Melihat perkembangan wabak Covid 19 yang
amat membimbangkan ini, apatah lagi statistik kematian angkara Covid 19 semakin
mencanak naik, apa lagi yang mahu kita bantahkan. Apa lagi yang mahu kita
bangkang. Bagaimana cara lagi untuk kita menghentam kiri kanan. Tatkala ada
sebilangan kecil daripada kita masih menganggap Covid 19 ini suatu lakonan
semata-mata, semakin ramai juga netizen yang terkena tempias wabak ini tampil
menasihatkan masyarakat di luar sana yang masih berkhayalan dengan teori
kepunahan itu.
Masih ingatkah kita betapa hebatnya warga
maya yang terdiri daripada pelbagai latar belakang, bangkit dan menghentam
fatwa yang dikeluarkan oleh Mufti Wilayah Persekutuan berkenaan hukum HARAM
merentas negeri atas alasan berziarah balik kampung. Pelbagai bentuk sindirian
dibuat untuk menzahirkan rasa bantahan terhadap fatwa yang dilihat "mesra
kerajaan" ini. Ada juga yang beranggapan kerajaan terdesak sehingga
menggunakan institusi agama bagi menakutkan lagi orang ramai merentas negeri.
Sebelum daripada itu, Tan Sri Dato Seri
Dr. Noor Hisham Abdullah, Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia juga pernah diselar
sebagai anggota Freemanson kerana saranan beliau yang saban hari mengingatkan
kita akan kepentingan masyarakat mematuhi SOP dan mendaftar sebagai penerima
vaksin. Tidak cukup dengan itu, para mufti dan golongan cerdik pandai ilmuwan
Islam turut dikecam hebat dengan dakwaan telah memasuki perangkap Yahudi,
gerakan Freemanson dan pelbagai lagi kerana menyokong Dasar Vaksinasi Imunisasi
Negara.
Akhirnya, sejak sebelum menjelang
Aidilfitri lagi, negara kita menerima kenaikan kes yang mencanak naik dan terus
membimbangkan kita semua. Saudara saudari sekalian, setelah kita berjuang
menghentam orang sana sini, setelah penat kita berteori itu dan ini, setelah
kita mendengar coleteh para asatizah ustaz-ustazah yang mendakwah ini semua
perancangan terancang, apa lagi yang boleh kita lakukan ? Siapa lagi yang mahu
kita dengar dan taat ? Kemana kita dengan teori konspirasi ini ? Walhal, agama
sesekali tidak pernah berdiri diatas angan-angan dan teori itu dan ini. Mesti
ada bukti, hujah dan disandarkan pada sumber yang sahih.
Dalam al Quran, menerusi firman Nya dalam
surah al Baqarah ayat 111 yang bermaksud :
".....katakanlah (wahai Muhammad) :
Tunjukkanlah bukti kebenaranmu jika kamu adalah orang yang benar"
Inilah prinsip yang mesti dipegang oleh
orang yang beriman. Bercakap mestilah bersandarkan bukti hujah. Bukti dan hujah
pula mesti berdiri diatas sumber yang sahih. Bukan sekadar angin yang lalu.
Golongan bercakap pandai dan bersembang bagai tak tumbang inilah yang akan
menanggung dosa diatas teori fitnah bercampur celaan terhadap usaha baik oleh
pihak yang bertanggungjawab. Usaha menolak vaksin dan menolak pematuhan SOP
adalah suatu usaha yang berdosa besar kerana bukan sahaja melanggar arahan
pemerintah malah berdosa kerana memfitnah hingga boleh menyebabkan kehilangan
banyak nyawa.
Jika fatwa yang dikeluarkan oleh para
mufti, yang sudah tentu diiktiraf kelayakan mereka untuk bercakap pun masih
mahu kita lawan, kepada siapa lagi mahu kita jadikan sebagai rujukan. Jika
nasihat dan saranan pakar kesihatan pun kita ketepikan, kepada siapa lagi mahu
kita dengarkan. Ingatlah pesanan Allah SWT kepada kita semua menerusi firman
Nya dalam surah al Anbiyaa' ayat 7 yang bermaksud :
"....maka tanyakanlah olehmu kepada
orang-orang yang berilmu, jika kamu tidak mengetahui."
Apakah tindakan kita selepas ini akan
dapat menyelamatkan nyawa atau sebaliknya akan mengorbankan banyak nyawa yang
tidak berdosa ? Setiap percakapan kita, tidak kira sama ada bentuk rakaman
video atau penulisan, menghasut masyarakat dengan doktrin fitnah dan sampah,
menghasut masyarakat menolak vaksin, menganggap hal ini adalah percaturan
dajjal, freemanson dan entah apa lagi, kesudahannya bagaimana kita perlu hadapi
semua ini ? Semuanya akan kembali rujuk kepada orang yang berilmu, yang mahir
dan pakar dalam bidang-bidang tertentu. Ustaz ustazah pun bukannya pakar dalam
semua bidang. Bukan semua para asatizah hebat dan tahu dalam semua perkara.
Untuk itu, salurkanlah kekeliruan itu dan ini ke saluran ahlinya yang betul.
Teringat akan satu hadis Nabi SAW yang
memberi ancaman kepada mereka yang tersalah memberi pandangan sehingga
mengorbankan nyawa. Dalam satu hadis riwayat al Hakim, daripada Ibn Abbas RA
yang bermaksud :
"Terdapat seorang lelaki berjunub
pada musim sejuk. Dia bertanya (kepada orang ramai) maka dia disuruh untuk
mandi, maka dia mandi lalu mati. Lalu disebut perkara itu kepada Nabi SAW maka
baginda berkata : Apa mereka sudah lakukan ? Mereka telah membunuhnya, maka
Allah akan membunuh mereka!. Baginda mengulanginya tiga kali..."
Hadis ini menceritakan kepada kita
apabila fatwa "orang ramai" tanpa ilmu, telah menyebabkan membunuh
satu nyawa yang tidak bersalah. Walhal, dalam keadaan itu, si lelaki yang
berjunub itu boleh bertayammum sahaja untuk mengelakkan kemudharatan yang lebih
besar. Demikian juga dalam hal ini. Untuk mengelakkan kemudharatan yang lebih
besar, patuhilah SOP, ambil lah vaksin tanpa ragu, dan ikutilah saranan dari
masa ke semasa oleh golongan yang berkelayakan. Bukan sekadar berfatwa di kedai
kopi sambil bersyarah teori itu dan ini. Semoga kita semua dirahmati oleh Allah
SWT.