Sedarkah kita sejak akhir-akhir ini, kandungan di media sosial
seringkali memaparkan video-video yang memperlihatkan bahawa suami takut kepada
isteri. Juga seringkali dinormalisasikan perwatakan seorang isteri memarahi
suami, menjerkah, memekik, dan seumpamanya. Tidak kurang pula ada yang memuat
naik kandungan di media sosial memaparkan seolah-olah suami wajib meminta izn
terlebih dahulu kepada isteri untuk melakukan sebarang urusan. Walhal, keadaan
yang sebaliknya Islam menuntut si isteri perlu meminta izin suami terutamanya
dalam soal isteri mahu keluar rumah. Bertambah parah, apabila terdapat
segelintir para asatizah yang menyatakan bahawa tanggungjawab isteri hanya
melayani suami dan kerja-kerja rumah bukan tugas isteri.
Tanpa sedar, kandungan media sosial seperti yang demikian
barangkali dianggap hanya sebagai hiburan tetapi hakikatnya ianya adalah sebuah
serangan halus yang diperjuangkan sejak dahulu lagi oleh golongan yang membawa
ideologi feminisme. Menurut Cambridge Dictionaries, istilah "Feminisme"
dapat dilihat sebagai keyakinan bahawa kaum perempuan harus diberikan hak,
kekuasaan dan peluang yang sama dengan kaum lelaki dan diperlakukan dengan cara
yang sama. Selain itu, menurut Encyclopedia Britannica, feminisme adalah
keyakinan dalam kesetaraan sosial, ekonomi dan politik dari kedua jenis
kelamin. Secara ringkas, feminisme ialah satu ideologi pemikiran yang menuntut
persamaan hak untuk wanita. Ia adalah suatu teori sosial dan gerakan politik
yang mendokong persamaan hak tanpa mengira jantina dalam setiap aspek
kehidupan.
Gerakan ideologi feminisme ini bermula dari dunia Barat. Ianya
bertitik tolakkan kepada suatu bentuk pemikiran Plato tentang kesetaraan gender
di zaman Yunani Kuno. Hasilnya, sejumlah tokoh dan penulis seperti Christine de
Pizan, Margaret Cavendish dan Marry Wollostonecraft telah mengangkat isu-isu
kesetaraan perempuan pada tempoh masa yang tertentu. Perkembangan ideologi ini
terus aktif apabila pada tahun 1848, dalam Konvensyen Seneca Falls, suatu
deklarasi yang dinamakan sebagai Deklarasi Sentimen telah dikeluarkan oleh
tokoh aktivis hak wanita Amerika Syarikat, Elizabeth Cady Stanton dan Lucretia
Mott yang menyatakan sokongan untuk hak wanita. Semenjak itu, perjuangan hak
suara wanita mulai mendapat perhatian dunia terutamanya di Amerika Syarikat.
Ini seperti yang tercatat dalam sejarah, pada tahun 1920, suatu Amandemen yang
ke-19 telah memberikan hak bersuara kepada kaum perempuan di sana.
Gerakan Feminisme ini telah menghadapi beberapa fasa gelombang
berbeza mengikut tempoh zaman yang berubah. Fasa awal gerakan ini adalah
bertujuan mengiktiraf perempuan sebagai manusia yang punyai maruah dan bukannya
dilayan seperti kepunyaan harta. Pun begitu, gelombang awal ini hanyalah
menumpu kepada perempuan kulit putih sahaja. Memasuki sekitar tahun 1960-an
sehingga 1970-an, wujud pula gelombang kedua yang mula memperjuangkan soal
peranan kaum perempuan dalam sosio-masyarakat. Hasil gelombang kedua ini juga,
telah lahirlah mereka yang bersikap liberal dan radikal terhadap pengamalan
budaya setempat. Setelah itu, menjelang sekitar tahun 1990-an, gerakan ini
terus memainkan peranannya membangkitkan isu berkaitan identiti kewanitaan dan
isu-isu tentang seksualiti. Kini, gerakan ideologi ini nampaknya semakin kukuh
telah terus-menerus memainkan isu hak sama rata gender hingga mulai merobek
intipati ajaran syariat Islam.
Dalam konteks Malaysia, sejak tahun 1988, ideologi ini mula diserap
masuk menyerang pemikiran manusia melalui penubuhan badan bukan kerajaan (NGO)
seperti Sister in Islam (SIS), Women's Aid Organisation (WAO), Women's Centre
for Change (WCC) dan Association of Women Lawyers. Ini antara sebahagian medium
yang mengangkat nilai perjuangan feminisme khususnya di Malaysia. Tanpa perlu
berselindung, rangkaian gerakan ini juga telah menonjolkan beberapa figura
mereka yang sememangnya tidak asing lagi bagi rakyat Malaysia, antaranya Siti
Kassim, Zainah Anwar, Amina Wadud, Marina Mahathir dan lain-lain. Sememangnya
kewujudan figura-figura ini telah ditonjolkan apabila mereka antara yang
terkehadapan berwacan soal isu-isu keperempuanan. Untuk rekod, gerakan
feminisme khususnya di Malaysia telah banyak mewujudkan polimik dikalangan
rakyat Malaysia. Antaranya pada tahun 2019, sokongan mereka terhadap
perhimpunan LGBT, mereka juga telah mempersoalkan tentang kewajiban memakai
tudung, membangkitkan persoalan sistem Patriarki selain membangkitkan isu
Marital Rape (rogol dalam perkahwinan).
Hakikatnya, secara tidak sedar, kandungan di media sosial seperti
suami takut isteri, kempen beras kita beli dan persoalan tentang tugas isteri
hanya layan suami, ini semua merupakan akar intipati kepada golongan yang
membawa ideologi feminisme ini. Pertikaian soal "Patriarki" yang
dilihat menjadi budaya kehidupan ini mula mendapat tempat di hati kaum
perempuan yang mengajak agar isteri tidak perlu melakukan kerja rumah kerana
itu bukan tugas hakiki isteri. Isu-isu seperti ini ditambah pula dengan
kandungan di media sosial sudah menjadi perencah sebati untuk golongan
berideologi feminisme ini. Secara pastinya, gerakan ideologi ini membawa kempen
seperti ini bagi menunjukkan seolah-olah seperti Islam ini agama yang tidak
adil pada gender perempuan dan syariat Islam yang telah sempurna ini memerlukan
usaha reform (perubahan) selari dengan peredaran zaman. Ini seharusnya menjadi
kebimbangan kita kerana secara langsung ianya boleh meruntuhkan kerukunan
kehidupan kita.
Maka kita akan lihat kesan dan implikasi daripada perjuangan
feminisme ini jika tidak dikawal, ramai kaum perempuan semakin berani untuk
memekik, menjerkah, meninggi suara kepada suami, menyakiti hati suami dan semuanya
dihalalkan perbuatan tersebut diatas nama hak kebebasan. Rumahtangga akan
berkecamuk dengan perbalahan tentang siapa perlu buat itu dan ini sehingga
mengakibatkan penceraian dek kerana isu-isu remeh tersebut. Begitu juga
kesannya kepada maruah suami, suami akan menjadi dayus dengan mentaati isteri
tanpa berani menegur dan menasihati isterinya. Suami tidak akan lagi di hormati
dan akan kehilangan sifatnya sebagai seorang pemimpin. Walhal, syariat Islam
telah menuntut isteri untuk mentaati suami dan bukan sebaliknya. Malah, dalam
Islam juga, suami mempunyai kedudukan lebih tinggi sebagai ketua keluarga
berbanding isteri yang dituntut untuk mentaati suami dalam segala hal yang baik
di sisi syarak.
Sebahagian usaha dan perjuangan mereka ini bukanlah semuanya tidak
boleh diterima. Ada juga yang baiknya hasil perjuangan mereka seperti
memperjuangkan soal nafkah untuk isteri di mahkamah. Ini suatu yang harus
dipuji. Pun begitu, masyarakat perlu sedar dan bangkit daripada terperangkap
dalam muslihat ideologi ini. Ini bukan bermakna isteri tidak berhak bersuara
atau bukan bermaksud untuk menafikan hak istimewa para isteri. Seruan
terpenting untuk dekad ini ialah mengajak umat manusia kembali menjadikan syariat
Islam sebagai akar dalam kehidupan ini. Ini bermakna, untuk bercakap atau
berwacana tentang isu keperempuanan, maka rujuklah syariat Islam dengan
kefahaman yang benar tanpa perlu kita merujuk kepada cara fikir berkiblatkan
ideologi feminisme ini. Memadailah kita melihat permasalahan dunia ini dengan
neraca Islam yang sempurna dan dijamin oleh Allah SWT. Islam adalah agama yang
sejahtera, membebaskan para manusia dari kegelapan menuju ke pencerahan. Sangat
mustahil Allah yang menciptakan kita dengan tujuan menindas dan menzalimi hamba
Nya melainkan kita barangkali tidak benar-benar memahami intipati ajaran Islam.
Semoga Allah merahmati dan memberkati kita semua.