Marhaban ya Ramadan, selamat datang bulan suci Ramadan. Kata-kata itu yang seringkali diungkapkan oleh umat Islam disaat Ramadan datang menyapa. Di masjid-masjid, di setiap saluran televisyen, di corong-corong radio sehingga ada dikalangan kita yang menjadikan sebagai nada dering di telefon bimbitnya. Ungkapan selamat datang tampil dengan berbagai ekspresi yang menarik. Marhaban ya Ramadan bukanlah sekadar ucapan selamat datang yang terlontar dari mulut semata-mata. Kerana bulan yang penuh berkat ini sepatutnya disambut dengan penuh gembira dan penuh bahagia yang diekspresikan dengan hati , tetapi kebahagian hati yang diekspresikan mestilah dengan perubahan tindakan dan perilaku bukan sekadar luahan di mulut sahaja.Ibadah puasa di bulan suci ini yang diwajibkan untuk orang-orang beriman di seluruh dunia bukan hanya sekadar ibadah. Ibadah puasa di bulan Ramadan sangat berbeza dengan ibadah yang lain. Ini kerana puasa adalah ibadah ‘rahsia’. Dalam erti kata yang lain ia bermaksud seseorang itu berpuasa ataupun tidak,hanyalah orang berpuasa itu sendiri dan Allah sahaja yang mengetahuinya.
Banyak nilai yang boleh kita petik dalam ketika mana kita menjalankan ibadah puasa. Nilai sosial, perdamaian, kemanusiaan, semangat gotong royong, solidariti, kebersamaan, persahabatan dan semangat perpaduan. Ada pula manfaat lahiriah seperti pemulihan kesihatan, peningkatan intelektual, kemesraan dan keharmonian keluarga, kasih sayang dan penyempurnaan nilai keperibadian lainnya.Dari sudut kerohanian, puasa mampu meningkatkan kecerdasan minda, ketaqwaan dan penjernihan hati nurani dalam berdialog dengan al-Khaliq. Semuanya adalah nilai-nilai positif yang terkandung dalam puasa yang sepatutnya tidak hanya kita fahami sebagai wacana yang memenuhi intelektual kita, namun menuntut kesugguhan dan penghayatan dalam setiap aspek kehidupan kita. Malah yang lebih penting dalam menyambut bulan Ramadan tentunya adalah bagaimana kita merancang langkah strategi dalam mengisinya agar mampu menghasilkan nilai-nilai positif dan hikmah yang terkandung dalamnya. Jadi, bukan hanya sekadar memikirkan menu untuk berbuka puasa dan sahur sahaja.
Namun, kita juga seharusnya perlu menyusun menu rohani dan ibadah kita. Kalau direnungkan sejenak, menu berbuka puasa dan sahur seringkali lebih istemawa jika dibandingkan dengan makanan seharian kita. Oleh itu, kita harus menyusun menu ibadah di bulan suci ini dengan kualiti yang lebih baik dan bermutu tinggi daripada hari-hari biasa. Dengan kesungguhan kita menyusun menu ibadah di bulan penuh barakah ini, maka kita benar-benar dapat merayakan kegemilangan bulan kemenangan ini dengan lebih rasa gembira dan syukur.Ramadan adalah bulan pencetus semangat dalam beribadah. Bulan yang mengisi kembali bateri jiwa setiap muslim. Ramadan sebagai bulan pesta ibadah harus kita maknainya dengan semangat pengamalan ibadah yang sempurna. Ramadan juga dianggap sebagai bulan kemenangan yang harus kita maknainya dengan menghadirkan kemenangan dalam melakukan kebaikan merentasi segala keburukan. Ramadan juga adalah sebagai bulan petunjuk yang seharusnya kita menghayatinya dengan semangat mengajak kepada jalan yang benar, kepada ajaran Al-Qur'an dan ajaran Nabi Muhammad Saw.
Ramadan juga dilihat sebagai bulan kesatuan dan perpaduan yang harus kita maknai dengan mempromosikan perdamaian,perpaduan dan bukan dengan berbalah sesama sendiri yang tidak tahu kesudahannya. Ramadan adalah sebagai bulan perjuangan, seharusnya kita realisasikan dengan perjuangan menentang kezaliman dan ketidakadilan di muka bumi ini. Ramadan sebagai bulan keampunan, semestinya kita menghiasi diri dengan meminta dan memberikan ampunan. Ramadan juga sebagai bulan kesabaran, maka kita harus melatih diri untuk sabar dalam menjalani hidup.Semoga dengan kedatangan bulan ramadan al mubarak pada kali ini dapat kita sama-sama merebut peluang yang telah diberikan dan di sediakan oleh Al-Khaliq. Semoga kita dapat mengisi Ramadan pada kali ini tidak hanya dengan kuantiti harinya sahaja, namun lebih dari pada itu kita juga mempertingkatkan kualiti ibadah puasa kita.Marhaban ya Ramadan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan