Jumaat, 30 September 2022

MEMILIH PEMIMPIN YANG BERSIH

 

Memilih pemimpin adalah suatu bentuk demokrasi yang memberi ruang untuk rakyat bersuara memilih sebagai wakil mereka kelak. Proses memilih pemimpin bukanlah suatu yang boleh dipandang enteng. Meskipun demokrasi bukanlah suatu sistem yang adil secara mutlak, tetapi hakikatnya pengamalan demokrasi sedia ada pada hari ini sangat penting bagi membentuk sebuah kestabilan politik negara. Sebagai seorang Islam adalah menjadi tanggungjawab kita untuk prihatin akan persoalan melantik pemimpin yang bakal menjadi wakil suara kita.

Pastinya kita semua tahu dan yakin bahawa proses kita membuang undi memilih pemimpin, bermakna secara sedar kita bersedia untuk memberikan mandat kepada seseorang yang kita pilih berdasarkan penilaian yang kita lakukan. Dalam hal ini, Allah SWT telah mengingatkan kita akan kepentingan melantik pemimpin dengan kata lain, peri pentingnya kita memilih pemimpin dengan memberikan amanah kepada mereka yang benar-benar layak. Firman Allah SWT menerusi surah al Nisa' ayat 58 yang bermaksud :

"Sesungguhnya Allah menyuruh kamu memberikan amanah kepada yang berhak menerimanya dan apabila kamu berhukum dikalangan manusia maka hendaklah kamu berhukum dengan adil.."




Dengan itu, dapat kita fahami bahawa memilih pemimpin dengan memberikan undi kepada mereka yang tidak layak dan berhak, kita telah melakukan suatu pengkhianatan besar memperjudikan nasib dan masa depan negara tercinta. Allah menyuruh kita agar memilih pemimpin yang berhak menerimanya, yang diyakini mampu membawa negara ke arah yang lebih stabil, berintegriti dan sebagainya. Proses mengundi bukan suatu pesta bersuka-ria mengundi kerana dapat habuan itu ini. Sebaliknya, kita mesti bertanggungjawab diatas pilihan yang kita lakukan.

Bagi menentukan siapa yang layak untuk dipilih menjadi pemimpin, Allah SWT memberikan panduan kepada hamba Nya memilih dikalangan mereka yang mempunyai sifat al-Qawiy (berkemampuan) dan al-Amin (beramanah atau bertaqwa). Hal ini berdasarkan firman Nya dalam surah al-Qasas ayat 26 yang bermaksud :

"Sesungguhnya orang yang paling baik yang kamu ambil untuk bekerja ialah yang kuat lagi amanah".

Menurut Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah dalam kitabnya al-Siyasah al-Syar'iyyah fi Islah al-Ra'iy wa al-Ra'iyyah, katanya :

"Hendak dipastikan orang yang terbaik setiap jawatan, kerana sesungguhnya kepimpinan itu mempunyai dua rukun iaitu al-Quwwah (kemampuan) dan al-Amanah (beramanah atau bertaqwa)... Al-Quwwah dinilai pada setiap kepimpinan berdasarkan keadaannya. Al-Quwwah dalam mengetuai peperangan merujuk kepada keberanian hati, pengalaman dalam peperangan, tipu daya peperangan kerana peperangan itu adalah tipu daya dan kemampuan dalam pelbagai jenis peperangan.. al-Quwwah dalam kehakiman manusia merujuk kepada ilmu mengenai keadilan seperti yang ditunjukkan oleh al-Quran dan al-Sunnah dan kepada kemampuan melaksanakan hukum. Dan amanah pula merujuk kepada perasaan takut kepada Allah, tidak menjual ayat-ayat Allah dengan harga yang murah dan tidak takutkan manusia (sehingga mengabaikan Allah)".




Berdasarkan untaian kata yang panjang lebar ini, sebelum daripada kita memilih seseorang untuk menjadi pemimpin, terlebih dahulu menjadi tanggungjawab besar untuk kita memastikan mereka yang akan kita pilih ini berkelayakan berdasarkan panduan yang dijelaskan oleh Allah Azza Wa Jalla. Memilih pemimpin yang baik memerlukan kita berlapang dada menerima perbezaan yang ada. Jika kita dikuasai oleh sikap ketaksuban pada pihak tertentu, sudah pasti kita tidak dapat membuat ketetapan memilih secara adil dan saksama.

Tersalah memilih, bakal mengundang kemurkaan Allah. Ini kerana pemimpin yang baik akan dikasihi oleh Allah dan Rasul. Sebaliknya, bagi mereka yang memilih seseorang yang zalim, kerjanya menipu rakyat dan sebagainya, sesungguhnya Allah memberi peringatan serta amaran kepada mereka yang cenderung memilih dan menyokong orang yang zalim, tidak beramanah, untuk diangkat sebagai pemimpin mereka. Hal ini berdasarkan firman Nya dalam surah Hud ayat 113 yang bermaksud :

"Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang membuat zalim nanti kamu akan disambar oleh api neraka sedangkan kamu tiada sebarang penolong pun selain daripada Allah kemudian (dengan sebab kecenderungan kamu itu) kamu tidak akan mendapat pertolongan".

Oleh yang demikian, kita sama sekali dilarang untuk memilih seseorang yang diketahui akan kezalimannya, kita tahu dirinya terbabit dalam gejala rasuah, tidak bermoral dan tidak berakhlak, meskipun orang tersebut merupakan ahli keluarga dan keturunan kita, kawan dan kenalan, kita dilarang memilih dan mengangkat orang yang bersikap sedemikian. Jika direnungkan bersama, betapa besarnya peranan kita di dalam usaha menentukan masa depan tanah air tercinta. Tentulah, pilihan di tangan kita. Untuk itu, kita seharusnya bijak memilih pemimpin yang bersih, baik dari segi rekodnya dan pencapaiannya.




Kita seharusnya belajar dan mengambil pelajaran dari sejarah yang telah terlakar dahulu. Pemimpin yang korupsi, mengambil dan menggunakan dana awam sesuka hati, tanpa rasa bersalah, menyalah guna kuasa, semuanya ini pastinya kita tidak mahu dengar dan lihat lagi. Kita sangat mengimpikan negara yang stabil dan dapat menjamin keselamatan warganya. Oleh itu, apa yang boleh kita lakukan bagi mencapai impian tersebut adalah dengan kita bijak memilih, berikan mandat pada yang layak dan jangan sama sekali memilih mereka yang korupsi, tidak bersih dan sebagainya. Ketahuilah bahawa undian ketika di dunia adalah untuk dihitung ketika di negeri akhirat.

Seruan pada mereka yang mencintai tanah air ini, setiap undian yang dibuat pasti akan dipersoalkan di hari akhirat. Maka, lihatlah dengan mata nurani kita, apakah kita mahu menyaksikan negara ini dipacu oleh mereka yang kerjanya menipu rakyat, penuh korupsi dan sebagainya. Sudah tentu kita tidak mahu lagi melihat drama episod bersiri ini terjadi. Sedarlah kita bahawa tanggungjawab memilih pemimpin bukanlah semudah yang dilihat. Namun dengan pertolongan Nya, bantuilah pada mereka yang lebih memerlukan. Semoga Allah merahmati kita semua.

Sabtu, 24 September 2022

FAHAMAN AHBASH : GERAKAN RADIKAL PENTAKFIR UMAT

 

Kumpulan al-Ahbash adalah merujuk kepada kumpulan pelampau yang dinisbahkan kepada Abdullah al-Habasyi. Kumpulan ini pertama kalinya muncul di Lubnan pada ketika berlakunya pertempuran disebabkan oleh perang saudara bermula pada sekitar tahun 1975 hingga 1990. Pada ketika negara bergelut dengan krisis perang saudara, kumpulan Ahbash ini telah mengambil kesempatan ruang dan peluang yang ada tersebut menghidupkan metodologi ahli kalam, kesufian dan kebatinan dengan tujuan untuk merosakkan akidah dan memecahbelahkan masyarakat Islam.

Pengasasnya yang dikenali sebagai Abdullah al-Harari al-Habashi atau nama penuhnya Abdullah bin Muhammad al-Syaibi al-'Abari kelihatan telah menyimpang dan menyeleweng dari ajaran Islam sebenar setelah beliau melakukan baiah dengan tarekat al-Tijaniyyah dan tarekat al-Rifa'iyyah. Sikap beliau yang begitu melampau dilihat semakin hebat apabila pada tahun 1948, beliau bersama membantu Hakim Indraji di Habashah untuk menentang persatuan-persatuan Islam tahfiz al-Quran di bandar Harar. Peristiwa ini dikenali sebagai "Fitnah Bilad Kulub".




Kumpulan Ahbash ini telah membawa fahaman yang jelas menyeleweng dari mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah. Kumpulan ini telah banyak menyebarkan ajaran yang merosakkan akidah termasuk syirik, menyebarkan ideologi yang batil seperti membawa ideologi Jahmiyyah iaitu kumpulan yang menafikan sifat Allah, membawa ideologi Murjiah, Jabariah dan Syiah Rafidhah. Selain itu, mereka juga turut mencela para sahabat Nabi SAW dan menuduh Aisyah, isteri baginda Nabi melakukan maksiat dengan melanggar perintah Allah.

Bahkan, bukan itu sahaja. Kumpulan radikal ini juga suka mengkafirkan atau menyesatkan orang yang berbeza pandangan darinya. Sikap suka mengkafirkan orang ini adalah dilarang oleh baginda Nabi SAW. Dalam sebuah hadith riwayat Bukhari dan Muslim, sabda Nabi SAW yang bermaksud :

"Sesiapa yang memanggil orang lain dengan kafir atau musuh Allah, sedang dia tidak begitu, maka tuduhan itu kembali kepadanya (penuduh)".

Sikap mereka yang dengan bermudah-mudah mengkafirkan orang lain adalah suatu yang sangat melampau. Malah, dengan bersikap demikian akan mengundang perbalahan, kucar-kacir dan ketidak tenteraman masyarakat secara umumnya. Pantang sahaja ada yang berbeza pandangan dengannya, pasti akan dikafir dan disesatkannya. Dalam persoalan ini, Dr. Yusuf al-Qaradawi menerusi kitabnya Fatawa Muasarah, pernah berkata berkenaan kumpulan pelampau ini dengan katanya :

"Semenjak beberapa tahun yang lalu aku ada mendengar tentang satu jemaah yang zahir di Lebanon. Ia menimbulkan masalah kepada umat Islam di sana dengan pendapat-pendapat pelik, menyeleweng dan pandangan-pandangan yang berbahaya dalam isu akidah, feqah dan akhlak.. dan yang lebih dahsyat bahayanya apabila mereka mengkafirkan setiap orang yang berbeza dengan mereka dalam kalangan umat Islam hari ini atau yang terdahulu. Mereka mengkafirkan Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah, anak muridnya Imam Ibn Qayyim dan sesiapa yang mengikut dua orang tokoh ini..."




Antara pandangan dan fatwa mereka yang menyimpang jauh dari al-Quran dan Sunnah, dalam sebuah penulisan al-Harari sendiri yang bertajuk Izharul Aqidati al-Sunniyyah, beliau menyatakan bahawa al-Quran adalah lafaz Jibrail, bukan kalam Allah sepertimana yang dipegang oleh golongan Ahli Sunnah Wal Jamaah. Dalam soal definisi keimanan pula, mereka bersependapat dengan golongan Murjiah dan Jahmiyyah iaitu memisahkan antara iman dan amal. Bagi mereka, seseorang masih lagi dikira beriman walaupun meninggalkan solat dan juga rukun Islam lainnya. Dakwaan ini seperti yang boleh kita dapati dalam penulisan al-Harari sendiri bertajuk Bughyah al-Tolib dan al-Dalil al-Qawim. Dakwaan beliau dalam kitab tersebut adalah seperti berikut :

"Sesiapa yang tidak berhukum dengan syariat Allah dalam dirinya, tidak melaksanakan kefarduan ditetapkan Allah, tidak menjauhkan diri dari kemaksiatan, tetapi seumur hidupnya dia pernah mengucapkan La ilaha illallah walaupun sekali, dia seorang muslim lagi beriman".

Selain itu, golongan Ahbash juga sangat menggalakkan pengikutnya pergi ke kubur bagi tujuan memohon pertolongan dan meminta diperkenankan hajat mereka dari ahli kubur. Dakwaan mereka, ahli kubur keluar dari kubur menunaikan hajat si pemohon kemudian kembali ke kubur semula. Mereka turut membenarkan pengikutnya memohon perlindungan dari selain Allah dan mengambil berkat dari batu-batu. Hal ini boleh kita dalam kitabnya seperti diatas. Perkara sedemikian rupa ini sudah jelas terang lagi menyuluh bahawa kesesatan mereka bukan lagi satu rahsia.

Seperti yang kita maklum, golongan Ahabsh ini amat terkenal dengan sikap mengkafirkan orang termasuk para ulama muktabar seperti Imam az-Zahabi, Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab, Syeikh Nasiruddin al-Albani, Syeikh Sayyid Sabiq, Dr. Yusuf al-Qaradawi, Syeikh al-Bouti dan ramai lagi. Sebaliknya, mereka sangat memuliakan Ibn Arabi, seorang yang membawa fahaman wahdatul wujud dan hulul, yang padanya telah sepakat ulama menyatakan hukumnya kufur. Namun, al-Harari telah mengelarkan Ibn Arabi sebagai Syeikhul Islam.




Berdasarkan penjelasan diatas, golongan Ahbash dapat disimpulkan dengan beberapa ciri yang terdapat padanya. Antara lain, golongan ini bermazhab Murjiah dan Jahmiyyah dalam masalah iman, berpegang dan beramal dengan tarekat kesufian yang menyeleweng seperti tarekat Rifaiyyah dan Naqsyabandiah dan juga akidah ahli batiniyyah. Selain itu, mereka gemar mengkafirkan sesiapa sahaja yang berbeza pandangan dengan mereka dengan bermudah-mudah mengkafirkannya. Mereka juga seringkali mengelarkan al-Harari sebagai al-Allamah al-Muhaddis bertujuan mengaburi mata masyarakat dengan gelaran hebat. Selain itu juga, nereka gemar menyebarkan hadith palsu bagi menghalalkan pegangan palsu dan dusta mereka.

Melihat akan bahaya fahaman Ahbash ini, beberapa badan fatwa antarabangsa dan tokoh-tokoh Islam telah mengeluarkan fatwa serta pandangan mereka berkenaan fahaman Ahbash ini. Antaranya fatwa oleh Darul Ifta' Misriyah dengan menyatakan bahawa jika yang dinamakan dengan jemaah Ahbash melakukan seperti apa yang dinisbahkan kepada mereka di dalam soalan, maka mereka adalah satu jemaah yang sesat. Juga Majlis Fuqaha al-Syariah Amerika, menyatakan kesesatan mereka. Almarhum Syeikh al-Bouti juga yang dituduh oleh Ahbash sebagai kafir turut menyatakan kesesatan golongan ini. Semoga Allah melindungi kita semua dari fahaman radikal ini.

Khamis, 22 September 2022

TAREKAT & SEJARAH PENYELEWENGANNYA

 

Setiap dikalangan kita sebagai hamba Allah SWT, yang beriman kepada Nya, sudah tentu mempunyai jalan tersendiri untuk mendekatkan diri kita dengan Allah, Tuhan yang menciptakan kita. Ada dikalangan kita yang memilih jalan untuk berpuasa sunat, tanda bagi dirinya untuk dekat dengan Allah. Ada yang memilih jalan untuk berzikir, berwirid, dan pelbagai lagi jalan yang kita sendiri boleh tentukan untuk menuju kepada Allah. Walaupun tanpa perlu kita menjadi ahli kepada mana-mana kumpulan tarekat, kita sudah pun memiliki jalannya menuju kepada Allah.

Perkataan "tarekat" adalah berasal dari bahasa arab yang membawa maksud jalan. Sebahagiannya ada yang menyebut perjalanan menuju Allah, sama ada jalan itu disebutkan sebagai tariq atau tarekat. Dalam kitab Lisan al-Arab yang dikarang oleh Ibn Manzur, sebahagian ada yang menyebutkan tarekat kaum yang bermaksud yang terbaik dan terpilih dikalangan mereka. Dalam erti kata lain, tarekat adalah lebih kepada suatu perjalanan hati dalam menuju makrifatullah (mengenal Allah) dan mardhatillah (keredhaan Allah).




Selain itu, beberapa pandangan ulama lain dalam memberikan definisi berkenaan tarekat. Antaranya seperti al-Jurjani dalam kitab al-Takrifat, beliau menyatakan tarekat ialah perjalanan yang khusus oleh ahlinya dalam menuju kepada Allah dengan menghapuskan segala halangan dan menaiki kepada maqam. Imam al-Qusyairiah pula dalam kitab Syarh al-Risalah al-Qusyairiah, beliau menyatakan bahawa tarekat ialah jalan atau suluk syariah, iaitu beramal dengan segala tuntutannya. Imam al-Ghazali dalam kitabnya, Ihya' Ulum al-Din, telah merumuskan makna tarekat ialah jalan atau cara yang mendahulukan mujahadah, menghapuskan sifat mazmumah, memutus segala hubung kait dengan makhluk dan mengadap dengan penuh himmah kepada Allah.

Tujuan utama tarekat adalah untuk mensucikan hati, bersih dari segala hal kesyirikan, membesar dan mengagungkan Allah, selain mencari keredhaan Allah SWT. Dalam Islam, pelbagai istilah yang digunakan bagi menunjukkan maksud tersebut seperti tazkiyatun al-nafs, tasawuf, kesufian dan seumpamanya. Biar apa pun istilah yang seringkali kita gunakan, kesemuanya menuju ke arah yang sama, iaitu menuju kepada Allah SWT. Untuk menuju kepada Allah, memerlukan latihan dan melalui kumpulan tarekat inilah dijadikan tempat oleh sebahagian mereka yang menyertainya untuk membersihkan diri, menghiasi diri dengan akhlak yang mulia, berpegang teguh kepada syariat dan melazimi amalan-amalan khusus untuk diri mereka.

Pada asasnya, bertarekat tidaklah salah selagi mana bertarekat itu dengan tujuan yang benar iaitu bertujuan untuk mendekatkan diri kepada Allah dengan melazimi amalan soleh seperti berzikir, berwirid dan sebagainya adalah sangat dituntut. Bahkan inilah seruan agama untuk penganutnya sentiasa berusaha mencari jalan mendekatkan diri kepada Allah dengan mentaati segala perintah Nya. Firman Allah SWT dalam surah al Mukmin ayat 65 yang bermaksud :

"Dialah yang tetap hidup ; tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia ; maka sembahlah kamu akan Dia dengan mengikhlaskan amal agama kamu kepada Nya semata-mata. Segala puji tertentu bagi Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam"




Namun begitu, beberapa kumpulan tarekat yang diasaskan oleh individu tertentu, dengan ajaran tertentu yang jelas dan terang telah menyimpang jauh dari landasan agama sebenar, telah membuka banyak ruang dan peluang untuk berlakunya manipulasi dan penyelewengan diatas nama tarekat. Jika dahulunya, ahli tarekat seringkali dikenali dengan sifat mahmudah, sifat yang mulia lagi terpuji, keadaan pada hari ini sebahagian yang mendakwa dirinya bertarekat, tidak langsung menunjukkan ciri golongan yang melazimi zikir-zikir. Penuh kata-kata kesat di mulut mereka sedangkan mereka mendakwa mereka ahli tarekat yang sentiasa melazimi zikir. Guru-guru mereka diagungkan dan disucikan, kalam guru mereka bagai wahyu dan tiada siapa yang boleh pertikai. Hal ini sudah cukup melampaui batas agama.

Kebimbangan kita pada hari ini apabila berlakunya kelompok ajaran sesat yang rata-ratanya berpunca daripada penyelewengan ajaran tarekat itu sendiri. Sejak tahun 1970, beberapa kumpulan tarekat di Malaysia telah dikenalpasti sebagai menyeleweng dari ajaran Islam sebenar seperti Tarekat Naqsyabandiah Kadirun Yahya (1970), Tarekat Samaniah (1971), Ajaran Ratib Kuat Hasan Anak Rimau (1971), Tarekat Mufaridiah (1970) dan Tarekat Kabullani (1983). Berdasarkan penelitian yang dibuat, kemunculan tarekat-tarekat sesat ini adalah berpunca daripada beberapa faktor antaranya wujudnya orang-orang jahil yang mengaku dirinya sebagai pemimpin tarekat sehingga mendakwa dirinya syeikh mursyid.

Beberapa penyelewengan yang telah berlaku diatas nama tarekat adalah seperti dakwaan tergugur diri dengan tanggungjawab syariat. Hal ini kerana mereka yang menyeleweng ini mendakwa diri mereka sudah sampai kepada Tuhan. Maka disebabkan itu, segala tanggungjawab syariat seperti solat, puasa da zakat digugurkan. Selain itu, mereka yang tersesat ini juga seringkali mendakwa kewalian lebih baik daripada kenabian. Ini berdasarkan kisah Nabi Musa dan Nabi Khidir. Oleh itu, mereka beranggapan guru mereka sebagai wali, akan lebih ditaati berbanding ajaran Nabi Muhammad SAW. Bahkan lebih dahsyat lagi, mereka yang menyeleweng ini beriktikad bahawa Tuhan menempatkan jasad kepada diri mereka yang disebutkan juga sebagai hulul. Mereka mendakwa apabila Tuhan telah memasuki diri mereka, unsur kemanusiaan pada jasad akan lebur (fana') dan diganti dengan sifat ketuhanan. Inilah juga yang dikenali sebagai ajaran Wahdatul Wujud yang merosakkan akidah.




Seperti yang kita maklum, pihak JAKIM sejak tahun 1970 lagi, telah menfatwakan beberapa ajaran tarekat yang telah menyimpang jauh antaranya Tarekat Naqsyabandiyah Kadirun Yahya yang diasaskan oleh Prof. Dr. Haji Sidi Syeikh Kadirun Yahaya. Mereka mendakwa Allah menurunkan Nur Muhammad kepada salasilah Prof. Kadirun Yahya. Selain itu, Tarekat Mufarridiyah yang diasaskan oleh Syeikh Makmun Bin Yahya. Dakwaan mereka segala doa dan istighfar kepada Allah mestilah melalui malaikat bernama Karanaz. Orang yang bersahabat dengan malaikat ini ialah orang yang telah mencapai martabat jisim kelima dalam tarekatnya. Orang ini jisimnya adalah Allah fan rohnya adalah roh Allah. Ini merupakan sebahagian kumpulan tarekat yang telah tersasar jauh dari landasan agama sebenar.

Sesungguhnya kita harus faham bahawa tidak ada mana-mana pihak yang memusuhi tarekat sebagai suatu jalan untuk mendekatkan dirinya kepada Allah. Tetapi yang kita perangi dan musuhi ini adalah mereka yang berjalan diatas nama tarekat, mengajar dan beramal dengan ajaran songsang dan pelik, beriktikad dengan perkara yang bercanggah dengan perkara usul dalam agama dan segala hal yang bertentangan dengan syariat Nya. Inilah yang kita lawan dan tolak. Pada masa sama, kita tidak nafikan sebahagian kewujudan kumpulan tarekat yang benar-benar dapat mendidik jiwa selari dengan tuntutan syariat. Selagi apa yang dipegang itu adalah sama seperti yang dituntut dan disuruh oleh Allah, apa jua namanya, itulah yang lebih benar dan selamat. Semoga Allah mengampuni kita semua.

Isnin, 19 September 2022

TRANSGENDER ADALAH MUKHANNAS, BUKAN KHUNSA

 

Kita tidak dapat lari daripada berhadapan dengan ancaman kebejatan sosial yang semakin parah di kalangan masyarakat. Tanpa kita nafikan, gerakan diatas nama perjuangan hak asasi manusia kini sudah berani melepasi had batasan lunas agama sehingga sanggup menuntut bela golongan yang kecelaruan identiti yang juga kita namakan sebagai transgender. Perkataan "Transgender" adalah merujuk kepada individu yang bertindak, berfikir, mempunyai perasaan atau ketrampilan yang berbeza daripada jantina lahir atau biologi mereka. Bahasa moden sekarang ini mereka ini lebih dikenali sebagai pondan, maknyah bagi lelaki dan pengkid bagi perempuan.

Dalam hendak memahami soal transgender ini, persoalan besar yang harus diberi penekanan adalah apakah kaitan transgender, mukhannas dan khunsa ? Ini kerana sebahagian masyarakat telah tanggapan dengan beranggapan bahawa mukhannas dan khunsa itu adalah sama dan merupakan salah satu daripada kategori transgender. Tanggapan ini adalah tidak tepat dan harus diperbetulkan. Ini kerana daripada pemahaman yang salah ini akan mengundang pemahaman hukum-hakam yang salah dan bercanggah dengan syariat Islam. Sudah pasti terma-terma seperti transgender, mukhannas dan khunsa ini harus difahami secara tuntas agar kita tidak salah meletakkan kategori dalam soal transgender ini.




Perkataan "Mukhannas" adalah berasal dari bahasa arab. Ianya merujuk kepada mereka yang secara fizikal dan biologikalnya adalah lelaki dan memiliki satu alat kelamin iaitu zakar. Tetapi dirinya sendiri berkelakuan seperti perempuan atau memyerupai perempuan dalam tingkah laku, gerak-geri, suara dan gaya bicara. Mukhannas adalah sama sekali berbeza dengan golongan khunsa. Terdapat larangan dan tegahan untuk umat Islam bersifat mukhannas. Namun sebaliknya, Islam sama sekali tidak menghukum golongan khunsa, yang bukan sengaja memilih untuk memiliki dua kemaluan. Dalam sebuah hadith riwayat Bukhari, daripada Ibn Abbas ada berkata :

"Nabi SAW melaknat mukhannas (lelaki yang menyerupai perempuan) dan mutarajjilat (perempuan yang menyerupai lelaki)".

Golongan Mukhannas ini merupakan golongan transgender yang dilaknat oleh Nabi SAW sama ada lelaki menyerupai perempuan atau sebaliknya perempuan menyerupai lelaki. Dalam kitab Fathul Mun'im Syarh Sahih Muslim, Imam al-Tabari menyatakan bahawa larangan tersebut menunjukkan tidak harus lelaki untuk menyerupai perempuan dari pelbagai aspek seperti pakaian, perhiasan yang khusus untuk perempuan dan lain-lain. Begitu juga sebaliknya, dilarang bagi kaum perempuan menyerupai lelaki dari pelbagai aspek kelelakian.

Dalam kitab Umdah al-Qari, para ulama membahagikan golongan mukhannas ini kepada dua kategori. Pertama, golongan yang mempunyai ciri yang lahir semulajadi atau dalam istlah perubatan disebut "Effeminate". Golongan ini secara semulajadinya dilahirkan sebagai seorang lelaki tetapi mempunyai sifat seperti perempuan. Misalnya, sifat lemah-lembut, suka berhias dan sebagainya. Golongan ini seringkali dilabelkan sebagai lelaki lembut, mat bunga atau seumpamanya. Kelembutan mereka ini bukanlah pilihan dan tidak sengaja. Mereka tidak memaksudkan untuk menjadi seorang perempuan. Menurut Imam al-Nawawi, bagi golongan ini tiada kesalahan, dosa dan tidak perlu malu dengan apa yang dijadikan keatasnya selagi mana mereka tidak melakukan perbuatan haram misalnya terlibat dengan pelacuran dan sebagainya.




Keduanya, golongan yang berperwatakan perempuan bukan secara semulajadi, namun mereka ini mengada-adakan sifat keperempuanan tersebut dengan pilihan mereka sendiri. Dalam istilah perubatannya mereka ini disebut sebagai "Transgender". Ini bermakna, mereka sendiri secara tidak semulajadi bersifat keperempuanan, namun mereka ini berbuat-buat seperti seorang perempuan. Dalam bahasa yang lebih mudah, mereka ini dengan sengaja memilih untuk bertindak seperti keperempuanan walaupun pada asalnya tidak memiliki sifat-sifat yang demikian. Menurut Imam Ibnu Hajar al-Asqalani, mukhannas yang dimaksudkan dalam hadith tersebut adalah golongan yang kedua ini. Di mana mereka ini yang terdiri daripada golongan lelaki meniru perwatakan perempuan, termasuk cara pakaian, gaya percakapan wanita dengan sengaja dan berkecenderungan pada perlakuan seksual. Golongan inilah yang dikutuk dan dilaknat oleh Nabi SAW.

Daripada dua kategori mukhannas ini, dapat disimpulkan bahawa kategori pertama, mukhannas khalqi (secara semulajadi) tidaklah berdosa kerana dirinya bukan sengaja untuk bertindak menjadi berlainan jantina. Sebaliknya, mukhannas ghair khalqi (mengada-adakan) adalah berdosa kerana dengan sengaja dirinya mengada-adakan atau membuat dirinya bertindak berlainan jantina meskipun jelas jantina lahirnya. Maka, yang dimaksudkan dengan Nabi melaknat golongan mukhannas (lelaki menyerupai perempuan) dan mutarajjilat (perempuan menyerupai lelaki) tersebut adalah golongan yang sengaja memilih untuk bertindak seperti berlainan jantina lahirnya. Ada pun golongan yang tidak sengaja, selagi mana dirinya tidak melampaui batas sehingga berubah jantina, maka dirinya tidaklah berdosa dan tidak termasuk dalam golongan yang dilaknat oleh Nabi.




Ada pun khunsa, perkataan yang berasal dari bahasa arab merujuk kepada makna kelahiran kanak-kanak dengan mempunyai dua kemaluan. Dalam hal ini, khunsa dilihat pada dua keadaan. Pertamanya, khunsa musykil, iaitu kelahiran kanak-kanak yang didapati padanya dua kemaluan yang tidak diketahui kemaluan mana yang berfungsi. Ada pun keadaan yang kedua, khunsa tidak musykil, iaitu kelahiran kanak-kanak yang didapati padanya terdapat dua kemaluan yang dapat diketahui kemaluan mana yang berfungsi. Para ulama berbeza pandangan dalam soal aurat khunsa. Para ulama dalam mazhab Syafie, Hanafi dan juga Maliki berpandangan bahawa aurat khunsa sama seperti aurat perempuan. Manakala para ulama di dalam mazhab Hanbali pula berpandangan aurat khunsa sama seperti aurat lelaki.

Secara mudah, transgender adalah merujuk kepada golongan mukhannas. Manakala khunsa pula merujuk kepada mereka yang mempunyai dua kemaluan. Dalam dunia perubatan, khunsa disebut sebagai "Intersex" atau "Hermaphrodite". Khunsa bukanlah daripada maksud transgender. Memiliki dua kemaluan bukanlah suatu pilihan namun pemberian Tuhan tanda kebesaran Nya. Golongan khunsa seperti ini agama tidak menyuruh untuk kita memerangi. Seharusnya kita membantu mereka memberikan bantuan perubatan agar mereka boleh menentukan identiti gender berdasarkan syarak.

Oleh itu, Islam sangat memerangi golongan yang dengan sengaja memilih untuk menjadi transgender. Sebaliknya, bagi mereka yang semulajadi memiliki sifat kelembutan seperti keperempuanan, namun memilih untuk terus kekal sebagai lelaki adalah suatu yang terpuji. Kita seharusnya mulai sedar akan kebejatan sosial ini dan menolak sama sekali usaha menormalisasikan transgender, menentang usaha mengiktiraf mereka ini yang dilaknat oleh Nabi SAW. Semoga Allah merahmati dan memberkati kita semua.

Jumaat, 16 September 2022

ISLAMOFOBIA : PERANG PERSEPSI DAN SITUASI REALITI

 

Perkataan "Islamofobia" adalah merujuk kepada maksud suatu tindakan kebencian dan menimbulkan prasangka buruk terhadap sebarang bentuk yang dinamai diatas nama Islam. Sifat kebencian ini boleh berupa dengan pelbagai bentuk sama ada secara fizikal, dalam bentuk politik, dalam nilai kebudayaan, linguistik dan sebagainya. Menurut Pertubuhan Kerjasama Islam atau OIC, Islamofobia bermaksud satu ketakutan atau lebih tepatnya ketakutan yang melampau terhadap Islam termasuk apa sahaja yang terkait dengan agama Islam, termasuk masjid, kitab al-Quran, tudung dan sebagainya.

Secara asasnya, Islamofobia adalah suatu naratif yang dibawakan oleh pihak barat bagi menaburkan persepsi buruk dan salah faham kepada agama Islam. Tanpa kita sedari, labelan Islamofobia ini adalah bercanggah dengan nilai sejagat yang didokongi oleh masyarakat sivil dibawah nama hak asasi manusia. Ini bermaksud, melabel seorang muslim dengan labelan buruk kerana dirinya beragama Islam adalah bertentangan dengan Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat 1948. Ini kerana di dalam artikel dibawah deklarasi 1948 tersebut, dinyatakan bahawa setiap individu adalah sama rata, dan sebarang bentuk diskriminasi merupakan suatu pencabulan deklarasi. Bukankah melabel orang Islam dengan labelan tertentu bermaksud telah berlaku diskriminasi terhadap kepercayaan Islam ?




Juga sekiranya kita menyemak di dalam artikel 1 dibawah Deklarasi Kaherah Berkenaan Hak Asasi Manusia dalam Islam 1990, dinyatakan dengan jelas bahawa setiap manusia adalah sama rata dari sudut martabat asasi manusia serta kewajipan dan tanggungjawab asas, tanpa sebarang diskriminasi atas dasar bangsa, warna kulit, bahasa, jantina, kepercayaan agama, fahaman politik, status sosial, atau sebarang pertimbangan. Pernyataan seperti ini menunjukkan kepada kita bahawa mewujudkan labelan seperti Islamofobia adalah sesuatu bentuk pencabulan secara langsung terhadap apa yang telah disepakati dalam siri deklarasi hak asasi manusia. Namun perkara ini barangkali sengaja disenyapkan kerana labelan Islamofobia tersebut adalah antara senjata ampuh bagi pihak barat memburukkan imej Islam yang benar dan suci ini.

Dalam konteks Malaysia hari ini, meskipun negara kita telah mencapai usia 60 tahun lebih merdeka, namun cabaran umat Islam berdepan dengan isu Islamofobia ini sentiasa terbuka dan terdedah padanya. Usaha dakwah yang berterusan barangkali perlu lebih kreatif dan inovatif selari dengan peredaran zaman, dakwah bukan lagi sekadar berceramah di meja kuliah, namun sebaliknya harus turun ke padang bersama masyarakat bukan Islam menyantuni sambil berkongsikan intipati ajaran Islam sebenar. Malangnya, isu-isu Islamofobia ini juga kadang kala disumbang oleh perilaku orang Islam yang bertentangan dengan nilai ajaran Islam. Sebagai contoh, ucapan seorang Islam yang berbaur rasis perkauman, menghina warna kulit, menghina sembahan agama lain dan sebagainya. Keadaan ini lebih membimbangkan apabila perbuatan buruk tersebut dilakukan diatas nama dakwah, jihad dan selainnya.

Satu hal yang kita harus akui bahawa segala naratif buruk yang sengaja dicanang bagi mewujudkan salah faham dan persepsi negatif terhadap Islam harus segera direspon dan dipatahkan agar usaha-usaha jahat yang selepas ini tidak membarah dalam jiwa dan minda masyarakat. Masalah yang wujud pada hari ini adalah kerana diri kita sendiri yang masih gagal memainkan peranan sebenar sebagai seorang Islam. Kebanyakan umat Islam, lebih gemar menyibukkan diri dan bergelumang dengan berita gosip dan sensasi. Ini kerana baginya apa jua isu Islamofobia yang berlaku adalah sekadar retorik semata-mata. Walhal, dalam apa jua posisi kita, selagi kita bergelar seorang muslim, kita bertanggungjawab menangani isu ini dengan kebijaksanaan dan kemampuan masing-masing.




Tidak salah untuk kita katakan bahawa cetusan fenomena Islamofobia adalah bermula pada tanggal 11 September 2001. Pada tarikh tersebut, berlaku peristiwa keruntuhan menara Pusat Perdagangan Dunia di New York. Kejadian ini telah membuka ruang liputan media dengan menuduh serangan ini adalah daripada kumpulan militan pengganas Islam, al-Qaeda. Bermula pada saat dan ketika itu, berita-berita bernaratifkan barat akan mencanangkan Islam sebagai agama pengganas, militan dan sebagainya. Tujuannya tidak lain adalah untuk menimbulkan persepsi buruk terhadap Islam. Kini, serangan terhadap Islam bukan lagi sekadar tuduhan pengganas bahkan membabitkan pula soal Hak Asasi Manusia (HAM) yang sebahagiannya adalah boneka dan proksi barat semata-mata untuk melemahkan Islam dari dalam dan luar.

Realitinya hari ini, isu keganasan tidak lagi bertumpu kepada gerakan radikal Islam sahaja. Sejarah menunjukkan terdapat pelbagai kumpulan pengganas selain daripada yang beragama Islam, juga menjadi ancaman keselamatan global. Antaranya seperti kumpulan militan Liberation Tigers of Tamil Elam (LTTE) di Sri Lanka, gerakan Khalistani di India, pemberontak Ireland Utara, kumpulan pengganas 'Basque Separatists di Sepanyol dan lain-lain. Pelbagai gerakan pengganas ini tidak pula kedengaran labelan seperti Hindufobia, Kristianofobia dan lain-lain. Lebih malang, kumpulan-kumpulan militan seperti ini tidak pula mendapat liputan media yang meluas. Walhal, kumpulan ini juga dianggap berbahaya. Barangkali kerana mereka bukan Islam, maka tidaklah penting bagi pihak barat melaporkannya.

Umum telah mengetahui, Islam sejak dahulu lagi seringkali menjadi sasaran pihak barat untuk melemahkan Islam itu sendiri. Oleh itu, tidak hairanlah jika hari ini kita melihat Islam menjadi sasaran baik dari arah atas dan bawah, dari kiri dan kanan, segenap ruang dan peluang akan digunakan bagi melemahkan dan menghancurkan Islam. Sedarlah bahawa percaturan dan permainan jahat musuh Islam tidak akan berhenti bahkan setiap pelusuk akan mereka menfaatkan untuk memburukkan Islam. Untuk itu, usaha dakwah harus diperkemaskan, tidak lagi sekadar bergegar di meja-meja kuliah. Lakukanlah sesuatu yang membolehkan Islam itu terus dapat difahami dan dipelajari dengan betul. Kelemahan kita hari ini akan menjadi kekuatan bagi pihak musuh untuk menghancurkan Islam, agama yang benar lagi suci ini. Semoga Allah merahmati dan mengampuni kita semua.

Khamis, 15 September 2022

USTAZ NABIL AHMAD : ANAK JATI KEBANGGAAN PERLIS

 

Namanya Nabil Ahmad, tidaklah asing lagi bagi negeri Perlis. Beliau yang sering muncul di kaca televisyen dan dikenali sebagai Ustaz Nabil merupakan seorang anak jati Perlis. Beliau yang merupakan anak kepada pasangan Ustaz Ahmad Bin Jaya dan Ustazah Che Bi Binti Lebai Din dilahirkan pada tanggal 23 April 1980 di Kampung Behor Mali, Mukim Kayang, Perlis. Beliau merupakan anak kedua dari 5 orang adik-beradik. Mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Beseri tahun 1987, kemudian berpindah ke Sekolah Kebangsaan Padang Melangit pada tahun 1988, dan setelah itu beliau menamatkan pelajaran di peringkat sekolah rendah di Sekolah Kebangsaan Seri Tunjong pada tahun 1989 hingga 1992. Beliau yang kemudiannya menyambung pelajaran di peringkat menengah di Sekolah Menengah Agama Al Madrasah Al Alawiyah Ad Diniah, Arau pada tahun 1993 sehingga tamat Tingkatan 6 dengan mendapat kelulusan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) pada tahun 1999.

Dengan semangat dan cita-cita yang tinggi dalam bidang agama, pada tahun 1999, beliau telah meneruskan perjalanan menggali ilmu di Universiti Al Azhar, Kaherah Mesir. Berkat doa dan usaha beliau yang gigih mencari ilmu, beliau telah berjaya menamatkan pengajian di peringkat sarjana muda dengan memperolehi Ijazah Sarjana Muda Usuluddin (Hadith) pada tahun 2005. Pengembaraan beliau mencari ilmu tidak terhenti di situ. Tekadnya untuk menabur bakti kepada masyarakat dengan menyebarkan Islam terus diperkasakan lagi apabila beliau berpeluang untuk menyambung pengajian di peringkat sarjana di Universiti Kebanggsaan Malaysia (UKM) pada tahun 2018. Berkat kesabarannya dalam menuntut ilmu, beliau berjaya menamatkan pengajian dengan memiliki Sarjana Muda Pengajian Islam dari Universiti Kebangsaan Malaysia.




Beliau telah mendirikan rumahtangga dengan suri pilihan hatinya Puan Suzana Binti Mohamed Ali pada tanggal 9 Mac 2008. Hasil perkahwinan tersebut, mereka telah dikurniakan sepasang cahaya mata. Meskipun kesibukkan dan kepadatan jadual beliau bagi tujuan melaksanakan tugas hakiki dan berdakwah, keluarga nya tetap menjadi keutamaan baginya. Meskipun Perlis jauh di sana, kerinduannya pada bumi tercinta tidak pernah terpadam dan kerapkali pulang ke kampung apabila berkesempatan.

Sebut sahaja nama Ustaz Nabil Ahmad, suara dan wajahnya seringkali menghiasi di kaca televisyen dan stesen radio. Tanpa menyebut nama beliau pun, rancangan dan program keagamaan di televisyen seringkali menampilkan beliau seperti rancangan Forum Perdana Hal Ehwal Islam TV1, Tilawah Interaktif TV1, Laporan Haji Dari Tanah Suci TV Al-Hijrah dan pelbagai lagi rancangan keagamaan di pelbagai stesen TV lagi memilih beliau sebagai watak terpenting. Keserlahan nama Ustaz Nabil Ahmad tidak dapat disangkal lagi. Bakat yang terpendam sejak dibangku sekolah lagi, telah membuatkan beliau sangat aktif menyertai pertandingan-pertandingan di peringkat sekolah, negeri dan kebangsaan. Antara pertandingan yang seringkali beliau sertai adalah seperti pertandingan tilawah al Quran, pertandingan nasyid dan pertandingan syarahan. Maka tidak hairanlah beliau sangat dikenali dan disegani oleh ramai pihak.

Beliau yang sememangnya memiliki bakat yang pelbagai ini telah memulakan kerjayanya dalam dunia pengacaraan sejak tahun 2006. Keserlahannya kian menyerlah apabila pada tahun yang sama, beliau telah dilamar untuk menganggotai kumpulan nasyid terkenal iaitu kumpulan FarEast. Berkat minat yang mendalam dalam bidang seni nasyid serta memiliki bakat yang hebat dalam bidang nyanyian, membuatkan nama beliau terus mekar harum bersama kumpulan FarEast. Tidak sekadar mengisi kekosongan, beliau yang sememangnya memiliki kelunakkan suara yang istimewa, telah banyak menyumbang kepada membangunkan nama kumpulan nasyid FarEast sekaligus menghangatkan lagi industri nasyid di tanah air.




Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu. Beliau seterusnya berpeluang melebarkan sumbangan dan khidmatnya kepada agama dan negara apabila pada tahun 2009, beliau telah dilantik sebagai Pegawai Hal Ehwal Islam di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Beliau sehingga kini menjawat jawatan sebagai Penolong Pengarah Bahagian Media JAKIM. Personaliti beliau yang begitu peramah, cepat mesra dan tidak lokek untuk tersenyum kepada sesiapa sahaja telah membuatkan sesiapa sahaja terasa seperti telah lama berkawan. Itulah sifat keperibadian yang terzahir padanya hasil didikan Ustaz Ahmad Bin Jaya dan Ustazah Che Bi Binti Lebai Din. Berkat kegigihannya selaku seorang pegawai JAKIM, menumpah taat setia berkhidmat demi agama, bangsa dan negara, tahun 2013 telah menyaksikan beliau diberikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang JAKIM. Kejayaan ini adalah sesuatu yang manis bagi dirinya dan mengharumkan nama Perlis, negeri tercintanya.

Meskipun beliau begitu sibuk dengan tugasan hakiki, tempat tumpah darahnya sama sekali tidak pernah beliau lupakan. Selagi ada ruang dan kesempatan untuk beliau pulang ke Perlis, sudah pasti ada sahaja undangan dan jemputan ceramah, forum dan sebagainya di beberapa buah masjid dan surau di seluruh negeri Perlis. Bagai pucuk dicita ulam mendatang, semampu yang boleh, beliau pastinya mencuba memenuhi pelawaan tersebut sebaik sahaja berkesempatan pulang ke Perlis. Anak kedua pasangan Ustaz Ahmad Bin Jaya dan Ustazah Che Bi Binti Lebai Din ini tidak akan melepaskan peluang bertemu dan beramah mesra dengan warga Perlis sekiranya berpeluang untuk bertemu sua.

Kecintaannya terhadap negeri Perlis tidak dapat disangkal lagi. Beliau yang serba boleh sama sekali tidak kekok untuk turut membantu negeri Perlis menyumbang tenaga serta buah fikiran membantu sedaya yang mampu. Ini terbukti apabila pada tahun 2014, setelah diperkenan oleh Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Yang Dipertua MAIPs, beliau telah dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Wakaf Dan Zakat Negeri Perlis. Berikutnya, pada tahun 2018, beliau telah dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Pengurusan Kewangan Negeri Perlis. Pada tahun 2020, sekali lagi beliau diberi kepercayaan untuk membantu MAIPs dengan dilantik selaku Ahli Jawatankuasa Tebus Pusaka Negeri Perlis. Sehingga kini, beliau merupakan Ahli Jawatankuasa Wakaf, Tebus Pusaka dan Harta Mal Negeri Perlis.




Selain bergiat aktif menyumbang bakti pada negara dan negeri tercinta, beliau yang berkebolehan dalam bidang seni nasyid juga sering tampil dengan beberapa buah lagu yang berunsurkan dakwah. Bersama kumpulan nasyid FarEast, beliau bersama kumpulannya seringkali memenuhi jemputan dari dalam dan luar negeri Perlis. Kejayaan beliau bukan sahaja dalam bidang perkhidmatan awam, minat serta bakatnya yang serba boleh dalam bidang seni nasyid juga telah mengangkat nama dan kumpulannya, FarEast menerusi beberapa siri kejayaan anugerah yang dirangkul. Sejak tahun 2006, beliau bersama kumpulannya telah berjaya merangkul Anugerah Kumpulan Nasyid Baru Popular, Nasyid Minggu Ini oleh Rancangan Televisyen Malaysia (RTM) Kuala Lumpur. Kegiatan aktif kumpulan nasyid FarEast yang tidak sunyi sepi dari menerbitkan lagu-lagu nasyid terbaik terbukti akan kualiti lagunya apabila memperoleh dua anugerah Carta Nasyid IKIM pada tahun 2019 iaitu Anugerah Vokal Terbaik dan Anugerah Lirik Terbaik menerusi lagu Gugur Di Setiamu.

Berikutnya, tahun 2020 sekali lagi menyaksikan kecemerlangan kumpulan nasyid FarEast yang dibintangi oleh Ustaz Nabil Ahmad ini bersama gabungan beberapa rakan artis nasyid yang lain berjaya merangkul tempat kedua Anugerah Pencinta Nasyid IKIM (APNI) menerusi lagunya, Pelita. Kejayaan menjadi bertambah manis apabila FarEast terus mengorak langkah mencipta nama di persada industri seni nasyid apabila pada tahun 2021, menerusi lagu Safiyyah, hasil kolaborasi bersama kumpulan nasyid Darwish, mereka berjaya merangkul Anugerah Pencapaian Terbaik dan Lagu Terbaik Carta Nasyid IKIM. Demikian beberapa siri kejayaan Ustaz Nabil bersama kumpulan nasyidnya, FarEast. Kejituan beliau dalam bidang seni suara dan kesibukan beliau sebagai seorang penjawat awam, sama sekali tidak mematahkan semangat beliau untuk terus mendalami ilmu pengetahuan.

Dalam kesibukkan beliau berkhidmat dan menyuburkan industri nasyid tanah air, beliau telah mengambil kesempatan menyambung pelajaran ke peringkat sarjana dalam bidang pengajian Islam di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Kegigihan beliau menyambung pengajian dengan kesibukan memenuhi undangan dan jemputan pelbagai program, di samping tugas hakiki beliau sebagai seorang penjawat awam telah membuahkan hasil apabila pada tahun 2021, beliau telah berjaya menamatkan pengajian di peringkat sarjana dengan memperoleh Ijazah Sarjana Pengajian Islam dari UKM. Kejayaan beliau ini sekaligus membuktikan pada kita bahawa usaha menuntut ilmu adalah terletak pada kemahuan dan kesungguhan kita. Tidak ada istilah terlambat dan penamat dalam menuntut ilmu.




Oleh kerana itu, tidak hairanlah beliau yang merupakan pemegang tauliah mengajar agama di tiga buah negeri iaitu di Selangor, Wilayah Persekutuan dan Perlis, sangat berpengalaman luas dan seringkali menjadi pilihan ramai pihak untuk menawarkan pelbagai program dan aktiviti membabitkan beliau. Pengalaman beliau dalam bidang penyiaran tidak dapat disangkalkan lagi. Di pelbagai saluran televisyen, beliau dengan penuh komited seringkali menggalas tugas dan cabaran untuk mengemudi beberapa buah rancangan berimpak besar seperti pengacara rancangan Jemputan Umrah di Astro Oasis tahun 2008, rancangan Sahabat di TV9 tahun 2010, rancangan Tilawah Interaktif di TV1 sehingga kini, Laporan Haji Dari Tanah Suci di TV Al Hijrah tahun 2010, rancangan Assalamualaikum di TV Al Hijrah dan semestinya sehingga ke hari ini, rancangan Forum Perdana Hal Ehwal Islam di TV1. Beliau juga sangat bergiat aktif dalam bidang dakwah dengan penglibatan beliau menyampaikan ceramah motivasi di sekolah-sekolah rendah dan menengah, di institusi pengajian tinggi dari dalam dan luar negara, juga sering menjadi moderator forum anjuran IPT, kementerian dan jabatan. Sebagai rekod, beliau yang sentiasa berusaha menyampaikan dakwah untuk masyarakat khususnya melalui bidang seni suara, telah berjaya menerbitkan sebuah album berjudul Alunan Doa & Zikir Pagi dibawah penerbitan syarikat MAP Music.

Ketokohan beliau dalam pelbagai bidang turut diiktiraf oleh pelbagai pihak apabila seringkali dijemput sebagai juri nasyid, pidato, syarahan dan bercerita. Berkat pengalaman beliau sewaktu di alam persekolahan dahulu, seringkali berada di pentas-pentas pidato dan syarahan, juga turut aktif memasuki pertandingan nasyid sejak di bangku persekolahan lagi. Maka tidak terlampau untuk kita katakana bahawa inilah antara permata Perlis yang telah digilap mengharumkan nama negara dan negeri tercinta. Bukanlah sesuatu yang mudah sebenarnya bagi kita mengimbangi antara tugasan hakiki dan minat serta bakat kurniaan Allah. Namun, insan ini yang bernama Nabil Ahmad telah membuktikan pada kita bahawa segalanya tiada yang mustahil. Hasl usaha yang tidak pernah mengenal erti penat lelah, juga berkat doa ibubapa dan juga orang disekeliling kita, segalanya akan dipermudahkan oleh Allah SWT.

Alhamdulillah, mekar harum nama baik Ustaz Nabil Ahmad bukan sahaja mewakili JAKIM dan kumpulan nasyidnya semata-mata, bahkan telah membawa nama baik negeri Perlis di persada dunia. Jika dahulu, dalam bidang lawak, kita berbangga dengan almarhum PakYus yang banyak menghiburkan jiwa kita. Kini, satu lagi nama kebanggaan negeri Perlis yang harus kita akui bersama. Ketokohan dan sumbangan Ustaz Nabil, baik untuk negara mahupun untuk negeri tercinta, adalah sesuatu inspirasi kepada anak-anak Perlis untuk terus mengorak langkah mencatur arah, menanamkan misi dan visi serta memperkuatkan azam yang tinggi, untuk kita terus mencipta nama di persada dunia. Kejayaan beliau bukanlah sekadar untuk dijulang, namun untuk kita sama-sama meneladani dan mencontohinya agar kelak negeri Perlis menjadi sebuah negeri terulung dalam usaha melahirkan generasi anak watan yang cemrerlang, gemilang dan terbilang. Semoga dengan kisah ketokohan dan sumbangan beliau ini dapat menyuntik semangat para pembaca bagi terus mara mencipta kejayaan demi agama, bangsa dan negara.

Selasa, 13 September 2022

HIZBUT TAHRIR ; KHAWARIJ MODEN, ANCAMAN NEGARA

 

Hizbut Tahrir merupakan gabungan dari dua perkataan dalam bahasa Arab iaitu "Hizbut" yang bermaksud parti dan "Tahrir" bermaksud pembebasan. Gabungan dua perkataan ini membawa maksud Parti Pembebasan. Hizbut Tahrir merupakan sebuah gerakan radikal yang diasaskan oleh Syeikh Taqiyuddin al-Nabhani dengan membawa gagasan menubuhkan negara Islam (daulah khilafah) seperti pada zaman Nabi dan para sahabat. Dengan berteraskan tiga tahap iaitu, tahap pembinaan (Marhalah at-Tatsqif), tahap berinteraksi dengan umat (Marhalah Tafa'ul al-Ummah) dan tahap pengambil-alihan kekuasaan (Marhalah Istilaam al-Hukm). Tahap-tahap ini merupakan metodologi gerakan Hizbut Tahrir yang didakwa berdasarkan sirah Rasulullah SAW.

Sejarah awal kumpulan radikal ini telah ditubuhkan pada tahun 1953 di Baitul Maqdis, Palestin. Pengasasnya, Syeikh Taqiyuddin al-Nabhani, berasal dari Ijzim, Haifa, Palestin. Beliau merupakan seorang ulama alumni Al Azhar, Mesir dan pernah menjawat jawatan sebagai hakim di Mahkamah Syariah di Palestin. Gerakan ini telah memasuki Malaysia seawal hujung tahun 1990 dengan membawa slogan "Islam Kaffah dibawah Khilafah". Gerakan radikal ini menerapkan ideologinya dengan mengajak masyarakat menolak sistem demokrasi dan mana-mana sistem yang diamalkan oleh semua negara termasuk negara Islam sekarang. Dengan beberapa strategi yang diatur, gerakan ini berlindung dibawah nama dakwah pada mulanya.




Pada tahap awal (Marhalah at-Tatsqif), mereka akan membentuk kader-kader yang mempercayai pemikiran dan metod mereka dalam kerangka mengukuhkan parti ini. Pelbagai doktrin yang dibuat bagi menanam perasaan anti kerajaan dengan membuat ulasan isu semasa dan meletakkan labelan negatif dan persepsi buruk terhadap pemerintah. Doktrin seperti mengajak rakyat menolak sistem demokrasi, mendakwa sistem yang sedia ada pada hari ini merupakan sistem kufur yang wajib digulingkan dan selainnya adalah merupakan pintu kepada keganasan dan kekerasan jika tidak dibendung. Keadaan ini lebih membimbangkan sekiranya barah ketaksuban mulai menjalar dalam diri pendokongnya.

Pada tahap kedua (Marhalah Tafa'ul Ma'a al-Ummah) adalah suatu tahap menyedarkan masyarakat akan tanggungjawab memikul kewajiban berdakwah menegakkan daulah khilafah. Dalam keadaan ini, pelbagai kempen dilaksanakan oleh gerakan ini dengan pelbagai kaedah dan pendekatan dilaksanakan. Aktiviti seperti edaran risalah Sautun Nahdhah, street dakwah, konvoi bermotosikal dan sebagainya adalah dengan tujuan mendekati masyarakat dan menyampaikan kesedaran akan kepentingan bangkit dan menolak sistem kufur yang sedia ada pada hari ini. Keadaan ini secara tidak langsung akan menarik minat ramai masyarakat awam untuk mendekati dan menyertai gerakan radikal ini.

Tahap ketiga (Marhalah Istilaam al-Hukm) pula, adalah suatu tahap dimana pelaksanaannya untuk menerapkan Islam secara menyeluruh dan mengembangkan risalah Islam ke seluruh dunia. Pada mereka, tahap ini adalah harus bagi mereka meminta bantuan ketua negara, panglima tentera, pimpinan jemaah, ketua suku, duta besar dan seumpamanya. Bagi menubuhkan sebuah negara khilafah, mereka bercita-cita untuk mengambil alih pemerintahan dengan bersistemkan khilafah. Keadaan ini sudah tentu akan mencetuskan peperangan, pergolakan dan perbalahan politik. Secara tidak langsung, perkara ini bakal menimbulkan kekacauan dan kegusaran rakyat sekaligus menimbulkan fitnah pada Islam.




Melihat akan bahayanya gerakan radikal ini, beberapa buah negeri di Malaysia telah mengeluarkan fatwa sesat akan gerakan ini antaranya fatwa Wilayah Persekutuan tahun 2018, fatwa negeri Johor tahun 2019 , fatwa negeri Selangor tahun 2015, fatwa Negeri Sembilan tahun 2015 dan fatwa negeri Sabah tahun 2017. Kesemua fatwa yang dikeluarkan ini dapat dirumuskan sebagai tegahan dan larangan untuk umat Islam menyertai, mendokong mahupun menyokong gerakan radikal ini. Fatwa yang dikeluarkan ini juga menunjukkan betapa bahayanya gerakan radikal ini yang berlindung diatas nama dakwah islamiah.

Selain itu, kita boleh lihat beberapa pandangan tokoh besar sarjana Islam juga menolak ideologi songsang gerakan radikal ini. Antaranya Dr. Yusuf al-Qaradhawi. Dalam catatannya ketika menziarahi Bandar al-Khalili, Palestin, beliau menceritakan kisah suatu perdebatan yang terjadi antara beliau dengan pengikut Hizbut Tahrir. Mereka mendakwa mana-mana dakwah yang tidak berjaya selama 23 tahun merupakan dakwah yang salah dan perlu menukar caranya. Beliau menjawab dengan menegaskan dakwaan tersebut tidak benar kerana Nabi Nuh sendiri berdakwah selama 950 tahun dan tidak berjaya. Ini sesekali tidak bermaksud Nabi Nuh gagal dalam dakwahnya kerana hidayah milik Allah.

Antara lain, pandangan Dr. Husamuddin 'Afanah, seorang Profesor Usul Fiqh di Universiti al-Quds. Beliau menyatakan bahawa Hizbut Tahrir banyak mengemukakan pemikiran yang menyalahi nas-nas syarak. Antaranya pemikiran akidah mereka yang menyimpang daripada Ahli Sunnah Wal Jamaah dan cenderung kepada akidah Mu'tazilah. Ia seperti pandangan Hizbut Tahrir yang mengatakan akidah tidak sabit dengan hadith ahad, menyebabkan mereka menolak azab dan nikmat kubur. Gerakan ini juga banyak mengeluarkan fatwa yang bersifat syaz (ragu) seperti fatwa keharusan menonton filem seks, keharusan mencium wanita bukan mahram tanpa maksud berzina dan fatwa haram mengasaskan pertubuhan kebajikan dan lain-lain.

Kita seharusnya sedar akan bahayanya gerakan ini bertopengkan dakwah islamiah. Dalam diam-diam, gerakan radikal ini sentiasa berada di bawah pemantauan pihak PDRM bagi memastikan tidak berlaku sebarang kekecohan yang boleh menggugat kedaulatan negara. Beberapa siri penangkapan pemimpin Hizbut Tahrir Malaysia oleh pihak PDRM dilakukan bagi memastikan keamanan negara terus dapat dipelihara. Gerakan radikal ini sangat licik dan penuh retorik. Mereka sentiasa akan mendoktirn umat masyarakat untuk memusuhi kerajaan, menentang sistem demokrasi kufur dan sebagainya bagi memudahkan mereka menegakkan daulah khilafah dalam kerangka fikir songsang mereka. Awasilah anak isteri dan masyarakat komuniti kita umumnya agar tidak terjebak dengan gerakan radikal, sesat lagi menyesatkan ini. Semoga Allah mengampuni kita semua.

Rabu, 7 September 2022

DAKWAH INI UNTUK SIAPA ?

 

Keterbukaan dunia serba baharu hari ini telah memberikan ruang dan peluang untuk semua manusia yang beriman melakukan tugas berdakwah menyampaikan risalah Islam. Diatas pelbagai platform dan medium yang sedia ada, diatas pelbagai jenama gerakan dan pertubuhan yang dibina dan didirikan, semuanya mahu mencapai maksud dan matlamat yang sama iaitu menyampaikan risalah Islam yang suci ini. Hasilnya, telah bertebaranlah segala kebaikan dengan pelbagai penganjuran program, wacana, diskusi dan selainnya bagi menyampaikan dakwah.

Tambahan pula, keadaan ini turut disokong oleh sifat masyarakat pada hari ini yang sentiasa dahagakan ilmu dan pengetahuan, baik melalui pembacaan, mendengar dan menonton kuliah, ataupun hadir secara terus ke kelas-kelas pengajian yang diadakan. Fenomena sebegini amatlah positif bagi membina minda masyarakat yang berintelektual dan aktif dalam berfikir sambil mengamalkan intipati ajaran Islam sebenar. Adalah sesuatu yang baik sekiranya dakwah membawa risalah Islam ini dapat berkembang terus membumikan perjuangan Nabi membawa kebenaran dan menolak kebatilan.




Namun begitu, perkembangan baik arena dakwah pada hari ini tidak terlepas daripada isu fitnah, tipu daya dan penyelewengan diatas nama Islam. Keterbukaan dunia yang sangat meluas telah membuak-buakkan hati manusia untuk terus terjun ke dalam dunia dakwah dengan pelbagai tujuan dan matlamat yang bersifat peribadi. Tidaklah salah mencari rezeki dengan melakukan dakwah. Salahnya adalah apabila menunggang agama atas nama dakwah dan mengambil kesempatan mencari habuan peribadi. Sikap sebegini tidak patut berada di posisi sebagai pendakwah kerana tujuan dan matlamatnya telah beralih kepada memenuhi kehendak duniawi sahaja. Walhal, dakwah bukan sekadar untuk dunia bahkan untuk kehidupan akhirat jua.

Sebagai mengingatkan diri kita semua, lebih-lebih lagi pada mereka yang terjun ke medan dakwah sebenar, pada sangkaan ramai orang mungkin kita sedang dan telah berdakwah. Diatas sangkaan ramai orang melihat perwatakan kita yang dilihat alim, warak, saban hari memberi tazkirah di masjid dan surau, tidak kurang juga ada yang bercakap di laman media sosial, menulis tentang dakwah di pelbagai jenama akhbar dan majalah, diatas hal itu, ramai yang menyangka bahawa kita sudah dan telah berdakwah. Hakikat sebenarnya, diri kita dan Tuhan sahaja yang tahu. Menyampaikan dakwah tidak semudah bercakap dan menulis. Kerana setiap yang diperkatakan dan ditulis pasti akan dihitung pahala dan dosa.

Renungilah sebuah hadith riwayat Muslim, daripada Abu Hurairah RA, berkata bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud :

"Sesungguhnya orang pertama yang akan diputuskan pada hari kiamat kelak adalah seorang yang mati syahid. Maka dihadapkan kepada Allah dan diingatkan kepadanya nikmat-nikmat yang telah diberikan kepadanya, dan hal itu diakuinya. Kemudian ditanya oleh Allah, "Lalu apakah amalanmu dalam nikmat itu ? Jawabnya, "Aku telah berperang untuk Mu hingga mati syahid". Maka Allah berfirman : "Bohong kamu, tetapi kamu berperang untuk dikenal sebagai pahlawan yang gagah berani". Lalu diseret oleh malaikat dan diperintahkan untuk dilempar ke dalam neraka.

Yang kedua, dihadapkan kepada Allah adalah orang yang belajar ilmu agama dan mengajarkannya, serta pandai membaca al Quran. Maka diberitakan tentang nikmat-nikmat yang telah ia peroleh dan ia mengakuinya. Lalu ia ditanya : "Lalu, apakah amalanmu di dalamnya ?" Jawab orang itu : "Aku telah belajar ilmu untuk Mu dan mengajarkannya, serta membaca al Quran untuk Mu". Allah berfirman : "Engkau berbohong, tetapi engkau belajar ilmu agar mendapat gelaran alim, membaca al Quran agar mendapat gelaran qari, dan engkau sudah menikmatinya di dunia". Kemudian diperintahkan kepada malaikat untuk mencampakkannya ke dalam neraka.

Orang yang ketiga, dihadapkan kepada Allah adalah yang diluaskan rezekinya dan diberi oleh Allah berbagai kekayaan. Maka diberitakan kepadanya tentang nikmat-nikmat yang telah diberikan oleh Allah kepadanya, dan ia mengakuinya. Lalu ia ditanya : "Lantas, apakah amalanmu di dalamnya ?". Jawab orang itu : "Tiada satu jalan pun yang Engkau perintahkan mendermakan harta di dalamnya melainkan telah saya dermakan harta di dalamnya untuk Mu". Jawab Allah : "Engkau berbohong, tetapi engkau mendermakan harta itu agar disebut dermawab, dan telah dikenal sedemikian di dunia". Maka Allah kemudian memerintahkan malaikat Nya untuk melemparkan orang itu ke dalam neraka".




Hadith yang begitu panjang ini wajar dijadikan sebagai peringatan dan muhasabah kepada kita semua supaya kita tidak melupai tujuan asal kita untuk berdakwah lebih-lebih lagi dikhalayak umum. Oleh kerana kita yang bercakap ini juga manusia, tidak akan terlepas daripada godaan dan jarum halus syaitan bagi melencongkan niat dan tujuan kita dalam menyampaikan dakwah kepada masyarakat umum. Kepetahan berbicara di hadapan orang, kelincahan jari-jemari menulis tentang kebaikan dan segala macam hal lagi untuk tujuan berdakwah tidaklah dipandang oleh Allah sekiranya tidak dilakukan dengan keikhlasan kepada Nya.

Menjadi kebimbangan kita apabila wujud ramai para pendakwah ekspress, di pelbagai laman dan platform media, datang dan tumbuh bagaikan cendawan tetapi kosong dengan pengisian. Barangkali sekadar menarik anak muda dengan bercerita kisah silam, berkongsi tips dan petua yang tidak berasas, mencanang akan kehebatan sang gurunya, kadang-kala diatas meja ceramah sangat kering dengan ilmu pengetahuan, sekadar datang berjenaka dan memberi penonton gelak ketawa. Bukanlah salah untuk bergurau di dalam ceramah namun biarlah masa tersebut terisi dengan ilmu untuk memandaikan umat. Jika semudah dan serancak inilah dakwah, adakah ini benar-benar yang dikatakan dakwah jalan para kenabian ? Sebahagian besar para pendakwah hari ini tidaklah sesusah seperti para Nabi dan para sahabat terdahulu.

Satu hal yang pasti, berdakwah bukanlah untuk digemari oleh ramai orang. Apalagi untuk mendapat tempat dan nama di hati umat. Berdakwah menyebarkan kebenaran bukanlah untuk dijulang dan diangkat sebagai hero agama, jauh sama sekali berdakwah untuk mengaut kesenangan dunia. Kerana dakwah ini sifatnya membawa kebenaran dan menolak kebatilan. Hal itu bukan semudah bercakap dan menulis. Ia menuntut semangat juang yang tinggi, ilitzam yang kuat dan roh yang mantap. Disamping bersedia untuk mentarbiah, kita juga perlu bersedia untuk ditarbiah. Semoga Allah mengampuni dosa kita.