Ahad, 2 Oktober 2016

HIJRAH MINDA KE ARAH TERBUKA

Konsep dan pandangan Islam berkaitan hijrah sebenarnya mampu untuk memberi kesan dan pengaruh yang amat besar dan mendalam dalam membangun dan memajukan kehidupan seseorang muslim dan masyarakat Islam secara keseluruhannya. Ini kerana, pengertian hijrah itu sendiri yang sinonim dengan konsep berpindah, bergerak dan membangun, serta natijahnya ialah untuk mendorong mereka lebih maju kehadapan dalam segenap ruang dan aspek kehidupan mereka, meliputi aspek pemikiran dan keilmuan, pandangan dan gaya hidup, perbuatan dan tingkahlaku, serta sikap dan akhlak. Inilah juga yang telah dicontohkan oleh Baginda Rasulullah s.a.w dalam peristiwa hijrah Baginda sejak 1437 tahun yang lalu.
Ibrah dari penghijrahan Rasul s.a.w dari kota Makkah ke kota Madinah, bukan hanya diiringi dengan penghijrahan fizikal, tetapi juga diikuti oleh penghijrahan, perubahan dan kemajuan dalam pemikiran dan pandangan serta gaya hidup kaum muhajirin, yang telah membawa banyak kebaikan yang turut dinikmati oleh kaum ansar. Malah ia memberi kesan yang lebih bermakna iaitu mendapat keredhaan Allah dan kemenangan kepada mereka dan kaum muslimin secara keseluruhannya. Allah berfirman dalam surah al Baqarah ayat 218 yang bermaksud, ‘sesungguhnya orang-orang yang beriman, orang-orang yang berhijrah dan berjihad di jalan Allah, mereka itu mengharapkan rahmat Allah, dan Allah Maha Pengampun dan Maha Penyayang’.


Ayat ini mengajarkan kepada kaum muslimin bahawa keampunan dan rahmat Allah itu datang seiring dengan hijrah, atau perpindahan dan perubahan, yang boleh berlaku dalam pelbagai bentuk dan konsepnya, serta itulah jihad dan perjuangan mereka bagi mencapai kemenangan dan kemajuan dunia dan akhirat. Semangat hijrah yang difahami di sini ialah melakukan perubahan untuk memperbaiki perjalanan hidup sendiri di alam fana ini, supaya menjadi lebih baik dari yang sebelumnya, demi untuk mencapai kemenangan di dunia dan akhirat. Semua matlamat ini tidak akan terhasil tanpa ada usaha untuk berubah dan memperbaiki keadaan. Malah, bagi seseorang muslim itu, wajar memahami bahawa keredhaan Allah akan hanya diperolehi daripada hasil usaha sendiri, yang dilakukan dengan sepenuh keikhlasan di hati, dan bukannya diperolehi secara otomatik tanpa sebarang usaha.
Ibrah daripada hijrah Rasul s.a.w. yang paling relevan yang perlu diterokai oleh seluruh umat Islam kini ialah berkaitan dengan keperluan untuk membentuk dan memperbaiki pola dan tatacara berfikir, iaitu mengubah pola pemikiran yang primitif dan negatif kepada yang lebih positif dan inovatif, serta lebih beradab dan bertamadun. Pola pemikiran yang positif dan inovatif juga merupakan satu daripada tuntutan dan ajaran Islam. Ia amat penting kerana pengaruh pemikiran amat besar dalam kehidupan manusia. Malah, pemikiran atau memahami cara manusia berfikir dan menggalakkan aktiviti berfikir dalam kehidupan sebenarnya mempunyai hubung kait yang amat rapat dalam menentukan kemajuan dan ketamadunan kehidupan manusia dan mempunyai kesan rantaian dalam aspek sosial, sejarah, teknologi, kewangan dan ekonomi, politik, sains, pendidikan, matematik dan lain-lain.
Tokoh Pemodenan Sosiologi Islam, Ibn Khaldun, telah membuktikan perkara ini bahawa jatuh atau bangun, maju atau mundur sesebuah masyarakat dan ketamadunan itu sebenarnya dipacu oleh ketinggian nilai murni pemikiran yang dilihat dalam konteks moral dan akhlak yang berlaku di peringkat pemimpin dan masyarakat. Ini adalah hasil pengamatan kritis dan analitikal pemikiran Ibn Khaldun sendiri, yang turut diiktiraf oleh tokoh sarjana dan golongan ilmuan moden dari Barat. Oleh yang demikian, masyarakat Islam pada hari ini, baik pemimpin mahupun rakyatnya, perlu menyedari bahawa konsep dan fahaman hijrah yang dituntut itu perlu berlaku dalam aspek pemikiran yang ditunjangi oleh nilai murni dalam moral dan akhlak masing-masing bagi mengelakkan keruntuhan sesebuah bangsa dan tamadun akibat dari kerakusan dan kebejatan akhlak. Akar umbi yang menunjangi kekuatan akhlak bagi memperbaiki dan mengukuhkan tamadun itu pula perlu berdasarkan kepada elemen agama dan iman sebagaimana menurut kerangka Imam Sayyid Qutb, dan perkara ini merupakan prinsip asas kepada matlamat hijrah dan perubahan yang ingin dicapai oleh seseorang individu muslim.
Pemikiran Ibn Khaldun merupakan satu contoh kepada kita semua bagaimana pola dan cara berfikir yang sistematik dan teliti dalam menilai dan menganalisa sesuatu perkara mampu membentuk dan mengubah corak pemerintahan dan tamadun sesuatu masyarakat dan bangsa. Natijahnya, ia telah mampu menjadi satu teori kemasyarakatan yang diterima dan diiktiraf seluruh dunia dalam usaha merangka polisi dan dasar strategik negara dan masyarakat ke arah corak pemerintahan yang lebih baik. Pemikiran beliau juga adalah gambaran yang menunjukkan apakah sebenarnya konsep dan cara pemikiran yang lebih sistematik dan tersusun. Ini adalah juga bersesuaian dengan apa yang masyarakat moden fahami sekarang sebagai pemikiran saintifik.
Pemikiran saintifik adalah satu bentuk pendekatan dan kaedah dalam berfikir yang lebih sistematik dan teratur dari segi operasinya, serta menepati spesifikasi atau kaedah yang saintifik yang telah ditetapkan. Operasi pemikiran saintifik adalah diasaskan oleh tahap pemikiran kognitif aras tinggi yang meliputi keupayaan untuk meneliti, mentafsir, meramal, menilai, merumus dan merancang bagi menghasilkan keputusan baru yang lebih baik dalam sesuatu aktiviti atau isu dalam kehidupan. Dari segi perkembangan individu manusia, tahap perkembangan ini mula terbentuk secara berperingkat, sejak fasa awal pertumbuhan kanak-kanak, dalam sekitar usia 2 tahun, dan keupayaan tersebut mencapai tahap matang pada peringkat awal remaja, iaitu sekitar 12 atau 15 tahun. Namun, keupayaan pemikiran untuk beroperasi dengan pendekatan ini boleh diperkukuhkan sejak awal usia kanak-kanak lagi, tetapi dengan cara yang lebih kreatif dan inovatif. Sememangnya kreativiti dan inovasi amat berkait rapat dengan pemikiran saintifik kerana proses dan operasi pemikiran tersebut akhirnya berjaya untuk mencetuskan beberapa idea, produk, sistem atau perkhidmatan yang baru, yang lebih mendatangkan banyak manfaat dan kebaikan dalam kehidupan manusia sejagat.
Operasi berfikir dan bertindak secara saintifik dan sistematik ini adalah juga merupakan amalan dan sunnah Rasul s.a.w. kerana dalam banyak situasi, Rasulullah s.a.w telah memberikan contoh bagaimana operasi pemikiran seperti ini telah mampu mengubah dunia dan tamadun sesebuah bangsa manusia. Contohnya, sebuah hadis Nabi Muhammad s.a.w berkaitan dengan keupayaan manusia dalam pemikiran dan penguasaan teknologi yang telah terbukti dan wujud pada akhir zaman ini, yang bermaksud, "Demi Allah, kiamat tidak akan berlaku sehingga binatang buas bercakap kepada manusia, hujung cemeti dan tali kasut seseorang bercakap kepadanya serta paha seseorang memberitahu kepadanya perbuatan yang dilakukan oleh keluarganya di belakangnya."(Riwayat Tarmuzi).
Hadis ini sebenarnya menggambarkan suasana kehebatan teknologi pada akhir zaman yang membenarkan apa yang telah dinyatakan Nabi Muhammad s.a.w dan telah pun kita semua alami, di mana di antara kita sekarang ini ramai yang bercakap dengan telefon yang diperbuat daripada plastik dan besi serta berinteraksi secara virtual di alam maya. Walaupun pada hakikatnya segala tutur kata dan perbuatan Baginda s.a.w. adalah wahyu yang dikurniakan oleh Allat s.w.t., namun cara dan kaedah berfikir secara sedemikian rupa sememangnya bukanlah sesuatu yang asing bagi umat Islam. Malahan, kemajuan teknologi maklumat atau ICT juga sebenarnya adalah terhasil daripada pemikiran sains. Penguasaan ke atas teknologi ini juga telah mempengaruhi dan membentuk corak pemikiran dan kehidupan umat manusia. Sesiapa yang menguasai teknologi ICT, sebenarnya ia telah menguasai dunia. Kita mengharapkan umat Islam adalah peneraju bidang ini dan bidang-bidang sains lain, yang hanya akan terlaksana apabila menguasai pemikiran saintifik dalam kehidupan, sebagaimana yang disarankan dalam al Quran dan Hadis. Ia adalah contoh jelas kepada inovasi dan kreativiti yang terhasil dari menguasai pola pemikiran saintifik yang diajarkan Rasul s.a.w. Steve Jobs pernah menyatakan  bahawa ‘Innovation distinguishes between a leader and a follower’, kita masih menunggu masa di mana umat Islam adalah peneraju dan pemimpin dalam perkara ini, bukan sekadar pemerhati dan pengikut semata-mata, dengan menguasai pemikiran sains. Selamat menyambut Awal Muharram (Ma’al Hijrah 1438). 

Sabtu, 3 September 2016

RIWAYAT HIDUP MANUSIA

Perjalanan hidup manusia terlalu panjang. Bermula dari alam roh menuju ke alam rahim, dilahirkan ke alam dunia, masuk ke alam kubur dan bangkit semula di alam akhirat. Lima fasa telah ditakdirkan untuk kita lalui. Orang yang beriman percaya bahawa sebenarnya roh sentiasa hidup melalui setiap fasa kehidupan ini. Berbanggalah dengan roh anda yang beriman, bukan kerana jasad yang cantik rupawan dengan perhiasan yang dipamerkan di tubuh badan atau harta kekayaan yang disorokkan. Sepatutnya akal yang tajam itu digunakan untuk berfikir jauh ke hadapan. Semuanya yang kita miliki kini akan musnah kerana dunia umpama tempat mengeringkan peluh di muka, lalu kita akan kembali berjalan ke destinasi seterusnya.
Mengamati sejarah hidup manusia, kita seolah-olah membelek setiap halaman diari kehidupan. Pelbagai kejadian dan peristiwa yang dialami mendewasakan diri, walaupun kadang-kadang sebahagian manusia bertambah muda dan bersikap keanak-anakan menghadapi cabaran hidup ini. Berwaspadalah dengan usia tua yang mungkin menambahkan kerasnya hati, degilnya perangai dan sukar mengawal emosi. Apakah sebenarnya yang tersirat dari sabda baginda SAW yang bermaksud: “Allah SWT tidak menerima keuzuran seseorang yang dilanjutkan usianya sehingga sampai berumur enam puluh tahun.” Hadis riwayat al-Bukhari.


Ini bukan bermakna manusia boleh sesuka hati melakukan dosa hingga berhenti pada usia enam puluh tahun. Tetapi sebenarnya ia mengingatkan kita bahawa jika tak berubah juga perangai sampai mencecah usia enam puluh tahun, tanda-tanda kebinasaan telah nampak. Kerana manusia itu mengalami beberapa fasa untuk sampai pada usia matang. Kalau lahir pramatang pun merbahaya, apatah lagi terlebih bulan. Kalau tak bertaubat juga sementara usia semakin meningkat, alamat tak jumpa jalan Tuhan sebab mata dah rabun.
Kalau kita imbas kenangan manis semasa mula-mula berkahwin, proses penyesuaian diri dengan pasangan terasa susah tetapi kita jalani juga bahtera rumahtangga itu. Semakin lama semakin kukuh menerjang badai. Pahit manis menjadi pengajaran. Kita bertambah dewasa dan matang dalam berfikir, bertindak dan merasa. Kita telah sampai pada satu titik kesempurnaan peribadi ketika mahu berkongsi segalanya dengan pasangan. Setiap hari saling melengkapi dan saling menyelamatkan supaya tak tenggelam dihentam gelombang.
Begitu juga dengan perkara iman dalam diri yang sentiasa harus diselamatkan seiring dengan bertambahnya usia. Seharusnya dengan bertambah usia maka bertambahlah imannya, berubah sedikit perangainya kepada kebaikan, mulia akhlaknya, lembut hatinya, terkawal emosinya dan tenang jiwanya. Bukan sebaliknya, biarlah tubuh badan saja yang uzur tetapi iman tetap segar, masih nampak lagi yang hak dan yang batil, tidak nyanyuk dan lupa mana yang Allah reda dan mana yang dimurkai-Nya.
Apabila anak sudah meningkat dewasa, tentunya kita mahu lebih matang daripada mereka dan lebih baik lagi iman dan amalnya. Setiap hari semakin penuh diari hidup kita dengan catatan amalan soleh. Hakikatnya, dosa dan pahala berlumba-lumba memenuhi setiap muka surat catatan diari kehidupan kita sepanjang masa, tanpa henti. Ada yang rugi, ada pula yang untung dalam perniagaan akhiratnya. Yang rugi hanyalah mereka yang tidak tahu bersyukur dengan nikmat dipanjangkan umur.
Sabda baginda SAW yang bermaksud: “Bersegeralah kamu melakukan amal kebaikan sebelum menemui tujuh perkara yang kamu tidak nantikan datangnya iaitu kefakiran yang melalaikan, kekayaan yang menyebabkan kamu zalim, sakit yang merosakkan badan, tua yang menggagapkan percakapan, mati yang melenyapkan segala sesuatu, atau tibanya dajjal atau datangnya kiamat yang lebih dahsyat dan lebih pahit dugaannya.” (Hadis riwayat Imam al-Tirmizi)
Begitulah diari hidup manusia. Jika habis segala cerita dituliskan, maka sampai pula masanya pulang kepada Allah SWT. Tetapi harus diingat, di akhirat semuanya akan dibalas, dihitung dan ditimbang sehalus-halusnya. Cerita tentang hidup manusia bukan menjadi rahsia lagi di sana. Semuanya akan terungkap di Mahkamah Allah Rabbul Jalil.

Jumaat, 15 April 2016

ISLAM : BUKAN AGAMA TEMPANG

Jika kita menilai di antara dua insan yang berlainan imej, kita akan tertanya-tanya siapakah di antara keduanya yang mewakili nilai-nilai Islam sebenar? Sungguh ramai yang keliru manakah yang Islamik dan tidak Islamik. Di antara seorang yang rajin solat dhuha ketika dalam keadaan bertugas dan bekerja, atau yang meninggalkannya kerana tidak mahu membuat pelanggan menunggu hingga menjejaskan kerja dan khidmatnya. Di antara orang yang mengantuk ketika mesyuarat kerana semalaman bertahajud atau orang yang cergas lagi amanah tetapi tidak sembahyang. Ada pula yang kaki masjid tetapi pemalas dan tidak bertanggungjawab terhadap keluarga. Sedangkan yang berjaya dalam perniagaan selamba saja lupakan Tuhan. Yang bertudung kadang-kadang sama perangai dengan yang bertelanjang, bahkan lebih teruk lagi. Hingga mereka yang membenci tudung dan hijab beralasan dan membuat hukum sendiri; ”Baik tudungkan hati sebelum kepala!”
Semua ajaran Islam menjadi begitu kabur dan luntur di dalam pemikiran mereka. Disebabkan seseorang yang mencemarkan imej Islam maka ramai yang terlalu emosi hingga menidakkan syariat. Begitulah keadaannya ketika menilai paras keislaman seseorang, kadang-kadang kita tertipu oleh pandangan mata zahir semata. Yang lemah-lembut kita kata baik budi walaupun jiwanya terlalu lembut hingga takut menyatakan mana yang hak dan batil sehingga ramai orang yang berpeluang menzaliminya. Sedangkan yang tegas dan rasional dipandang masyarakat sebagai orang yang biadab, walaupun dengan cara itu dia boleh menegakkan yang makruf dan membela maruahnya. Bagaimanakah seharusnya seseorang menegakkan jati dirinya sebagai Muslim sebenar yang mengikut cara dan Sunnah Rasulullah SAW?
Umar bin al-Khattab RA pernah direkomen dengan seorang pemuda yang akan dipilih sebagai pekerja dalam pemerintahan beliau. Mereka yang memilih pemuda itu berkata: “Dia seorang muslim yang amanah, dia sentiasa berada di masjid untuk beribadah.” Umar berkata: “Adakah kamu semua pernah bersama dengannya untuk waktu yang lama? Adakah sesiapa yang pernah bermusafir dengannya? Sesungguhnya kamu semua belum lagi mengenali pemuda itu!


Islam tidak menilai seseorang yang amanah hanya dengan sejuzuk ibadah yang dilakukannya tanpa melihat dari segenap aspek-aspek lain yang mendokong kecemerlangan peribadi muslim padanya. Di sinilah Islam meletakkan sistem akhlak sebagai penanda aras kecemerlangan peribadi muslim. Tiga penanda aras yang lain bagi menilai peribadi Muslim ialah akidah, ibadah dan muamalah. Setiap muslim yang cemerlang adalah berpaksikan empat kekuatan tersebut. Sewajarnya seorang muslim menyempurnakan peribadinya dengan hanya mengambil contoh teladan seorang insan agung, Rasulullah SAW. Tiada yang lain menjadi sandaran dan kekuatan melainkan peribadi baginda SAW.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: ”Tiada seorang Nabi pun di kalangan mereka yang diutuskan kepada umat sebelumku melainkan mereka mempunyai para pengikut dan para sahabat yang mengikut sunnahnya dan meneladaninya. Kemudian akan ada generasi selepasnya, yang mengatakan sesuatu yang mereka tidak lakukan serta melakukan apa yang tidak disuruh. Barangsiapa yang menentang mereka dengan tangannya bermakna dia adalah seorang yang beriman, sesiapa yang menentang mereka dengan lidahnya maka dia adalah beriman dan sesiapa yang menentang dengan hatinya maka dia adalah seorang yang beriman. Tidak ada yang selain dari itu keimanan padanya walau sebesar sebiji sawi.” (Hadis riwayat Muslim)
Jika begitu, setiap Muslim sepatutnya bertanya dalam hati saat dia bermaksud melakukan apa-apa jua perbuatan, adakah ia bersesuaian dengan Sunnah Rasul-Nya tanpa rasa takut dan malu kerana tohmahan orang-orang yang meninggalkan Sunnah. Seorang muslim juga amat teliti menyaring unsur-unsur asing yang mempengaruhi perilakunya. Dengan ilmu dan kajian dia mampu memisahkan mana yang menepati ajaran Islam dan tidak menepati. Sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Kamu akan mengikuti sunnah umat sebelum kamu sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta sehinggakan jikalau mereka memasuki lubang biawak nescaya kamu akan mengikuti mereka! Para sahabat bertanya: Adakah mereka itu kaum Yahudi dan Nasrani, wahai Rasulullah? Sabda baginda SAW: Ya, siapa lagi kalau bukan mereka?” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Hari ini, di luar sana kita melihat pemandangan yang mengelirukan tentang imej Islam. Tak nampak perbezaan antara Muslim dengan non Muslim dari segi penampilan, pertuturan dan perwatakan mereka. Akhlak Islam terlalu kabur dalam pemikiran generasi muda yang sudah berkiblat kepada nafsu dan kebendaan. Peranan pembawa mesej Islam juga terlalu kolot dan menakutkan sehingga umat semakin lari daripada agama. Islam tidak dihantar ke hati-hati mereka dengan rahmat dan keindahan Islam. Mereka yang kolot ini suka menggambarkan Islam dengan pelbagai aneka kesusahan dan kesempitan. Segalanya haram dan dosa, sehingga seolah-olah sukar mencari yang halal dan berpahala. Sedangkan bilangan perkara haram yang disebut oleh al-Quran dan al-Hadis itu terhad bilangannya berbanding yang halal. Bagaimana mungkin seseorang yang baru berjinak-jinak dengan Islam dibebankan dengan amaran siksa dan azab padahal sepatutnya mereka diberi khabar gembira dengan luasnya ampunan dan kasih sayang Allah Taala.
Mesej akhlak Islam yang mesra dan mudah sepatutnya diamalkan para pendakwah untuk menarik minat masyarakat kepada ajaran Islam. Begitu pula ahli korporat Muslim seharusnya menampakkan imej cekap dan profesional di dalam menepati nilai ihsan dalam bekerja. Malangnya ramai yang memilih berurusan dengan non muslim disebabkan mereka lebih terkedepan dan amanah dibandingkan orang Islam. Di sinilah kita melihat betapa akhlak amat berpengaruh dalam membina umat. Sebenarnya kecekapan, amanah, profesionalisme, dinamik, progresif dan istilah-istilah seumpama ini berasal dari sistem akhlak Islam yang telah diterapkan oleh Baginda Rasulullah SAW dan diamalkan secara berterusan oleh umat Islam ketika membina empayar Islam yang ulung pada masa lalu.
Untuk memperolehi kejayaan itu semula, umat Islam mestilah menemukan kembali kekuatan umat dengan berniat di dalam hati bahawa apa saja pekerjaan yang dilakukan hendaklah semata-mata untuk Islam dan anda wajib menjaga nama baik agama ini agar ia tidak tercemar pada perbuatan seharian. Jangan biarkan orang mengata Islam itu miskin dan malas, kolot dan lembab, penipu dan perosak, zalim lagi ganas semata-mata kerana sepak terajang orang-orang yang mengaku-aku membela nama Islam, sedangkan hakikatnya mereka memalukan Islam dengan sikap sekular mereka yang tempang, yang memisahkan Islam daripada intipati asalnya.

Isnin, 7 Mac 2016

MARTABAT SEORANG MANUSIA

Dalam Islam tiada kasta yang membezakan seorang Muslim dari yang lain, dan tiada institusi gereja. Tapi itu bukan bermakna bermakna tiada perbezaan, dan perbezaan itu adalah merujuk kepada mutu keislaman seseorang itu, yang asasnya kembali kepada ilmu dan kefahaman. Dalam soal ini manusia berbeza. Al-Qur’an menyebut tidak sama orang yang berilmu dengan yang jahil, manakala di kalangan mereka yang berilmu pula tidak sama darjatnya masing-masing di sisi Allah. Malangnya, ini adalah hakikat yang sudah tidak lagi difahami pada hari ini kerana manusia rata-ratanya tiada ilmu, tidak cukup ilmu, dan mempunyai salah faham yang mendalam terhadap hakikat dan sifat ilmu serta martabat ilmu.

Keadilan tidak mungkin berlaku jika manusia tidak memiliki ilmu yang menunjukkan kepadanya tempat yang sebenar bagi setiap sesuatu. Maka setiap Muslim itu diperintahkan supaya berbuat adil, dan dia juga diperintahkan menuntut ilmu, kerana kedua-duanya tidak boleh dipisahkan. Ilmu itu adalah prasyarat keadilan, sedangkan keadilan, menurut Islam, bermula dan berakhir dengan diri sendiri. Salah untuk kita menyangka keadilan itu hanya berlaku apabila ada dua pihak yang terlibat, seumpama antara dua orang, atau antara pemerintah dan rakyat. Setiap manusia itu pada hakikatnya ada dua diri, yakni diri akali dan diri hayawani, dan apabila kita kata keadilan itu bermula dengan diri sendiri, yang kita maksudkan dua diri ini mesti diletakkan pada tempatnya masing-masing. Tempat yang benar bagi diri akali adalah sebagai pemerintah ke atas diri hayawani dan bukan sebaliknya. Jika sebaliknya yang berlaku, yakni apabila diri hayawani yang memerintah dan menguasai diri akali, maka kezalimanlah akibatnya, dan itulah yang dimaksudkan oleh kenyataan Qur’an bahawa manusia yang durhaka kepada Allah itu sebenarnya menzalimi dirinya sendiri.




Kenyataan al-Qur’an tentang keadilan dan kezaliman yang merujuk kepada diri itu amatlah penting untuk kita fahami kerana di atas kefahaman itulah kita sepatutnya bina konsep pendidikan. Kita fahami dari kenyataan itu bahawa pendidikan sepatutnya bertujuan untuk melahirkan manusia yang adil, bukan yang zalim, kerana hanya manusia yang adil yang mempu mengawal diri, dan dengan sebab itu hanya dia yang boleh diberikan amanah memimpin, mengawal, dan mengurus orang lain.

Dari kenyataan al-Qur’an itu juga kita kita fahami bahawa yang menerima pendidikan adalah manusia, oleh itu ilmu yang mengenalkan manusia tentang hakikat diri dan potensi-potensinya adalah perkara utama dalam pendidikan Islam. Yang perlu dididik adalah diri akali dan diri hayawani, dan masing-masing mesti disediakan untuk diletakkan pada tempatnya masing-masing. Akal mesti mengenal tempat yang benar bagi setiap sesuatu, dan nafsu pula dilatih agar tunduk patuh pada isyarat dan arahan akal. Dalam perkara ini taraf kesempurnaan setiap manusia adalah berbeza, dan disitulah letaknya perbezaan martabat mereka di sisi Allah.

Sabtu, 6 Februari 2016

KECELARUAN IDENTITI REMAJA KINI

Isu identiti sering dihubungkan dengan persoalan imej. Imej remaja tidak saja dihubungkan dengan perilakunya tetapi dikaitkan dengan idealisme, aliran kegiatan dan ada kaitan dengan potensi hari depan. Lebih jauh daripada itu, identiti remaja berkait rapat dengan jenis kepimpinan dan golongan yang bakal mewarisi kepimpinan negara. Ia menentukan sama ada remaja adalah pendukung idealisme bina negara atau menjadi beban yang berpanjangan kepada masyarakat.  Ada petanda yang merisaukan banyak pihak mengenai identiti sebahagian remaja kini. Remaja pada masa lalu menghubungkan diri dengan isu-isu perjuangan ke arah membangunkan negara. Imej remaja sejak 30 tahun lalu cenderung mengukuhkan imej keagamaan sebagai landasan membangunkan sistem dan masyarakat. Akibat kemajuan yang dicapai dan cabaran globalisasi yang menghimpit, sebahagian remaja terjebak dalam zon selesa yang mengheret mereka ke arah kerosakan diri, terjebak dengan kemelut sosial yang merimaskan dan terpaut dengan pemikiran hedonistik yang mengasyikkan dan alpa kepada tanggungjawab bina-ilmu dan bina-negara dan lebih ekstrem lagi ialah terjebak dengan kegiatan black-metal yang menyesatkan.


Statistik remaja yang terjebak dengan ketagihan rokok, dadah, arak, zina dan jenayah amat membimbangkan dan jumlah yang menjadi mangsa kepada gejala AIDS/HIV semakin menakutkan. Apakah imej yang sedang melanda remaja kini akibat daripada ketidakmampuan kita mengurus kemajuan dan pembangunan? Adakah mereka menjadi mangsa atau akibat daripada kealpaan kita tentang peranan mendidik, memberikan idea-idea pendorong betapa pentingnya imej diri, bangsa, umat dan negara? Adakah kita gagal menterjemahkannya secara bijaksana dan strategik kepada mereka? Kecelaruan sering dikaitkan dengan keadaan yang hilang pedoman. Ia juga dikaitkan isu hala tuju perjuangan yang kehilangan visi dan misi. Kecelaruan juga sering difahamkan dalam konteks perbuatan dan amalan yang tidak selari dengan norma-norma positif dalam kehidupan. Lebih pedih lagi kecelaruan dikaitkan dengan remaja yang sudah hilang pertimbangan diri iaitu membina idola dan diva yang bukan fitrah sifatnya, mengagumi proses pembaratan secara melulu dan hilang pertimbangan kenegaraan hingga menyebabkan imej dirinya tidak lagi dapat diharapkan sebagai penyumbang berkesan terhadap pembangunan tamadun bangsa. Remaja yang terjebak dengan kecelaruan ini bakal menjadi beban kepada masyarakat dan negara. 





Amat tidak adil jika tanggapan dibuat bahawa semua remaja terjebak dalam masalah kecelaruan ini. Tetapi petanda yang ada di sekeliling kita memadai untuk kita membina rasa bimbang dan resah. Asas kebimbangan dan keresahan ini dibina atas beberapa alasan. Antaranya ialah gelagat remaja yang amat terpengaruh dengan proses pembaratan yang sedang berjalan. Proses pembaratan yang mencorakkan gaya hidup dan pemikiran baru menjadikan mereka tercabut daripada akar jati diri dan kabur hala tuju hidup, menjadikan imej mereka semakin suram dan kehilangan arah. Kehidupan beragama sedang menjadi pertikaian antara halal-haram pelanggaran salah-benar dan maaruf-mungkar. Remaja hari ini dilihat seperti memburu makna maju dan moden tidak dalam acuan nilai yang baik, sebaliknya memajukan gaya hidup dengan pemikiran kebendaan dan semangat berfoya-foya (hedonistik).


Banyak sebab mengapa kecelaruan berlaku di kalangan remaja. Zaman remaja adalah zaman yang amat kritikal dalam hidup seseorang manusia. Remaja mempunyai potensi tinggi yang boleh diarahkan kepada kebaikan malah boleh juga terjebak ke arah keburukan. Ia bergantung kepada corak pendidikan yang diterima dan suasana persekitaran yang membentuk. Membentuk imej, watak dan tingkah laku remaja banyak bersandarkan kepada orientasi didikan yang diterima di rumah, sekolah, masyarakat dan juga sistem. Banyak faktor yang dapat dikesan menyebabkan wujudnya kecelaruan ini antaranya kecelaruan bermula apabila rumah tangga dan keluarga tidak memainkan peranan yang wajar dalam pembentukan watak anak-anak. Masa berkualiti banyak dihabiskan di luar rumah. Anak-anak yang menuntut pengisian, belaian, kasih sayang, perhatian dan bimbingan tidak merasakan limpahan rasa keibuan dan kebapaan. Media elektronik banyak berperanan mengambil tugas mendidik anak-anak. Ramai anak-anak yang mengalami keciciran sejak pada awal umur lagi. Akibatnya wujud lompang dalam hati dan minda anak-anak dan akhirnya anak-anak membentuk minda, hati dan tingkah laku berasaskan pendedahan yang ada dan pengaruh sekitar yang terdapat. 





Selain itu, sekolah banyak berperanan menyediakan anak-anak untuk tujuan peperiksaan. Membangunkan jiwa dan hati tidak diberikan fokus dan keutamaan. Akhirnya pembentukan watak yang holistik tidak berlaku. Berlakulah keciciran kedua di kalangan anak-anak. Umur yang amat kritikal bagi seseorang manusia dari sudut Islam ialah dari kelahiran hari pertama hinggalah ke tahap akil baligh. Sekiranya seseorang manusia terlepas daripada proses didik di tahap ini, kebimbangan tetap ada bahawa seseorang anak sudah diibaratkan seperti rebung yang sukar dilentur semula. Sistem kenegaraan sendiri tidak mengambil pendekatan sepadu dalam proses pembangunan remaja. Orientasi dalam keluarga dan sekolah sedikit sebanyak menekankan pentingnya adab dan akhlak dalam pembinaan diri remaja. Namun, media cetak dan elektronik tidak dikawal programnya hingga menyebabkan percanggahan yang ketara apa yang dididik di sekolah dan di rumah dengan apa yang ditampilkan oleh media cetak dan elektronik. Akhirnya konflik wujud di kalangan remaja dan keadaan seperti ini melahirkan kecelaruan.



Para remaja harus diberi bimbingan dan pedoman sejak awal umur lagi. Keterampilan keibubapaan amat dituntut dan kasih sayang, belaian dan tunjuk ajar menjadi sesuatu yang tidak boleh dielakkan. Kecelaruan akan berlaku sekiranya persekitaran negatif membentuk anak-anak terutama ketika peringkat pertumbuhan akliah, emosi, rohaniah dan jasmani sedang subur. Perkara asas yang harus disuburkan di kalangan remaja ialah jalinan komunikasi yang tinggi antara remaja dengan ibu bapa. Ibu bapa harus menjadi pendengar yang baik, menjelaskan dengan sabar dan pendidik yang taat. Para remaja pula harus memiliki kesediaan dan keterbukaan untuk mendengar, berbincang, bertukar-tukar pandangan, bertanya dan cuba memahami bahawa ibu bapa atau guru adalah orang yang pernah melalui hidup seperti yang dilalui oleh remaja hari ini. Perbezaannya cuma zaman di mana ibu bapa dibesarkan dan zaman bagaimana remaja amat terdedah dengan pelbagai tarikan dan perkara-perkara yang merangsang nafsu-nafsi. 


Khamis, 4 Februari 2016

KEGAGALAN INSTITUSI KEKELUARGAAN

Menuju tahun 2020,masalah keruntuhan akhlak dalam kalangan remaja sangat membimbangkan dan seperti  tiada penghujungnya. Jika kita lihat senario pada hari ini, ramai dalam kalangan remaja kita terlibat dengan gejala sosial seperti meragut, mencuri dan sebagainya. Namun demikian apakah puncanya? Hal ini disebabkan oleh kegagalan institusi kekeluargaan. Ibu bapa seharusnya melindungi dan mendidik anak supaya mereka tidak tersalah arah dan terlibat dengan gejala sosial. Kegagalan institusi kekeluargaan berpunca daripada kekurangan  ilmu tentang hidup berkeluarga dan pelbagai ilmu dalam perkahwinan. Kita sepatutnya mempersiapkan diri kita dengan pelbagai ilmu supaya setiap perkara yang terjadi dalam rumah tangga mereka dapat diselesaikan secara baik dan berdiplomasi. Jika kita tiada ilmu atau kurang ilmu, setiap perselisihan faham yang berlaku akan menyebabkan institusi kekeluargaan runtuh dan akibatnya berlakulah penceraian. Hal ini menyebabkan anak-anak kita yang akan terkena tempias atas kekhilafan diri kita sendiri, seperti kata pepatah, kerana nila setitik rosak susu sebelanga. Anak-anak yang tertekan dengAn masalah penceraian tersebut akan mencari kebahagiaan yang mereka inginkan dengan cara tersendiri seperti melarikan diri mengikut teman lelaki atau sesiapa sahaja yang boleh memberikan kebahagiaan kepada mereka. Oleh itu, ibu bapa perlu sedar bahawa kekurangan ilmu dalam institusi kekeluargaan boleh menyebabkan berlakunya keruntuhan akhlak.


Keruntuhan institusi kekeluargaan juga berpunca daripada kesibukan ibu bapa yang asyik mengejar kemewahan duniawi tanpa menghiraukan tentang anak-anak. Hal ini sering terjadi dalam dunia yang sedang membangun ini. Ibu bapa berpendapat bahawa jika mereka menyediakan segala kemahuan anak-anak mereka, mereka sudah memberikan kasih sayang yang secukupnya kepada anak-anak. Namun demikian, anak-anak merupakan insan yang perlu dididik dengan betul supaya mereka jadi insan yang berguna. Jika ibu bapa terlalu mengikut permintaan anak-anak mereka tidak mustahil suatu hari nanti anak-anak ini akan bersikap kurang ajar dan menyalahkan ibu bapa mereka atas kekurangan perhatian dan kasih sayang yang diberikan. Anak –anak ini juga akan menggunakan segala kemewahan yang diperoleh untuk melakukan perkara yang tidak berfaedah dan merosakkan diri seperti menghisap dadah. Anak anak ini ibarat kain putih, dan sebagai ibu bapa mereka bertanggungjawab untuk mencorakkan peribadi diri anak mereka. Ibu bapa harus sedar bahawa tiada yang lebih berharga dari anak anak mereka sendiri. Oleh itu, ibu bapa perlu sedar bahawa kesibukan mereka akan menimbulkan lebih banyak masalah keruntuhan akhlak dalam diri remaja. 




Selain itu, keruntuhan institusi kekeluargaan juga berpunca daripada kurangnya didikan dan penghayatan agama. Hal ini demikian kerana, agama merupakan tonggak dalam sesebuah keluarga yang bahagia. Institusi kekeluargaan yang berpegang kepada ajaran agama tidak akan goyah walaupun ditimpa beribu musibah. Namun, bagi institusi kekeluargaan yang tidak berpegang kepada ajaran agama mudah goyah dan runtuh apabila badai melanda. Anak – anak yang kurang penghayatan agama mudah terpengaruh untuk melakukan perkara-perkara negatif seperti merempit dan sebagainya. Anak anak ini perlu dididik menghayati agama sejak kecil lagi. Jika sudah menginjak ke usia remaja, mereka sukar menerima nasihat dan melakukan perubahan. Mereka lebih rela membuat keputusan tanpa memikirkan kesan dan tidak berpaksikan pada ajaran agama. Akibat daripada itu, mereka mungkin akan terjebak dalam perkara yang tidak sihat seperti merokok dan sebagainya. Oleh itu,kekurangan didikan agama boleh mengakibatkan keruntuhan institusi kekeluargaan.


Akhir sekali, keruntuhan institusi kekeluargaan berpunca daripada keadaan sosioekonomi yang sempit. Hal ini demikian kerana, dalam dunia yang kian maju, wang amat penting bagi memudahkan kelansungan hidup. Bagi mereka yang tidak mempunyai pendapatan yang tetap atau pekerja kolar biru , mereka sukar untuk menyediakan segala kemudahan untuk keluarga mereka. Hal ini juga boleh menyebabkan anak –anak mencari jalan pintas untuk mendapatkan segala keinginan mereka dengan mencuri, meragut dan sebagainya.  Pada usia remaja, mereka sering berasa iri hati apabila melihat rakan-rakan yang mampu untuk mendapatkan apa yang mereka mahu seperti telefon bimbit, komputer riba dan sebagainya. Namun demikian, seorang anak yang prihatin tidak akan membebankan ibu bapanya dengan meminta lebih daripada apa yang mampu diberikan kepada mereka. Oleh itu, ibu bapa perlu menyimpan untuk kegunaan pada masa kecemasan atau untuk menyediakan kemudahan kepada anak anak. Mereka perlu sedar bahawa keadaan sosioekonomi yang sempit boleh menyebabkan anak anak remaja bertindak diluar kawalan untuk mendapatkan apa yang mereka mahu. 




Untuk mengelakkan berlakunya kegagalan institusi keluarga yang boleh membawa kepada keruntuhan akhlak remaja, ibu bapa seharusnya melengkapkan dan koreksi diri. Hal ini demikian kerana, segala kelemahan dalam mendidik dan mendisiplinkan anak anak terutamanya remaja akan menyebabkan mereka menyimpang terlalu jauh dan terjebak dengan masalah sosial yang lebih berat. Pihak ibu bapa perlu sedar dan tahu bahawa kegagalan mereka dalam menguruskan institusi keluarga akan terkesan dalam diri anak-anak mereka. Anak-anak remaja merupakan aset negara dan mereka perlu didisiplinkan supaya menjadi orang yang berguna. Mereka ialah insan yang akan membawa negara kita ke persada antarabangsa yang terkenal dengan kebudayaan dan budi pekerti yang tinggi dan bukannya negara yang tidak berbudi pekerti. Maruah negara kita pada masa hadapan berada di tangan anak anak remaja kini. Jadi, mereka perlu bangkit daripada dunia angan-angan untuk menempuh dunia realiti.

Rabu, 3 Februari 2016

SAMPAH DALAM MENCEMARKAN BAHASA

Melihat pada persekitaran kita, ternyata banyak "sampah" dan pencemaran dalam pertuturan dan bahasa yang digunakan. Masyarakat kita sudah tidak ada segan-silu mewujudkan istilah atau menggunakan bahasa yang begitu asing dari bahasa ibunda. Daya kreativiti yang ada disalah guna sehingga menghasilkan budaya berbahasa yang cacamerba sehingga kemudiannya merendahkan jati diri bangsa. Amat malang dan begitu ironi kerana ia diterima oleh banyak orang, terutama dalam kalangan anak muda.
Rupa-rupanya pencemaran bahasa yang berlaku bukanlah fenomena baharu dalam masyarakat kita, bukannya hanya mula berlaku pada era pascamodenisme mahupun modenisme. Tetapi, sejak zaman kesultanan Melayu Melaka lagi. Barangkali disebabkan latar belakang Melaka sebagai tempat persinggahan pedagang-pedagang dari Timur dan Barat, maka begitu banyak bahasa yang digunakan oleh penduduk tempatan pada ketika itu. Dikatakan sekitar 84 buah bahasa digunakan. Apabila pelbagai bahasa "berkampung" di satu tempat, maka berlakulah percampuran bahasa semasa penduduk tempatan berkomunikasi sesama mereka atau dengan orang luar. Percampuran inilah yang kita lebih kenali sebagai bahasa rojak.
Isu bahasa rojak tidak pernah selesai malah fenomena yang berlaku ini menjadi semakin buruk. Penggunaan bahasa rojak berlaku secara berleluasa dan tanpa rasa bersalah, terutama oleh kalangan remaja. Bukan hanya menggunakan bahasa rojak, malahan juga rata-ratanya pada hari ini lebih gemar membuat singkatan pada perkataan dalam berhubung sesama mereka semasa menggunakan khidmat pesanan ringkas di telefon genggam.
Alasan mereka ia ringkas, mudah dan pada masa yang sama mesej masih dapat disampaikan dan difahami. Mereka tidak mempedulikan kesan buruk yang berlaku; yang boleh mengakibatkan mereka menjadi golongan "kurang upaya" dan tidak berkemampuan untuk menguasai dan menggunakan bahasa secara betul dalam urusan-urusan rasmi dan keadaan-keadaan yang memerlukan. Dan kerosakan bahasa ini bukan sahaja berlaku dalam kerja-kerja sekolah di peringkat rendah ataupun menengah, bahkan juga di peringkat universiti! Penggunaan bahasa Melayu di sektor awam juga dikatakan masih belum berada di tahap yang memberangsangkan.

Punca utama mengapa bahasa sendiri tidak dihormati adalah disebabkan lemahnya jati diri anak bangsa. Faktor-faktor seperti pengaruh media atau kesan globalisasi yang menawarkan pelbagai sampah dan pencemaran terhadap bahasa bukanlah faktor utama tetapi lebih sebagai pemangkin yang membesarkan lagi pencemaran yang berlaku.
Globalisasi dan ledakan teknologi maklumat memang tidak dapat dihalang menjadi sebahagian daripada sumber yang memangkinkan lagi pencemaran yang berlaku, tetapi sebaliknya, jika kita mempunyai jati diri yang kukuh, apa-apa pun yang terjadi tidak akan menggugat kecintaan terhadap bahasa sendiri. Jika kita tidak menyambut bahasa-bahasa yang tercemar yang ditawarkan dan yang ada di sekeliling kita, maka pencemaran bahasa yang berlaku, tidak akan berkembang. Dan ia akan terhenti setakat di situ. Malahan, globalisasi atau ledakan teknologi maklumat sebenarnya boleh dimanfaatkan untuk memperkenalkan bahasa Melayu sebagai bahasa perantara yang indah dan manis. Malah bahasa Melayu yang dikenali dengan intonasinya yang menarik, mampu untuk menyampaikan ilmu dan kefahaman.
Rata-rata anak bangsa kita tidak berbangga dengan bahasa sendiri, apatah lagi untuk mendaulatkan bahasa ini kerana mereka beranggapan bahawa bahasa ini tidak punya nilai dagang, tidak ada nilai antarabangsa dan tidak mempunyai kekuatan untuk menakluki keampuhan sains dan teknologi. Begitu juga dalam bidang undang-undang, ia dilihat tidak mampu menguasai istilah-istilah yang diperlukan dalam bidang undang-undang.
Sedangkan pada kurun ke-7 menurut Prof. Dr Awang Sariyan, bahasa Melayu telah pun dijadikan sebagai bahasa perantara dalam pentadbiran, perdagangan dan pengajian agama untuk kerajaan Sriwijaya yang luas dan sangat besar pada ketika itu.
Sehubungan itu juga, Van Linschotten, seorang pegawai dari Belanda yang bertugas di Indonesia di antara tahun 1586 hingga 1592 menilai bahasa Melayu sebagai teras bahasa tamadun tinggi pada ketika itu. Ironinya, generasi muda pada hari ini sebaliknya tidak pandai untuk menghormati bahasa sendiri, apatah lagi mengangkatnya ke martabat yang lebih tinggi. Dan lebih malang kerana bahasa ini dipandang lekeh dengan alasan-alasan yang tidak munasabah.
Begitu juga dengan rakaman yang dibuat oleh ahli sejarah Belanda, Francois Valentijn. Beliau menyatakan bahasa Melayu difahami di mana-mana sahaja oleh setiap orang di seluruh Kepulauan Melayu seperti bahasa Perancis atau Latin di Eropah. Menurut beliau, sesiapa yang datang ke alam Melayu, mahu tidak mahu perlu belajar bahasa Melayu dan sesiapa yang tidak pandai berbahasa Melayu, dianggap sebagai golongan tidak terpelajar.
Pendek kata, jika kita memahami dari mana sebenarnya bahasa Melayu lahir dan datang, dan melalui bahasa inilah penduduk Nusantara membina tamadun bangsa, maka tidak timbul sebenarnya tentang di mana kedudukan bahasa Melayu berbanding bahasa-bahasa lain yang ada di dunia. Bahasa lain dilihat lebih gagah, mempunyai nilai dagang dan dipertuturkan di peringkat antarabangsa, adalah kerana penuturnya mempunyai semangat perjuangan yang tidak punya noktah untuk menjadikan diri mereka sebagai peneraju pelbagai bidang di peringkat dunia.
Bahasa Melayu sebenarnya gambaran kepada jati diri bangsa Malaysia. Itulah sebabnya disebut bahawa "Bahasa Jiwa Bangsa". Bahasa Melayu merupakan bahasa yang sangat istimewa dan punya ciri-ciri yang tersendiri. Dan setiap bahasa datangnya dari Allah SWT melalui ilham yang disampaikan kepada hamba-Nya mengikut bahagian-bahagian tertentu di bumi. Jika tidak, masakan Nuruddin al-Raniri menggunakan bahasa Melayu sebagai medium dakwah dalam kalangan orang Melayu sekalipun beliau sendiri bukan orang Melayu, dengan menulis kitab-kitab agama dalam bahasa Melayu.
Pada hari ini terdapat lebih 100 institusi di seluruh dunia yang mengajarkan bahasa Melayu, ataupun setidak-tidaknya mempunyai pusat penyelidikan tentang bahasa dan sastera Melayu. Kerana keistimewaan yang dimiliki bahasa Melayu, ia menjadi antara bahasa yang popular untuk dipelajari. Malangnya, negara kita bukanlah tempat yang dapat membantu pelajar-pelajar asing yang hendak membuat latihan amali untuk mendalami bahasa serta budaya Melayu dan berhubungan dengan masyarakat tempatan. Sapaan, teguran ataupun soalan yang ditanyakan dengan menggunakan bahasa Melayu, rata-ratanya akan dibalas oleh orang tempatan dengan menggunakan bahasa Inggeris.
Keadaan yang berlaku tentunya menyebabkan kekecewaan dan kehampaan kepada pelajar-pelajar asing terbabit. Ini mengakibatkan mereka beralih pilihan untuk membuat latihan amali dan biasanya alternatif yang paling dekat ialah negara jiran, Indonesia. Situasi ini bukan hanya merugikan pelajar terbabit, tetapi juga menjejaskan nama baik bangsa dan negara kita. Disebabkan kesilapan kita sendiri kerana culas untuk memartabatkan bahasa sendiri, kita kehilangan kredit serta pengiktirafan dari orang luar. Sekiranya kita terus enggan untuk mengakui kesilapan, membetulkan kesilapan dan membudayakan semula bahasa Melayu secara murni dan mengekalkan keasliannya, tidak hairan jika satu hari nanti, bahasa Melayu akan hanya menjadi sejarah dalam peradaban manusia di dunia.