Selasa, 21 November 2017

PERANAN UTAMA MEDIA ADALAH MENDIDIK

Peranan media dalam masyarakat adalah sangat penting dan besar dalam kehidupan kita hari ini. Pada tafsiran barat ianya seolah-olah menjadi perantara kepada segala peristiwa yang berlaku disekeliling kita dengan diri kita atau boleh kita sebut sebagai penyampai berita. Media bagi mereka ialah sekadar memberi maklumat akan persitiwa yang berlaku kepada masyarakat supaya semakin bertambah pengetahuan mereka tanpa dibezakan samada pengetahuan itu baik atau buruk. Islam juga sebagai satu sistem cara hidup yang menyeluruh dan sempurna juga mengiktiraf akan peranan media ini. Namun Islam melihat media ini dalam perspektif berbeza dan lebih luas, ianya bukan sekadar memberi maklumat tetapi ianya turut menjadi satu wasilah dakwah. Media berperanan untuk menyampaikan kebenaran wahyu dalam masa yang sama mendidik masyarakat supaya menjadi lebih baik (soleh). Allah Azza Wa Jalla berfirman yang bermaksud :

“Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik”

(Surah an-Nahl:125)

Media ini hakikatnya adalah mengajak manusia supaya semakin hampir dengan kebaikan dengan cara yang berseni, berhikmah dan penuh bijaksana. Kata ulama kontemporari  pada hari ini ada menyebutkan bahawa media disisi Islam secara mudah boleh disimpulkan sebagai “daripada Allah kepada Allah” . Iaitu media itu menceritakan akan kebenaran (al-Haq) dan juga hakikat kemanusiaan (persitiwa) supaya dengan segala penceritaan ini akan membawa manusia kepada semakin hampir kepada Allah swt. Apabila kita memahami media dalam kerangka sebegitu maka cara penyampaian media itu juga terikat dengan apa yang Islam benarkan dan apa yang Islam haramkan.  Apa yang Islam tidak benarkan tetap tidak dibenarkan di dalam kandungan media itu sendiri serta begitulah sebaliknya kerana matlamat media itu selari dengan matlamat syarak itu sendiri. 



Apabila kita menghayati perkara ini kemudian dinilaikan pada kebanyakkan media yang ada pada hari ini adalah satu perkara yang amat menyedihkan. Kita selalu menyalahkan masyarakat yang semakin rosak dengan budaya pengaulan jantina yang tidak terkawal, seks bebas, pembuangan bayi, gangster, keretakan rumah tangga, tidak menghormati ibubapa dan pelbagai perkara lagi. Sedangkan kita lupa bahawa yang membentuk masyarakat tersebut sebenarnya adalah media itu sendiri. Media sebenarnya yang telah mendidik masyarakat sehingga apa yang kita lihat pada hari ini. Media yang suka memaparkan kisah-kisah gossip artis, gambar-gambar dengan pakaian yang tidak sopan bahkan isu keretakan rumah tangga mereka pun dilaporkan secara meluas dalam kadar yang berlebihan. Sehingga dibuka aib-aib pergaduhan suami isteri, kisah-kisah yang sepatutnya menjadi satu rahsia antara pasangan juga dibentangkan secara meluas kepada masyarakat kononnya dengan alasan menyampaikan kebenaran.


Hal ini mengambarkan betapa jauhnya media hari ini daripada peranannya yang sebenar. Media hari ini bukan sekadar tidak membawa masyarakat semakin hampir kepada kebaikan, bahkan media hari ini sebenarnya sedang memandu masyarakat ke arah kemaksiatan serta keruntuhan moral.  Sedarlah bahawa Islam itu hadir dengan membawa manusia kepada nilai moral (akhlak) yang tinggi bukan sekadar untuk melahirkan peribadi yang berakhlak tetapi ianya juga bertujuan membentuk sebuah masyarakat yang harmoni. Budaya bergossip bukanlah daripada Islam serta budaya membuka aib manusia lain sangatlah tidak disukai oleh Allah. Ingatlah pengamal media sekelian bahawa Allah itu Maha Adil, saat kita suka membuka aib orang lain maka kelak Allah sendiri yang akan membuka aib kita dihadapan manusia lainnya. Tetapi apabila kita mula menutup aib saudara kita maka Allah pasti akan menutup aib kita bukan sekadar di dunia tetapi di akhirat juga.

Ahad, 19 November 2017

KETERBUKAAN ISLAM TIDAK SEHINGGA MENGGADAIKAN PRINSIP

Pernyataan bahawa berpegang teguh kepada ajaran Islam telah menyekat kebebasan adalah penyataan salah yang lahir kerana ketidakfahaman terhadap tabiat ajaran Islam yang telah membebaskan manusia daripada perhambaan sesama makhluk kepada hanya menyembah Allah SWT. Islam telah membebaskan manusia daripada memperhambakan diri terhadap runtunan hawa nafsu kepada mengatur hawa nafsu sesuai dengan peranan sebenarnya. Islam membebaskan manusia daripada persepsi kehidupan hanya terhad kepada dunia kepada meyakini kehidupan manusia juga melangkau hari akhirat. Mengajak dan membebaskan manusia bertuhankan selain Allah SWT dengan fahaman tiada satu pun agama yang benar-benar betul serta menafsirkan Islam sebagai secara literal sebenarnya telah mengajak mereka kembali kepada perhambaan.

Mempromosi kebebasan untuk murtad daripada agama Islam bukanlah seruan kepada pembebasan, bahkan menyalahi konsep kebebasan dalam Islam. Mempromosi seks bebas, mewajarkan maksiat dan kemungkaran, membebaskan manusia daripada ikatan agama adalah perbuatan merelakan diri dibelenggu hawa nafsu. Sedangkan manusia diberi kehormatan untuk mengendalikan hawa nafsu, bukannya nafsu bertindak sebagai tuan kepadanya. Maka, apa juga cara termasuk ucapan mahupun tulisan mengajak orang Islam di negara ini murtad atau melakukan maksiat secara terang-terangan hendaklah disekat. Islam tidak menentang kebebasan bersuara atau meluahkan perasaan. Islam mendukung konsep kebebasan sebagai hak dan prinsip politik yang mesti dihormati, namun kebebasan tidak boleh disalahgunakan sehingga mendatangkan kemudaratan kepada orang lain. 



Kita hanya boleh menerima prinsip kebebasan tidak melampaui batas dan tidak boleh sesekali meraikan kebebasan yang melampaui batas kerana kebebasan seperti itu akan menimbulkan masalah besar kepada masyarakat. Sebarang gesaan supaya umat Islam diberi kebebasan untuk murtad, mengamalkan perkahwinan beza agama, penyuburan ideologi liberalisme mesti dikawal dan diambil tindakan tegas supaya tindakan yang melampau itu terkawal serta tidak merosakkan lebih ramai orang. Hal ini bertepatan prinsip sadd al-zara’i’ dalam hukum Islam bertujuan menutup pintu-pintu yang boleh membawa kerosakan besar kepada masyarakat. Menjadi tanggungjawab pemerintah menjaga agama rakyatnya daripada dirosakkan dengan alasan kebebasan yang palsu.


Al-Juwaini apabila berbicara soal pemerintahan Islam menggambarkan tanggungjawabnya adalah lebih luas daripada sekadar menjaga perut dan kehendak rakyat. Beliau menggambarkan pemerintah bertanggungjawab memelihara agama rakyat iaitu syariat Islam. Oleh itu, boleh kita katakan tindakan kerajaan mengharamkan buku Breaking the Silence: Voices of Moderation – Islam in a Constitutional Democracy dihasilkan oleh kelompok liberal G25 adalah menepati semangat menjaga agama rakyat. Buku itu secara jelas bertentangan dengan perkara yang disepakati dalam syarak seperti soal khalwat, kahwin campur agama, kebebasan untuk murtad dan pelbagai perkara lagi. Menjemput pemikir aliran liberal perlu dipandang serius oleh kerajaan kerana ia boleh menjadikan pemikiran umat Islam bercelaru.

Sabtu, 18 November 2017

KEBERKATAN MASA YANG HILANG

Allah Azza Wa Jalla melalui wahyu Al-Quran menekankan satu nilai yang besar dalam kehidupan kita iaitu setiap sesuatu perbuatan mesti dibuat dalam masa dan tempohnya. Kewajiban solat fardhu 5 kali sehari ditentukan masa-masa yang terperinci bagi setiap solat tersebut. Bila berlalunya masa yang diperuntukan maka solat yang dilaksanakan setelah habis waktunya dikira qadha dengan syarat dan sebab yang munasabah daripada segi syarak. Jika seseorang sengaja meninggalkan solat dia perlu segera bertaubat dan kembali kepada saf bersama orang-orang di masjid. Al-Quran juga ‘memperdengarkan’ kepada kita jeritan penyesalan dan teriakan nestapa orang yang telah meninggal dunia kerana tidak melakukan kebaikan di dunia; ada sebahagiannya bila ditanya kenapa kamu berada dalam neraka Saqar? Kerana kami dulu tak solat.

Kisah Firaun yang mengisytiharkan taubatnya ketika tenggelam dalam Laut Merah juga ditolak oleh Allah SWT kerana masanya telah tamat. Kisah golongan yang menangguhkan sedekah yang meminta untuk dihidupkan semula dari kubur. Antara dialog mereka yang Allah SWT kongsikan kepada kita dalam ayat 100 surah Al-Mu’minun; “Moga aku dapat buat kebaikan yang dulu aku tinggalkan (tak sempat buat sebelum mati)”. Tambahan, masa di akhir zaman menjadi cepat kerana barakahnya hilang. Masa berlalu pantas tapi kosong tak diisi dengan pahala. Seorang ayah akan menyesal bila melihat anaknya yang mula meniti usia remaja tapi masih cuai dan culas dalam solat fardhu. Dia terlepas masa ketika anak itu berusia 7 tahun untuk menekankan solat dan dia juga terlepas usia 10 tahun untuk memberi amaran keras jika anaknya tak solat. Masa itu tidak akan kembali. Apatah lagi jika anaknya masih merangkak dalam membaca Al-Quran. 



Seorang anak yang terlalu sibuk dengan kerjayanya hingga mengabaikan khidmat bakti kepada ibu bapanya yang masih hidup juga akan menyesal pada hari dia menerima panggilan berita kematian mereka. Dia terlepas melakukan kebaikan yang disamakan pahalanya dengan jihad di jalan Allah. Dia akan menyesal akan panggilan telefon yang tak dibuat kepada mereka berdua. Dia akan menyesal akan cuti hujung minggu yang tak dimanfaatkan untuk menziarahi mereka. Dia akan menyesal kerana terlalu berkira untuk mengambil cuti daripada majikan untuk pulang ke kampung meluangkan masa bersama mereka. Dia akan menyesal atas setiap permintaan ibubapanya yang tak dipenuhi. Meskipun dia menangis air mata darah kerana menyesal, tapi masa itu tidak akan berulang. Sekali-kali tidak!


Ini yang kita hilang sekarang iaitu keberkatan. Kita ada waktu tapi Allah Azza Wa Jalla tidak berikan hidayah untuk kita lakukan kebaikan dalamnya. Kita diberikan keluasan rezeki tetapi tiada sedekah dan derma. Kita diberikan anugerah anak dan cahayamata tetapi kita tidak berikan kepada mereka didikan Islam yang sempurna. Kita dinaikkan pangkat dan jawatante tapi makin sibuk hingga tiada kesempatan untuk beribadah maupun berkhidmat kepada ibubapa dan masyarakat.

Jumaat, 17 November 2017

MENDEPANI CABARAN ANTI HADIS

Anti Hadis merupakan antara ajaran sesat yang menular dalam masyarakat Islam sejak beberapa tahun yang lalu. Pengaruh anti Hadis ini semakin luas apabila wujudnya pihak-pihak tertentu yang mendukung kepercayaan dan kefahaman mereka di samping wujudnya buku-buku, artikel-artikel dan seminar yang berkaitan. Fahaman anti Hadis ini sebenarnya mempunyai pegangan yang tidak mempercayai Hadis sebagai sumber epistemologi Islam selepas al-Qur’an. Penghujahan golongan yang berfahaman ini bahawa al-Qur’an sebagai kitab yang lengkap dan sempurna telah menolak sumber-sumber lain sebagai sumber perundangan Islam. Untuk menguatkan hujah mereka, beberapa ayat al-Qur’an cuba diselewengkan tafsirannya. Kebanyakan penyelewengan mereka melibatkan soal akidah, politik, dan feqah. Dalam soal akidah, golongan ini meletakkan kedudukan Nabi Muhammad s.a.w. sekadar pengikut Nabi Ibrahim AS.

Menurut mereka Nabi Ibrahim AS adalah pesuruh Allah SWT bukannya Nabi Muhammad s.a.w. Sehubungan itu, mereka mendakwa solat, puasa, zakat, dan amalan-amalan ibadah lain harus mengikut Nabi Ibrahim AS. Golongan anti Hadis juga menyelewengkan ayat-ayat al-Quran berkaitan politik, terutamanya yang berkaitan dengan kepimpinan ulama. Mereka mendakwa ulama dahulu dan kini semuanya palsu, menyelewengkan ajaran Allah SWT, bertopengkan amalan Rasul serta telah mereka-reka hukum. Mereka mendakwa ulama mencipta hokum halal-haram, sesat, undang-undang kekeluargaan Islam, dan sebagainya walhal semua itu tiada dalam al-Qur’an. Bagi mereka ulama sekutu Allah SWT. Jelas di sini Golongan Anti Hadis ini cuba mentafsirkan ayat al-Qur’an mengikut seleranya sendiri berdasarkan terjemahan yang lemah. Mereka sebenarnya tidak mempunyai kepakaran dalam bahasa alQur’an, tidak memahami uslub ayat dan balaghahnya. Jadi, memahami al-Qur’an berdasarkan terjemahan yang sedia ada mengakibatkan fahaman mereka tersasar daripada maksud sebenar 



 Kita akan berasa amat dukacita apabila segala penyakit terkena kepada akidah, ibadat dan muamalah kaum muslimin.Bagi seseorang atau sesuatu kelompok yang terpincang dari landasan agama, pegangan islam mereka bertambah lemah.Malah, mereka cuba mencari formula baru kerana merasakan Islam sudah tidak berfungsi lagi.Perkara yang sebenarnya, bukan Islam yang tidak berfungsi, tetapi mereka sendiri yang tidak kembali menghidupkan Islam yang sebenar atau Islam tulen.Ternyata segala rancangan membangunkan umat tanpa Islam gagal. Dunia Islam dibaluti dengan pelbagai penyakit.Hal ini semua adalah berpunca daripada sikap memesongkan agama.Kelemahan akidah ini juga turut mengundang kelemahan lain.Dengan itu, kita tidak akan ke hadapan dalam agama, teknologi dan juga pembangunan. Dalam masa yang sama, Barat mengambil alih kebangkitan kebendaaan dan kemodenan.Barat yang telah kehilangan agama, mengisi roh tamadun mereka dengan menjadikan harta dan kebendaan sebagai perkara terpenting.


Nilai agama jauh terasing daripada pembangunan yang mereka usahakan. Seiring dengan hasrat Revolusi Industri, kamus halal dan haram tiada tempat dalam era ini.Bahkan bagi mereka, terikat dengan agama dalam menempuh hidup yang lebih selesa serta menikmati kemajuan adalah suatu kekolotan. Ternyata mereka benar-benar mencapai era pembangunan kebendaan yang mengagumkan. Hasil daripada kejahilan mereka terhadap agama, mereka telah tersalah faham dan kecewa melihat keadaan umat. Mereka menganggap isi kandungan al-Quran dan al-Sunnah tidak berfungsi dalam membangunkan umat. Bahkan terselit dalam jiwa mereka perasaan bahawa Islam ini kolot, tidak adil dan seumpamanya.Racun Barat begitu mengalir dalam urat nadi mereka. Mereka juga lupa hakikat bahawa umat Islam tidak perlu mengambil Barat sebagai asas dalam membangunkan bangsa.Islam mempunyai asas ketamadunannya yang tersendiri.Ia telah menganugerahkan umatnya kegemilangan tamadun dalam tempoh yang begitu panjang. Kelemahan dan kemunduran umat Islam bukan kerana Islam.Sebaliknya kerana memesongkan Islam.Islam tulen telah dipinggirkan daripada kehidupan umat.



Kita tidak boleh membina tamadun kegemilangan dengan membebaskan diri daripada ikatan Islam. Jika kita inginkan ketamadunan dengan memisahkan diri daripada al-Quran dan alSunnah, tidak perlulah membinanya atas nama islam.Jika inginkan ketamadunan dalam erti kata yang tidak difahami oleh Islam, anuti sahaja tamadun Barat dan anggaplah kita sebahagian daripadanya seperti yang dikempen oleh Taha Hussain. Namun, apabila kita ingin membina kemajuan atas nama Islam, kita mesti terikat dengan peraturan Islam. Selain itu, isu-isu yang dibangkitkan di Barat, ia juga turut dibangkitkan di dunia Islam.Sebagai contohnya, isu hak wanita.Hal ini kerana, terdapat adat istiadat atau pegangan sesuatu kaum yang menganut Islam, bercanggah dengan ajaran al-Quran dan al-Sunnah, sekaligus menindas kaum wanita.Begitu juga pegangan mazhab yang sempit seperti kuasa bapa memaksa anak perempuannya berkahwin dengan sesiapa yang disukainya. Namun, itu semua bukannya salah Islam.Apa yang perlu diperbetulkan ialah minda dan pemikiran umat agar kembali kepada Islam tulen.

Selasa, 14 November 2017

WASATIYYAH DALAM AKIDAH

Hubungan manusia dan kehidupan adalah pertengahan. Kebendaan semata-mata berteraskan makan, minum, nafsu syahwat, harta kekayaan, pangkat dan kedudukan. Kerohanian semata-mata menolak keduniaan, tidak berkahwin, malas mencari rezeki dan sebagainya. Pertengahan bukanlah melakukan suatu perkara secara tidak sempurna, tetapi melakukannya dengan sempurna, cukup syarat, mematuhi peraturan dan prosedur yang tidak melampau mahupun mengurangi sesuatu perkara. Dalam keadaan inilah, akidah Islam mengutarakan mesej jalan pertengahan dan kesederhanaan, antaranya menegah sikap melampau umat terdahulu dalam berakidah dinyatakan dalam Surah al-Nisa ayat 171, menolak dakwaan tidak wujudnya Tuhan dan anggapan kehidupan dunia ini terjadi secara kebetulan seperti dalam Surah al-Jaathiyah ayat 24 dan menolak adanya banyak tuhan, mensyirikkan Allah SWT dengan tuhan-tuhan yang lain. Allah itu Esa yang selayaknya disembah seperti dalam Surah al-Ikhlas ayat 1-4.


Pendekatan wasatiyah mengimbangi pandangan dalam mengambil sumber akidah, antaranya golongan salafi ekstrem menolak perbahasan akal dalam menetapkan kebenaran akidah Islam, apatah lagi perbahasan saintifik dalam kalangan umat Islam hari ini. Mereka terlampau rigid menolak sebarang unsur yang dikatakan mencemar kesucian al-Quran dan sunah. Golongan yang menyalahi mereka dianggap sebagai ahli bidaah dan menyeleweng daripada akidah. Golongan liberal pula berpegang kepada kebebasan melampau menggunakan akal walaupun bercanggah dan di luar kemampuan manusia manakala golongan sufi mengambil sumber akidah menerusi pengalaman kerohanian seperti ilham, kasyaf, mimpi dan yaqazah. 




Pendekatan wasatiyah berada di jalan pertengahan yang tidak menerima atau menolak secara membuta tuli, tetapi memerlukan pemikiran yang boleh diterima menurut fitrah manusia. Pendekatan wasatiyah berpegang teguh meletakkan al-Quran dan sunah sebagai rujukan utama tetapi pada masa sama mengambil kira fungsi akal dan pancaindera sebagai pendokong wahyu. Akal tidak boleh melebihi dan mengatasi kesucian wahyu. Akal dibimbing berdasarkan prinsip ditetapkan oleh para ulama silam yang berautoriti. Pendekatan wasatiyah tidak menolak amalan-amalan sufi dan tasawuf dalam memperkukuh agama selagi ia sahih dan tidak bercanggah dengan al-Quran dan sunah.


Dalam konteks di Malaysia, beberapa perkara perlu diberi perhatian sebagai akhlak dalam kehidupan, antaranya ialah meraikan pengajaran akidah yang mesra budaya kehidupan setempat dan bersesuaian dengan latar belakang akidah pegangan umat Islam iaitu aliran Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ). Pengajaran akidah juga perlu memberi fokus kepada perkara yang jelas disepakati ulama dan mengelak persoalan perselisihan antara ulama. Kita juga perlu bertegas dalam isu-isu yang menyalahi akidah, tidak mudah mengafirkan, membidaah atau fasik pada persoalan khilaf sesama ulama ASWJ.



Kekuatan akidah menjadi sumber inspirasi kehidupan Muslim dalam ibadah, munakahah, muamalah, jinayah dan siyasat al-daulah. Pendekatan manhaj wasatiyah terbaik ialah tidak menolak secara bulat-bulat, beriman dengan penuh keyakinan sebagaimana terkandung dalam al-Quran dan sunah tanpa sebarang tokok tambah dan takwilan yang salah, di samping bersikap terbuka memberikan peranan kepada akal dalam mengukuhkan agama serta akidah seperti yang dinyatakan dalam nas. Pendekatan wasatiyah tidak terlalu ketat (ifrat) dan tidak terlalu longgar (tafrit) serta mengutamakan apa yang lebih utama.

Ahad, 12 November 2017

KERANA CINTA DAN SUKA

Memang ramai peminat bola sepak di negara ini. Sebab itu, tiket perlawanan akhir Piala Malaysia antara Kedah dan Johor, macam pisang goreng panas. Ringkas cerita, disebabkan cintakan bola sepak, 10,000 tiket di Alor Setar, Kedah, licin dalam tempoh 45 minit. Malah, ada yang sanggup tidur berdekatan kaunter tiket. Ada juga yang menunggu di stadium sejak pukul 11 malam walaupun tiket hanya mula dijual pada 9 pagi esoknya. Semuanya bagi memastikan tidak ketinggalan mendapat tiket menyaksikan perlawanan antara skuad Lang Merah dan Harimau Selatan. Dikatakan 400 bas telah mengangkut penyokong Kedah ke Stadium Shah Alam, Selangor. Begitulah apabila manusia dirasuk cinta, lautan api akan direnangi dan pelbagai halangan pasti dilalui. Tidak sabar rasanya menunggu esok, masa terasa bagaikan merangkak bergerak.


Islam tidak melarang umatnya bersukan. Cuma alangkah baiknya, semangat dan ‘kegilaan’ peminat terhadap bola sepak itu turut diterjemahkan dalam pelaksanaan ibadat terutama dalam bab solat. Setakat ini belum pernah kita melihat orang ramai atau jemaah berkumpul sebagai mana peminat yang menyerbu kaunter tiket di stadium di Alor Setar dan Larkin, yang lalu. Tidak pernah berlaku dalam sejarah mana-mana masjid di Malaysia, makmum siap sedia membanjiri pekarangan masjid menunggu solat Jumaat sejak malam Khamis lagi. Belum pernah juga para jemaah berbaris menunggu untuk solat subuh Jumaat dua tiga jam sebelum masuk waktu walaupun di sesetengah negeri yang cuti mingguannya jatuh pada Jumaat. 



Hal yang demikian disebabkan kita masih gagal mencintai Allah dan Rasul-Nya melebihi diri sendiri. Walhal orang beriman itu sangat cintakan Allah dan Nabi SAW. Sentiasa meletakkan perintah dan kepentingan agama mengatasi segala-galanya. Ini dijelaskan dalam firman Allah SWT yang bermaksud:

Katakanlah: “Jika bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara, isteri-isteri, kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khuatiri kerugiannya, dan tempat tinggal yang kamu sukai, adalah lebih kamu cintai daripada Allah dan Rasul Nya dan daripada berjihad di jalan-Nya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusan-Nya.” Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik.

(At-Taubah: 24)

Alangkah molek jika semangat berkobar-kobar para pencinta bola sepak itu dijelmakan dalam setiap perlakuan ibadat kepada Allah. Pastinya, terpancar keindahan Islam apabila masjid-masjid yang gah dibina dipenuhi setiap inci ruangnya dengan orang yang solat berjemaah lima waktu sehari semalam. Malangnya, hal sebegini tidak berlaku. Masjid hanya penuh untuk solat Jumaat, solat sunat hari raya dan solat tarawih (itupun hanya 10 malam pertama). Pada waktu-waktu lain, hanya dua tiga saf masjid yang dipenuhi jemaah. Bakinya kosong. Walhal kita maklum antara ciri tujuh golongan yang mendapat naungan Allah di akhirat kelak adalah orang yang hatinya selalu terikat kepada masjid. (hadis riwayat Bukhari).

Orang begini tidak akan melepaskan setiap peluang untuk memakmurkan masjid dengan ibadah dan amal-amal soleh secara istiqamah, terutama solat fardu berjemaah. Hatinya akan ‘resah dan gelisah’ apabila jauh dari masjid. Dia juga akan sedih sekiranya tidak boleh ke masjid pada waktu-waktu solat berjemaah dan ketika majlis ilmu diadakan. Justeru, mari kita perbaiki diri dengan meletakkan ke­utamaan mencintai Allah dan rasul-Nya mengatasi yang lain. Dengan demikian, barulah kita dapat merasakan kelazatan beribadat. Sebabnya, ganjaran pahala beribadat itu tidak dapat dilihat dengan mata kasar

Rabu, 8 November 2017

KEWAJIPAN MEMELIHARA AKIDAH

Masyarakat Islam yang cemerlang ialah masyarakat yang mengamalkan cara dan amalan hidup selari dengan pengertian akidah sebenar di mana segala urusannya akan tetap berlandaskan pengabdian diri kepada Allah Azza Wa Jalla. sahaja walaupun dihambat arus pemodenan. Sebagaimana yang telah digariskan oleh Allah dalam al-Quran yang bermaksud :

Katakanlah: Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam. Tiada sekutu bagi-Nya, dan dengan yang demikian sahaja aku diperintahkan, dan aku (di antara seluruh umatku) adalah orang Islam yang awal pertama (yang berserah diri kepada Allah dan mematuhi perintah-Nya).

(Surah Al-Anaam:162-163)


Islam merupakan satu-satunya agama yang berteraskan kepada akidah atau keyakinan yang luhur kepada Allah yang Maha Esa, kepada malaikat, para rasul, kitab-kitab, adanya hari kiamat, dan kepercayaan kepada qada  dan qadar yang telah ditentukan oleh Allah Azza Wa Jalla. Hasil dari keyakinan ini, telah membawa kepada lahirnya kesedaran dan kesanggupan untuk menunaikan segala kewajipan yang telah ditetapkan oleh Allah dan menjauhi segala larangan dan tegahan-Nya. Oleh sebab itu, dalam era kehidupan yang penuh mencabar ini, amat wajar bagi kita memastikan akidah kita, ahli keluarga serta masyarakat Islam secara keseluruhannya tidak tergadai dalam apa jua keadaan sekalipun. Sebagai seorang Muslim yang beriman, dalam apa jua keadaan ataupun sesibuk mana sekalipun, sama ada sebagai pekerja atau pelajar, kita seharusnya tidak melupakan peranan dalam mengukuhkan akidah dalam diri kita.


Sebagai ibu bapa pula, tanggungjawab mendidik anak-anak kita mengenal Allah dan berusaha menanam akidah yang kukuh selain dari menitikberatkan ilmu pendidikan yang lain bermula dari peringkat awal lagi. Bahkan para ulama kita terdahulu telah meletakkan satu prinsip yang jelas bagi kita yang bermaksud: Perkara pertama dalam mempelajari agama Islam, adalah dengan mengenal Allah terlebih dahulu. Oleh hal yang demikian, kewajipan memantapkan dan mengukuhkan akidah Islamiah merupakan tuntutan bagi keseluruhan umat Islam, dengan mempelajari sifat-sifat Allah dan mengenal nama-nama Allah.  Hanya dengan akidah yang kukuh dan mantap sahaja, kita boleh menjadi umat Islam yang berjaya di dunia dan akhirat. Tiada gunanya jika kita cemerlang dalam pendidikan atau mempunyai kerjaya yang hebat, jika kita tidak mempunyai keimanan mendalam terhadap Allah sehingga kita mengabaikan pula perintah atau melakukan perkara-perkara yang dilarang dan dibenci oleh Allah. 



Jika kita imbas kembali sejarah dakwah Rasulullah di peringkat permulaan Islam sewaktu baginda di Mekah al-Mukarramah, perkara asas yang dilakukan oleh baginda kepada para sahabatnya sebelum diajarkan tentang syariat-syariat Islam yang lain ialah dengan mendidik para sahabat berkenaan perkara-perkara yang bersangkutan dengan akidah dan keimanan. Perkara ini berterusan sehinggalah akidah para sahabat mantap dan kukuh sehingga selepas itu mereka mudah menerima apa sahaja yang telah ditetapkan oleh Allah dan Rasul-Nya. Bahkan kerana akidah jugalah, para nabi dan rasul sanggup menerima apa jua rintangan dan bebanan demi memperjuangkannya. Dari Nabi Adam hinggalah kepada Nabi Muhammad. semuanya telah berusaha memelihara akidah umat mereka agar tidak terpesong ke jalan sesat. Penghijrahan Rasulullah. dari Mekah ke Madinah umpamanya bertujuan untuk membentuk umat Islam yang berpegang kepada ajaran agama Islam.


Akidah yang mantap diibaratkan sebagai simpulan iman yang ampuh, yang akan menyuntik semangat perjuangan, menyuburkan daya saing dan memupuk perpaduan di kalangan umat Islam. Ini kerana, iman yang tersimpul erat di dalam hati mendorong seseorang untuk berusaha, bekerja keras, melakukan kebajikan, membina kemajuan, menunaikan tanggungjawab, sanggup berkorban dan sebagainya. Di sini amat jelas menunjukkan bahawa usaha untuk memantapkan kualiti ummah, perlulah terlebih dahulu diusahakan ke arah kemantapan keimanan yang berlandaskan kepada akidah yang benar. Ini kerana, apabila akidahnya mantap sudah pasti keimanan seseorang itu lebih kukuh dan terjamin. Manakala tabiat tidak menitikberatkan akidah, akan menyebabkan manusia berada dalam keadaan iman yang rapuh dan terdedah pula kepada kelekaan untuk tidak melakukan segala perintah dan mengabaikan segala larangan Allah Azza Wa Jalla. Bahkan yang paling dibimbangi oleh kita ialah kerapuhan iman dan kecetekan akidah umat Islam boleh mendorong dan membawa kepada gejala murtad dan terjerumus dalam ajaran sesat seperti yang banyak berlaku akhir-akhir ini.


Umat Islam sepatutnya berbangga dengan status yang dianugerahkan oleh Allah sebagai khaira ummat atau umat terbaik dan cemerlang. Namun demikian, status itu tidak akan bermakna dan tidak akan sekali-kali dapat dicapai oleh umat Islam tanpa mengukuhkan akidah mereka. Ini kerana, akidah merupakan nadi dan nyawa bagi umat Islam dan tidak ada tolak ansur dalam perihal akidah. Sebagai umat Islam yang inginkan kesejahteraan hidup di dunia dan keselamatan di akhirat, kita hendaklah menjadi masyarakat Islam yang memelihara dan menegakkan akidah dan syariat Islam. Bagi memelihara dan memperkukuhkan akidah pula ia hendaklah dibina atas dasar iman yang kukuh, dibajai dengan ilmu dan amal serta dipelihara dari dicemari oleh sebarang serangan anasir dan gejala penyelewengan dan kesesatan. Mudah-mudahan dengan pengukuhan akidah dalam diri kita dan juga masyarakat secara umumnya, akan dapat membantu kita mewujudkan masyarakat Islam yang bertakwa serta beramal soleh. Seterusnya dengan kemantapan akidah ini akan menjadikan kita menjadi masyarakat Islam yang cemerlang yang mampu hidup di dalam arus pemodenan ini.

BERWASPADALAH SELALU

Pada era pascamerdeka ini, kes jenayah dan penculikan kanak-kanak semakin menjadi-jadi sehingga menjadi topik hangat dalam media massa. Kes adik Nurul Huda Abdul Ghani yang telah meninggal dunia dalam usia 10 tahun. Budak yang malang itu telah menjadi mangsa rogol dan dibunuh oleh binatang yang betopeng manusia. . Kes adik Sharlinie dan adik Asmawi yang telah terakam dalam sejarah menggegarkan negara. Kes-kes tersebut turut diperkatakan dari warung kopi hingga persidangan parlimen. Kes-kes jenayah kanak-kanak telah menggusarkan ibu bapa yang mempunyai anak yang seusia dengan kanak-kanak tersebut. Untuk mengelakkan lebih banyak kanak-kanak menjadi mangsa kepada manusia yang yang kedangkalan kemanusiaan, pelbagai langkah yang efisien patut dilaksanakan untuk melindungi anak kita supaya mereka dapat hidup dalam dunia yang aman, harmoni dan bahagia.
                                                              
Untuk menangani masalah ini daripada terus menjalar, ibu bapa memainkan peranan yang signifikan untuk menyelamatkan cahaya mata yang dianugerahkan oleh Tuhan. Dalam konteks ini, ibu bapa harus sentiasa memastikan bahawa anak mereka tidak lari daripada perhatian mereka ketika berada di tempat awam, terutamanya di pasar malam, pasar raya dan pusat beli belah. Kebanyakan kes kehilangan anak adalah berada di lokasi yang penuh dengan orang ramai, terutama ketika jualan murah diadakan kerana ibu bapa sibuk membeli belah. Ibu bapa perlu mengajar anak mereka serba sedikit pendidikan seks, iaitu bahagian aurat badan mereka yang tidak boleh disentuh oleh orang lain. Ibu bapa perlu membimbing anak mereka supaya menolak ajakan atau pujukan orang yang tidak dikenali walaupun terdapat gula-gula yang enak. Dalam masa yang sama, ibu bapa bertanggungjawab untuk memastikan anak mereka tidak berseorangan sama ada di rumah atau di luar rumah. Contohnya adik Nurin Jazlin membeli sesuatu di pasar malam sehingga tidak pulang untuk selama-lamanya. Tegasnya ibu bapa perlu memikul tanggungjawab untuk menjaga keselamatan anak kecil mereka. 



Selain itu, media massa perlu mendukung kewajipan untuk mencelikkan masyarakat kita supaya peka terhadap isu ini. Media massa terutamanya media elektronik mempunyai pengaruh yang kuat sekali terhadap masyarakat kita. Dalam situasi ini, pihak televisyen dan akhbar perlu menyiarkan rencana atau rancangan yang berkaitan supaya masyarakat kita, khasnya pengusaha tabika dan ibu bapa mengambil tindakan yang drastik untuk mengelakkan anak buah mereka daripada menjadi mangsa kepada manusia yang berjiwa binatang buas. Siaran daripada media massa dapat segera memancing perhatian dan kerjasama daripada masyrakat untuk menghulurkan bantuan bersama-sama demi menyelamatkan budak yang hilang atau kena culik. Dalam masa yang sama, media elektronik patut menyekat rancangan ganas yang dapat mempengaruhi orang ramai sehingga menbangkitkan nafsu yang dikutuk oleh Tuhan. Bahan lucah yang berkaitan dengan seksual kanak-kanak harus dilarang sama sekali sama ada dalam cakare padat digital cetak rompak ataupun dalam internet. Adegan keganasan akan terserap ke dalam jiwa yang kedangkalan keimanan. Senarionya, unsur keganasan akan diterjemahkan terhadap kanak-kanak yang tidak berdosa. Natijahnya, semua media perlu menghalang rancangan yang berunsur ganas dan berusaha menginsafkan masyarakat kita untuk menyelamatkan kanak-kanak kita daripada menjadi mangsa.

Sementelahan itu, penguatkuasaan undang-undang merupakan alternatif yang ampuh untuk membanteras gejala tersebut. Hal ini demikian kerana hukuman yang ketat berupaya memperingatkan orang ramai supaya tidak menganiaya kanak-kanak kita. Mereka yang mencabuli, memperkosa, menculik dan mendera kank-kanak perlu dijatuhi hukuman yang berat, seperti hukuman penjara mandatory dan hukuman gantung sampai mati. Hukuman yang maksimum dapat menyebabkan golongan yang sering mendampingi syaitan itu berasa serik untuk melakukan kesalahan tersebut. Sehubungan dengan itu, pihak polis juga perlu membuat siasat dengan cepat dan segera. Sindiket perdagangan manusia harus dibendung dengan segera. Alangkah malangnya, terdapat kanak-kanak yang diculik ke negeri Thai dan Indonesia telah dicacatkan untuk menjadi pengemis . Oleh itu, pihak penguat kuasa perlu melaksanakan tugas mereka dengan komitmen supaya nyawa anak yang comel tidak diragut oleh manusia yang tidak waras.

Natijahnya, anak merupakan kurniaan Tuhan yang akan membawa kebahagiaan dan hiburan kepada keluarga. Anak juga akan mewarnai masyarakat, nusa dan bangsa kita. Seisi masyarakat kita bertanggungjawab untuk melindungi mereka supaya membesar dengan aman dan sentosa. Janganlah kes jenayah kanak-kanak dan gangguan seksual menjadi fobia kepada ibu bapa tentang keselamatan anak mereka. Jangan terhantuk baru tengadah. Semua pihak yang terlibat tidak patut melepaskan batuk di atas tangga dan berusaha dengan gigih untuk melindungi hak kanak-kanak.



Sabtu, 4 November 2017

CEGAH RASUAH TANGGUNGJAWAB KITA BERSAMA

Rasuah merupakan gejala yang sinonim dengan masyarakat kita pada hari ini. Definisi rasuah secara literalnya bermaksud sogokan atau secara konseptualnya bermaksud wang yang diberikan oleh orang tertentu kepada pihak lain untuk menyembunyikan sesuatu perkara atau untuk mendapatkan sesuatu denagn cara yang mudah dan cepat tetapi salah mengikut undang-undang negara. Gejala ini merupakan duri dalam daging dalam kalangan masyarakat kita. Syed Hussein Al Attas menyatakan bahawa rasuah sebagai penyalahgunaan kepercayaan untuk kepentingan peribadi. Menurut Transparency International, Indeks Persepsi Rasuah (CPI), Malaysia berada pada tangga ke 47 daripada 180 buah negara pada tahun 2008 dan keadaan ini amat membimbangkan kerana gejala rasuah ini memberi kesan yang buruk kepada nama baik negara kita. Rasuah yang berleluasa juga mencemarkan integriti dan maruah Malaysia sekaligus menimbulkan kesan negatif.

Gejala rasuah di Malaysia berada pada tahap sederhana dan terkawal. Namun begitu, amalan rasuah masih berlaku dalam semua peringkat kehidupan manusia. Amalan rasuah juga merupakan penyakit masyarakat yang sukar diatasi kerana pengetahuan tentang keburukan gejala rasuah ini kurang diketahui oleh masyarakat pada hari ini. Walau bagaimanapun, masyarakat sekarang yang masih mengamalkan amalan rasuah ini harus sedar bahawa undang-undang negara kita tidak akan memandang enteng amalan rasuah ini kerana perkara ini merupakan amalan yang buruk yang boleh menggugat keamanan dan ketenteraman masyarakat setempat mahupun negara. Pihak mahkamah akan menjatuhkan hukuman yang berat kepada pembeeri dan penerima rasuah jika mereka ditangkap. Statistik terkini menunjukkan bahawa bilangan kes rasuah yang disiasat meningkat dua kali ganda, daripada 663 kes (2001) kepada 1317 (2006). Bilangan tangkapan juga meningkat dari 318 (2001) kepada 564 (2006). Jika amalan ini masih berterusan, ia dapat menggugat keutuhan masyarakat dan tidak mustahil suatu hari nanti negara kita akan tergadai.

Setiap perkara yang berlaku pasti ada puncanya seperti yang nyatakan dalam perumpamaan melayu, kalau tiada angin, masakan pokok bergoyang. Salah satu puncanya ialah kurangnya didikan agama dan moral. Hal ini demikian kerana, pegangan agama yang kuat mampu membendung gejala ini dan setiap agama juga melarang penganutnya melakukan sesuatu yang boleh memudarkeluarga, masyarakat dan negara. Orang yang tidak mempunyai iman yang kuat senang terpengaruh dengan kebendaan dan sering mengejar kekayaan.  Mereka harus sedar bahawa setiap wang yang dibelanjakan hasil daripada rasuah merupakan wang haram dan tidak boleh digunakan untuk keperluan harian anak-anak. Hal ini demikian kerana, dalam agama Islam terutamanya, melarang keras penganutnya melakukan amalan ini dan jika mereka membeli makanan daripada wang hasil rasuah makanan itu haram diberikan kepada anak-anak untuk dimakan kerana makanan yang haram dapat menggelapkan hati manusia. Oleh itu, didikan agama amat penting dan merupakan asas untuk membendung segala masalah sosial seperti rasuah. 



Setiap punca masalah ynag berlaku pasti ada jalan penyelasaiannya bak kata pepatah di mana ada kemahuan di situ ada jalan. Jika kita ingin membendung gejala ini, pasti ada langkahnya. Ibu bapa dan guru perlu menanamkan nilai murni dalam jiwa setiap anak tentang keburukan rasuah. Hal ini demikian kerana, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Ibu bapa sendiri perlulah bersikap jujur kepada diri sendiri iaitu, ibu bapa sendiri perlulah menjauhi amalan rasuah kerana jika ibu bapa yang melakukan rasuah dan cuba untuk menasihati anak-anaknya untuk tidak melakukan perkara itu, nescaya anak itu tidak akan mendengar nasihat ibu bapanya. Hal ini disebabkan oleh ketidakcekapan ibu bapa untuk menanam atau memupuk nilai murni dalam diri anak-anak mereka. Pihak guru juga boleh berkongsi maklumat terkini tentang gejala rasuah ini kepada pelajar-pelajarnya sebagai pengetahuan juga sebagai teladan dalam kehidupan seharian. Dengan itu, kerjasama daripada pihak ibu bapa dan guru boleh melahirkan pelajar yang mempunyai nilai-nilai murni yang baik dan benci kepada amalan rasuah.

Kesungguhan daripada pihak kerajaan untuk membendung amalan ini juga amat penting. Kerajaan telah menggubal Pelan Integriti Nasional PIN. Pelan Integriti Nasional adalah satu pelan atau rancangan yang dirancangkan serta dilancarkan oleh kerajaan Malaysia  dengan fokus utamanya untuk menanam dan memupuk budaya etika dan integriti di kalangan semua lapisan masyarakat Malaysi. Institut Integriti Malaysia (IIM), ditubuhkan sebagai agensi penyelaras dan pemantau pelaksanaan Pelan Integriti Nasional (PIN). Objektif utama IIM ialah untuk membangunkan sebuah bangsa Malaysia yang berintegriti, berdaya tahan dan menghayati nilai-nilai murni sejagat.  Kedua dua in juga ditubuhkan bertujuan untuk memberikan kesedaran dan pendidikan tentang keburukan rasuah. Pada tahun 2008, Rang Undang-undang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah SPRM telah diluluskan di Dewan Rakyat dan ia bermaksud SPRM diberi kuasa penuh untuk menghapuskan rasuah. Oleh itu, rasuah merupakan penyakit yang perlu ditangani segera sebelum ia menjadi lebih serius.



Tuntasnya, semua pihak tidak kira pangkat atau harta, mestilah bersatu dan menggembleng tenaga untuk memeastikan rasuah gejala yang berjangkit ini dapat diatasi. Mencegah itu lebih baik dari mengubati. Rasuah  juga terjadi disebabkan faktor dalaman dan luaran. Rasuah juga berlaku di mana-mana sahaja tanpa batas waktu dan tempat. Pihak berkuasa terutamanya perlu mengelakkan diri daripada terlibat dengan gejala ini kerana umum diketahui, ramai pihak berkuasa menerima rasuah dan tidak amanah melaksanaknan tugas dan tanggungjawab. Harapan saya agar amalan rasuah ini dapat dibanteras hingga ke akar umbi. Tindakan yang diambil hendaklah saksama dan bukan sekadar terhadap golongan “ikan bilis” tetapi juga terhadap golongan atasan. Mereka yang bersalah wajar dikenakan hukuman yang berat kerana telah mereka telah menconteng arang kepada negara kita.

Jumaat, 3 November 2017

DADAH ANCAMAN SEJAGAT NEGARA

Gejala pengedaran dan penyalahgunaan dadah perlu diberi perhatian serius kerana ia merupakan masalah ummah sejagat samada di peringkat nasional mahupun global, sekalipun Kerajaan telah mengisytiharkan dadah sebagai musuh nombor satu negara sejak tahun 1983 lagi. Berdasarkan statistik yang telah direkodkan oleh Agensi AntiDadah Kebangsaan (AADK) bermula pada tahun 2010 hingga 2014, purata bagi keseluruhan kes penagih baru adalah 68,308 dan penagih tegar 32,630 kes. Ini menjadikan jumlah keseluruhan penagih adalah sebanyak 100,938 kes. Penagihan dadah merupakan fenomena sejagat yang kini dilihat sebagai ancaman kepada kesejahteraan individu, keluarga, masyarakat dan negara. Penagihan dadah merupakan penyakit psiko-bio-sosial yang boleh menyebabkan seseorang individu yang terlibat akan mengalami masalah pergantungan fizikal dan psikologi terhadap dadah.

Selain itu, gejala penagihan dan pengedaran dadah boleh mengundang pelbagai tingkah laku anti sosial, anti undang-undang Negara, anti agama dan menjadikan seseorang individu itu tidak bertanggungjawab. Dadah merupakan satu istilah khas yang merujuk kepada sejenis bahan yang mendatangkan kemudaratan kepada kesihatan dan kesejahteraan seseorang dari segi fizikal, mental dan emosi serta tingkah laku apabila disalahgunakan. Kesan penyalahgunaan dadah berbeza mengikut jenisnya. Ia merangkumi dadah jenis bukan sintetik seperti heroin, morfin, candu dan ganja boleh menyebabkan penggunanya merasa khayal dan mengalami sindrom penarikan (gian). Pengambilan dadah jenis ini melalui jarum suntikan boleh menyebabkan jangkitan penyakit bawaan darah seperti AIDS dan Hepatitis B.



Di samping itu, penagih juga akan mengalami kecelaruan mental dan menjejaskan fungsi kehidupan seharian seperti pembelajaran, pekerjaan, rumah tangga dan hubungan sosial. Manakala dadah jenis sintetik seperti syabu, pil ecstasy dan amphetamine adalah dadah jenis perangsang. Penyalahgunaan dadah jenis ini akan mengakibatkan kesan yang lebih buruk seperti gangguan mental, hilang kawalan diri, bertindak agresif dan tingkahlaku ganas akibat daripada emosi yang terjejas. firman Allah SWT di dalam surah al-Baqarah ayat 195 maksudNya :

 “Dan belanjakanlah (apa yang ada pada kamu) kerana (menegakkan) agama Allah, dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan (dengan bersikap bakhil); dan baikilah (dengan sebaik-baiknya segala usaha dan) perbuatan kamu; kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang yang berusaha memperbaiki amalannya.”.


Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia yang bersidang kali Ke-76 telah mengeluarkan fatwa pengharaman terhadap sebarang kegiatan dan penyalahgunaan segala jenis dadah adalah haram kerana ianya boleh membawa kemudaratan dan kerosakkan pada diri .Hukum penyalahgunaan dadah adalah HARAM di sisi agama Islam. Semua pihak perlu menggembleng tenaga dan bersatu padu dalam membanteras segala usaha pengedaran dadah di Negara kita. Penagihan dadah akan menyebabkan seseorang itu lupa diri dan mengabaikan tanggungjawab sebagai insan muslim. Didikan agama yang mantap adalah mekanisme terbaik untuk membentengi diri dari terjebak dengan najis dadah. 

Khamis, 2 November 2017

PUISI : AKU PENDOSA

Di hening malam bertemankan sepi
Aku bersendiri berserah pada ilahi
Dengan membawa timbunan dosa
Mngharapkan keampunan pada yang Esa
Bercitakan iman hanya pada Nya
Tatkala semua dibuai mimpi & fantasi
Jiwaku meruntun merobek kisah lama
Membuatkn ku berasa lemah dan hina
Mencengkam rasa terpercik keinfasan
Tersesak dada dek kerana kealpaan
Aku seorang pendosa
Malu ku pada Mu ya Rabb
Tuhan yang tak pernah mengenal
Erti lelah untuk mengampun ku
Tuhan yang Maha Kaya sifat pengampun


Aku sedar aku tahu
Betapa banyaknya dosaku pada Mu
Tak termampu untuk ku pikul
Kerana aku sedar dan ku tahu
Aku punyai Tuhan yang Maha Esa
Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani
Ya Rabb Ya Azza Wa Jalla
Dalam dakapan malam aku merintih
Dalam kesunyian ini aku memohon
Dalam kasih sayang Mu aku berteduh
Atas nama maghfirah Mu aku insaf
Moga aku bakal melangkah ke jannah