Isnin, 22 Jun 2015

BINALAH SEMULA ROHANI

Kita sering didedahkan dengan berita mengenai binaan atau bangunan yang retak dan runtuh kerana kelalaian manusia sendiri, seperti tidak mematuhi spesifikasi atau prosedur ditetapkan. Pastinya kesusahan akibat masalah itu amat dirasai hingga menjejaskan hampir keseluruhan minda dan perasaan mereka yang menanggungnya selagi tidak diselesaikan. Fenomena buruk tidak disukai sesiapa saja kerana ia boleh mengakibatkan pelbagai bencana malah kehilangan harta serta nyawa. Sesuatu yang perlu disedari ialah kebanyakan kerosakan di dunia ini berpunca daripada sikap buruk manusia sendiri. Allah SWT menegaskan melalui firman-Nya bermaksud: “Sudah timbul pelbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian daripada balasan perbuatan buruk yang mereka lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).” (Surah ar-Rum, ayat 41)


Berlainan dengan kerosakan fizikal yang mudah dilihat dan diperbaiki, kerosakan spiritual atau kerohanian tidak dapat dilihat dengan nyata menyebabkan ia kurang diberi perhatian.Contohnya, tanda rosak rohani seperti mengabaikan solat, puasa atau sering melakukan perkara ditegah syarak, kita kurang memberi perhatian untuk membaikinya.Apabila dibiarkan ia menjadi lebih bahaya, bukan saja boleh mengundang pelbagai keburukan kepada diri sendiri, bahkan masyarakat, negara dan ummah seluruhnya.Mutakhir ini, pelbagai isu berkaitan kerosakan rohani seperti masalah keruntuhan akhlak, gejala sosial dan pelbagai jenayah bagaikan api dalam sekam yang boleh mengancam kesejahteraan hidup individu serta masyarakat.Hidup dalam perspektif Islam seperti disimpulkan daripada mafhum ayat 77 surah al-Qasas ialah memenuhi keperluan dan tanggungjawab di dunia ini sebagai jambatan menuju kehidupan yang kekal abadi di akhirat. 




Justeru, peraturan hidup Islam perlu dipatuhi kerana berdasarkan firman Allah, jelas menunjukkan pelbagai kerosakan di dunia ini berpunca daripada manusia sendiri.Kepincangan dalam masyarakat yang terhasil melalui pelbagai bentuk jenayah dan perlakuan buruk manusia adalah manifestasi pengabaian terhadap peraturan agama dan perkara pokok dalam usaha memelihara agama daripada runtuh ialah ibadat solat.Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Sembahyang itu tiang agama, sesiapa yang meninggalkannya maka sesungguhnya ia meruntuhkan agama.”Hadis itu membuktikan pentingnya solat dalam hubungan manusia dengan kehidupan kerana solat menjadi pengemudi seseorang itu dalam segala tindak tanduknya.Ini kerana seseorang yang melaksanakan ibadat utama itu tentunya lahir daripada keimanan yang kental terhadap Allah SWT.


Allah SWT memberi jaminan bahawa ibadat solat dapat mencegah seseorang itu daripada melakukan perbuatan keji dan mungkar melalui firman-Nya, “... dan dirikanlah sembahyang (dengan tekun); sesungguhnya sembahyang itu mencegah daripada perbuatan yang keji dan mungkar.” (Surah al-'Ankabut, ayat 45). Jika diperhatikan dengan penuh keinsafan dan kesedaran, kita tentu gusar melihat pelbagai kemungkaran berlaku yang menandakan betapa ramai orang sedang membina keruntuhan. Jika diambil satu dosa iaitu dosa meninggalkan solat, agaknya berapa ramai yang sedang mengumpul dosa lantaran setiap waktu tidak menunaikan solat bak kata pepatah Melayu, ‘sedikit-sedikit lama-lama jadi bukit.’Yang pasti saban hari ada umat Islam sedang membina keruntuhan, lantaran mengumpul dosa dengan mengabaikan kewajipan agamanya.




Setiap individu Muslim sepatutnya sentiasa berusaha membina iman dan amalnya dengan melaksanakan perintah Allah SWT dan menjauhi segala larangan-Nya, bukan membina keruntuhan dengan meninggalkan perintah dan melaksanakan larangan-Nya.Umat Islam sewajarnya sentiasa menaruh bimbang akan kemungkinan terkena janji Allah SWT seperti diceritakan di dalam al-Quran mengenai kaum yang dikenakan azab dan bencana disebabkan mereka tidak beriman dan melakukan dosa.Sebaliknya umat Islam hendaklah mempunyai hati dan fikiran yang bersih sebagai cermin iman yang luhur untuk menikmati janji Allah dalam firman bermaksud: “Sekiranya penduduk negeri itu beriman serta bertakwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya dari langit dan bumi.” (Surah al-A'raf, ayat 96).



Setiap peristiwa di dunia ini mempunyai hikmah pengajaran dan iktibar untuk direnung seperti kisah dalam al-Quran mengenai sesuatu kaum atau negeri yang dihancurkan lantaran penduduknya melakukan pelbagai dosa dan kemungkaran.Masa untuk bermuhasabah menginsafi diri sentiasa luas terbentang seperti kata-kata bijak pandai yang mengingatkan kita, “Sekiranya sesat di hujung jalan, baliklah ke pangkal jalan.”Oleh itu, umat Islam tidak harus terleka membina keruntuhan, sebaliknya binalah kekuatan diri, kukuhkan negara dan ummah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan