Ramadhan telah diambang pintu, tanpa kita sedar, waktu berputar begitu cepat, kita telah berada di bulan Sya'ban, bulan yang menjadi bulan istimewa, selain bulan Ramadhan. Sekarang ini kita berada di bulan Sya’ban. Inilah masanya kita menanam azam untuk kita merebut segala kelebihan Ramadhan yang dijanjikan Allah. Jika Ramadhan tahun lalu kita lalai dan leka sehingga tanpa disedari Ramadhan telahpun berlalu dan kita ketinggalan merebut kelebihannya, maka pada tahun ini kita diberi peluang sekali lagi oleh Allah. Maka janganlah sia-siakan peluang kali ini kerana entah-entah inilah Ramadhan terakhir buat kita. Mati datang tidak menentu. Oleh itu, hendaklah kita sentiasa bersedia. Rebutlah peluang semasa hayat masih ada ini supaya di akhirat kita tidak menyesal dengan sesalan yang tiada gunanya lagi.
Bulan Ramadhan adalah bulan yang terlalu banyak kelebihannya. Di dalamnya terdapatnya malam lailatul Qadar iaitu malam kemuliaan yang lebih baik dari 1000 bulan. Pada bulan tersebut Allah membuka pintu syurga, menutup pintu neraka dan mengikat syaitan-syaitan untuk memberi peluang kepada manusia membersihkan diri mereka sebersih-bersihnya. Amal-amal ibadah dan kebajikan digandakan Allah di mana yang sunat diberi pahala wajib fardhu dan yang fardhu menyamai 70 fardhu di bulan-bulan yang lain. Amat banyak kelebihan bulan Ramadhan yang kesemuanya insya Allah akan kita bentangkan satu persatu dalam risalah kecil ini.Setiap waktu-waktu yang kita lewati, masing-masing mempunyai kelebihan dan keutamaan yang berbeza, maka kita harus merebut di setiap kelebihan bulan sya’ban.
Termasuklah menyiapkan diri menyambut kedatangan bulan suci Ramadhan yang memiliki banyak keutamaan. Kerana di dalam Ramadhan adalah bulan diwajibkannya berpuasa, dianjurkan memperbanyak amalan sunnah, serta diperintahkan memperbanyak membaca Al-Quran. Disamping itu, bulan Ramadhan adalah bulan pengendalian diri dari syahwat perut, hawa nafsu serta pengendalian anggota tubuh dari hal-hal yang dapat mengurangi nilai puasa.Oleh kerana itu, hendaknya kita menyambut bulan suci ini dengan suka cita dan penuh kerinduan, serta mempersiapkannya sebelum ramadhan tiba, sehingga dapat menumbuhkan motivasi semangat dalam menjalankan segala amal ibadah di bulan tersebut. Apakah yang harus kita bersiap sedia dalam rangka menyambut kedatangan tamu agung ini ?
Ada beberapa perkaral yang harus kita persiapkan agar kita mampu untuk mengisi bulan yang penuh berkah ini dengan kegiatan yang dapat menambah amalan kita ketika kita menghadap Allah SWT. Menjadi persiapan yang paling penting yang perlu kita laksanakan ialah persiapan keimanan. Ini adalah persiapan yang paling utama, kerana kekuatan iman lah yang akan menjadi motor penggerak segala bentuk ibadah kita sebelum, ketika dan pasca ramadhan. Apabila kita membaca sejarah Rasulullah saw dan para sahabatnya, betapa persiapan mereka dari sudut ini sangat luar biasa, iaitu dengan melaksanakan puasa sunnah di bulan sya'ban. Hal tersebut mereka lakukan dalam rangka mempersiapkan dan menyambut kedatangan bulan Ramadhan.
Disamping itu, kita dianjurkan untuk memperbanyak istighfar dan memohon serta memberi maaf agar kedatangan bulan suci ini kita sambut dengan hati bersih dari segala bentuk dosa dan perselisihan, rasa dengki dan penyakit-penyakit hati yang lainnya. Dengan demikian, persiapan keimanan menjelang Ramadhan merupakan bahagian terpenting yang harus dilakukan setiap mukmin. Bahkan didalam surat Al-Baqarah ayat 183 dijelaskan, bahwa ibadah puasa Ramadhan diwajibkan kepada orang-orang yang beriman. Ini bermaksud, hanya orang-orang berimanlah yang memiliki kemampuan untuk menjalankan puasa Ramadhan dengan benar. Di samping itu, persiapan akhlak juga penting.Nabi mengingatkan kita bahawa begitu ramai umat Islam yang menjalankan ibadah puasa di bulan Ramadhan hanya untuk menahan lapar dan dahaga saja, tanpa ada keistemewaan yang ia dapatkan disebalik pelaksanaan ibadah puasa tersebut.
Sebagaimana sabda Rasulullah saw, "Berapa banyak orang yang puasa, namun mereka tidak mendapatkan dari puasa mereka kecuali lapar dan dahaga" (HR.Thabrani, Ahmad dan Baihaqi). Agar puasa yang kita laksanakan berkualiti, maka persiapkanlah diri kita dengan akhlak Islam, seperti menjaga pandangan dari hal-hal yang dilarang dan menjaga lisan dari ucapan yang kotor. Intinya, kita harus menjaga seluruh anggota tubuh dari perbuatan maksiat. Inilah diantara persediaan dan persiapan yang harus kita laksanakan menjelang bulan Ramadan tetamu kita yang mulia ini. Semoga Allah SWT memanjangkan usia kita untuk bertemu dengan tetamu ini yang mempunyai seribu satu rahsia keistimewaannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan