Ramadan datang lagi. Bulan yang mulia ini hanya datang setahun sekali. Setiap individu muslim mukmin menyambut ketibaan Ramadhan dengan penuh ghairah dan teruja. Pada bulan ini Allah menawarkan dengan limpah keberkatan dan gandaan pahala bagi setiap kebajikan yang dilakukan oleh sesiapa yang berpuasa dengan sempurna. Maka untuk menyambut bulan ini pelbagai program telah diatur setiap tahun seperti melantik Imam Hafiz untuk membimbing solat terawih, mengadakan tadarus Quran berkelompok, berbuka puasa beramai-ramai, ceramah fadhilat ramadhan, qiamullail dan sebagainya. Dengan segala macam program ini menarik minat para jamaah untuk memenuhi ruang masjid . Ahli jamaah yang jarang-jarang datang ke masjid pun hadir menunjukkan komitmen sepanjang sebulan Ramadhan. Mungkin itu yang dikatakan tarikan bulan yang penuh keberkatan dan melembutkan hati kepada sesiapa sahaja yang ihklas untuk mencari kebajikan dan pahala.
Dengan aturcara yang padat ini, kita boleh namakan sebagai madrasah terbuka kepada sesiapa yang bersedia untuk mengambil peluang keemasan tersebut. Sebenarnya segala macam program yang diatur ialah sebagai pelengkap untuk mengisi keberkatan dan kemeriahan Ramadhan. Tetapi secara khususnya ialah difardukan berpuasa bagi sesiapa mencukupi syarat seperti umur baligh dan sebagainya. Perkara utama yang dituntut kepada orang berpuasa hendaklah meninggalkan makan minum dan tidak melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa bermula dari terbit fajar sehinggalah terbenam matahari. Ini bermakna diharamkan kepada kita makan minum di siang hari walaupun ianya makanan dan minuman halal.
Berpuasa memerlukan seseorang yang sangat tinggi disiplin diri untuk menyempurnakan kewajipan puasa yang mempunyai hikmah tersurat dan tesirat. Secara umumnya, kesan positif puasa seringkali menjadi tumpuan kajian. Para doktor perubatan menjadikanya sebagai amalan kesihatan atau sebagai jalan penyelesaian bagi penyakit-penyakit moden yang sukar di atasi oleh rawatan-rawatan canggih hari ini tanpa memberi kesan sampingan. Di kalangan pengamal perubatan moden menganggapnya sebagai penemuan terapi baru. Keajaiban puasa ini memaksa Mark Twain seorang doktor yang terkenal mencadangkan supaya rakan pesakitnya agar berpuasa sepanjang 48 jam. Namun demikian, sungguhpun hebat fungsi puasa, Islam tidak memberatkan kita seperti cadangan melampau itu.
Berpuasa menuntut kita menghadapi cabaran nafsu. Sebenarnya Imam Al-Ghazali lebih awal menjelaskan hal ini menerusi karya agungnya, Ihya` Ulummiddin. Tegasnya bencana yang paling besar dalam kehidupan manusia ialah nafsu perut. Selanjutnya secara analisis beliau menyatakan pengambilan berlebihan akan menghilangkan kecergasan serta akan hilang kecerdasan dan kebijaksanaan. Akhirnya mengundang sikap malas dan melesukan fizikal. Perspektif al-Ghazali menjawab salah tanggapan umum dengan mengambil makanan yang banyak ketika lapar akan menambahkan tenaga terutamanya ketika berbuka pausa. Hal yang sama diingatkan oleh al-Quran supaya pengambilan makanan dan minuman hendaklah tidak melampau (al-A’raf:31). Ketika berbuka kita disunatkan memakan buah kurma agar memulih kehilangan tenaga melalui gula tulin dan serat buah. Di kala ini juga, kita hendaklah pastikan juadahnya adalah halal serta selamat, dan tiada pengambilan yang makruh seperti merokok.
Selain itu, Ramadhan turut menekankan ketepatan pengurusan masa termasuklah melewatkan waktu sahur dan berbuka di awal waktu. Manakala pada malam hari disunatkan menunaikan sembahyang solat tarawih berjamaah dan membanyakkan membaca al-Quran. Sebenarnya kesemua ini adalah nikmat cabaran kepada sesiapa mencari keredhaan Allah dan pahala yang berlipat ganda. Mencari limpahan rahmat Lailatulqadar kemuncak kepada segala cabaran kerana ia berada di penghujung Ramadhan disebabkan sudah “keletihan” dan masing-masing sibuk dengan pelbagai persediaan menyambut hari raya. Puasa Ramadhan hendaklah disempurnakan dengan bayaran fitrah. Budaya berlebihan menyambut hari raya berbanding pengisian Ramadhan harus diperbetulkan. Orang yang menikmati kemeriahan syawal hanyalah bagi sesiapa yang berjaya menghidupkan sepenuhnya Ramadhan dengan merebut segala tawaran dari Allah s.w.t. Bukannya meraikan syawal sehingga terpinggir Ramadhan disebabkan segala macam tawaran istimewa dari gedung-gedung perniagaan.
Kalau sekiranya kita menghadapi cabaran puasa hanya menahan lapar dan dahaga, tetapi generasi awal Islam menghadapinya dalam suasana genting tetapi cemerlang ketika Ramadhan.Hakikat kecemerlangan pernah dibuktikan sendiri oleh Rasulullah dan para sahabat apabila mereka mencapai kemenangan dalam peperangan Badar di bulan Ramadhan dengan jumlah tentera Islam seramai 313 dan sedangkan jumlah musuh berlipat ganda, iaitu 1000 orang. Selepas berpuasa sebulan, mereka juga tetap menunjukkan kehebatan di mana mereka memenangi dua peperangan dalam bulan Syawal, Ahzab dan Hunain. Sudah tentulah kemenangan mereka disempurnakan dengan kekuatan inteligensia, informasi, mental dan strategi yang cekap. Mengikut laras bahasa pengurusan dan motivasi hari ini ialah, mereka dilatih menggunakan potensi IQ dan EQ sepenuhnya.Semoga kita mendapat nikmat ketaqwaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan