



Setiap peristiwa di dunia ini mempunyai hikmah pengajaran dan iktibar untuk direnung seperti kisah dalam al-Quran mengenai sesuatu kaum atau negeri yang dihancurkan lantaran penduduknya melakukan pelbagai dosa dan kemungkaran.Masa untuk bermuhasabah menginsafi diri sentiasa luas terbentang seperti kata-kata bijak pandai yang mengingatkan kita, “Sekiranya sesat di hujung jalan, baliklah ke pangkal jalan.”Oleh itu, umat Islam tidak harus terleka membina keruntuhan, sebaliknya binalah kekuatan diri, kukuhkan negara dan ummah.

RAMADAN : BULAN PENYATUAN UMMAH

Ramadan yang penuh keberkatan ini disambut di seluruh dunia secara serentak. Oleh kerana kedudukan negara-negara kita berlainan dari sudut geografi, kita tidak dapat menyambutkan pada satu ketika yang sama. tetapi semuanya menyambut pada satu tarikh yang sama yakni kemunculan anak bulan Ramadan di tempat masing-masing. Sesungguhnya Ramadan membayangkan kesejagatan dan perpaduan Islam. Pada setiap ketika, setiap detik dalam 24jam sehari, kita akan mendapati ada saja umat Islam yang sedang berpuasa, yang sedang berbuka, yang sedang bertarawih, membaca al-Quran, bersahur dan pelbagai aktiviti lain meraikan Ramadan mubarak ini.Kita dapati umat Islam tediri dari pelbagai jenis warna kulit, bangsa, kaum, bahasa dan kebudayaan. Namun dengan sambutan Ramadan yang serentak; mereka bersatu dalam kepelbagaian ini. Jelas terserlah ruh ayat Allah: Dan tiadalah Kami mengutus kamu, melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam. (Surah al-Anbiyaa’:107)


Kesatuan dalam kepelbagaian ini adalah ciri penting Islam. Kita berbeza bukan sekadar budaya dan warna kulit tetapi kadangkala sehingga dalam beberapa hal cara beribadah. Namun kita tetap bersatu di atas perkara pokok dan prinsip.Misalnya tiada umat Islam yang mempertikaikan kewajipan puasa pada bulan Ramadan, tiada yang tidak bersetuju bahawa awal puasa ialah pada satu Ramadan, tiada yang membangkang jika dikatakan yang sakit dan dalam perjalanan dibenarkan berbuka dan tiada yang mengatakan solat malam pada bulan Ramadan itu amat digalakkan. Ini adalah perkara-perkara pokok dan prinsip dan tidak ada pertikaian mengenainya. Namun di kalangan kita mungkin berbeza dari segi cara menentukan tarikh 1 Ramadan atau samada “orang yang dalam perjalanan yang mudah perlu berpuasa atau tidak” dan samada “ solat tarawih itu 20 rakaat atau 8” dan seumpamanya. Perbezaan pendapat yang kecil sedemikian tidak semestinya tidak menunjukkan ketidaksatuan; asalkan semuanya berdasarkan hujah dan nas yang kuat. 




Perkara furu' dan khilafiyah seperti itu tidak sepatutnya menjadi penyebab kepada perpecahan. Kita perlu menghormati kebebasan yang Islam berikan dalam berbeza pendapat. Islam mengajar kita bertoleransi dan berpegang dengan adab dan akhlak ketika berlaku perbezaan pendapat. Para sahabat pernah berbeza pendapat dalam bab puasa dalam perjalanan. Lihat sikap mereka. Anas bin Malik berkata: "Kami sedang bermusafir bersama dengan Rasulullah (saw) semasa Ramadan dan di kalangan kami ada yang berpuasa, ada yang tidak berpuasa. Golongan yang berpuasa tidak menyalahkan orang yang tidak berpuasa dan golongan yang tidak berpuasa tidak menyalahkan orang yang berpuasa.(Hadis Riwayat Bukhari and Muslim). Itulah sikap sahabat-sahabat Nabi SAW yang harus kita contohi. Tidak ada sebab untuk kita merendah-rendahkan amal perbuatan orang lain atau merasa diri kita lebih besar, lebih hebat, lebih banyak amal, lebih wara’, lebih tinggi darjat taqwa berbanding dengan mereka yang mempunyai kelainan dari sudut perkara¬perkara khilafiyah sebegini.


Ingatlah pesanan Allah: Hai orang-orang yang beriman, janganlah suatu kaum men golok-olokkan kaum yang lain (karena) boleh jadi mereka (yang diolok-olokkan) lebih baik dari mereka (yang men golok-olokkan) (Surah al-Hujurat: 11). Berhati-hatilah dengan jarum-jarum halus yang bakal merosakkan amal kita. Jangan dilayan perasaan bahawa kita lebih baik dari mereka kerana kita melaksanakan sesuatu amal yang lebih lebih banyak, lebih kerap, lebih sempurna sambil kita memandang rendah orang lain. Boleh jadi juga dalam keghairahan mencari yang lebih ‘benar’ dan lebih ‘banyak’ kita terpedaya dengan tipu-daya hawa nafsu kita yang memesongkan.Ingatlah, sebaik sahaja kita merasa diri kita lebih taqwa dari orang lain, di ketika itu bukanlah layak lagi kita digelar bertaqwa!

Khamis, 18 Jun 2015

RAMADAN DATANG LAGI

Ramadan datang lagi. Bulan yang mulia ini hanya datang setahun sekali.  Setiap individu muslim mukmin menyambut ketibaan Ramadhan dengan penuh ghairah dan teruja. Pada bulan ini Allah menawarkan  dengan limpah keberkatan dan gandaan pahala bagi setiap kebajikan yang dilakukan oleh sesiapa yang berpuasa dengan sempurna.  Maka untuk menyambut bulan ini pelbagai program telah diatur setiap tahun seperti melantik Imam Hafiz untuk membimbing solat terawih, mengadakan tadarus Quran berkelompok, berbuka puasa beramai-ramai, ceramah fadhilat ramadhan, qiamullail dan sebagainya. Dengan segala macam program ini menarik minat para jamaah untuk memenuhi ruang masjid . Ahli jamaah yang jarang-jarang datang ke masjid pun hadir menunjukkan komitmen sepanjang sebulan Ramadhan. Mungkin itu yang dikatakan tarikan bulan yang penuh keberkatan dan melembutkan hati kepada sesiapa sahaja yang ihklas untuk mencari kebajikan dan pahala.


Dengan aturcara yang padat ini, kita boleh namakan sebagai madrasah terbuka kepada sesiapa yang bersedia untuk mengambil peluang keemasan tersebut. Sebenarnya segala macam program yang diatur ialah sebagai pelengkap untuk mengisi keberkatan dan kemeriahan  Ramadhan. Tetapi secara khususnya  ialah difardukan berpuasa  bagi sesiapa mencukupi syarat seperti umur baligh dan sebagainya. Perkara utama yang dituntut kepada orang berpuasa hendaklah meninggalkan makan minum dan tidak melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa bermula dari terbit fajar sehinggalah terbenam matahari.  Ini bermakna diharamkan kepada kita makan minum di siang hari walaupun ianya makanan dan minuman halal. 





Berpuasa memerlukan seseorang yang sangat tinggi disiplin diri untuk menyempurnakan kewajipan puasa yang mempunyai hikmah tersurat dan tesirat. Secara umumnya, kesan positif puasa seringkali menjadi tumpuan kajian. Para doktor perubatan menjadikanya sebagai amalan  kesihatan atau sebagai jalan penyelesaian bagi penyakit-penyakit moden yang sukar di atasi oleh rawatan-rawatan canggih hari ini tanpa memberi kesan sampingan. Di kalangan pengamal perubatan moden menganggapnya sebagai penemuan terapi baru. Keajaiban puasa ini memaksa Mark Twain seorang doktor yang terkenal mencadangkan supaya rakan pesakitnya agar berpuasa sepanjang 48 jam. Namun demikian, sungguhpun hebat fungsi puasa, Islam tidak memberatkan kita seperti cadangan melampau itu.


Berpuasa menuntut kita menghadapi cabaran nafsu. Sebenarnya Imam Al-Ghazali  lebih awal menjelaskan hal ini menerusi karya agungnya, Ihya` Ulummiddin. Tegasnya bencana yang paling besar dalam kehidupan manusia ialah nafsu perut. Selanjutnya secara analisis beliau menyatakan pengambilan berlebihan akan menghilangkan kecergasan  serta akan hilang kecerdasan dan kebijaksanaan. Akhirnya mengundang sikap malas dan melesukan fizikal.  Perspektif al-Ghazali menjawab salah tanggapan umum dengan mengambil makanan yang banyak ketika lapar akan menambahkan tenaga terutamanya ketika berbuka pausa. Hal yang sama diingatkan oleh al-Quran supaya pengambilan makanan dan minuman hendaklah tidak melampau (al-A’raf:31). Ketika berbuka kita disunatkan memakan buah kurma agar memulih kehilangan tenaga melalui gula tulin dan serat  buah. Di kala ini juga,  kita hendaklah pastikan juadahnya adalah halal serta selamat, dan tiada pengambilan yang makruh seperti merokok. 





Selain itu, Ramadhan turut menekankan ketepatan pengurusan masa termasuklah melewatkan waktu sahur dan berbuka di awal waktu. Manakala pada malam hari disunatkan menunaikan sembahyang solat tarawih berjamaah dan membanyakkan membaca al-Quran. Sebenarnya kesemua ini adalah nikmat cabaran kepada sesiapa mencari keredhaan Allah dan pahala yang berlipat ganda. Mencari limpahan rahmat Lailatulqadar kemuncak kepada segala cabaran kerana ia berada di penghujung Ramadhan disebabkan sudah “keletihan” dan masing-masing sibuk dengan pelbagai persediaan menyambut hari raya.  Puasa Ramadhan hendaklah disempurnakan dengan bayaran fitrah. Budaya berlebihan menyambut hari raya berbanding pengisian Ramadhan harus diperbetulkan. Orang yang menikmati kemeriahan syawal hanyalah bagi sesiapa yang berjaya menghidupkan sepenuhnya Ramadhan dengan merebut segala tawaran dari Allah s.w.t. Bukannya meraikan syawal sehingga terpinggir Ramadhan disebabkan segala macam tawaran istimewa dari gedung-gedung perniagaan.



Kalau sekiranya kita menghadapi cabaran puasa hanya menahan lapar dan dahaga, tetapi generasi awal Islam menghadapinya dalam suasana genting tetapi cemerlang ketika Ramadhan.Hakikat kecemerlangan pernah dibuktikan sendiri oleh Rasulullah dan para sahabat apabila mereka mencapai kemenangan dalam peperangan Badar di bulan Ramadhan dengan jumlah tentera Islam seramai 313 dan sedangkan jumlah musuh berlipat ganda, iaitu 1000 orang. Selepas berpuasa sebulan, mereka juga tetap menunjukkan kehebatan di mana mereka memenangi dua peperangan dalam bulan Syawal, Ahzab dan Hunain.  Sudah tentulah kemenangan mereka disempurnakan dengan kekuatan inteligensia, informasi, mental dan strategi yang cekap. Mengikut laras bahasa pengurusan dan motivasi hari ini ialah, mereka dilatih menggunakan potensi IQ dan EQ sepenuhnya.Semoga kita mendapat nikmat ketaqwaan. 

Selasa, 16 Jun 2015

MENITI BULAN KEMULIAAN

Kita semakin menghampiri bulan rahmat dan keampunan Allah swt iaitu bulan Ramadan. Marilah kita berusaha mempersiapkan diri menghadapi bulan kebesaran kita. Ramadan adalah bulan yang sangat dinantikan oleh para pencinta akhirat. Bulan yang mulia ini adalah bulan kesabaran, bulan memohon pertolongan dan keampunan dan bulan kerahmatan.Ramadan adalah bulan kebaikan dan barakah yang telah dikhususkan untuk umat  Islam. Setiap amalan yang dilakukan secara ikhlas akan mendapat limpahan rahmat dan nikmat daripada-Nya. Jika  kita meletakkan matlamat untuk  membaca satu juz Quran sehari,  ini akan mendatangkan ganjaran kebaikan yang berlebihan bagi kita semua.Apakah  yang dicari dan diharapkan oleh manusia selain mendekatkan diri dari Allah? Tidak bermakna hidup tanpa mengerti erti hidup dan kehidupan.Hingga kini manusia masih kabur, gelap, tidak mengerti, tidak memahami apa yang diharapkan dari kehidupan yang fana ini.  Mereka sedang mencari dan terus mencari. 

Apakah pencarian seseorang hamba itu menuju ke arah cinta dan redha Illahi? Atau pencarian hamba itu hanya akan berakhir dengan kerakusan mengejar nikmat duniawi ? Apakah yang sebenarnya dicari? Bagi mereka yang sedang terus ditenggelami arus dunia tanpa berusaha untuk mengekang turapan ego, kehadiran Ramadan tidak membawa sebarang erti. Tiada langsung kekesalan yang akan timbul di hati. Malah mereka akan lebih giat berlari untuk mendapatkan pesona dunia. Ego mereka akan berteriak, “Ayuh, teruskan langkahmu, usah dihiraukan Ramadan yang datang membawa seribu keberkatan.  Mari berlari ke arah  memuaskan keinginan ku!” Manusia diciptakan di muka bumi ini untuk mengabdikan diri kepada Allah swt dan Allah berkata kepada hambanya, ‘sama ada kamu memilih jalan yang penuh ranjau dan duri atau kamu melalui jalan yang diterangi cahaya iman dan tauhid.’Ya. Terdapat dua jalan. Jalan yang dipenuhi gelombang dan ombak yang keras dan menghempas, adalah jalan yang tidak wajar untuk kita harungi. Jalan mencabar ini bukan untuk kita. Banyak penderitaan yang harus kita alami menerusi belenggu ranjau kehidupan sebegini. 



Pilihlah jalan yang mudah. Jalan yang menghimbau manusia untuk menyerahkan diri kepada Allah menerusi amalan ketaatan dan pelaksanaan ibadah yang ikhlas. Dengan cara ini, hidup kita akan sentiasa disinari cahaya ketenangan dan kegembiraan. Mereka yang ingkar terhadap perintah dan suruhan Allah swt akan terus dihimpit oleh keperitan hidup. Jika kita tidak berjaya untuk mengecapi ketenangan, kedamaian hidup di dunia, sudah pasti kita tidak akan mampu untuk memilikinya di alam barzarkh. Apa jua yang sedang diusahakan di dunia ini, itulah yang akan didapati di dalam kubur masing-masing. Jika kita hiasi Ramadan dengan iman dan amalan soleh, dan sekiranya suratan takdir memanggil kita untuk kembali ke pangkuan Illahi pada tahun itu, maka akan kita dapati keberkahan ramadan menanti diri kita di dalam kubur itu. Tetapi jika kita membiarkan ramadan berlalu begitu sahaja tanpa sebarang rasa penyesalan, maka seksaan yang berlipat ganda sedang menantikan kita di alam barzarkh.


Allah swt yang maha Agung lagi maha Bijaksana telah mencipta manusia sebagai sebaik-baik ciptaan. Allah telah memuliakan manusia dengan memberi mereka rezeki dari yang baik−baik dan melebihkan manusia dengan kelebihan yang sempurna atas kebanyakan makhluk lain. Sebagai balasannya, Allah berkata kepada manusia, “Jadilah kamu hamba yang bersyukur.”Tunjukkan tanda mensyukuri nikmat dengan perbuatan. Bulan Ramadhan telah dianugerahkan kepada kita untuk menyempurnakan ketaqwaan. Di sepanjang bulan yang mulia ini, ‘matikan enjin’ kita. Jika ‘enjin’ manusia berfungsi secara terus-menerus, ia akan mendatangkan kemudaratan. Maka kesempatan harus diambil sepanjang satu bulan ini untuk merehatkan ‘enjin’,  mensucikan diri, menyedarkan diri daripada kelekaan dan kealpaan. Dengan cara ini, kita dapat melatih diri untuk menjadi lebih prihatin terhadap setiap tindakan mengenai perbuatan baik dan buruk dalam kehidupan. Semua ini adalah untuk kebaikan diri kita sendiri. Bukan untuk Allah swt. Peluang-peluang keemasan ini telah ditujukan khas untuk kita dan di samping itu, Allah telah menjanjikan balasan syurga bagi mereka yang melakukan setiap amal kebaikan ini ikhlas keranaNya.Malang sungguh, manusia yang cenderung mengejar kenikmatan dunia mengambil sikap acuh tak acuh dalam mencari keberkatan dan keredhaan Allah.  



Seringkali kita mendengar mereka bertanya, ‘Apakah ganjaran pahala yang akan kami perolehi jika amalan ini dilakukan?’ Mereka hanya akan melakukan sesuatu amalan jika amalan itu menjanjikan ganjaran besar dari  yang Maha Esa. Tetapi, pernahkah kita menanyakan tentang balasan dosa dan seksa dari Allah yang sedang menanti akibat keingkaran kita terhadap perintah dan suruhanNya? Mengapa tidak? Bertanyalah tentang persoalan ini. Ia adalah lebih penting buat kita. ‘Apakah hukuman yang sedang menanti diri kita akibat melambat-lambatkan solat?. Sesuatu yang harus difikirkan kini. ‘Oh, aku melakukan solat mengikut sesuka hati.’ Benar. Buatlah mengikut sesuka hati kita. Namun kita tidak akan dapat lari daripada hakikat bahawa Allah swt menuntut agar kita melakukan solat fardhu secara berjamaah dan tepat pada waktunya. Ini harus diberi keutamaan. Kita tidak harus melengah-lengahkan waktu solat. 

Semua perkara-perkara ini tidak begitu diendahkan oleh umat Islam masa kini.  Mereka  hanya ingin mengambil tahu tentang ganjaran pahala yang akan diperolehi menerusi amalan yang tidak seberapa. Hentikan semua ini.  Yang harus diberi keutamaan adalah untuk menghindari perbuatan yang mendatangkan dosa-dosa dan kemurkaan Allah. Seterusnya, akan kita dapati bahawa Allah swt akan memberi kepadamu balasan duniawi dan ukhrawi. Rebutlah peluang di bulan yang mulia ini untuk menggapai redha Illahi. Sebagai umat Islam yang telah diberi petunjuk Allah, kita harus bersatu dalam menggugah kesedaran akal serta memenuhi hati dengan keimanan. Kita harus bangkit dari harapan kosong dan khayalan sambil bertanya kepada diri sendiri, ‘apakah sebenarnya tujuan aku melakukan perkara ini? Adakah Allah serta rasulNya gembira dengan diri ini atau sebaliknya? 



Dalam manusia sibuk melayani tuntutan ego, mereka menjadi leka dan alpa dengan tugas mereka dimuka bumi ini sebagai hamba dan khalifah Allah. Dari anak kecil yang berusia tujuh tahun, hingga ke orang dewasa berusia tujuh puluh tahun, biarpun lelaki mahupun wanita, semuanya berkelakuan seperti firaun yang zalim. Allah swt telah mengutuskan para nabi sebagai pembimbing dan pemberi petunjuk untuk kebahagian manusia baik di dunia maupun di akhirat. Ini yang sedang berleluasa di kalangan manusia abad ke 21. Walaupun duduk berapat-rapat, namun mereka saling menzalimi diantara mereka. Jika kita tidak berusaha untuk membebaskan diri daripada belenggu kezaliman ini, maka bersiap sedialah untuk menghadapi Jahannam yang sedang menanti di penghujung jalan. Marilah kita renungkan bersama,ibadah puasa di bulan ramadan seharusnya dipakai sebagai kesempatan khusus bagi kita untuk mengakui dosa secara terbuka di hadapan Allah sambil mengikis sifat tercela agar dapat kita menjadi hamba Allah yang beriman dengan sebenar-benarnya. Tetapi jika ibadah ini tidak dapat membendung sifat-sifat tercela di dalam diri, maka kita ibarat seekor haiwan buas yang sedang dirantai dalam keadaan kelaparan.

HILANGNYA SEBUAH KEBERKATAN

Salah satu tanda-tanda kiamat kecil yang berikutnya ialah waktu yang terasa semakin singkat. Rasulullah SAW telah menggambarkan tentang perkara ini dalam beberapa hadis Baginda. Para ulama tidak mentafsirkan "singkatnya waktu" dengan bertambahnya kecepatan putaran bumi sehingga misalnya, jumlah masa dalam satu hari berkurang menjadi 23 jam. Pentafsiran seperti ini tentunya bertentangan dengan logik kerana jika kita memutarkan sebiji bola pada titik tertentu, tentulah laju putarannya semakin lama semakin berkurang bukannya semakin bertambah.Oleh itu, sebahagian ulama mentafsirkan singkatnya waktu ini dengan hilangnya keberkatan.Keberkatan yang paling penting ialah keberkatan dalam hidup dan keberkatan dalam waktu kita.


Yakinlah, kita diciptakan untuk suatu tugas yang penting, dan waktu ialah modal asas untuk dapat menunaikan tugas tersebut dengan baik.Tanpa keberkatan dan pengurusan waktu yang baik, kita tidak akan dapat menunaikan tugas tersebut dengan sempurna. Oleh sebab itu, bagi hamba-hamba Allah yang sejati, waktu jauh lebih mahal dan lebih berharga daripada yang dan apa sahaja harta benda di dunia ini.Keberkatan waktu dapat kita lihat dalam sejarah hidup tokoh-tokoh Islam dan para sahabat. Mereka berjaya melahirkan prestasi yang cemerlang dalam masa yang sangat singkat sehingga sering kali sukar diterima logik "zaman hilang berkat" kita ini.Imam al-Ghazali yang hidup hanya selama 55 tahun belum lagi disebut. 




Begitu juga Imam an-Nawawi yang hidup hanya selama 45 tahun, namun berjaya menulis banyak buku berharga yang kebanyakannya tebal berjilid-jilid. Orang yang pernah menulis buku pasti tahu betapa besar keberkatan yang Allah SWT berikan kepada waktu para ulama ini.Sebagai manusia biasa, mereka memiliki waktu yang sama dengan kita, sebulan mempunyai empat minggu, seminggu mempunyai tujuh hari dan sehari mempunyai 24 jam. Namun keberkatan dalam waktu memungkinkan mereka berkarya dan mendatangkan hasil yang lebih banyak daripada kita.Apakah yang menyebabkan keberkatan hilang pada zaman kita ini? Imam Ibn Abi Jamrah dalam Syarh al-Bukhari berkata,Penyebabnya ialah lemah iman dan tersebarnya pelbagai pelanggaran syariat dalam pelbagai jenis bidang, salah satu daripadanya dalam hal makanan.



Kita semua tahu unsur haram dan syubhah yang terdapat dalam makanan kita. Sering kali kita tidak peduli, lalu tanpa ragu-ragu mengambil makanan setiap kali ada kesempatan. Lemah iman memang membawa kepada berlakunya pelbagai maksiat dalam pekerjaan seperti pecah amanah, khianat, menerima rasuah dan lain-lain. Semua ini akan menghapus keberkatan dalam semua aspek kehidupan manusia, termasuklah waktu. Jika kita menyedari bahawa keberkatan telah hilang, maka sangat rugi jika kita masih membuang waktu yang memang sudah sedikit itu. Sebaliknya, kita harus bertekad menggunakan waktu itu dengan baik untuk meningkatkan prestasi di dunia dan mengumpul bekal untuk Akhirat. Semoga Allah SWT memberi kita hidayah agar menjadi orang-orang yang pandai memanfaatkan masa di dunia untuk memperbanyak bekalan di Akhirat. Amin ya Rabbal 'alamin

MARHABAN YA RAMADAN

Marhaban ya Ramadan, selamat datang bulan suci Ramadan. Kata-kata itu yang seringkali diungkapkan oleh umat Islam disaat Ramadan datang menyapa. Di masjid-masjid,  di setiap saluran televisyen, di corong-corong radio sehingga ada dikalangan kita yang menjadikan sebagai nada dering di telefon bimbitnya. Ungkapan selamat datang tampil dengan berbagai ekspresi yang menarik. Marhaban ya Ramadan bukanlah sekadar ucapan selamat datang yang terlontar dari mulut semata-mata. Kerana bulan yang penuh berkat ini sepatutnya disambut dengan penuh gembira dan penuh bahagia yang diekspresikan dengan hati , tetapi kebahagian hati yang diekspresikan mestilah dengan perubahan tindakan dan perilaku bukan sekadar luahan di mulut sahaja.Ibadah puasa di bulan suci ini yang diwajibkan untuk orang-orang beriman di seluruh dunia bukan hanya sekadar ibadah. Ibadah puasa di bulan Ramadan sangat berbeza dengan ibadah yang lain. Ini kerana puasa adalah ibadah ‘rahsia’. Dalam erti kata yang lain ia bermaksud seseorang itu berpuasa ataupun tidak,hanyalah orang berpuasa itu sendiri dan Allah sahaja yang mengetahuinya.


Banyak nilai yang boleh kita petik dalam ketika mana kita menjalankan ibadah puasa. Nilai sosial, perdamaian, kemanusiaan, semangat gotong royong, solidariti, kebersamaan, persahabatan dan semangat perpaduan. Ada pula manfaat lahiriah seperti pemulihan kesihatan, peningkatan intelektual, kemesraan dan keharmonian keluarga, kasih sayang dan penyempurnaan nilai keperibadian lainnya.Dari sudut kerohanian, puasa mampu meningkatkan kecerdasan minda, ketaqwaan dan penjernihan hati nurani dalam berdialog dengan al-Khaliq. Semuanya adalah nilai-nilai positif yang terkandung dalam puasa yang sepatutnya tidak hanya kita fahami sebagai wacana yang memenuhi intelektual kita, namun menuntut kesugguhan dan penghayatan dalam setiap aspek kehidupan kita. Malah yang lebih penting dalam menyambut bulan Ramadan tentunya adalah bagaimana kita merancang langkah strategi dalam mengisinya agar mampu menghasilkan nilai-nilai positif dan hikmah yang terkandung dalamnya. Jadi, bukan hanya sekadar memikirkan menu untuk berbuka puasa dan sahur sahaja. 




Namun, kita juga seharusnya perlu menyusun menu rohani dan ibadah kita. Kalau direnungkan sejenak, menu berbuka puasa dan sahur seringkali lebih istemawa jika dibandingkan dengan makanan seharian kita. Oleh itu, kita harus menyusun menu ibadah di bulan suci ini dengan kualiti yang lebih baik dan bermutu tinggi daripada hari-hari biasa. Dengan kesungguhan kita menyusun menu ibadah di bulan penuh barakah ini, maka kita benar-benar dapat merayakan kegemilangan bulan kemenangan ini dengan lebih rasa gembira dan syukur.Ramadan adalah bulan pencetus semangat dalam beribadah. Bulan yang mengisi kembali bateri jiwa setiap muslim. Ramadan sebagai bulan pesta ibadah harus kita maknainya dengan semangat pengamalan ibadah yang sempurna. Ramadan juga dianggap sebagai bulan kemenangan yang harus kita maknainya dengan menghadirkan kemenangan dalam melakukan kebaikan merentasi segala keburukan. Ramadan juga adalah sebagai bulan petunjuk yang seharusnya kita menghayatinya dengan semangat mengajak kepada jalan yang benar, kepada ajaran Al-Qur'an dan ajaran Nabi Muhammad Saw.


Ramadan juga dilihat sebagai bulan kesatuan dan perpaduan yang harus kita maknai dengan mempromosikan perdamaian,perpaduan dan bukan dengan berbalah sesama sendiri yang tidak tahu kesudahannya. Ramadan adalah sebagai bulan perjuangan, seharusnya kita realisasikan dengan perjuangan menentang kezaliman dan ketidakadilan di muka bumi ini. Ramadan sebagai bulan keampunan, semestinya kita menghiasi diri dengan meminta dan memberikan ampunan. Ramadan juga sebagai bulan kesabaran, maka kita harus melatih diri untuk sabar dalam menjalani hidup.Semoga dengan kedatangan bulan ramadan al mubarak pada kali ini dapat kita sama-sama merebut peluang yang telah diberikan dan di sediakan oleh Al-Khaliq. Semoga kita dapat mengisi Ramadan pada kali ini tidak hanya dengan kuantiti harinya sahaja, namun lebih dari pada itu kita juga mempertingkatkan kualiti ibadah puasa kita.Marhaban ya Ramadan.