Kebanyakan kita sudah tentu pernah menghadiri pelbagai seminar, kursus, ceramah atau bengkel. Sesungguhnya suatu hal yang menarik yang dapat diperhatikan pada setiap program tersebut ialah apabila sesi itu dikendalikan sama ada oleh penganjur, pengerusi, ataupun penceramah yang muslim maka sepertinya suatu kewajipan bahawa mereka akan memulakan sesi itu dengan bacaan Ummul Kitab dan mengakhiri sesi tersebut dengan Surah Al-Asr. Secara umumnya, ramai yang tahu mengapa harus dimulakan dengan Ummul Kitab dan sekiranya ditanya, ramai yang akan menyatakan yang Al-Fatihah itu maksudnya buka, maka molek sekiranya sesuatu yang baik itu (majlis ilmu yang dihadiri) dimulakan dengan Al-Fatihah. Maka, sekiranya dilanjutkan soalan mengapa pula harus ditamatkan dengan Surah Al-Asr? Barangkali jawapan yang biasa didengari ialah surah itu mengingatkan kita terhadap kepentingan masa. Ada juga yang menyatakan yang kita perlu menyampaikan ilmu yang telah dipelajari dalam majlis itu.
Pernahkah kita terfikir untuk bertanya kepada penceramah tersebut, mengapa harus dibacakan Surah Al Asr? Tidakkah boleh ditutupkan majlis ilmu itu tadi dengan surah lazim yang lain? Meneliti maksud surah Al-Asr yang bermaksud : “Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran.” (Al-Asr : 1 – 3). Sekiranya diperhatikan, terjemahan surah di atas memberi penekanan terhadap beberapa perkara iaitu,Allah SWT bersumpah dengan masa, Allah SWT menyatakan sesungguhnya manusia itu berada dalam keadaan rugi. Sebagai perbandingan, Allah SWT meletakkan keadaan negatif (rugi) kepada manusia dengan bersumpahkan masa.Seterusnya Allah SWT memberi pengecualian rugi kepada golongan yang berikut,Orang yang beriman,Orang yang beramal soleh,Orang yang berpesan-pesan dan Orang yang sabar
Dalam konteks ini, dapat kita perhatikan bahawa ciri-ciri orang yang tidak rugi yang disenaraikan di atas sebenarnya berada dalam satu tertib yang mana dengan hanya mengikuti tertib tersebut dapat mengelakkan sesorang daripada menjadi rugi. Dan yang menariknya, penekanan rugi di sini bukan hanya merujuk kepada tauhid terhadap Allah semata-mata malah mencakupi apa sahaja perlakuan manusia. Ini bermaksud, bagi mereka yang tidak beriman kepada Allah juga harus memahami proses ini berlaku bagi mengelakkan mereka termasuk dalam kategori rugi.
Tertib golongan yang terkecuali daripada kerugian,orang yang beriman.Iman atau bahasa mudahnya bermaksud percaya. Seseorang itu dikatakan beriman apabila dia mempercayai apa yang disampaikan kepadanya. Dalam konteks perilaku manusia, adalah lebih mudah bagi seseorang melakukan sesuatu yang dipercayainya, contohnya mempercayai bahawa memakan ubat yang dibekalkan oleh doktor adalah usaha dalam menyembuhkan penyakit. Dalam hal mempercayai sesuatu ini biasanya manusia lebih mudah jatuh percaya apabila melihat bukti dengan matanya sendiri. Sebagai contoh, adalah sukar mempercayai keberkesanan ubat kurus yang dijual oleh seseorang yang gemuk orangnya, kecuali orang itu menjadi kurus terlebih dahulu. Maka sekiranya kita membeli ubat itu semata-mata ingin menjaga hati si penjual yang berbadan gemuk tadi, bukankah satu kerugian kepada kita?
Kemudian tertib yang kedua,orang yang beramal soleh. Amal atau melakukan sesuatu bermaksud kita melakukan sesuatu sama ada atas keinginan sendiri atau dorongan sesuatu. Dalam hal ini, adalah satu kerugian buat kita sekiranya kita percayakan kepada sesuatu yang mendatangkan kebaikan tetapi kita tidak melaksanakannya. Sebagai contoh, kita tahu bahawa solat adalah wajib dan sesiapa yang meninggalkannya akan berdosa. Tetapi di sebalik kepercayaan kita kepada perkara fardhu itu, kita tidak pun mengamalkannya. Begitu juga dengan pelbagai perkara lain yang kita pelajari dalam hidup seperti penggunaan tali pinggang keledar. Kita percaya bahawa penggunaannya mampu menyelamatkan nyawa. Tetapi, jika kita tidak menggunakannya walaupun kita percaya kesan penggunaannya, maka kita akan menjadi orang yang rugi terutamanya apabila kemalangan berlaku dan kita mendapat musibah kerana tidak mengenakan tali pinggang keledar.
Seterusnya yang ketiga ialah orang yang berpesan-pesan.Berpesan-pesan di sini boleh difahami dalam bentuk menyampaikan perkara yang dipercayai dan diamalkan seperti di atas. Ini bermaksud proses komunikasi dan penyebaran maklumat terhadap kebaikan ini perlu dilakukan. Sekiranya tidak, kita akan menjadi orang yang rugi. Memetik contoh terdahulu, pemakaian tali pinggang keledar. Sebagai orang yang mempercayai dan menggunakan tali pinggang keledar, adalah penting untuk kita sentiasa mengingatkan atau berpesan kepada mereka yang menaiki kereta kita untuk turut sama menggunakan tali pinggang. Adalah rugi sekiranya hanya kita yang menggunakannya kerana andainya kemalangan berlaku, hanya kita seorang yang terselamat. Begitu juga dengan aspek ibadah, seandainya kita rajin ke masjid tetapi tidak mengajak orang lain turut sama ke masjid, maka kita akan menjadi orang yang rugi kerana kita juga boleh mendapat pahala kerana menggalakkan orang ke masjid dan menyeru orang lain berbuat kebaikan.
Dan yang terakhir ialah orang yang sabar.Dalam tertib ini, sabar berada di bahagian terakhir proses kerana hanya selepas kita beriman, beramal dan menyebarkan sesuatu, barulah kita bersabar. Mengapa keadaan ini berlaku? Hal ini demikian kerana manusia tidak mudah menerima perubahan. Perubahan menuntut pengorbanan masa, wang dan usaha yang kuat. Atas dasar ini, kita diminta bersabar atas usaha yang dilaksanakan untuk melihat hasilnya. Bayangkan senario ini; kita percaya bahawa solat berjemaah itu bagus, kita mengamalkannya dengan ke masjid dan kita menyebarkan dengan mengajak anak-anak kita ke masjid. Kita telah pun melengkapkan ketiga-tiga tertib di atas. Namun anak kita menolak dan tidak mahu mengikut kita ke masjid. Kita menjadi berang dan marah. Ini boleh mengakibatkan anak-anak menjadi takut, kecewa dan sebagainya yang mengakibatkan mereka semakin menjauhi kita dan menyukarkan kita mendidik mereka. Bukankah ini satu kerugian? Sebaliknya apabila anak-anak menolak, kita menasihati dengan lembut, menunjukkan teladan yang baik maka ini lebih dekat dengan hati mereka dan mampu mempengaruhi mereka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan