Kehidupan ini adalah pentas untuk kita
berlumba-lumba melakukan kebaikan, tidak kira lah sama ada berlumba-lumba
mengajak orang melakukan ketaatan atau sebaliknya mencegah orang daripada
melakukan kemungkaran dan kemaksiatan. Selain dunia ini pentas untuk menguji
para makhluk Nya, hidup ini juga merupakan suatu manifestasi cinta kita kepada
Allah dengan mengabdikan diri kita hanya kepada Nya. Selari dengan firman Nya
dalam surah ad Dzariyat ayat 56 yang bermaksud :
"Dan Aku tidak menciptakan jin dan
manusia melainkan supaya mereka mengabdi kepada Ku".
Dalam usaha mengabdikan diri kepada
Allah, sudah pasti kita akan berhadapan dengan pelbagai dugaan dan cabaran.
Kita akan berdepan dengan nafsu, bisikan syaitan, kutukan serta cercaan orang
pada kita dan sebagainya. Hidup sebagai seorang Islam, tidak akan terlepas
daripada berperang, menentang dan bertarung dengan musuh-musuh seperti ini.
Namun, dalam kebanyakkan episod pertarungan menentang musuh, yang paling sukar
dan susah untuk kita adalah bertarung dengan diri sendiri.
Kehebatan dan keunggulan kita mengajak
orang kepada kebaikan dan mencegah dari melakukan kemungkaran adalah suatu
kerja amal yang mulia bahkan dipandang tinggi di sisi Allah SWT. Kerana itu,
dengan izin Nya, Islam tertegak adalah kerana hasil susah payah para sahabat
dan generasi selepas mereka menyampaikan Islam. Hal itu bukanlah suatu perkara
yang mudah. Ada mehnah dan tribulasinya yang wajib kita tempuhi. Namun dalam
banyak-banyak mehnah dan tribulasi ini, paling besar yang perlu kita hadapi
ialah bertarung dengan diri sendiri dengan mengamalkan intipati dakwah yang
sering kita serukan.
Oleh itu, di hadapan Allah kelak, bukan
pangkat dan kedudukan yang ditanya, tidak juga KPI dan hasil yang diperiksa,
tetapi keikhlasan kita dalam menyeru orang melakukan ketaatan kepada Allah SWT.
Berapa pun hebat hasil usaha yang telah kita capai, semuanya tidak dapat
dihitung banyaknya melainkan diukur dengan keikhlasan kita kepada Allah Azza Wa
Jalla. Sebab itu, musuh kita yang utama adalah diri kita sendiri. Paling
mustahak, bagaimana kita perlu bersikap jujur dengan diri sendiri, zuhud dengan
kedudukan, berjiwa besar serta berhati bersih dan beramal dengan sifat terpuji
yang lain.
Dalam sebuah hadith riwayat Abu Daud,
Nabi Muhammad SAW ketika hendak keluar dari rumah, baginda Nabi SAW tidak
pernah lupa untuk membaca sebuah doa yang bermaksud :
"Ya Allah, aku berlindung kepada Mu
dari aku tersesat, atau aku disesatkan, atau aku tergelincir, atau aku
digelincirkan, atau aku menzalimi, atau aku dizalimi, atau kebodohanku atau
dibodohi".
Doa Nabi SAW ini sangat bertepatan dengan
kelemahan diri manusia yang lemah dan hina. Tidak dapat lari daripada melakukan
kesilapan dan kekhilafan. Maksud daripada doa ini ialah kita memohon
perlindungan dari Allah daripada segala hal kesesatan, tergelincir daripada
landasan sebenar, mohon berlindung daripada sikap zalim, juga mohon lindung
daripada segala kebodohan. Walhal, doa ini dipohon seorang manusia bertaraf
Nabi, bersifat maksum dan diberi jaminan masuk ke syurga, pun begitu, baginda
Nabi menadah tangan memohon perlindungan daripada segala keburukan tersebut.
Persoalan besarnya adalah bagaimana untuk
kita berlaku jujur pada diri sendiri disaat kita sukar untuk berlaku jujur
dihadapan orang ? Bagaimana untuk kita bersikap adil pada pihak musuh sedangkan
kita tidak berlaku adil pada diri sendiri ? Barangkali yang tidak jujur, tidak
adil itu pada orang lain. Kita juga lah yang jujur dan adil. Kita juga lah yang
lebih baik daripada orang lain. Akhirnya, kita lah yang paling benar dan orang
lain semuanya salah. Kata Imam Hasan al Basri berkenaan makna zuhud, beliau
berkata :
"Seorang yang zuhud adalah jika ia
melihat orang lain ia berkata : Ia lebih baik dariku".
Kita perlu muhasabah kembali.
Sekurang-kurangnya, mencari kesalahan diri. Usah sibuk menunding jari. Mahu
nampak gah dan hebat. Berbicara diatas pentas menuturkan ayat Tuhan dan sabda
Nabi, mahu dilihat sebagai orang berilmu dan punya kedudukan, mengharap dipuji
dan diangkat di khalayak ramai, itu semua hal yang akan menyebabkan kita makin
sukar untuk bertarung dengan diri sendiri. Kerana, bukan Allah tujuan kita
sebaliknya mahu mengangkat diri hingga tanpa sedar, kita telah terjerumus dalam
perangkap syaitan yang direjam. Bertarung lah dengan diri sendiri. Buanglah
sikap dan tabiat yang buruk dan koreksilah diri dengan panduan ilahi.
Mudah-mudahan Allah merahmati dan memberkati hidup kita semua.