Setiap kali kita menerima atau mendengar
berita kematian seorang muslim, agama ajarkan kepada kita untuk mengucapkan
ucapan takziah dengan melafazkan perkataan "انا الله و انا
اليه رجعون".
Juga kita di tuntut untuk mendoakan apa-apa sahaja kebaikan untuk si mati yang
beriman kepada Allah.
Ada pun apabila kita menerima atau
mendengar perkhabaran berita kematian bagi orang yang bukan muslim, kita
dilarang untuk sama sekali mendoakan kebaikan untuknya setelah dia mati. Apa
jua ucapan mendoakan kebaikan kepada si mati yang bukan muslim, agama melarang
kita untuk mengungkapkannya. Walau bagaimana pun, Islam membenarkan kita
mengucapkan rasa kesedihan, menzahirkan rasa kehilangan yang tidaklah membawa
kepada keredhaan kesyirikan mereka.
Kebenaran menzahirkan rasa takziah atas
kesedihan dan kehilangan ini disebutkan oleh Imam An Nawawi dalam Kitab Raudhah
al Talibin, beliau menyatakan bahawa dibenarkan untuk seorang muslim untuk
mengucapkan takziah bagi orang bukan muslim (zimmi) dan begitu juga bagi orang
muslim yang mempunyai kerabat yang bukan muslim. Namun kebenaran ini hanya
tertakluk kepada ucapan takziah atas kesedihan semata-mata. Bukan untuk
mendoakannya.
Dalam kontesk ucapan "Rest In
Pecae" ini, ianya adalah suatu bentuk ucapan doa yang biasa diungkapkan
oleh penganut agama Kristian terutamanya dalam mazhab Katolik sejak abad ke 18
lagi. Ucapan ini juga biasanya diukir di batu nisan tanah perkuburan orang
Kristian. Kerana itu, Majlis Fatwa Kebangsaan memutuskan untuk tidak
menggalakkan umat Islam untuk mengucapkan RIP kepada orang bukan muslim kerana
ianya mempunyai unsur keagamaan bagi agama Kristian. Ditakuti terdapat unsur
tasyabbuh (menyerupai) sesuatu ajaran atau amalan agama lain.
Harus kita fahami bahawa, Islam tidak
melarang untuk kita menzahirkan rasa sedih dan kehilangan seseorang yang bukan
muslim. Bahkan atas dasar kemanusiaan, baginda Nabi SAW berdiri untuk
menghormati seorang jenazah beragama Yahudi. Dalam sebuah hadis riwayat
Bukhari, Nabi SAW bersabda yang bermaksud :
" Jenazah melintasi berdekatan kami
lalu Rasulullah SAW bangun dan kami juga bangun. " Kami berkata, " Ya
Rasulullah itu jenazah Yahudi." Baginda bersabda : " Apabila kamu
melihat jenazah maka bangunlah".
Namun, apa yang dilarangkan adalah
mendoakan apa-apa kebaikan dengan apa-apa lafaz yang menjurus kepada kebaikan
kerana atas nama agama, kita tidak sesekali meredhai kesyirikan yang telah
mereka lakukan. Kita juga harus tahu bahawa dosa syirik adalah sebesar-besar
dosa yang Allah tidak akan ampunkan jika tidak bertaubat. Firman Allah Azza Wa
Jalla dalam surah an Nisa' ayat 48 yang bermaksud :
" Sesungguhnya Allah tidak akan
mengampunkan dosa syirik mempersekutukan Nya (dengan sesuatu apa jua) dan akan
mengampunkan dosa yang lain dari itu bagi sesiapa yang dikehendaki Nya (menurut
syariat Nya). Dan sesiapa yang mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang
lain), maka sesungguhnya ia telah melakukan dosa yang besar".
Demikian ancaman dan amaran Allah kepada
para hamba Nya agar tidak melakukan kesyirikan. Sekiranya kita mahu mendoakan
kebaikan kepada orang bukan muslim, ada baiknya kita doakan ketika mereka masih
hidup. Doa agar diberikan hidayah dan sebagainya, doakanlah ketika mereka masih
hidup. Ada pun mereka yang telah mati dalam keadaan mensyirikkan Allah, maka
tiadalah kebaikan baginya kerana telah kekal mensyirikkan Allah. Semoga Allah
merahmati dan mengampuni kita semua.