Selasa, 16 Jun 2015

MENITI BULAN KEMULIAAN

Kita semakin menghampiri bulan rahmat dan keampunan Allah swt iaitu bulan Ramadan. Marilah kita berusaha mempersiapkan diri menghadapi bulan kebesaran kita. Ramadan adalah bulan yang sangat dinantikan oleh para pencinta akhirat. Bulan yang mulia ini adalah bulan kesabaran, bulan memohon pertolongan dan keampunan dan bulan kerahmatan.Ramadan adalah bulan kebaikan dan barakah yang telah dikhususkan untuk umat  Islam. Setiap amalan yang dilakukan secara ikhlas akan mendapat limpahan rahmat dan nikmat daripada-Nya. Jika  kita meletakkan matlamat untuk  membaca satu juz Quran sehari,  ini akan mendatangkan ganjaran kebaikan yang berlebihan bagi kita semua.Apakah  yang dicari dan diharapkan oleh manusia selain mendekatkan diri dari Allah? Tidak bermakna hidup tanpa mengerti erti hidup dan kehidupan.Hingga kini manusia masih kabur, gelap, tidak mengerti, tidak memahami apa yang diharapkan dari kehidupan yang fana ini.  Mereka sedang mencari dan terus mencari. 

Apakah pencarian seseorang hamba itu menuju ke arah cinta dan redha Illahi? Atau pencarian hamba itu hanya akan berakhir dengan kerakusan mengejar nikmat duniawi ? Apakah yang sebenarnya dicari? Bagi mereka yang sedang terus ditenggelami arus dunia tanpa berusaha untuk mengekang turapan ego, kehadiran Ramadan tidak membawa sebarang erti. Tiada langsung kekesalan yang akan timbul di hati. Malah mereka akan lebih giat berlari untuk mendapatkan pesona dunia. Ego mereka akan berteriak, “Ayuh, teruskan langkahmu, usah dihiraukan Ramadan yang datang membawa seribu keberkatan.  Mari berlari ke arah  memuaskan keinginan ku!” Manusia diciptakan di muka bumi ini untuk mengabdikan diri kepada Allah swt dan Allah berkata kepada hambanya, ‘sama ada kamu memilih jalan yang penuh ranjau dan duri atau kamu melalui jalan yang diterangi cahaya iman dan tauhid.’Ya. Terdapat dua jalan. Jalan yang dipenuhi gelombang dan ombak yang keras dan menghempas, adalah jalan yang tidak wajar untuk kita harungi. Jalan mencabar ini bukan untuk kita. Banyak penderitaan yang harus kita alami menerusi belenggu ranjau kehidupan sebegini. 



Pilihlah jalan yang mudah. Jalan yang menghimbau manusia untuk menyerahkan diri kepada Allah menerusi amalan ketaatan dan pelaksanaan ibadah yang ikhlas. Dengan cara ini, hidup kita akan sentiasa disinari cahaya ketenangan dan kegembiraan. Mereka yang ingkar terhadap perintah dan suruhan Allah swt akan terus dihimpit oleh keperitan hidup. Jika kita tidak berjaya untuk mengecapi ketenangan, kedamaian hidup di dunia, sudah pasti kita tidak akan mampu untuk memilikinya di alam barzarkh. Apa jua yang sedang diusahakan di dunia ini, itulah yang akan didapati di dalam kubur masing-masing. Jika kita hiasi Ramadan dengan iman dan amalan soleh, dan sekiranya suratan takdir memanggil kita untuk kembali ke pangkuan Illahi pada tahun itu, maka akan kita dapati keberkahan ramadan menanti diri kita di dalam kubur itu. Tetapi jika kita membiarkan ramadan berlalu begitu sahaja tanpa sebarang rasa penyesalan, maka seksaan yang berlipat ganda sedang menantikan kita di alam barzarkh.


Allah swt yang maha Agung lagi maha Bijaksana telah mencipta manusia sebagai sebaik-baik ciptaan. Allah telah memuliakan manusia dengan memberi mereka rezeki dari yang baik−baik dan melebihkan manusia dengan kelebihan yang sempurna atas kebanyakan makhluk lain. Sebagai balasannya, Allah berkata kepada manusia, “Jadilah kamu hamba yang bersyukur.”Tunjukkan tanda mensyukuri nikmat dengan perbuatan. Bulan Ramadhan telah dianugerahkan kepada kita untuk menyempurnakan ketaqwaan. Di sepanjang bulan yang mulia ini, ‘matikan enjin’ kita. Jika ‘enjin’ manusia berfungsi secara terus-menerus, ia akan mendatangkan kemudaratan. Maka kesempatan harus diambil sepanjang satu bulan ini untuk merehatkan ‘enjin’,  mensucikan diri, menyedarkan diri daripada kelekaan dan kealpaan. Dengan cara ini, kita dapat melatih diri untuk menjadi lebih prihatin terhadap setiap tindakan mengenai perbuatan baik dan buruk dalam kehidupan. Semua ini adalah untuk kebaikan diri kita sendiri. Bukan untuk Allah swt. Peluang-peluang keemasan ini telah ditujukan khas untuk kita dan di samping itu, Allah telah menjanjikan balasan syurga bagi mereka yang melakukan setiap amal kebaikan ini ikhlas keranaNya.Malang sungguh, manusia yang cenderung mengejar kenikmatan dunia mengambil sikap acuh tak acuh dalam mencari keberkatan dan keredhaan Allah.  



Seringkali kita mendengar mereka bertanya, ‘Apakah ganjaran pahala yang akan kami perolehi jika amalan ini dilakukan?’ Mereka hanya akan melakukan sesuatu amalan jika amalan itu menjanjikan ganjaran besar dari  yang Maha Esa. Tetapi, pernahkah kita menanyakan tentang balasan dosa dan seksa dari Allah yang sedang menanti akibat keingkaran kita terhadap perintah dan suruhanNya? Mengapa tidak? Bertanyalah tentang persoalan ini. Ia adalah lebih penting buat kita. ‘Apakah hukuman yang sedang menanti diri kita akibat melambat-lambatkan solat?. Sesuatu yang harus difikirkan kini. ‘Oh, aku melakukan solat mengikut sesuka hati.’ Benar. Buatlah mengikut sesuka hati kita. Namun kita tidak akan dapat lari daripada hakikat bahawa Allah swt menuntut agar kita melakukan solat fardhu secara berjamaah dan tepat pada waktunya. Ini harus diberi keutamaan. Kita tidak harus melengah-lengahkan waktu solat. 

Semua perkara-perkara ini tidak begitu diendahkan oleh umat Islam masa kini.  Mereka  hanya ingin mengambil tahu tentang ganjaran pahala yang akan diperolehi menerusi amalan yang tidak seberapa. Hentikan semua ini.  Yang harus diberi keutamaan adalah untuk menghindari perbuatan yang mendatangkan dosa-dosa dan kemurkaan Allah. Seterusnya, akan kita dapati bahawa Allah swt akan memberi kepadamu balasan duniawi dan ukhrawi. Rebutlah peluang di bulan yang mulia ini untuk menggapai redha Illahi. Sebagai umat Islam yang telah diberi petunjuk Allah, kita harus bersatu dalam menggugah kesedaran akal serta memenuhi hati dengan keimanan. Kita harus bangkit dari harapan kosong dan khayalan sambil bertanya kepada diri sendiri, ‘apakah sebenarnya tujuan aku melakukan perkara ini? Adakah Allah serta rasulNya gembira dengan diri ini atau sebaliknya? 



Dalam manusia sibuk melayani tuntutan ego, mereka menjadi leka dan alpa dengan tugas mereka dimuka bumi ini sebagai hamba dan khalifah Allah. Dari anak kecil yang berusia tujuh tahun, hingga ke orang dewasa berusia tujuh puluh tahun, biarpun lelaki mahupun wanita, semuanya berkelakuan seperti firaun yang zalim. Allah swt telah mengutuskan para nabi sebagai pembimbing dan pemberi petunjuk untuk kebahagian manusia baik di dunia maupun di akhirat. Ini yang sedang berleluasa di kalangan manusia abad ke 21. Walaupun duduk berapat-rapat, namun mereka saling menzalimi diantara mereka. Jika kita tidak berusaha untuk membebaskan diri daripada belenggu kezaliman ini, maka bersiap sedialah untuk menghadapi Jahannam yang sedang menanti di penghujung jalan. Marilah kita renungkan bersama,ibadah puasa di bulan ramadan seharusnya dipakai sebagai kesempatan khusus bagi kita untuk mengakui dosa secara terbuka di hadapan Allah sambil mengikis sifat tercela agar dapat kita menjadi hamba Allah yang beriman dengan sebenar-benarnya. Tetapi jika ibadah ini tidak dapat membendung sifat-sifat tercela di dalam diri, maka kita ibarat seekor haiwan buas yang sedang dirantai dalam keadaan kelaparan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan