Ahad, 23 Februari 2025

KULTUS DALAM KEHIDUPAN MANUSIA

 

Seperkara yang sangat ajaib dalam hidup manusia ini ialah nilai kekaguman dan ketakjuban yang melampau sehingga mampu mengubah paradigma kewarasan akal menjadi pengikut setia yang bertaklid buta serta menerima bulat apa yang dikata oleh golongan yang dikagumi tersebut. Lebih dahsyat lagi apabila segelintir manusia yang terjebak dalam kancah kekaguman yang melampau ini sanggup melakukan apa sahaja termasuk menggadaikan harta, maruah dan juga sehingga tahap menggadaikan nyawa. Bak kata peribahasa menyebut umpama kayu buruk, buruk di panas dan reput di hujan. Ia bermaksud nasib malang yang tidak dapat dielakkan lagi.

Segalanya bermula dengan penyerapan budaya kultus dalam kehidupan. Apabila nilai ketakjuban mulai menguasai diri, malangnya nasib dikaburi oleh kata dusta yang dibaluti dengan nama agama lalu direntas segala harta, maruah dan nyawa diri. Sudahlah malang nasib ditipu tambahan hilang pula nilai diri sendiri. Ungkapan "Kultus" pada umumnya boleh difahami dengan maksud sesebuah kumpulan atau gerakan sosial dengan kepercayaan agama, kerohanian atau falsafah yang tersendiri, sering berkait dengan seseorang atau beberapa orang pemimpin yang dianggap mempunyai karismatik. Perkataan kultus juga boleh difahami dengan makna suatu organisasi atau kumpulan yang mengikat atau mendominasikan ahlinya melalui cara memanipulasikan psikologi dan strategi menindas dan menekan.




Selain itu, istilah kultus juga dilihat pada sudut sosiologi sebagai merujuk kepada sesebuah gerakan atau kumpulan yang datang sebagai alternatif yang inovatif atau radikal kepada amalan agama. Amalan atau budaya kultus ini biasanya diketuai oleh seorang pemimpin yang sangat berautokrat iaitu berkuasa mutlak dengan ahli dibawahnya akan memberi ketaatan yang mutlak kepadanya. Berdasarkan definisi yang dijelaskan ini, dapat kita simpulkan bahawa kultus merujuk kepada suatu amalan, nilai budaya dan tahap mentaliti yang menimbulkan ketaksuban yang melampau. Keadaan ini turut akan membuatkan para pengikutnya menolak sebarang naratif, bukti atau hujah selain dari apa yang dibawa oleh pemimpin yang didewakan oleh mereka sendiri. Sikap sebegini pada hakikatnya boleh berlaku dalam segenap kehidupan manusia merangkumi pelbagai bidang seperti keagamaan, politik, sosial dan budaya dan juga ekonomi. Kultus yang mampu menjadi barah kehidupan boleh mengheret manusia ke lembah kejumudan, ketaksuban dan taklid yang membabi buta.

Sejarah telah mencatatkan mentaliti bersifat kultus ini sebenarnya telah sekian lama wujud sejak berzaman lagi. Kultus yang biasanya dikaitkan dengan ajaran sesat telah menunjukkan ratusan bahkan puluhan ajaran agama baharu muncul bagaikan cendawan yang tumbuh selepas hujan. Kultus juga boleh terjadi dengan memanipulasikan emosi seperti apa yang telah terjadi kepada para peminat kumpulan K-pop. Dikalangan peminat mereka, ada yang sehingga sanggup berhabis jutaan ringgit demi mengikuti jejak langkah artis pujaan mereka. Kultus juga turut tercatat dalam dunia politik. Hal ini dapat dilihat dengan memahami kerangka dasar perjuangan Syiah yang terbina diatas niat dan tujuan berpolitik yang setelah itu dikuatkan lagi hasrat terssebut dengan membaluti diatas nama Islam. Dunia moden pada hari ini juga menunjukkan betapa hebatnya kultus politik di Amerika Syarikat dengan menjadikan Donald Trump sebagai ketua yang ditaati mutlak. Kesannya, pada awal tahun 2021, para pengikut setia Donald Trump telah menyerang Capitol Hill yang menempatkan Dewan Perwakilan dan Dewan Senat Ameirka respon ketidakpuasan hati mereka dengan kekalahan Donald Trump ketika pemilihan Presiden 2020.

Dalam sebuah buku edisi kedua yang disunting oleh James R. Lewis berjudul The Encyclopedia of Cults, Sects, And New Religions, menjelaskan bahawa kultus boleh difahami dengan lebih terperinci melalui tiga ciri utama. Pertama, tokoh atau individu perseorangan yang dikultuskan (didewakan) tanpa pembuktian yang kukuh. Ini menjadikan kebiasaan kultus berpusat pada seseorang atau beberapa orang tokoh lain yang dikultuskan. Ciri pertama ini juga dapat difahami dengan melihat para ahli dibawahnya tidak mempunyai hak untuk menentukan sesuatu perkara dan semuanya dikawal oleh tokoh yang dikultuskan tersebut. Tokoh yang mereka kagumi itu dianggap sebagai pemegang kebenaran dan tiada yang lebih tinggi dan benar kecuali dari tokoh yang disucikan tersebut. Kedua, kultus dapat difahami dengan melihat pengasingan sosial dan kawalan. Ini menunjukkan bahawa kultus atau tokoh yang didewakan itu seringkali mengawal ketat ahlinya termasuklah mengatur tingkah laku, pemikiran dan hubungan mereka.




Ciri kultus yang kedua ini dapat dilaksanakan dengan melakukan pengasingan fizikal dan memanipulasikan psikologi ahlinya. Selain kultus juga akan memupuk mentaliti tertentu yang bertujuan untuk mengukuhkan lagi ketaksuban, menanamkan lagi kesetiaan sekaligus hal tersebut menghalang ahlinya bersikap kritis dalam pemikiran. Secara tidak langsung, kultus dapat mengawal keseluruhan diri ahlinya termasuklah sikap, emosi, pemikiran dan maklumat yang sampai kepada pengetahuan ahlinya. Selain itu, ciri ketiga kultus ialah berlaku penyimpangan daripada norma kehidupan. Kebiasaannya, kehidupan ahli kultus berbeza atau tidak sama dengan norma kehidupan biasa masyarakat. Ini merangkumi soal kepercayaan dan amalan gaya hidup atau moral. Keadaan ini boleh mengundang kepada ketegangan dengan masyarakat umum selain boleh mengundang fitnah, manipulasi, eksploitasi dan seumpamanya.

Dalam sebuah rencana yang ditulis oleh Amy Morin, seorang pakar psikologi, bertajuk  What Is Cult ? 10 Warning Signs, beliau menyenaraikan sekurang-kurangnya empat kultus yang telah wujud sepanjang sejarah dunia. Antara lain sekitar tahun 1960an, munculnya yang dikenali sebagai Kultus Charles Manson. Beliau telah mengumpulkan orang-orang muda yang dianggap sebagai keluarganya sendiri. Beliau telah berjaya meyakinkan para pengikutnya mengenai ancaman peperangan etnik yang akan berlaku pada bila-bila masa. Kesannya, pada tahun 1969, beberapa pengikutnya telah membunuh lima orang termasuk yang menjadi korban mereka ialah seorang pelakon terkenal bernama Sharon Tate. Selain itu, pernah muncul juga sebuah kultus keagamaan iaitu Kultus David Koresh. Beliau yang bernama David Koresh telah mendakwa dirinya sebagai seorang nabi terakhir dan mampu berbual dengan Tuhan. Koresh telah berjaya meyakinkan pengikutnya tentang keadaan dunia yang sudah semakin hampir dengan kiamat. Pada satu ketika, Koresh bersama pengikutnya seramai lebih 100 orang keluar berhimpun di satu lapangan di Waco, Texas. Dalam tempoh itu, Koresh bertempur dengan pasukan FBI yang akhirnya memperlihatkan semua ahlinya termasuk Koresh membakar diri masing-masing demi mengelak daripada ditangkap oleh pasukan FBI.




Terkini pada 2 Februari 2025, sepertimana yang telah dilaporkan oleh pihak media, tular insiden di Oratorio dekat tenggara Guatemala City, tangkapan ahli para pengikut Kultus Lev Tahor, salah satu cabang daripada aliran ultra-Ortodoks Yahudi yang diasaskan oleh Shlomo Helbrans pada tahun 1980 di tanah haram Israel. Demikian sedikit-sebanyak perihal mengenai kultus yang boleh difahami secara mudah. Dalam catatan sejarah Islam juga, tidak kurang sunyi daripada kemunculan gerakan atau kumpulan kultus yang sangat mengagumi ketokohan seseorang atau beberapa orang lain yang dianggap padanya suci lagi benar. Islam melalui intiipati syariat Allah sangat menegah dan melarang penganutnya daripada bersikap kultus. Bahkan baginda Nabi SAW sendiri ada melarang umatnya daripada memuji dirinya melebihi kadar yang disyariatkan. Sesungguhnya kita haruslah menjalani kehidupan beragama ini dengan meniti jalan ilmu yang benar. Selain kita juga turut sentiasa berdoa kepada Allah agar diberikan hidayah serta taufiq dalam menjalani hidup ini. Semoga kita semua diampuni oleh Allah SWT.

Rabu, 19 Februari 2025

VALENTINE DAY : SEJARAH & HUKUM SAMBUTANNYA

 

Perasaan cinta, kasih dan sayang yang wujud melingkari dalam kehidupan manusia ini sememangnya menzahirkan sifat fitrah kemanusiaan yang bersifat sejagat. Hakikat yang harus kita akui, sifat berkasih sayang ini sebenarnya telah banyak membangunkan manusia dari mimpi, mengubah yang lemah menjadi gagah dan mencipta sejarah dengan penuh megah. Perasaan cinta yang mendalam mampu membuatkan manusia menjadi buta dalam menilai, pekak untuk mendengar dan bisu tidak tercakap. Akhirnya, apa juga yang dihalang, semuanya sanggup diredahi demi cinta yang di idam. Cinta dengan segala zatnya boleh mengundang banyak kebaikan. Pun begitu, cinta juga boleh menjemput seribu satu keburukan. Oleh kerana itu, Islam datang dengan syariat Nya yang meraikan fitrah ini agar manusia tidak hilang akal dan pedoman dalam memaknai makna sebuah percintaan.

Tanggal 14 Februari setiap tahun merupakan tarikh dan detik terpenting bagi sebahagian masyarakat dunia untuk menzahirkan rasa cinta kepada insan yang disayangi. Valentine Day atau dikenali sebagai Hari Kekasih, merupakan sambutan tahunan yang diraikan dengan tujuan mengekspresikan kecintaan yang mendalam. Namun demikian, dalam pada ramai masyarakat tenggelam dalam menghayati sambutan tersebut, padanya terdapat catatan sejarah yang berdarah sekaligus mengheret ramai manusia mengingati peristiwa tersebut dan kemudiannya berubah menjadi hari untuk saling mencintai. Perkataan "Valentine" merujuk kepada nama seorang tokoh paderi pada zaman Rom. Menurut sumber-sumber dari catatan Tamadun Rom, hari Valentine merupakan hari untuk meraikan Valentine atau disebut juga sebagai Valentinus dan kekasihnya yang dihukum bunuh pada tanggal 14 Februari 269 atau 270 masihi yang ketika itu berada di era pemerintahan Maharaja Claudius Gothicus.




Pun begitu, kisah ini antara salah satu riwayat pengkisahan yang terkandung dalam manuskrip Acta Sanctorum (kisah Santo-Santo). Kisah yang menukilkan mengenai pembunuhan kejam oleh kerajaan Rom keatas pasangan kekasih ini bukanlah suatu benda baharu kerana pada zaman tersebut, mereka yang menganut agama Kristian akan dianggap musuh oleh kerajaan Rom. Dalam pada itu, sekurang-kurangnya terdapat tiga riwayat lain lagi yang menceritakan tentang kisah Valentine ini. Antara lain ada juga riwayat yang mengisahkan tentang seorang panglima tentera Rom yang bernama Valentinus, telah terbunuh dalam pertempuran ketika kempen ketenteraan di Afrika. Turut terbunuh bersamanya adalah 24 orang askar lain. Namun begitu, pengkisahan ini tidak banyak dapat dijelaskan oleh kerana keterbatasan maklumat yang direkodkan oleh kumpulan Bollandist.

Dalam pada itu, terdapat juga riwayat lain menjelaskan bahawa satu kisah yang melibatkan seorang paderi Rom bernama Valentinus ditahan oleh kerajaan Rom hanya kerana paderi tersebut telah mengamalkan ajaran Nasrani semasa era Maharaja Gothicus. Semasa di dalam tempoh tahanan, paderi Valentinus diletakkan dibawah jagaan seorang bangsawan Rom yang bernama Asterius. Dalam tempoh tersebut, telah berlaku sesi pendebatan antara mereka berdua yang turut menyentuh persoalan mengenai bagaimana agama Nasrani mampu mengeluarkan orang-orang pagan daripada fasa kegelapan menuju kearah cahaya. Setelah itu, pendebatan tersebut diakhiri dengan tawaran oleh Asterius kepada Valentinus selepas beliau tertarik dengan hujah si paderi tersebut, dengan menawarkan Valentinus jika dapat menyembuhkan anak perempuannya yang buta, maka Asterius akan memeluk agama Nasrani. Akhirnya, anak perempuan Asterius telah disembuhkan oleh Valentinus dan anaknya dapat melihat semula. Maka Asterius dan sekeluarga pun memeluk agama Nasrani.

Kisah ini telah sampai kepada pengetahuan Maharaja Gothius lalu baginda murka dengan apa yang terjadi. Lalu mereka semua di hukum bunuh mati. Kematian tersebut telah membuatkan ramai orang mengenangnya. Selain itu, dalam riwayat lain, kisah yang hampir mirip telah dicatatkan berlaku di Umbria, Itali. Kisahnya mengenai seorang bishop yang bernama Valentinus dihukum bunuh setelah dapat menyembuhkan seorang putera anak bangsawan yang akhirnya menyebabkan sekeluarga bangsawan tersebut memeluk agama Nasrani. Kejadian ini telah mendapat murka lalu mereka semua dihukum bunuh. Valentinus telah dipenggal dan disemadikan di Via Flaminia. Selain itu, sebahagian ada yang mendakwa perayaan atau sambutan Valentine Day ini merupakan samaran kepada perayaan yang dikenali sebagai Lupercalia. Perayaan Lupercalia adalah perayaan yang disambut oleh masyarakat pagan Rom.




Lupercalia disambut oleh masyarakat pagan Rom pada pertengahan Februari. Asal perayaan tersebut ialah ritual sebuah kultus maskulin dengan melakukan ritual mengorbankan anjing dan kambing sebelum ritual tersebut bertukar menjadi sambutan keraian. Pada hari perayaan tersebut, golongan muda akan berlari ke jalanan sambil meraba dan memukul sesiapa sahaja dengan menggunakan tali kulit yang diperbuat daripada kulit kambing yang telah dikorbankan. Para wanita yang mengandung pula menganggap perayaan Lupercalia ini sebagai hari terbaik mereka untuk mendapatkan bayi yang sihat. Demikian perkaitan yang di dakwah. Pun begitu, dakwaan untuk menyamakan perayaan Lupercalia yang menjadi asal-usul kepada sambutan Valentine Day moden pada hari ini telah disanggah oleh para sejarawan yang mengkajinya. Bagi mereka, teori tersebut tidak berasas sama sekali.

Setelah kita menelusuri akan sejarah tersebut, kita dapati bahawa kisah yang membabitkan nama Valentinus ini bukanlah sebuah kisah romantik malah ianya merupakan kisah sejarah berdarah. Sehingga kini, apa yang jelas ialah individu yang bertanggungjawab menamakan Valentine Day sebagai hari percintaan adalah seorang tokoh penyajak Inggeris zaman pertengahan bernama Geoffrey Chaucer. Dalam karya puisinya yang berjudul Parlement of Fouls, beliau mengisytiharkan pesta St Valentinus sebagai hari di mana burung mengawan menghasilkan telur. Bermula dari sejak itu, menjadi tradisi yang dimulakan oleh bangsawan Eropah mengisytiharkan cinta pada hari berkenaan. Maka setelah itu, orang Inggeris telah mula menerima idea oleh Chaucer ini dengan mengekspresikan cinta mereka kepada pasangan kekasih pada setiap kali tarikh 14 Februari. Maka berdasarkan apa yang telah dijelaskan ini, dapat kita fahami bahwa ianya adalah perayaan bagi orang bukan Islam yang diasaskan oleh Barat.




Islam sangat melarang umatnya daripada melakukan sebarang perkara buruk yang tentunya bercanggah dengan kehendak syariat Allah. Pada hari kekasih biasanya disambut oleh pasangan yang belum berkahwin dengan melakukan perkara yang ditegah oleh Islam termasuklah melakukan hubungan seks. Sekalipun tidak melakukan hubungan seks, keluar berdua-duaan, berpegang tangan dengan bukan mahram dan lain-lain lagi adalah perbuatan yang biasa dilakukan sempena hari tersebut dan hal ini jelas bertentangan dengan Islam. Bahkan kepada pasangan yang berkahwin sekalipun, tidak ada kepentingan dan tujuan yang jelas untuk menyambutnya kerana sesama suami isteri boleh menzahirkan perasaan cintanya setiap hari, detik dan ketikanya tanpa perlu menunggu hari tersebut. Kita perlu ingat akan pesanan Nabi SAW dalam sebuah hadith riwayat Muslim, daripada Abu Said al-Khudri RA katanya Nabi SAW bersabda yang bermaksud :

"Kamu semua akan mengikut jejak langkah umat-umat sebelum kamu sejengkal demi sejengkal sehasta demi sehasta sehingga kalau mereka masuk ke lubang biawak sekali kamu tetap akan mengikut mereka. Kami bertanya adakah mereka itu Yahudi dan Nasrani? Sabda Nabi SAW: Siapa lagi kalau bukan mereka?"

Sambutan Valentine Day yang diasaskan oleh Barat secara tidak langsung cuba menormalisasikan budaya hubungan seks luar nikah diatas alasan bukti percintaan. Walhal perkara tersebut haram di sisi agama Islam. Oleh itu, sambutan Valentine Day dihukum sebagai haram untuk orang Islam meraikannya dan hal tersebut seperti meniru gaya hidup buruk yang dibawa oleh dunia Barat. Dalam konteks Malaysia, keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam kali ke-71 yang telah bersidang pada 22-24 November 2005 berpandangan bahawa Islam amat mengutamakan kasih sayang dan tidak ada hari tertentu di dalam Islam bagi meraikannya. Oleh itu Muzakarah bersetuju dengan menyatakan bahawa sambutan Valentine Day atau Hari Kekasih bukan dari amalan dan ajaran Islam. Maka kita semua bagi umat Islam haruslah mengelak dari terlibat meraikannya. Semoga Allah mengampuni kita semua.

Jumaat, 14 Februari 2025

BUNUH DIRI : ANTARA HAK ALLAH DAN MANUSIA

 

Kekusutan hidup selain tekanan yang datang dari pelbagai faktor antara yang menjadikan manusia sudah mulai hilang pertimbangan. Malah lebih dahsyat lagi apabila ada yang sedang berkira-kira untuk menamatkan hidupnya dengan tangan sendiri dan berharap dirinya tidak lagi merasai keperitan hidup. Persoalan yang sering berlegar di dalam minda kita ialah apakah nyawa yang sedang kita nikmati ini adalah milik peribadi yang tiada sesiapa boleh mencampurinya. Ini bermakna apabila seseorang itu berkecenderungan untuk membunuh diri, apakah manusia lain tidak boleh bersikap campur tangan dengan menghalang tindakan tidak bermoral tersebut dari terjadi diatas alasan nyawa adalah milik peribadi dan hak individu ?

Perkataan "Bunuh Diri" menurut Kamus Dewan, ia difahami sebagai perbuatan mengambil nyawa sendiri dengan sengaja. Seorang tokoh sosiologi, Emile Durkheim, dalam karyanya berjudul Suicide - A Study in Sociology, menyebutkan bahawa bunuh diri didefinisikan sebagai satu perbuatan yang membawa kepada kematian sama ada secara langsung mahupun tidak langsung daripada sesuatu tindakan positif mahupun negatif yang dilakukan oleh mangsa di mana beliau tahu bahawa tindakannya itu boleh membawa kepada kematian. Selain itu, dalam buku berjudul Comprehensive Textbook of Suicidology karangan oleh Ronald W. Maris, Alan L. Berman dan Morton M. Silverman, tingkah laku bunuh diri didefinisikan sebagai semua tingkah laku yang dilakukan untuk mencari penyelesaian atas sesuatu masalah dalam kehidupan. Berdasarkan beberapa definisi yang telah dikemukakan, dapat kita rumuskan bahawa bunuh diri adalah satu perbuatan tidak bermoral yang mendatangkan musibah kepada diri sendiri.




Sesungguhnya nyawa yang dimiliki oleh setiap manusia bukanlah milik dan hak peribadi yang bersifat mutlak. Ianya adalah hak milik kekal oleh Allah SWT sebagai Tuhan yang menciptakan makhluk Nya. Hal ini bertepatan dengan firman Allah SWT di dalam al-Quran menerusi surah al-An'am ayat 102 yang bermaksud :

“Tuhan yang bersifat demikian itu ialah Allah Tuhan kamu semua. Tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Dia, Pencipta segala sesuatu. Justeru, sembahlah Dia dan Dia ialah Pentadbir segala sesuatu.”

Berdasarkan ayat tersebut, Imam al-Tabari di dalam kitabnya, Jami' al-Bayan, beliau menafsirkan bahawa Allah SWT yang memelihara dan memerhati atas segala sesuatu yang Dia cipta, Dia yang akan memberikan kepada semua ciptaannya sumber rezeki dan keperluan. Dia yang memimpin mereka, mengaturkan dan menguruskan segala sesuatu dengan kekuasaan Nya. Demikian tafsiran oleh Imam al-Tabari. Selain itu, Allah SWT menegaskan bahawa sesungguhnya manusia itu adalah milik Allah yang datang dan akan kembali jua kepada Nya. Ini sepertimana firman Nya dalam surah al-Baqarah ayat 156 yang bermaksud :

“Orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: ‘Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali’.”

Syeikh Abdul Rahman al-Sa'di di dalam kitabnya, Tafsir al-Karim al-Rahman, beliau menyebutkan bahawa sesungguhnya kita adalah kepunyaan Allah yang diatur dibawah perintah Nya serta aturan Nya. Maka kita tidak mempunyai hak langsung atas diri serta harta kita. Apabila kita diuji dengan sesuatu berkenaan perkara tersebut, sesungguhnya itu semua atas ketentuan Tuhan Yang Maha Mengasihani buat sesiapa sahaja yang bersifat kasih, dengan pemilikan Nya atas segala harta hamba-hamba. Demikian apa yang telah disebutkan oleh al-Sa'di. Melalui apa yang telah diperkatakan, jelas lah kepada kita bahawa setiap sesuatu diatas muka bumi ini tidak ada yang bersifat milik kekal manusia termasuklah soal nyawa. Oleh itu, nyawa bukanlah hak milik individu atau peribadi. Ianya hak milik Allah Azza Wa Jalla. Dengan itu, kita sendiri sebagai manusia yang dipinjamkan nyawa oleh Nya tidak ada hak untuk membunuh diri.




Dalam agama Islam, perbuatan membunuh diri adalah haram dan sangat dilarang keras oleh Allah dan Rasul Nya. Hal ini sebagaimana yang ditegaskan oleh Allah SWT di dalam al-Quran menerusi surah al-Baqarah ayat 195, firman Allah SWT yang bermaksud :

"Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan".

Begitu juga di dalam ayat lain menerusi surah al-Isra' ayat 33, firman Allah SWT yang bermaksud :

"Dan janganlah kamu membunuh diri seseorang manusia yang diharamkan oleh Allah membunuhnya kecuali dengan alasan yang benar. Dan sesiapa yang dibunuh secara zalim, maka sesungguhnya Kami telah menjadikan warisannya berkuasa menuntut balas. Dalam pada itu, janganlah ia melampau dalam menuntut balas bunuh itu, kerana sesungguhnya ia adalah mendapat sepenuh-penuh pertolongan (menurut hukum Syarak)".

Selain itu, terdapat banyak hadith Nabi SAW yang melarang dan menegah daripada melakukan perbuatan tidak bermoral ini. Sebagai contoh dalam sebuah hadith riwayat Bukhari dan Muslim, daripada Thabit bin al-Dahhak RA, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

“Barangsiapa yang membunuh dirinya dengan sesuatu di dunia, (maka) dia akan diseksa dengannya (dengan sesuatu itu) pada hari kiamat.”

Perbuatan membunuh diri bukanlah suatu perkara baharu tetapi telah terjadi sejak pada umat zaman dahulu lagi. Hal ini sepertimana yang telah diceritakan oleh baginda Nabi Muhammad SAW dalam sebuah hadith riwayat Bukhari dan Muslim, daripada Jundub bin Junadah RA, sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :

“Dalam kalangan umat sebelum kamu, terdapat seorang lelaki yang menderita kecederaan (bernanah), dia berasa takut (dan tidak sabar atas penderitaan) lalu dia mengambil pisau dan memotong tangannya menggunakan pisau tersebut. Darah tidak berhenti mengalir sehingga (menyebabkan) dia meninggal dunia. Allah SWT berfirman: ‘Hamba-Ku telah bersegera kepada-Ku dengan dirinya sendiri, maka Aku mengharamkan syurga ke atas dirinya’.”




Imam Ibnu Hajar al-Asqalani dalam kitabnya, Fath al-Bari, menyebutkan bahawa pengharaman syurga ke atas orang yang bunuh diri ini sebagai balasan, kerana dia menyegerakan ajalnya dengan melakukan perkara yang boleh menyebabkan kematian. Dia ibarat menjadikan perbuatan maksiat terhadap Allah SWT itu sebagai suatu pilihan, maka dia layak dihukum. Hadith ini juga menunjukkan tindakan orang tersebut menoreh tangannya kerana ingin mati, bukan kerana ingin menyembuhkan seksaannya yang disangka suatu pilihan yang bermanfaat. Demikianlah ungkapan oleh Imam Ibnu Hajar al-Asqalani. Selain itu, terdapat hadith lain yang menceritakan tentang ancaman dan azab seksaan untuk mereka yang membunuh diri. Antara lain hadith riwayat Bukhari dan Muslim, daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

“Sesiapa yang terjun dari gunung, lalu meninggal dunia maka dia di neraka Jahanam dan kekal di dalamnya selamanya. Siapa yang meminum racun, lalu meninggal dunia, maka racunnya akan berada di tangannya sambil dia meminumnya di neraka Jahanam buat selamanya. Barangsiapa yang membunuh dirinya menggunakan besi, maka besi itu akan dia gunakan untuk menusuk perutnya di neraka Jahanam buat selamanya.”

Demikianlah sebahagian daripada penjelasan mengenai perbuatan membunuh diri. Berdasarkan apa yang telah dinukilkan, maka dapat kita fahami hakikat yang sebenarnya bahawa nyawa adalah milik Allah yang telah dipertanggungjawabkan kepada makhluk Nya. Kita yang diciptakan oleh Nya sebagai makhluk, tiada hak langsung untuk membunuh diri bahkan nyawa yang diberikan ini merupakan amanah besar untuk kita menjaganya. Biar apa pun kekangan masalah dan tekanan hidup yang kita hadapi, membunuh diri bukanlah pilihan terbaik bagi kita. Barangkali kita menyangka bahawa apabila telah membunuh diri, maka selesailah tekanan hidup. Pun begitu, janganlah kita lupa bahawa pada hari dimana manusia akan dihimpunkan kelak, kita akan dipersoalkan oleh Allah dengan apa yang telah kita kerjakan. Semoga Allah merahmati kita semua.

Rabu, 12 Februari 2025

PENGGUNAAN VAPE DAN MASA DEPAN ANAK MUDA

 

Dalam fasa kehidupan manusia, yang bermula dari usia bayi hingga menjadi orang tua, fasa pada usia remaja merupakan kemuncak kepada kehidupan ini. Tatkala di usia remaja, tenaga dan kudrat menjadi lebih kuat dan hebat. Pemikiran pula sentiasa ligat berfikir sambil mengutarakan pelbagai idea dan solusi, selain semangat waja, berani bersuara dan bermacam lagi kehebatan di ketika usia remaja sangat diingati oleh mereka yang telah melaluinya. Pada usia remaja belia ini, sifat ingin tahu yang mendalam dan mahu mencuba benda baharu telah mendorong generasi ini untuk tidak takut melakukan apa-apa sahaja. Pada sudut lain, sifat berani seperti ini ada nilai positifnya namun pada satu sudut yang lain pula, sifat tersebut mampu mendedahkan generasi ini kepada kerosakan masa depan.

Vape atau dikenali sebagai rokok elektronik (e-cigarette), bagaikan sudah menjadi rukun kehidupan bagi generasi anak muda. Gejala menghisap vape dikalangan anak muda sudah dilihat sebagai sesuatu yang normal. Malah ada pula yang menganggap tidak "gentlemen" atau tidak "macho" jika tidak menghisap vape. Tidak keterlaluan untuk kita katakan bahawa menghisap vape telah menjadi budaya bagi generasi anak muda yang bakal menjadi pewaris negara. Gejala ini amat membimbangkan bukan sahaja kerana boleh mengundang masalah kesihatan bahkan dibimbangi akan menjadikan budaya vape ini sebagai normalisasi dikalangan masyarakat. Akhirnya, dimana-mana sahaja kita berada, dunia akan berada di dalam kepungan asap vape yang berbahaya ini. Sudah tidak ada lagi kawasan yang bersifat selamat untuk anak-anak kecil bermain dengan bebas tanpa perlu dipaksa hidu asap berbahaya tersebut.




Penglibatan generasi muda menghisap vape amat membimbangkan dengan kita melihat pola peningkatan yang semakin meninggi. Berdasarkan dapatan tinjauan yang dibuat oleh Kajian Global Adult Tobacco Survey (GATS) 2023, seramai 4,269 responden yang terlibat. Dapatan kajian tersebut menunjukkan bahawa penggunaan vape meningkat daripada 0.8 peratus pada tahun 2011 kepada 5.8 peratus pada tahun 2023. Selain itu, peningkatan penggunaan vape telah meningkat 600 peratus dalam tempoh 12 tahun dengan memperlihatkan golongan anak muda berusia 15 hingga 24 tahun adalah pengguna paling tinggi. Melalui kajian yang dibuat juga, GATS melaporkan berlaku peningkatan lebih ramai anak muda menggunakan vape dengan kumpulan usia antara 15 hingga 24 tahun, menyaksikan peningkatan sebanyak 8.6 peratus pada tahun 2023 berbanding 1.1 peratus pada tahun 2011. Tentu sekali dapatan kajian yang dibuat ini tidak menggembirakan kita untuk melihat generasi masa depan negara.

Hakikat yang perlu kita ketahui ialah dikala pada usia remaja ini, mereka sedang berada di dalam fasa dimana mereka sedang melalui proses transisi secara biologi atau disebut sebagai perubahan hormon, selain turut berlaku transisi secara fisiologi (tubuh badan) dan psikologi yang merangkumi corak pemikiran, emosi dan tingkah laku. Oleh itu, mereka pada fasa ini tercari-cari identiti diri yang menyebabkan golongan ini terdedah kepada banyak perkara baharu. Antaranya ialah budaya vape ini. Budaya menghisap vape dikalangan anak muda telah dianggap sebagai suatu budaya "cool" dan "trendy" yang secara tidak langsung menjadi hujah untuk menghalalkan perbuatan tersebut. Walhal, terdapat banyak kajian dan tinjauan yang dibuat menunjukkan penggunaan vape adalah tidak selamat sama sekali. Malah mungkin ada yang beranggapan menghisap vape lebih ringan kesan buruk berbanding menghisap rokok, tetapi anggapan tersebut sangat meleset kerana kandungan bahan vape juga sama bahaya dan tetap tidak selamat untuk kesihatan.

Vape atau rokok elektronik yang menjadi kegilaan anak muda sekarang ini dilihat sebagai alternatif lain dari menghisap rokok. Namun begitu, kandungan bahan-bahan vape juga tidak kurang berbahaya juga untuk kesihatan mental dan fizikal. Menurut kajian yang dilakukan oleh Institut Lundquist dan Universiti Rochester, penggunaan vape boleh merosakkan paru-paru dalam masa tiga hari penggunaan. Dalam kajian yang dibuat membuktikan bahawa seekor tikus yang di dedahkan kepada aerosol vape yang menggunakan cecair pembawa (propylene glycol) yang biasa di kalangan produk vape ini selama dua jam sehari selama tiga hari sahaja memadai untuk mengalami kerosakan paru-paru kronik. Pada tahun 2019, satu siri kes besar penyakit paru-paru telah dilaporkan di Wisconsin, Amerika Syarikat. Di dapati kesemua pesakit mempunyai sejarah penggunaan vape dalam tempoh 90 hari dari permulaan gejala. Mereka disebut sebagai kecederaan paru-paru berkaitan penggunaan produk vaping (Vaping Product Use-Associated Lung Injury).




Oleh itu, melihat kepada dapatan kajian yang dibuat serta laporan yang dibentangkan, penggunaan vape tetap dianggap sebagai tidak selamat dan bukan sama sekali alternatif terbaik bagi menggantikan rokok. Luana Chacon Santos dari Universiti York telah memberi amaran normalisasi penggunaan vape dalam kalangan golongan muda boleh membawa kepada pengulangan pola berbahaya yang kita lihat dalam industri tembakau dahulu. Ini kerana apa sahaja yang terkandung dalam rokok tidak kurang terdapat juga di dalam vape. Kandungan bahan-bahan utama di dalam vape menunjukkan terdapat bahan-bahan terlarang seperti Nikotin yang menyebabkan ketagihan, bahan Gliserin Sayuran yang boleh menyebabkan kerosakan organ dalaman, bahan Logam Berat dan Propalina Glikol yang boleh mengundang penyakit asma dan kanser. Semua bahan yang dinyatakan ini merupakan bahan yang tidak diperlukan oleh manusia normal malah boleh mengundang pelbagai risiko penyakit.

Tindakan bijak dan tepat oleh pihak kerajaan dengan mewartakan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) yang telah berkuatkuasa pada 1 Oktober 2024. Dalam akta tersebut turut digariskan Peraturan-Peraturan serta Perintah dibawahnya berfungsi dan berperanan sebagai hadangan kepada golongan muda untuk mengakses dan memperolehi bahan terlarang tersebut. Namun begitu, penguatkuasaan semata-mata tidak akan mampu membendung hal ini. Suatu insiatif perlu digarapkan untuk menyampaikan ilmu dan kesedaran kepada generasi anak muda terutama mereka yang masih di bangku persekolahan. Sokongan padu dan jitu juga mesti digemblengkan bersama oleh semua pihak melibatkan pelbagai lapisan masyarakat. Kita pada generasi hari ini bukan sahaja mahu melihat generasi yang akan datang adalah generasi yang lebih baik tetapi lebih kompetitif dalam usaha mewujudkan masyarakat yang sihat dan sejahtera. Kita semua tentunya sayangkan generasi anak muda pelapis negara ini. Maka menjadi tanggungjawab kita bersama menjayakan perjuangan bebas dari asap rokok dan vape.

Kepada generasi anak muda, sama ada suka atau tidak, tiada siapa yang dapat menafikan tentang kesan buruk penggunaan vape. Apa yang dibuat oleh generasi terdahulu bukanlah suatu hujah dan dalil yang tepat untuk menormalisasikan budaya vape dikalangan anak muda. Hentikan segala macam perasaan dan budaya cool, trendy dan gentlemen apabila menghisap vape. Ianya tidak akan kemana bahkan kita secara langsung telah melakukan pembaziran wang ringgit semata. Hal tersebut ditegah dan dilarang keras oleh Islam. Generasi anak muda sewajarnya menjadi ejen perubahan dan bukannya penerus tabiat yang buruk dan tidak bertamadun ini. Usahlah kita meniru atau mencontohi sikap buruk generasi terdahulu. Apa yang salah tetap salah walau dibuat oleh mereka yang lebih berusia. Ayuh bersama kita pastikan generasi anak muda dan masa hadapan negara akan menjadi lebih sihat dan sejahtera. Masa ini masa kita maka lakarlah ia dengan penuh kegemilangan. Semoga Allah mengampuni kita semua.

Isnin, 10 Februari 2025

PERTUNANGAN ANTARA SYARIAT DAN ADAT

 

Memiliki kecenderungan untuk berkasih sayang antara lainan jantina merupakan manifestasi cinta yang menjadi fitrah setiap insan dalam kehidupan ini. Hubungan cinta yang disulami dengan perasaan kasih sayang adalah merupakan salah satu tanda kekuasaan Allah SWT yang menciptakan manusia. Selain keistimewaan manusia yang dikurniakan akal untuk berfikir, perasaan cinta, kasih dan sayang juga antara sifat yang membuktikan nilai fitrah semulajadi manusia yang sukakan kepada sesuatu yang membahagiakan. Oleh yang demikian, Allah SWT melalui syariat perkahwinan, telah menghalalkan hubungan cinta yang dibina sebagai tanda meraikan fitrah hamba Nya. Memiliki rasa cinta kepada seseorang bukanlah suatu hal yang salah pada sisi Islam bahkan ianya adalah sifat fitrah manusia. Namun begitu, Islam datang dengan memberikan panduan sebagaimana yang dikehendaki Allah untuk manusia melunaskan kehendak bagi berkasih sayang.

Sebelum menuju ke gerbang perkahwinan, terdapat satu perkara penting yang menjadi syariat Islam yang membawa manusia kepada suatu fasa yang lebih serius sebelum benar-benar bersedia mendirikan rumahtangga. Perkara tersebut disebut sebagai "Khitbah" atau pertunangan. Perkataan pertunangan menurut Dewan Bahasa dan Pustaka bermaksud meminta anak gadis supaya menjadi isteri. Ianya juga boleh difahami dengan maksud melamar. Selain itu, menurut Syeikh Dr Abdul Karim Zaidan di dalam kitabnya, al-Mufassol Fi Ahkam al-Mar'ah Wal Baiti al-Muslim Fi al-Syariah al-Islamiyyah, perkataan khitbah atau pertunangan bermaksud permulaan seorang lelaki atau wakil dari ahli keluarganya atau seorang lain bagi pihaknya menyampaikan hajat kepada ahli keluarga pihak perempuan akan hasrat si lelaki untuk mengahwini si perempuan. Tambahan lagi, kadang kala permulaan ini boeh terjadi apabila dimulakan oleh seorang perempuan yang memilih seseorang lelaki. Selain itu, Sheikh Dr Wahbah al-Zuhaili menyatakan di dalam kitabnya, Tafsir al-Munir, menyebut bahawa yang dimaksudkan dengan khitbah seorang lelaki meminta untuk berkahwin dengan seorang perempuan dengan menggunakan cara boleh difahami.




Dalam Islam, pertunangan dilakukan bertujuan untuk mengenal akhlak dan perangai pasangan sebelum diteruskan dengan akad nikah. Proses pertunangan ini hakikatnya dapat membantu dan menguatkan lagi hubungan cinta selain memberikan kesempatan dan peluang untuk diri masing-masing membuat persiapan sebelum berkahwin. Syariat pertunangan disebutkan oleh Allah SWT melalui firman Nya di dalam al-Quran, menerusi surah al-Baqarah ayat 235 yang bermaksud :

“Dan tidak salah bagi kamu tentang apa yang kamu bayangkan (secara sindiran), untuk meminang perempuan (yang kematian suami dan masih dalam ‘iddah), atau tentang kamu menyimpan dalam hati (keinginan berkahwin dengan mereka). Allah mengetahui bahawa kamu akan menyebut-nyebut (atau mengingati) mereka, akan tetapi janganlah kamu membuat janji dengan mereka di dalam sulit, selain dari menyebutkan kata-kata (secara sindiran) yang sopan. Dan janganlah kamu menetapkan dengan bersungguh-sungguh (hendak melakukan) akad nikah sebelum habis iddah yang ditetapkan itu. Dan ketahuilah, sesungguhnya Allah mengetahui apa yang ada dalam hati kamu, maka beringat-ingatlah kamu akan kemurkaanNya, dan ketahuilah, sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Penyabar”.

Berdasarkan ayat tersebut, Allah SWT telah memerintahkan para hamba Nya untuk meminang seorang perempuan yang ingin untuk dijadikan sebagai seorang isteri. Meskipun ayat tersebut menyebut dalam konteks perempuan yang masih dalam 'iddah, namun umumnya suruhan ini turut terpakai bagi anak gadis berstatus dara. Berdasarkan ayat tersebut, para ulama seperti al-Khatib al-Syarbini menyatakan di dalam kitabnya, Mughni al-Muhtaj, bahawa adalah hukumnya harus untuk bertunang. Dalam riwayat hidup baginda Nabi SAW, baginda pernah meminang Aisyah dan begitu juga pernah meminang Hafsah untuk dijadikan sebagai isteri. Namun begitu, terdapat dua jenis perempuan yang tidak boleh dilamar atau bertunang. Dua jenis tersebut ialah perempuan yang masih di dalam iddah raj'iyyah walau sekadar mempunyai niat di hati dan yang kedua ialah perempuan yang sudah menjadi tunangan orang lain. Ini sebagaimana yang telah dinyatakan oleh baginda Nabi SAW dalam sebuah hadith riwayat Bukhari, daripada Ibnu Umar, beliau berkata yang bermaksud :

”Nabi saw melarang berjual beli di atas jualan sebahagian dari kamu dan (Nabi juga melarang) seorang lelaki meminang tunangan saudaranya sehinggalah dia meninggalkan tunangannya ataupun diizinkan oleh saudaranya (untuk meminang perempuan tersebut).”




Mengulas hal tersebut, al-Khatib al-Syarbini di dalam kitabnya, Mughni al-Muhtaj, menyebutkan bahawa larangan tersebut dikeluarkan adalah kerana ianya sesuatu yang boleh menyakitkan orang lain. Demikianlah larangan untuk meminang dua jenis perempuan tersebut. Sesungguhnya syariat pertunangan yang dijelaskan oleh Allah SWT ini mempunyai tujuan dan matlamatnya (maqasid) yang tersendiri. Hal ini sebagaimana yang telah dinukilkan oleh Imam al-Syatibi di dalam kitabnya, al-Muwafaqat, beliau menyebutkan bahawa antara matlamat syarak menetapkan sesuatu hukum adalah bertujuan untuk kemashalatan (kebaikan) hamba-hamba Nya sekarang ini dan untuk masa yang akan datang. Selain itu, antara matlamat pensyariatan pertunangan juga ialah untuk membuktikan bahawa Allah SWT sebagai pencipta kepada manusia sangat mengerti kejadian diri dan jiwa seseorang manusia yang mempunyai kecenderungan untuk hidup berpasangan. Maka syariat pertunangan ini menjadi ruang untuk manusia menzahirkan perasaannya yang terbuku di dalam jantung hatinya. Selain pertunangan juga adalah suatu syariat yang memelihara maruah kaum perempuan sebagai perhiasan untuk suaminya yang sah di sisi syarak. Bukannya boleh dipetik begitu sahaja.

Menjadi persoalan juga dikalangan masyarakat berkenaan hukum-hakam berkait pertunangan. Antaranya ialah apakah perlu disembunyikan hal pertunangan atau sebaliknya dihebahkan. Dalam hal ini, terdapat satu hadith Nabi riwayat Imam al-Dailami, daripada Ummu Salamah Ranha, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

"Zahirkan (iklankan) pernikahan dan sembunyikan pertunangan".

Berdasarkan hadith ini, terdapat dikalangan ulama seperti yang dinukilkan dalam kitab Syarh Mukhtasar al-Khalil, sebahagian mereka dari mazhab Maliki, berpendapat menyembunyikan pertunangan adalah digalakkan. Namun begitu terdapat sebahagian ulama lain berpendapat tidak menjadi masalah untuk dihebahkan berkenaan pertunangan kerana tidak ada dalil yang sahih yang melarang akan hal tersebut. Adapun hadith riwayat al-Dailami sebelum ini dinilai dhaif (lemah) oleh sebahagian ahli hadith. Maka menjawab persoalan tersebut, tidak mengapa untuk menghebahkannya agar tidak berlaku pinangan atas pinangan sebagaimana yang telah dilarang oleh Rasulullah SAW. Selain itu, ada juga persoalan berkenaan apakah dibenarkan lelaki untuk melihat wajah perempuan yang mahu dipinangkan. Jawapannya ialah dibolehkan. Ini berdasarkan sebuah hadith Nabi riwayat Muslim, daripada Abu Hurairah katanya yang bermaksud :

“Ketika aku bersama-sama Nabi SAW, seorang lelaki telah menemui Baginda, lalu memberitahu bahawa dia akan mengahwini seorang perempuan Ansar. Maka, Rasulullah SAW bersabda: Adakah engkau melihatnya? Lelaki itu menjawab: Tidak. Baginda bersabda: Pergilah lihat perempuan itu kerana pada mata Ansar terdapat suatu kelainan daripada mata perempuan lain, yang mungkin tidak menarik hatimu.”




Berdasarkan hadith ini, di dalam kitab Fiqh al-Manhaji, disebutkan bahawa seorang perempuan berhak melihat lelaki yang ingin dikahwininya bagi memastikan keadaan lelaki tersebut supaya tidak menyesal selepas perkahwinan. Ini juga adalah kerana perempuan tertarik hati dengan lelaki sebagaimana lelaki tertarik hati dengan perempuan. Ada pun tentang hukum membuat majlis pertunangan besar-besaran, ianya tidaklah digalakkan. Bahkan dibimbangi boleh menjerumus kepada pembaziran dan sia-sia. Namun begitu, jika dilihat sebagai tidak membazir, maka tidaklah menjadi masalah. Selain itu, ada yang bertanya tentang adat menyarung cincin, berpantun, menukar dulang dan sebagainya, semua adat itu adalah harus selagimana adat tersebut tidak bertentangan dengan syarak. Tidak menjadi masalah untuk adat-adat yang biasa diamalkan sejak dahulu lagi. Demikian beberapa persoalan lazim yang seringkali berbangkit dikalangan masyarakat. Sesungguhnya pertunangan bukanlah lesen untuk duduk berdua-duaan, keluar berpegang tangan dan sebagainya. Oleh itu, peliharalah syariat pertunangan dari dicemari oleh kemungkaran. Semoga Allah memberkati kita semua.

Ahad, 9 Februari 2025

HUKUMAN JENAYAH DALAM ISLAM : QISAS, HUDUD & TAKZIR

 

Tabiat manusiawi yang tidak dapat dikawal oleh diri sendiri kadang-kala terpaksa diajar oleh peraturan dan perundangan. Meski penciptaan manusia disebutkan oleh Allah sebagai sebaik-baik ciptaan, selain Allah turut mengurniakan nikmat akal yang tidak terdapat pada kehidupan makhluk lain, pun begitu manusia kadang terjerat dan terperangkap dengan nafsu sendiri. Akibatnya, akan ada dikalangan umat manusia yang melanggar peraturan dan undang-undang sekalipun dirinya tahu risiko dan akibat daripada melakukan ha tersebut. Oleh itu, antara tujuan lain peraturan dan undang-undang dibuat adalah untuk mendidik manusia menjadi insan yang baik. Setelah usaha mendidik manusia melalui peraturan dan undang-undang yang dikuatkuasakan gagal memberi nilai tambah pada diri, maka hukuman adalah pilihan yang ada bagi memberikan pelajaran bermakna.

Jenayah di dalam Islam merupakan suatu perkara yang dipandang serius. Ini kerana di dalam perbahasan hukum fiqh, terdapat satu bab khas yang disebut sebagai "Fiqh Jinayah" iaitu yang merujuk kepada suatu bidang ilmu yang membincangkan mengenai hukum-hakam kesalahan jenayah dam hukuman yang dituntut oleh Islam. Berhubung makna jenayah, Imam al-Mawardi menyebutkan di dalam kitabnya, al-Ahkam al-Sultaniyyah, jenayah ialah segala bentuk kesalahan syariah yang boleh dihukum berdasarkan hukum Allah sama ada ia adalah hukum qisas, hudud atau takzir. Apa yang cuba diungkapkan oleh al-Mawardi ini ialah bertujuan membezakankesalahan yang boleh dihukum oleh pemerintah dan kesalahan yang tidak boleh dihukum oleh pemerintah. Namun begitu, skop jenayah begitu luas maknanya sehingga kita akan mendapati tidak ada kesalahan yang tidak boleh dihukum oleh pemerintah.




Secara asas, perundangan Islam boleh dibahagikan kepada tiga komponen utama berdasarkan tiga jenis hukuman yang disyariatkan oleh Allah SWT. Tiga hukuman tersebut ialah hukum Qisas, hukum Hudud dan hukum Takzir. Kesemua hukuman tersebut mempunyai makna dan perinciannya yang tersendiri berdasarkan neraca syariat Islam. Hal ini juga bermakna, terdapat beberapa kategori kesalahan jenayah yang disebutkan dengan jelas oleh Allah SWT dan Rasul Nya beserta hukumannya melalui al-Quran dan al-Hadith dan terdapat pula sebahagian kategori kesalahan jenayah lain yang tidak diperincikan atau tidak disebutkan oleh Allah dan Rasul Nya. Pun begitu, sekalipun terdapat kesalahan jenayah yang tidak disebutkan oleh Allah dan Rasul maka hal tersebut tertakluk kepada kebijaksanaan pemerintah untuk menentukan hukuman. Bagi memahami dengan baik, kita akan melihat struktur ketiga-tiga hukum ini.

Pertama, hukum Qisas. Ungkapan Qisas secara umum membawa makna menghukum penjenayah dengan hukuman yang setimpal. Hukuman ini melibatkan hukum balas nyawa iaitu bunuh balas bagi kesalahan jenayah membunuh orang yang tidak bersalah. Selain itu, ianya juga dihukumkan kepada pesalah yang mendatangkan kecederaan anggota atau bahagian badan tertentu. Bagi melaksanakan hukum ini, terdapat beberapa syarat wajib yang perlu dipenuhi sebelum dilaksanakannya. Antara lain syaratnya ialah pembunuh hendaklah seorang yang telah mukalaf. Ini bermakna, hukuman qisas tidak wajib dilakukan kepada golongan kanak-kanak dan orang gila. Selain itu, disyaratkan pula pihak yang terbunuh tidak lebih rendah darjatnya berbanding dengan pihak yang membunuh. Oleh itu, orang Islam yang membunuh orang bukan Islam tidak dikenakan hukuman qisas kerana darjat diukur dari sifat kufur. Menjadi syarat juga pembunuh bukan bapa atau datuk keatas pihak yang dibunuh. Terdapat beberapa perkara lain lagi yang membabitkan hukuman qisas antara lain ialah soal bayaran diyat, jenis-jenis kecederaan dan selainnya. Tetapi memadailah untuk kita memahami secara asas dahulu dalam ruangan ini.




Kedua, hukuman yang disebutkan sebagai Hudud. Perkataan "Hudud" pada sudut bahasa merujuk kepada maksud tegahan. Pada sudut istilah pula, hudud dapat difahami sebagai hukuman tertentu yang dikenakan keatas kesalahan tertentu. Hakikatnya, hukuman hudud merupakan hukuman yang telah ditentukan oleh syarak. Ini bemakna, hukuman hudud tidak boleh sama sekali di tokok tambah atau dikurangkan. Hukuman hudud adalah merupakan hak Allah SWT yang wajib dilakukan. Pun begitu, pelaksanaannya boleh digugurkan jika terdapat perkara keraguan yang menghalangnya. Selain itu, hukuman hudud tidak boleh dimaafkan sepertimana yang boleh dilakukan pada hukuman qisas. Terdapat enam jenis kesalahan jenayah dibawah peruntukkan hukuman hudud yang disepakati oleh para ulama. Enam jenis kesalahan tersebut ialah perbuatan zina, Qazaf (menuduh seseorang berzina tanpa saksi), perbuatan mencuri, merompak, minum arak dan murtad. Sebahagian ulama lain menambah perkara yang ketujuh iaitu bughah (pemberontak). Pelaksanaan hukum hudud tidak semudah sekadar menuduh malah setiap kesalahan tersebut mempunyai syarat yang wajib dipenuhi kriterianya sebelum benar-benar hukuman dijatuhkan. Sebagai contoh, bagi kesalahan mencuri, hukumannya ialah memotong tangan. Untuk menjatuhi hukuman tersebut, beberapa syarat wajib dipenuhi seperti nilai harta yang dicuri mencukupi nisab 1/4 dinar emas atau tiga dirham perak. Selain harta yang dicuri tersebut adalah bernilai menurut syarak.

Ketiga, hukuman Takzir. Secara mudah, hukuman takzir adalah hukuman yang tertakluk dibawah budi bicara pemerintah, badan perundanganatau hakim. Hal ini kerana kesalahan bagi hukuman takzir ini tidak disebutkan oleh Allah dan Rasul Nya sama ada melalui wahyu al-Quran atau al-Hadith. Ini juga memberikan gambaran kepada kita bahawa skop kesalahan bagi hukuman takzir adalah luas. Dibawah hukuman takzir, bentuk hukuman tertakluk kepada budi bicara pihak yang berautoriti seperti pihak pemerintah, badan perundangan atau hakim. Selain itu, hukuman takzir dapat dibahagikan kepada dua iaitu yang pertama, sebarang kesalahan yang terdapat dalam kesalahan hudud dan qisas tetapi tidak cukup bukti untuk dijatuhi hukuman hudud dan qisas. Maka dengan itu, kesalahan jenayah tersebut boleh dikenakan hukuman dibawah hukuman takzir. Kedua, sebarang kesalahan yang selain dari jenis kesalahan hudud dan qisas. Hal ini bermakna, kesemua bentuk kesalahan terangkum di dalam hukuman takzir. Sama ada kesalahan tersebut disebut atau tidak disebut oleh Allah dan Rasul Nya, maka kesalahan tersebut boleh dihukum dibawah hukuman takzir. Misalnya, kesalahan melanggar lampu isyarat, membuang sampah merata, merokok di kawasan awam dan lain-lain. Kesalahan seperti ini boleh dihukum dibawah hukuman takzir.




Dalam beberapa kesalahan dibawah hukuman takzir, terdapat ayat al-Quran yang menyebutkan kesalahan tersebut seperti kesalahan memakan daging babi dan daging yang tidak disembelih secara sah, kesalahan melanggar kontrak perjanjian, pecah amanah dan sebagainya. Dalam al-Quran, Allah SWT menyebutkan hal tersebut dengan tidak menetapkan hukuman melainkan ancaman Allah dan Rasul Nya kelak. Demikianlah antara beberapa perkara asas dan umum berhubung hukuman jenayah di dalam Islam. Pun begitu, setiap hukuman yang disyariatkan tersebut memerlukan kita untuk lebih memahaminya lagi supaya kita tidak mempunyai tanggapan salah di kemudian hari. Sesungguhnya apa jua hukuman yang dinyatakan, tidak ada yang lebih menggerunkan kecuali ancaman dan hukuman oleh Allah SWT. Islam diatas prinsip syariah, sentiasa menekankan mengenai kepentingan kita menjaga dan memelihara perkara asas seperti menjaga agama, nyawa, keturunan dan akal agar kita tidak terjerumus melakukan perbuatan yang dimurkai oleh Allah. Semoga Allah merahmati kita semua.

Sabtu, 8 Februari 2025

LARANGAN MENYERUPAI BERLAINAN GENDER

 

Penciptaan setiap makhluk di muka bumi ini memiliki keunikan dan keistimewaannya yang tersendiri. Bermula daripada sekecil-kecil ciptaan makhluk sehingga yang sebesarnya, pada tiap-tiap penciptaan itu pastinya mempunyai hikmah dan pengajaran untuk manusia renungi. Lebih istimewa dan unik lagi apabila Allah SWT menjadikan makhluk yang bernama manusia ini memiliki sifat fitrah semulajadi yang tidak dapat disangkal oleh sesiapa pun. Sebagai contoh, menjadi fitrah bagi setiap manusia memiliki kecenderungan tertarik kepada yang berlainan jantina. Maka sesuai dengan naluri insan, dijadikan kaum lelaki itu sebagai pasangan untuk kaum perempuan. Begitu juga sebaliknya kaum perempuan diciptakan sebagai pasangan hidup bagi kaum lelaki.

Berdasarkan asas penciptaan manusia yang berlatarkan kepada gender berbeza, maka tujuan perbezaan tersebut dapat difahami ianya sebagai pelengkap kepada kehidupan di dunia ini. Ini bermakna, perbezaan gender bukan bertujuan untuk bergaduh, berbalah antara gender dan sebagainya namun sebagai melengkapkan kehidupan manusiawi. Sememangnya Allah SWT lah yang menjadikan setiap makhluk itu berpasangan. Ini sebagaimana yang dijelaskan oleh Allah SWT di dalam al-Quran, menerusi firman Nya dalam surah Yasin ayat 36 yang bermaksud :

"Maha Suci Tuhan yang telah menciptakan makhluk-makhluk semuanya berpasangan; sama ada dari yang ditumbuhkan oleh bumi, atau dari diri mereka, ataupun dari apa yang mereka tidak mengetahuinya."




Oleh itu, manusia diiktiraf mengikut gender yang ditakdirkan oleh Allah SWT. Sama ada bergender lelaki atau perempuan, ianya adalah ketentuan Allah SWT dan mustahil Allah silap dalam menentukan gender para hamba Nya. Maka kita mestilah hidup sebagai hamba Allah SWT mengikut jantina yang ditakdirkan kepada kita. Bertentangan dengan hal tersebut, sesungguhnya kita dilarang dan ditegah oleh Islam untuk hidup dengan menyerupai berlainan jantina. Dalam erti kata yang mudah, Islam melarang umatnya daripada lelaki menyerupai perempuan dan sebaliknya perempuan menyerupai lelaki. Dalam istilah syarak, penyerupaan disebut sebagai "Tasyabbuh". Secara literal, penyerupaan lainan jantina ini difahami dengan ungkapan seperti pondan atau mak nyah (lelaki menyerupai perempuan) dan perkataan tomboy (perempuan menyerupai lelaki). Pada sudut agama, kedua-dua penyerupaan ini disebutkan sebagai tasyabbuh.

Konsep "Tasyabbuh" yang merujuk kepada makna penyerupaan lainan gender ini dapat dilihat dalam perbahasan hukum melibatkan lima perkara penyerupaan. Antara lain penyerupaan dari segi pakaian, perhiasan, percakapan dan suara, gaya berjalan dan gerak badan serta mengubah bentuk fizikal badan. Ini bermaksud, Islam melarang umatnya daripada menyerupai lainan gender yang membabitkan lima perkara tersebut. Kita dilarang untuk memakai pakaian yang berlainan gender, juga dilarang untuk memakai perhiasan yang khusus untuk gender tertentu, serta dilarang untuk bercakap dengan intonasi suara, meniru gaya berjalan dan mengubah fizikal yang berlainan gender dengan diri kita. Kesemuanya bentuk penyerupaan itu hukumnya adalah haram. Hal ini sepertimana yang telah ditegaskan oleh baginda Nabi Muhammad SAW dalam sebuah hadith riwayat Bukhari, daripada Ibnu Abbas RA, dalam sabda Nabi SAW yang bermaksud :

"Nabi SAW telah melaknat lelaki yang menyerupai perempuan dan orang-orang perempuan yang menyerupai lelaki".

Selain itu, terdapat hadith lain riwayat Bukhari, Abu Daud, al-Tirmizi dan Ibnu Majah, sabda baginda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud :

“Rasulullah SAW telah melaknat orang lelaki yang menyerupai perempuan dan orang yang menyerupai kaum lelaki daripada kalangan perempuan.”




Dalam membahaskan maksud hadith tersebut, al-Hafiz Abul 'Ula Muhammad bin Abdurrahman al-Mubarakfuri menyebutkan ungkapan oleh Imam al-Tabari di dalam kitabnya, Tuhfaz al-Ahwazi bi Syarh Jami' al-Tirmizi, dengan menyatakan bahawa tidak boleh bagi lelaki menyerupai perempuan di dalam bab pemakaian dan perhiasan yang telah dikhususkan buat kaum perempuan dan begitulah sebaliknya. Demikian pula menurut Imam al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani dalam kitabnya, Fath al-Bari, beliau menyatakan bahawa tidak boleh menyerupai di dalam percakapan dan cara berjalan manakala dari segi pemakaian pula berbeza mengikut adat pemakaian sesuatu tempat dan kaum. Selain itu, Imam al-San'ani dalam kitabnya, Subul al-Salam, menyatakan bahawa laknat Rasulullah SAW terhadap maksiat itu menunjukkan kepada besarnya dosa tersebut. Dalil tersebut menunjukkan keharaman untuk menyerupai perempuan bagi lelaki dan sebaliknya.

Turut menjelaskan keharaman tersebut ialah Imam al-Syaukani dalam kitabnya, Nail al-Awtar. Beliau menyebut bahawa hadith tersebut menjadi dalil hujah akan pengharaman keatas lelaki menyerupai perempuan dan perempuan menyerupai lelaki dalam percakapan, pemakaian dan selainnya. Dalam kitab 'Umdah al-Qari, Imam Badr al-Din al-'Aini pula menyebut celaan laknat ini adalah pada perbuatan orang lelaki menyerupai orang perempuan dari sudut pakaian dan juga perhiasan yang khusus buat orang perempuan seperti memakai serkup kepala, rantai, gelang, gelang kaki, dan juga anting-anting. Dalam pada itu, Syeikh Muhammad Soleh al-Uthaimin dalam komentar terhadap hukum tersebut menyebutkan bahawa pengharaman demikian kerana penyerupaan boleh membawa kepada kecacatan sunnatullah pada makhluk Nya yang diciptakan lelaki dan perempuan. Selain itu, Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili pula menyebut di dalam kitabnya, al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, bahawa hukumnya haram lelaki menyerupai perempuan dan begitu juga sebaliknya perempuan menyerupai lelaki.




Maka berdasarkan dalil, hujah dan penjelasan oleh para ulama, jelas lah kepada kita bahawa setiap perbuatan yang berbentuk penyerupaan yang berlawanan atau bertentangan dengan jantina adalah haram hukumnya. Oleh itu jika dipersoalkan pula mengenai hukum berlakon menyerupai lainan gender, jawapannya tetap haram. Apatah lagi jika penyerupaan tersebut berupa memakai pakaian yang berlawanan gender. Ini kerana terdapat sebuah hadith Nabi SAW yang jelas melarang keras daripada memakai pakaian yang berlawanan gender. Ini sebagaimana yang disebutkan oleh baginda Nabi dalam hadith riwayat Abu Daud, daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

“Rasulullah SAW telah melaknat orang lelaki yang memakai pakaian perempuan dan orang perempuan yang memakai pakaian lelaki.”

Telah berkata Imam al-Zahabi ketika mengulas hadtih tersebut dengan menyebut apabila wanita memakai pakaian yang dipakai oleh lelaki dan berlagak seperti seorang lelaki, dengan pakaiannya yang serba sempit, yang kelihatan jelas bentuk tubuh badannya, maka yang demikian itu dia sudah menyerupai lelaki dan dia sudah berhak menerima kutukan Allah SWT dan Rasul-Nya.Demikianlah penegasan oleh Imam al-Zahabi. Oleh itu, rumusan yang boleh dibuat berdasarkan penjelasan ini, sesungguhnya Islam sangat melarang keras dan menegah penganutnya daripada melakukan perbuatan menyerupai watak berlainan gender. Penyerupaan yang diharamkan tersebut merangkumi semua perkara seperti percakapan, pemakaian, gaya berjalan, intonasi suara dan sebagainya. Selain baginda Nabi SAW dengan jelas melaknat sesiapa yang melakukan perbuatan penyerupaan berlainan gender tersebut. Apa jua tujuan untuk melakukan penyerupaan termasuk bertujuan untuk lakonan, jualan dan promosi barangan, hukumnya tetap haram. Sebaiknya kita perlu mengelak daripada melakukan hal tersebut. Selain kita juga perlu memastikan ahli keluarga kita tidak terjerumus di dalam perbuatan yang dilaknat tersebut. Semoga Allah mengampuni kita semua.