Tiada siapa dapat menghalang kekuasaan Allah. Punca pelbagai bencana alam yang berlaku adalah disebabkan kemelut dan krisis yang sengaja diciptakan manusia itu sendiri. Sebahagian manusia hari ini seolah-olah hilang keyakinan untuk menjalankan tanggungjawab sebagai khalifah di bumi Allah ini. Disebabkan kerenah dan krisis yang berlaku di kalangan manusia itulah juga barangkali Allah sengaja menimpakan bencana ke atas segelintir hamba-Nya sebagai ujian dan takdir yang tidak dapat ditolak. Sebagai hamba yang sentiasa meyakini akan keadilan Tuhan, maka sudah sewajarnya kita sama-sama merenungi dan menghayati apa yang tersirat di sebalik ujian dan bala yang telah menimpa kita.
Sesungguhnya hanya dengan keyakinan, iltizam, istiqamah dan keinsafan yang mendalam saja akan membolehkan kita mencari kekuatan dalam diri bagi mengimarahkan bumi Allah dengan perbuatan yang diredai kerana kita hanyalah makhluk Allah yang dipinjamkan sementara untuk menetap di alam fana ini.Setiap apa juga kerakusan dan keterlanjuran yang berlaku bukanlah disebabkan pihak tertentu saja, ia mungkin disebabkan rentetan peristiwa yang berpanjangan akibat dari keegoan manusia itu sendiri untuk menguasai muka bumi ini secara total dan sering menganggap orang lain tidak ubah seperti hamba.Tanpa sikap toleransi dan saling faham memahami, tentu saja pelbagai kejadian negatif akan cepat mudah meletus.
Apabila tercetusnya pertelingkahan, permusuhan dan dendam, sudah pasti akan meletuslah perbalahan yang akhirnya hanya memusnahkan sebahagian besar makhluk di muka bumi. Berdasarkan peringatan dari Allah kepada kita ini, Allah berhak untuk menurunkan apa juga ujian ke atas hamba-Nya yang tidak bersyukur dengan nikmat dan kurniaan-Nya. Bahkan melakukan perbuatan yang sentiasa mengundang kemurkaan Allah.Ada waktunya Allah hanya menurunkan malapetaka kecil. Ia adalah amaran daripada Allah agar manusia segera menghentikan daripada berbuat sesuatu yang boleh mengundang kemarahan-Nya.
Tetapi, apabila datang bala yang lebih besar, maka ia bukan lagi sebagai ingatan dan amaran, sebaliknya adalah bencana yang sengaja diturunkan Allah untuk memberi pembalasan di atas kerakusan manusia.Lebih malang, apabila berlaku bencana Allah, ramai manusia yang tidak berdosa akan turut menjadi korban. Di sinilah pentingnya konsep ‘berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran. Keengganan menunaikan tuntutan agama seperti mengeluarkan zakat,tidak melaksanakan solat dan sebagainya juga adalah salah satu hal yang boleh mengundang kemurkaan Allah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan