Seringkali
menjadi dilema bagi rakyat untuk memilih pemimpin bagi mewakili suara mereka.
Sebahagian masyarakat khususnya yang beragama Islam, ada yang beranggapan
haruslah memilih pemimpin dikalangan mereka yang kuat beragama, pandai membaca
al-Quran, rajin menziarahi orang sakit dan mampu menjadi imam dan mengajar di
masjid dan surau. Bagi mereka, ciri-ciri ini sudah melayakkan mereka di pilih
dan diutamakan berbanding calon lain yang dilihat seperti kurang kuat beragama.
Barangkali juga kerana penampilan yang tidak islamik seperti memakai lebai,
berjubah dan sebagainya lalu dihukum tidak kuat agama.
Sebahagian
yang lain pula merasakan kita mestilah memilih pemimpin yang berkemampuan
membawa perubahan dan kemajuan setanding dengan peredaran zaman. Pada mereka,
pemimpin yang banyak bercakap tetapi kurang bertindak adalah sampah yang harus
dibuang. Golongan seperti ini mendambakan perubahan baik dari sudut
sosio-ekonomi, pendidikan, dan sebagainya. Mereka tidak memilih wakil mereka
untuk sekadar datang bertanya khabar, mengajar di masjid dan surau, mengimami
solat jenazah dan sebagainya. Bagi mereka ini, wakil rakyat mempunyai fungsi
dan peranan yang lebih besar lagi iaitu dengan membawa kemajuan fizikal dan
rohani.
Dalam
soal memilih pemimpin, rata-rata rakyat sudah tahu dan bijak dalam menilai
prestasi dan komitmen pemimpin mereka yang telah dan pernah mewakili mereka
dari sebelum ini. Maka apabila tiba saat dan ketikanya, sekali lagi rakyat
diberikan semula mandat bagi memilih sesiapa yang diyakini boleh membawa
suara-suara mereka. Maka terlebih dahulu rakyat harus diingatkan agar tidak
memilih pemimpin yang diketahui akan keburukannya sekiranya individu tertentu
dipilih mewakili mereka. Allah SWT mengingatkan kita agar memilih pemimpin
mestilah berteraskan kepada dua ciri utama iaitu al-Quwwah dan al-Amanah.
Firman
Allah SWT dalam surah al-Qasas ayat 26 yang bermaksud :
"Sesungguhnya
orang yang paling baik yang kamu ambil untuk bekerja ialah yang kuat
(al-Quwwah) lagi amanah (al-Amanah)"
Menurut
Syaikhul Islam Ibn Taimiyyah dalam kitabnya al-Siyasah al-Syar'iyyah fi
Islah al-Ra'iy wa al-Ra'iyyah, al-Quwwah dinilai pada setiap kepimpinan
berdasarkan keadaannya. Ini bermakna, dalam soal memilih pemimpin politik,
al-Quwwah mesti diukur berdasarkan kemampuannya dalam pentadbiran, kemampanan
dalam soal pengurusan dan kebijaksanaan dalam membuat keputusan meskipun berada
di bawah tekanan. Setelah itu, al-Amanah pula mesti diukur kepada sifat taqwa,
takutkan Allah, tidak bermudah menunggang agama dengan menjual ayat-ayat Allah
dan tidak menakutkan manusia. Inilah ciri-ciri amanah yang telah disebutkan
oleh Allah SWT.
Firman
Nya dalam surah al-Maidah ayat 44 yang bermaksud :
"Kerana
itu janganlah kamu takutkan manusia (tetapi) takutlah Aku, jangan kamu membeli
ayat-ayat Ku dengan harga sedikit. Barangsiapa yang tidak menghukum dengan apa
yang diturunkan Allah maka mereka itulah orang-orang kafir".
Dilema
soal memilih pemimpin ini harus dilihat dengan kerangka yang lebih besar dan
luas selari dengan tuntutan al-Quran dan as-Sunnah. Islam menuntut kita untuk
melantik pemimpin dikalangan mereka yang berkemampuan dan beramanah.
Kebanyakkan masalah yang seringkali menjadi polimik dikalangan masyarakat
adalah dengan memfokuskan kepada satu-satunya ciri tanpa mengambil kiranya
keduanya sekali. Ini bermaksud, sebahagiannya ada yang memfokuskan soal
al-Quwwah, kemampuan mentadbir sehingga mengabaikan soal al-Amanah. Akibatnya,
berleluasalah gejala rasuah kerana tidak mempunyai sikap amanah. Soal agama
kurang diberi perhatian dan dibimbangi boleh membawa kepada suatu keadaan
dimana Islam terancam.
Sebaliknya,
ada yang hanya memfokuskan kepada ciri amanah, ketaqwaan kepada Allah
semata-mata. Asalkan pemimpin tersebut mampu menjadi imam solat, pandai
menyampaikan kuliah agama, rajin baca al-Quran, memadai bagi mereka. Tanpa
perlu berbicara soal kemajuan, tanpa perlu menyentuh isu-isu kemiskinan dan
kebejatan sosial, asalkan ada kematian, datang ziarah. Bijak buat tahlil, sudah
sempurna di mata sebahagian mereka yang berpandangan sedemikian. Akibatnya,
kemunduran rakyat terus menjadi barah. Soal kemiskinan, ketidaktentuan ekonomi,
masalah sosial, tidak mampu ditangani. Jika ini sahaja yang menjadi fokus pada
rakyat.
Berkemampuan
seperti yang dinyatakan, memerlukan kepada sikap intelektual yang tinggi,
kebijaksanaan dalam menentukan dasar-dasar utama dalam membentuk sebuah negara
yang sejahtera. Ianya juga termasuklah tidak mudah dipengaruhi, mempunyai
pendirian yang kukuh dan mampu berlaku adil pada semua rakyat. Beramanah pula
seperti yang diketahui, ciri ketaqwaan kepada Allah, ketaatan dan kepatuhannya
kepada Allah dapat menterjemahkan ketelusan dalam mentadbir. Tidak mengamalkan
rasuah, tidak menindas dan berlaku zalim pada pihak lain, bukanlah kerana takut
kepada manusia tetapi takutnya diri kepada Allah SWT.
Dalam
banyak hal, kita boleh lihat bagaimana baginda Nabi SAW tidak memberikan
jawatan kepada sahabat-sahabat yang tidak berkemampuan sekalipun sahabat itu
merupakan orang soleh, kuat beragama dan sebagainya. Dalam sebuah hadtih
riwayat Muslim, baginda Nabi telah bersabda kepada Abu Zar RA yang bermaksud :
"Wahai
Abu Zar, Sesungguhnya aku melihat engkau seorang yang lemah, sesungguhnya aku
suka untuk engkau apa aku suka untuk diriku. Maka jangan engkau menjadi ketua
keatas dua orang dan jangan engkau uruskan harta anak yatim".
Hadith
ini jelas menunjukkan bahawa Abu Zar seorang yang beriman dan kuat beragama
namun Abu Zar tidak berkemampuan untuk menjadi ketua. Secara tidak langsung,
kita dapat fahami bahawa untuk memilih pemimpin, tidak memadai sekadar kuat
beragama, mampu menjadi imam solat, mengepalai bacaan yasin dan tahlil, yang
sudah menjadi kebiasaan pemimpin Islam. Tidak cukup sekadar itu. Pada diri
mereka juga harus memiliki sifat kepemimpinan, berkemampuan membawa idea-idea
pembaharuan dan penambah baikkan lagi mutu kehidupan rakyat yang dipimpinnya.
Kita
juga dapat melihat ada dikalangan sahabat Nabi yang sangat hebat bacaan
al-Quran iaitu Ubai bin Ka'ab. Kelebihan Ubai bin Ka'ab ini telah diperakui dan
di iktiraf sendiri oleh baginda Nabi SAW. Namun beliau tidak dilantik dalam
pentadbiran politik. Pada zaman pemerintahan khalifah Umar al-Khattab, beliau
dilantik oleh Umar al-Khattab sebagai imam solat terawikh. Umar sangat
mengagumi bacaannya Ubai bin Ka'ab. Dalam Tabaqat Ibn Saad, terdapat satu
riwayat tentang Ubai bin Ka'ab bertanyakan kepada Umar al-Khattab yang
bermaksud :
"Mengapa
engkau tidak melantikku (sebagai anggota pentadbiran), jawab Umar : Aku tidak
suka dicemari agamamu".
Oleh
yang demikian, kita perlu bijak menilai antara kaca dan permata. Untuk memilih
pemimpin yang benar-benar akan membawa suara kita, dua ciri utama ini,
al-Quwwah dan al-Amanah perlu seimbang bagi memastikan lakaran kesejahteraan
hidup yang terjamin dan terbela. Kita juga seharusnya tidak mudah terpedaya
dengan penampilan pemimpin berjubah, berserban, yang dianggap islamik tetapi
malang tidak mempunyai idea dan gagasan yang boleh menambah baikk dalam
kehidupan rakyat. Kita harus berwaspada dengan mereka yang rancak mencanang
soal pembaharuan namun miskin ketelusan dan integriti.
Ingatlah,
kita melantik pemimpin bukan untuk sekadar datang dan beri hamper, datang dan
ziarah kematian, mengetuai solat dan bacaan tahlil dan seumpamanya lagi.
Kerja-kerja tersebut tanpa perlu jadi YB pun, memang sudah menjadi
tanggungjawab seorang muslim menziarahi, bersedekah dan lain-lain. Lebih besar
dan utama adalah kita memerlukan seorang pemimpin yang boleh merubah landskap
pemikiran masyarakat. Mampu membawa kemajuan dan merancakkan ekonomi rakyat.
Meningkatkan keupayaan rakyat menjadi rakyat yang terpimpin. Ini lah yang kita
dambakan. Bukan sekadar turun padang, mendengar masalah asnaf kemudian merujuk
ke baitulmal. Jika itu sahaja kerja YB, ramai lagi yang lebih layak menjadi YB.
Semoga Allah merahmati dan memberkati kita semua.